DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 18 August 2019

My Zaujah Humairah - Bab 10

BUSUR memanah diambil semula dari tangan
Fazli. Bersedia melakukan panahan seterusnya. Kali ini, dia
benar-benar mahukan anak panah dilepaskan tepat memasuki
bulatan kecil di tengah-tengah papan itu. Dia sangat terkesan
dengan penolakan dan keberanian Humairah.
Fazli yang melihat perubahan ketara di wajah
majikannya, hanya mampu terpinga dan melopong. Cepat
benar mood Darren berubah. Tadi bukan main nampak
bersemangat majikannya berbual-bual dengan Humairah.
Sekarang, marah-marah pula.
Busur memanah diangkat tinggi melebihi paras dada
sebelum dicondongkan sedikit ke bawah. Apabila tali panah
ditarik ke belakang, mata kirinya ditutup dan hanya mata
kanan yang memberi fokus.
Minda cuba dikosongkan. Tetapi tidak tahu kenapa,
papan sasar di hadapannya terbayang-bayang pula wajah
mengejek Humairah.
“Isy!” Darren berdecit dan menjatuhkan semula
busur memanah ke sisi. Tidak jadi mahu membuat bidikkan.
“Bos ni kenapa?” soal Fazli. Sejak tadi dia berdiam
diri dan hanya memerhati perubahan Darren, baru sekarang
dia berani bertanya.
Soalan Fazli tidak dihiraukan. Sekali lagi dia mahu
melepaskan anak panah. Namun, tumpuannya kali ini
benar-benar terganggu. Saat membuat bidikkan, matanya
pula terkena libasan tali.
“Argh!”
“Bos!”
Darren membongkok. Busur memanah jatuh ke
rumput. Mulutnya berdesir menahan sakit. Fazli segera
menarik kerusi lalu memaksa Darren duduk.
“Aduh, sakitnya!”
“Kenapa bos tak nak guna busur yang lebih moden?
Kenapa ambil risiko guna busur antik ni? Nak kata bos tak
ada duit, nampak sangat buat alasan. Jom, saya bawa bos
pergi klinik.”
“Awak apa tahu? Busur antik nilah yang selalu
temankan saya. Banyak jasanya, tahu tak?” Muka diangkat.
Pandangannya dilemparkan ke arah sekumpulan kanak-kanak
di bawah jagaan Humairah dan Umar.
Ketika tumpuan diberikan ke situ, matanya melekat
pada wajah Humairah. Sesekali gadis itu tersenyum, dia
turut tersenyum. Sesekali gadis itu tertawa kecil, dia pula
tersengih. Satu perasaan halus yang sukar difahami, tiba-tiba
datang mengganggu. Ada sedikit debar bertandang apabila
melihat senyuman gadis itu.
Darren tidak tahu debaran itu kerana apa. Yang jelas,
wajah Humairah membawa seribu ketenangan. Dadanya
turut berasa lapang.
Fazli garu kepala melihat Darren bertingkah seperti
itu. Macam orang tidak waras. Gila lebih tepat.
“Mata bos cedera tu. Takkan tak nak pergi klinik?
Bos jangan fikir mata tu boleh sembuh bila tengok Cik
Humairah,” usiknya. Bukan dia tidak nampak apa yang
Darren perhatikan.
Senyum di bibirnya mati sejurus mendengar usikan
Fazli.
“Lepas ni saya pergi klinik. Tak ada makna mata saya
boleh sembuh kalau tengok Cik Humairah. Sombong tak
bertempat.”
“Tak baik bos buruk sangka dan prejudis pada orang.
Lebih-lebih lagi orang macam Cik Humairah dan adik dia
tu.” Fazli tidak bersetuju dengan sangkaan Darren. Baginya,
Humairah tidak sombong. Tetapi, lebih kepada menjaga batas
pergaulan.
“Awak sepatutnya sokong saya. Bukan dia. Tahu tak?”
Darren mencebik apabila terang-terang Fazli menyebelahi
gadis tersebut.
“Saya ni ada mata, ada telinga, ada rasa. Bila saya
tengok keadaan bos pagi ni, saya tahu ada sesuatu yang
mengganggu fikiran bos.” Fazli tersenyum lucu. Rungutan
Darren seperti budak-budak.
Darren mencebik lagi. “Pandailah awak. Saya okey.
Tak ada apa yang mengganggu.”
“Saya tak percaya. Selama bos keluar memanah
dengan saya, baru hari ni bos tak boleh fokus.”
Darren bingkas dari kerusi. Mengelak dari kata-kata
Fazli.
“Beritahu saya, apa yang awak nampak? Apa yang
buat tumpuan saya hilang?” Dua botol kecil air mineral
diambil dari beg. Satu dihulurkan kepada Fazli.
“Mesti ada kena-mengena dengan Cik Humairah.”
Darren terdiam. Akhirnya mengangguk perlahan.
Mengaku dengan tebakan Fazli.
“Hah, bingo!” Fazli petik jari. Sangkaannya tepat.
“Saya tak pernah jumpa perempuan macam dia.
Berani, tetap pendirian dan nampak sangat bertanggungjawab
pada adik-beradik.” Darren memulakan apa yang dia rasa, apa
yang dinilai melalui luaran gadis itu.
“Bos baru putus cinta. Takkan dah jatuh hati pada
Cik Humairah?”
“Saya tak tahu nak cakap macam mana. Apa yang
saya boleh beritahu, hati saya tenang bila tengok muka
dia.” Darren mengeluh panjang. Pertanyaan Fazli tidak tahu
bagaimana mahu dijawab.
“Muka siapa? Cik Humairah?”
Darren mengangguk. Cepat dia mengiakan.
“Bukan hati bos aje, hati saya pun tenang jugak.”
Fazli mengusik lagi.
Satu jelingan tajam diberikan pada Fazli. “Kalau
awak suka dia, tunggu apa lagi? Pergilah cakap kat dia
sekarang.”
Fazli tergelak besar. “Aik bos... takkan cemburu?”
Darren tunjuk dada sendiri. Konon tidak terkesan
dengan usikan Fazli. Dia cemburu? Takkanlah...
“Dahlah. Jom kita balik.”
“Lepas hantar saya, bos pergilah klinik. Jangan
biarkan sakit tu melarat. Banyak lagi CPU dan telefon rosak
orang hantar suruh bos baiki. Kalau mata bos sakit, siapa
yang nak baiki semua tu? Saya dan Iman tak pandai nak buat.”
“Tahulah saya. Dah, awak jangan banyak cakap.”
Darren terus melangkah meninggalkan Fazli.
Ketika melewati sekumpulan kanak-kanak sebelum
ke tempat letak kereta, sempat dia menjeling ke arah
Humairah yang sedang memberi arahan kepada kanak-kanak
tersebut.
Sengaja pula dia pasang telinga semata-mata mahu
mendengar suara Humairah. Jelas, suara itu lembut dan
bernada sopan. Spontan ia meresap masuk jauh ke sudut hati
yang walang. Tetapi, kenapa suara itu keras ketika berbual
dengannya? Dia menggeleng tiada jawapan.
Humairah urut dadanya perlahan. Cuaca agak sejuk
pagi itu buat dia berasa tidak sihat. Inhaler tidak cukup
memberi kelegaan. Dia perlu ke klinik bagi mendapatkan
rawatan susulan.
“Umar, sebelum kita hantar budak-budak balik
madrasah, akak nak singgah klinik. Lepas tu, Umar bawa
balik budak-budak, ya. Akak balik naik teksi nanti.”
“Akak tak sihat?” tanya Umar sambil berwajah
bimbang. Tahu kesihatan kakaknya tidak berapa baik.
Humairah sekadar mengangguk.
“Akak tak payah balik dengan teksi. Nanti Umar
pergi ambil lepas dah uruskan budak-budak ni.”

VAN BERHENTI di hadapan Klinik At-Tawakkal. Sebuah
klinik yang sering dikunjungi Humairah jika dia berasa
tidak sihat. Dia melangkah masuk sejurus van dipandu Umar
perlahan-lahan meninggalkannya. Langkah sopan disusun
menuju ke meja kaunter.
Agak ramai pesakit dalam klinik hari ini. Entah
nombor giliran berapa yang dia akan dapat.
Apabila nombor giliran diberikan kepadanya,
Humairah mengambil tempat duduk. Dia melihat sekeliling
sebelum pandangannya jatuh ke atas kad kecil berbentuk
bulat yang tertera angka 25. Nampaknya, terpaksalah dia
menunggu lama.
Mata dipejam lalu menyandar di tempat duduk
dengan selesa. Bacaan ayat-ayat al-Quran dari corong speaker
dalam klinik tersebut, memberi kelegaan pada turun naik
nafasnya yang semput. Namun, kelegaan itu sedikit terganggu
apabila ada seseorang mengambil tempat di sebelahnya. Mata
dicelik dan sedikit terkejut melihat kemunculan Darren
secara tiba-tiba.
Humairah beristighfar dalam hati. Tak pernah ada
lelaki asing yang duduk dekat dengannya sebelum ini. Darren
orang pertama. Dia segera betulkan duduk. Tegak badannya
dan cuba mengiring sedikit membelakangi lelaki itu. Dia
bertingkah serba salah sedang Darren di sebelah hanya
tersenyum.
Mahu dianjak duduknya pada kerusi lain, semua
kerusi sudah penuh. Di sebelah kirinya ada seorang mak cik
tua. Di kanan pula ada Darren.
“Hai,” tegur Darren sepatah. Tadi dia duduk di
kerusi lain. Apabila melihat Humairah melangkah masuk, dia
sengaja mengambil peluang.
Humairah tidak bertindak balas. Dia hanya
membatukan diri. Malas mahu melayan. Apatah lagi mahu
berbual-bual kosong apabila lelaki itu menegurnya.
“Cik Humairah tak sihat?” Darren tidak berputus
asa. Walaupun Humairah bertingkah dingin, dia tidak mahu
terlalu awal mengaku kalah.
“Tak sihat sikit.” Pertanyaan itu dijawab perlahan.
Tidak betah mahu terus membisu.
“Cik Humairah nombor berapa?”
“25.”
Darren senyum nipis. “Lambat lagi tu. Cik Humairah
boleh tukar nombor dengan saya kalau nak. Saya nombor
10...” Dia menawarkan diri. Ada peluang untuk dia berbuat
baik pada Humairah kali ini.
“Tak apalah. Terima kasih aje.” Walaupun ketika
itu dia perlukan rawatan lebih awal, tetapi lebam yang jelas
kelihatan di bawah mata lelaki itu, memberi jawapan kenapa
dia perlu menolak.
Darren mengeluh pendek. Humairah benar-benar
seorang gadis sejuk beku. Sedikit pun tidak tergugat dengan
bantuan yang ditawarkan.
“Saya ikhlas nak tolong. Saya tahu Cik Humairah
ada asma. Mungkin datang sini sebab penyakit tu.”
Humairah segera tunduk dan bermain tangan
sendiri. Sedikit terlajak pandangan matanya hari ini. Entah
kenapa lebam di bawah mata lelaki itu mencuri tumpuannya.
“Kenapa dengan mata awak?” Soalan itu keluar
spontan. Bibir dikemam rapat.
“Ni?” Darren tunjuk mata sendiri.
Humairah makin tunduk. Kenapa laju sangat
mulutnya bertanya. Nanti tak pasal-pasal Darren akan
melanjutkan perbualan.
“Saya terkena tali busur memanah.” Teruja dia
menjawab. Gembira apabila Humairah menunjukkan sedikit
perubahan.
“Kenapa boleh jadi macam tu?” Humairah
meneruskan soalan. Agak terperanjat dengan jawapan Darren.
“Saya hilang tumpuan.” Ringkas Darren membalas.
Kalau berterus terang fokusnya terganggu disebabkan papan
sasar terpamer bayangan mengejek wajah Humairah, nanti
apa pula gadis itu akan fikir.
“Seorang pemanah yang mahir, tak patut buat
kesilapan macam tu. Ia boleh bahayakan awak.” Tak
semena-mena Humairah memberi nasihat. Namun,
tetap tunduk dan pandangannya langsung tidak berkalih.
Kedua-dua tangannya tetap bermain sesama sendiri.
Darren tersenyum. Suka hati mendengar nasihat
percuma itu. Lagipun, bukan senang-senang Humairah mahu
keluarkan suara dan berbual-bual dengannya. Bagaikan ada
intan berlian dalam mulut.
“Cik Humairah nak pergi mana lepas ni?”
“Balik rumah.”
“Boleh kita makan sama-sama? Hari tu Cik Humairah
dah tolak hadiah saya. Tak salah kalau kali ni, Cik Humairah
terima saya belanja makan pulak.”
“Tak salah bagi awak. Tapi salah bagi saya!” tegasnya
dengan penolakan.
“Keluar makan pun salah?” Darren tunjuk sikap naif.
Langsung tidak tahu menahu pendirian gadis itu.
“Awak tak faham. Tak apalah.” Humairah bagaikan
tersedar. Darren berlainan agama. Itu yang dia nampak. Dia
tidak mahu berhujah mengenai hukum dalam Islam. Nanti
lelaki itu keliru. Kecuali kalau Darren berminat ingin tahu,
barulah dia yakin mahu membuka mulut.
Keluhan pendek terlepas apabila Humairah
menolak. Darren benar-benar tidak tahu mahu berbuat apa
lagi. Namun, jauh di sudut hati dia berterima kasih. Cukup
setakat gadis itu memberi reaksi positif apabila sudi bertukar
nombor giliran berjumpa doktor.
Humairah berdeham perlahan. Teringat ugutan
lelaki itu di kompleks sukan awal pagi tadi.
“Saya minta maaf dengan kelakuan saya hari tu. Saya
terlalu marah bila awak pegang adik saya. Tapi, kalau awak
nak saman jugak, saya sedia.”
Darren tersentak. Dia juga baru teringat perkara
yang sama.
“Saya gurau. Tak ada maksud saya nak saman
sungguh-sungguh. Cik Humairah jangan ambil serius.”
Humairah mengangguk faham. Dia mengambil
sikap berlapang dada dengan gurauan itu.

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN,KELUARAN JULAI 2019 ***


No comments:

Post a Comment