ADA dalam 20 minit dia mengunyah gula-gula
getah, akhirnya bagasinya muncul juga di hadapannya
selepas roller itu dua tiga kali pusing menayang bagasi yang
sama tiba. Sepenuh tenaga dua beg yang disusun berturutan
itu diangkat ke atas troli miliknya. Boleh tahan berat juga.
Maklumlah, 4 tahun punya barang. Itu pun banyak baju-baju
T-shirt yang elok lagi disedekahkan aje kepada junior yang
masih tinggal di rumah sewa. Selebihnya diletakkan di tong
charity.
Mata bulatnya menerawang ke sekeliling kawasan
ketibaan itu. Bertahun lama tak balik ke Malaysia, rasa asing
pula.
Urghhh Vee, statement poyo tak hengat! Baru
balik dari Alaska ke apa? 4 tahun aje pun, bukan 14 tahun.
Hakikatnya, 4 tahun di bumi Para Para Sakura itu, walau
seorang pun mamat Jepun tak sempat dia curi hatinya.
Setakat teman tapi mesra tu, adalah. Itu pun mesra bersebab.
Nak tiru laporan makmal dia. Hampeh!
Sambil menolak troli, sebelah tangan lagi menyeluk
poket seluar Capri paras lututnya sebelum keningnya
berkerut panjang. Langkah dihentikan seketika. Tak cukup
tangan kanan, tangan kiri pula menyeluk poket sebelah lagi.
Tak ada juga. Poket belakang seluar? Pun tak ada. Ah, sudah!
Beg galas yang disandang dibawa ke depan. Semua
ceruk poket beg diseluk. Pun tak ada!
‘Biar betik Veenea oi! Benda paling penting abad
ini merangkap nyawa kedua hilang dari radar. Merana jiwa!
Agak-agak, dalam beg baju ada tak? Ah, beg ni memang tak
diusik langsung sepanjang layover dekat Tokyo semalam. Beg
sandang ni aje yang merata aku bawa. Maknanya? Mana pergi
telefon ni? Adoiiiii!!!!’
Rambut paras dada yang diikat separuh diurut-urut
perlahan.
‘Think Vee. Think. Kat mana agaknya kawasan yang
mungkin aku sorok telefon selain backpack? Di mana? Dekat
mana? Poket jaket?’ Laju tangannya menyeluk poket jaket.
Tak ada juga! Okey. Sekian. Tutup cerita. Tamatlah
riwayatnya tapi entah di mana. Vee tersandar sekejap di
dinding kedai menjual coklat. Bibir diketap sambil mata ligat
memerhati.
Nafas ditarik dalam-dalam supaya tidak panik.
Rasanya dia sudah tahu di mana telefonnya itu. Di kedai
minyak wangi Narita Airport! Ya, di situlah telefon bimbitnya
bersemadi. Duk kalut sangat nak membayar sebab nak kejar
masa sebelum gate tutup.
“Macam mana ni?” rungut Vee perlahan. Troli ditolak
perlahan menuju ke arah luar ruangan itu tanpa arah tuju.
“Sedihnyalah haih. Balik tak bersambut, telefon
hilang. Macam mana nak contact mak ni?” gumam Vee
sendirian sebelum langkahnya terhenti. Ada kerusi kosong
di tepi troli, langsung punggung dilabuh perlahan. Dompet
dikeluarkan sambil mata wang yen diperhatikan.
1000 yen. Ini saja yang tinggal selepas dia lupa
daratan sekejap sewaktu di Narita Airport semalam. Beria-ia
menilik minyak wangi, kesudahannya nak makan pun tak
cukup duit. Nasib baik dalam flight ada makanan. 1000 yen,
berapa ya duit Malaysia sekarang? Agak-agak telefon awam
wujud lagi tak untuk dia call mak bertanyakan alamat?
Kenapalah sebelum ni tak terlintas dekat fikirannya untuk
mencatat alamat itu di dalam buku nota? Ah, itulah manusia
zaman sekarang. Semua nak bergantung pada telefon bimbit.
Kesudahannya kalau dah hilang macam ni, tak ke haru?
Sekilas mata Vee terpandangkan telefon bimbit yang
dicas terletak elok di kerusi berhampiran dia duduk. Kosong
di sekelilingnya. Beg tak ada, orang pun tak ada.
Hmmmm... agak-agak kalau dia pinjam kredit orang
tu untuk call mak, aci tak? Senyum Vee dah panjang sampai
ke telinga. ‘Bijak kau Vee. Bijak! Why pay more?’
Laju saja buku nota hikmat sebesar buku 555
dikeluarkan dari beg galasnya. Tertera nombor telefon mak di
dalamnya. Mujurlah bab nombor telefon ni dia masih ada sifat
jumud dan oldschool yang ditanam dalam dirinya selepas kes
hilang telefon di stesen kereta api; semasa bandar Tokyo buat
drill serangan misil dari Korea Utara secara tiba-tiba. Ha,
selepas daripada itu, setiap nombor telefon dicatat.
Tidak mahu membuang masa dan peluang yang
ada, dengan lagak biasa tidak mahu ditangkap curi-curi
meminjam telefon siapa entah, laju saja nombor mak didail.
“Assalamualaikum mak. Mak! Ini Vee. Haah. Vee
dah sampai. Telefon Vee terhilanglah mak. Mak bagi location
dekat telefon ni boleh? Ya... okey. Cepat ya mak. Sekarang.
Okey.”
Vee tarik nafas lega. Laju saja telefon bimbit tadi
diletakkan semula di atas kerusi sambil sesekali mata
dikerling kalau-kalau ada pesanan WhatsApp masuk. Tapi,
tidaklah lega mana apabila dia menoleh untuk kali yang yang
kedua, terdapat dua lelaki berpakaian ala-ala pembuli jalan
raya sedang elok berpeluk tubuh di sebelah kerusi itu sambil
memandangnya dengan wajah serius.
Vee menayang sengih sambil akal berkira-kira
tindakan selanjutnya yang harus dia ambil.
‘Alamak! Macam mana ni? Silap pinjam phone
ke apa? Nak blah ke atau... eh... tak boleh! Mak nak share
location, kan? Kalau lari sekarang, nak kena call mak lagi
lepas ni.’
“Errrr... saya pinjam kejap, boleh kan?” beritahu Vee
perlahan dengan sengihan yang dipaksa.
“Apa pinjam-pinjam?”
“Kalau tak boleh pinjam... lariiii!!!” jerit Vee sambil
memecut sekuat hati.
No comments:
Post a Comment