DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 18 August 2019

Veenea - Bab 1

TOYOTA Vellfire putih yang ditinted hampir 80
peratus dengan warna hitam itu meluncur keluar dari pintu
gerbang berpengawal perumahan elit Eco Majesty. Tidak
sampai beberapa minit sahaja kereta itu sudah meluncur ke
arah kotak tol Lebuhraya LEKAS.
“Apa yang lambat sangat ni? SmartTAG pun jam
juga ke?” Puan Lorena di tempat duduk hadapan sudah mula
merungut sekali gus menghentikan suasana senyap sunyi bak
malaikat lalu sejak mereka bertolak tadi.
“Kereta depan tu ada problem sikit cik puan.”
“Problem apa? Duit? Tak ada duit, buat cara tak ada
duit. Ini tidak, ada hati nak lalu lorong SmartTAG!” rungutan
Puan Lorena sudah mula berlarutan. Menyedari suasana itu,
automatik tersungging sedikit hujung bibir Erik dibuatnya.
Tanpa sedar, kepala digeleng perlahan.
Rasanya semua yang berada di dalam kereta itu dah
masak ranum dengan fiil mama. Untuk mama, semua kena
cepat. Punctual. Tak ada tunda-tunda tanpa asbab yang logik
dan sahih. Nak makan kena cepat. Mandi kena cepat. Tapi bila
sampai bab dia nak make-up, semua orang wajib tunggu.
“Udin, kamu honlah sikit!”
“Tak sempat cik puan. Kereta depan dah hon dulu,”
balas Udin dengan sengih menyeringai.
“Setakat hon, mana ada sempat tak sempat. Selagi
tak berjalan lagi, kamu hon ajelah Udin!” giat Puan Lorena,
masih tak puas hati. Kalau sebab kereta di hadapan dia
terlambat sidang akhbar dan terlepas penerbangan, memang
wajib dia cari pemilik kereta di depan itu selepas ini. Saman!
“Susah sangat, biar saya aje yang honkan.” Apai di
tempat duduk sebelah pula menyahut sambil hon ditekan.
Langsung panjang senyum Puan Lorena sampai ke pipi. Puas
hati apabila apa yang disuruh dituruti.
Erik sambung geleng kepala. Sabar itu tak ada dalam
kamus mama untuk orang lain, tapi untuk diri dia sendiri,
orang lain perlu ada. Malas hendak mendengar bebelan
mama yang tidak pernah ada kesudahan itu, sengaja dibuang
pandang ke arah luar tingkap di mana ada van berwarna
oren yang penuh dengan kanak-kanak beruniform sekolah
berhenti sama di sebelah MPV mereka.
Telatah penumpangnya, mencuri perhatian Erik
biarpun di balik kaca mata hitamnya. Macam-macam ragam,
macam-macam gaya. Yang duduk di barisan belakang tengah
asyik berjoget-joget. Yang di barisan kedua dari belakang
pula duk sibuk keluarkan kepala melalui tingkap sambil buat
gaya Tarzan. Yang duduk sama baris dengannya pula sibuk
buat memek muka tanpa menyedari yang gelagat mereka itu
sedang diperhatikan.
Tanpa sedar, senyum Erik sudah terlukis sama
sambil mata terus menerus memerhati. Lucu! Macam-macam
hal budak-budak ni. Mesti seronok dapat pergi sekolah
ramai-ramai dengan kawan. Tak seperti dia yang pergi dan
balik dihantar oleh Abang Udin hingga ke depan pintu kelas.
Kawan-kawan pula rata-ratanya berbangsa lain.
“Udin, bila nak jalan ni? I lemaslah tengok gelagat
anak Tarzan dekat sebelah ni!” rungut Puan Lorena lagi.
Kaca mata hitam dipakai. Tubuhnya sengaja disengetkan
membelakangi tingkap. Dalam kepala duk mencongak tahap
gelap mana lagi cermin tinted yang boleh dipasang supaya
tidak perlu lagi melihat adegan-adegan sebegitu.
“Tarzan? Are you talking about me?” soal Rayyan
yang tadi khusyuk menaip sesuatu di Notenya.
Erik sudah gelak mengekek di belakang. Mata
kuyunya sedikit mengecil apabila dia mula tertawa. Sempat
juga dia menoleh ke arah Eril di sebelahnya yang sedang
khusyuk melayan iPadnya sejak tadi.
Heh, itu kalau bukan WeChat dengan geng-geng
gamers dia, tentu-tentu duk live dekat Instagram tak
sudah-sudah. Dari tadi duk pandang ke luar tingkap, pakai
Ray-Ban lepas tu mulut muncung gaya macam ramai sangat
viewernya.
“Not youlah sayang. Ni, van sekolah sebelah ni. Anak
siapa entah duk terjelir-jelir lidah dekat I. Kalaulah they all
tahu I ni siapa... Mama papa diaorang tu mesti peminat filem
I, kan sayang?”
“Ah, I thought you’re talking about me,” sahut
Rayyan sambil menyambung kerjanya. Langsung tak terkutik
dek isu anak Tarzan tadi.
“Dear... kalau you jadi Tarzan, I sanggup jadi
Janenya.”
“Haah. Eril dengan Erik pula sanggup jadi anak-anak
Tarzannya,” sahut Eril dari belakang sambil ketawa mengekek.
“Husy. Eril, jangan cakap macam tu! Eril dengan
Erik lain. Anak mama semua behave. Budak baik. Haaa...
sekarang baru Erik faham kan kenapa selama ni mama tak
bagi Erik dengan Eril pergi sekolah macam anak orang biasa?
Haaaa...sebab inilah. Tu... tengok tu. Yang sorang tu tak
habis-habis jelir lidah. Siap kembang-kembangkan hidung
lagi. Hesy... pengotor! Oh God! Tengok tu. Dia korek hidung
letak dekat cermin van!”
“Maa... budak lagi kan. Biasalah...” balas Erik, acuh
tak acuh.
“Dari budaklah kena diasuh Erik. Dah besar tua
bangka macam Udin dengan Apai ni tak ada guna dah nak
diasuh.”
“Errr... cik puan, saya pun masuk dalam ini cerita
ke?” celah Udin yang sedang memandu. Apai di sebelahnya
sudah tersengih-sengih.
“Sibuklah kamu tu. Cepatlah jalan!”
“Ma, bangka tu apa? Adik tiri ungka ke?” soal Eril,
polos.
Langsung pecah tawa Udin dan Apai. Erik pula
dah tersengih-sengih sendiri melihat wajah mamanya yang
terkulat-kulat cuba mengatur ayat.
“Aaaa... yeahh. Sort of. Nanti singgah zoo, Eril
interviewlah ungka tu ya. Lepas tu beritahu mama,” balas
Puan Lorena sebelum beria-ia menatal skrin telefon pintarnya.
Erik masih tersenyum melihatkan gelagat
pelajar-pelajar di dalam van sekolah yang makin lama makin
ditinggalkan di belakang. Tanpa sedar tangan kanannya
melambai perlahan dengan rasa yang berbekas. Kalaulah
masa boleh diputar kembali... Dan kalaulah dia bukan anak
mama...
“Nanti bila Erik dah jadi ayah, Erik akan faham
maksud mama,” ulas Puan Lorena mengakhiri isu Tarzan tadi
sebelum telinganya dilekapkan dengan ear phone. Irama lagu
Mirae mula kedengaran. Sengaja lagu itu diputarkan, sekadar
mengambil mood. Skrip di sebelahnya langsung dicapai.
Terkumat-kamit mulutnya menyebut beberapa dialog yang
tertera di atasnya.
“Ayah? I'm too young ma. Belajar pun tak habis lagi,”
bisik Erik perlahan sambil memejamkan matanya, mencari
tenang yang sedikit terusik dengan pesanan penaja mamanya
yang tidak berapa relevan baginya.
“Too young? Kalau kau kahwin esok lusa, lagi 9
bulan dah boleh ada anak tau!” usik Eril yang menyikunya
dari sisi.
Perlahan-lahan mata Erik terbuka sambil kening
berkerut, matanya tajam menjeling Eril dari balik kaca mata
hitamnya.
“I'm not marrying anybody... except her.”
Eril tergelak lepas sambil mengunyah gula-gula
getah yang baru sahaja dibaling masuk ke dalam mulutnya
dengan penuh gaya.
“Masalahnya, wujud ke ‘her’ tu? Heh?”
Kali ini Erik hanya melemparkan senyum sambil
membuang pandangan semula ke arah luar tingkap MPV itu.
Kalau jodoh, pasti Allah temukan!

No comments:

Post a Comment