DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 18 August 2019

My Zaujah Humairah - Bab 8

“ASSALAMUALAIKUM.” Umar hulur tangan,
bersalam dengan dua pemuda yang duduk di meja kaunter.
“Waalaikumussalam.” Mereka menjawab serentak.
Masing-masing nampak segan melihat penampilan Umar.
Lelaki itu berjubah putih dan berserban bagai.
Tambah pula, gadis yang memukul bos mereka turut
berdiri di sebelah lelaki itu. Lagi mereka bertambah malu
mengingati kecuaian semalam. Duit gadis itu diambil, tetapi
telefonnya tidak diberikan.
Darren cuma memerhati dan meninjau keadaan.
Menunggu dan bersedia jika gadis itu mahu memukulnya kali
kedua. Manalah tahu tiba-tiba pula gadis itu mengamuk atas
sebab tidak berpuas hati kerana gagal membawa balik telefon
yang baru dibeli.
“Semalam kakak saya ada beli telefon tapi dia tak
sempat nak ambil. Nak tunjuk bukti pembelian, dia tak ada
resit. Jadi, kami datang sebab nak minta tuan kedai tolak
ansur supaya dapat selesaikan masalah kakak saya dengan
baik.”
“Ehem.” Darren berdeham pendek lalu melangkah
ke hadapan dan bertentang dengan Umar. Tangan dihulur
tanpa memperkenalkan namanya.
“Saya tuan kedai. Kalau tak ada bukti, tak apalah.
Pekerja-pekerja saya yang cuai.” Dia menjeling Fazli dan
Iman. Masing-masing tunduk menikus. Langsung tidak
berani angkat muka.
Umar tersenyum senang. Gembira mendengar
jaminan diberi. Humairah pula menarik nafas seketika.
Berasa lega kerana pemilik kedai memudahkan urusannya.
Lelaki itu mempercayai mereka. Bukan mudah mahu
meyakinkan seorang penjual dalam keadaan mereka tidak ada
bukti pembelian. Apatah lagi melibatkan telefon bimbit yang
nilainya ratusan ringgit.
“Fazli, ambil bungkusan semalam dan bagi pada
cik...” Darren menunjuk ke arah gadis yang namanya tidak
diketahui.
Lama pandangannya melekat pada wajah semula jadi
yang nampak bersih tanpa solekan itu. Bibir pula tidak dioles
dengan sebarang gincu. Kedua-dua pipi kemerah-merahan.
Alis matanya panjang dan melentik. Keningnya agak tebal
tetapi nampak elok terukir dan tidak berselerak. Kening
asli yang tidak dicukur atau dilukis dengan sengaja. Darren
terleka sebentar sebelum tersedar tingkahnya sudah terlajak.
“Humairah.” Spontan dia memperkenalkan diri.
Langkah diundur setapak lalu perlahan dia berganjak di
belakang Umar. Tidak selesa apabila dipandang dan direnung
lelaki asing.
“Ya, Cik Humairah.” Darren senyum nipis sambil
garu belakang telinga kiri. Kelakuan Humairah agak pelik
di matanya. Gadis itu seperti takut-takut dengan orang yang
tidak dikenali.
Fazli meminta diri untuk mengambil bungkusan
dimaksudkan. Dia muncul semula dan menyerahkan
bungkusan itu kepada Humairah.
Umar dan Humairah terpinga. Hairan melihat
bungkusan yang dibalut kertas hadiah. Siap diikatkan reben
berwarna merah terang. Namun, perasaan aneh itu tidak
disuarakan. Hanya ucapan terima kasih yang meniti di bibir
Humairah.
Melihat reaksi Humairah, Darren bersuara perlahan,
“Saya minta maaf pasal semalam. Untuk bayar balik tuduhan
yang saya buat, apa kata kalau saya belanja Encik Umar dan
Cik Humairah makan?”
Umar berpaling memandang kakaknya. Mahu
melihat reaksi Humairah apabila mendengar jemputan itu.
Jelas, kakaknya menggeleng. Menandakan penolakan.
“Maaf. Kami tak boleh terima. Cukuplah bila encik
percayakan kami. Walau apa pun, terima kasih banyak-banyak.
Mungkin lain kali.” Umar menolak dengan cara baik.
Darren angkat kening. Perlahan bahunya dijongket
sejurus menerima keputusan Umar.
“Oh... okey. Tak apa. Maybe next time kan, Cik
Humairah?” Soalan itu sengaja diajukan kepada Humairah
yang cuma tahu membisu. Spontan hatinya tertarik untuk
mendengar jawapan si gadis. Susah benar suara gadis itu mahu
keluar. Namun, jawapan Humairah agak menghampakan
dia. Gadis itu menggeleng cuma. Tiada ‘lain kali’, tiada ‘next
time’. Juga langsung tidak bersuara.
Selesai urusan, Humairah dan Umar terus pulang.

SEJURUS MASUK ke bilik, Humairah duduk berehat di
tepi katil. Bungkusan cantik yang diletak atas riba, menjadi
perhatian seketika. Rasa pelik menjengah ketika pembalutnya
dikoyakkan.
Lagi bertambah aneh, tertera ‘iPhone 7 Red
Limited Edition’ di atas kotak yang baru saja dikoyakkan
bungkusannya. Mulutnya membulat. Tidak percaya dengan
apa yang dilihat. Air liurnya ditelan laju. Dada diurut sambil
beristighfar panjang saat membuka kotak tersebut. Tidak
berfikir panjang, kotak itu segera dibawa keluar. Dia mahu
tunjukkan kepada Umar.
Di dapur, Umar sedang duduk bersila sambil makan
nasi. Sengaja dia duduk di bawah dan tidak menggunakan
meja makan. Dia lebih selesa menjamah makanan dengan
cara itu.
Suapannya terhenti apabila kakak sulungnya duduk
di sebelah. Dahinya berkerut ketika Humairah meletakkan
kotak telefon di hadapan pinggannya.
“Akak beli iPhone? Banyak duit akak. Umar ingatkan
akak beli telefon biasa.”
“Diaorang dah tersalah ni. Akak bayar RM500 aje.
Takkanlah dapat iPhone? Limited edition pulak tu.”
Umar menggaru kepala. Tidak faham dengan situasi
yang berlaku. Sungguh, dia benar-benar keliru. Nampaknya,
masalah Humairah tidak sepenuhnya selesai. Timbul pula
masalah lain yang buat dia bertambah pelik.
“Umar tolong call budak lelaki yang kerja kat kedai
tu, boleh? Beritahu diaorang dah tersalah bagi handphone. Ini
kad yang ada nombor telefon kedai dan nombor handphone.
Akak terjumpa dalam kotak ni tadi. Tapi tak pastilah nombor
handphone tu siapa punya. Mungkin bos diaorang.”
Humairah mengharapkan bantuan adiknya sekali
lagi. Untuk selesaikan sendiri, dia berasa segan mahu
berurusan dengan tiga orang lelaki itu lagi. Cukuplah hanya
sekali dua. Tidak perlu kali ketiga.
“Umar habiskan makan dulu. Lepas tu baru
Umar call.” Setuju Umar mahu membantu. Sebagai adik
dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, dia berasa
bertanggungjawab memberi perlindungan atau apa saja
pertolongan sekiranya kakak dan adik-adiknya perlukan.
Humairah senyum lebar. Berasa berterima kasih
kepada adiknya yang banyak menolong. Kalau perkara ini
sampai ke pengetahuan Sofiah dan Aisyah, tentu mereka
melonjak riang. Mana tidaknya, orang dah tersilap bagi
iPhone. Manalah tak gembira kalau budak-budak itu tahu?
Budaklah katakan. Masih tidak mampu berfikir secara
matang.
Kalau betul ada kesilapan yang berlaku, adalah
wajar untuk dibetulkan semula. Bukannya gembira dan
membiarkan saja. Itu sangat tidak patut.
Selesai makan, Umar segera membuat panggilan
pada nombor yang tertera di atas kad. Humairah di tempat
duduk, resah menanti panggilan adiknya dijawab. Dari jauh
dia tidak dapat mendengar dengan jelas. Cuma sesekali dia
melihat adiknya tersenyum dan mengangguk berulang-ulang.
Selesai bercakap di talian, Umar mendekati kakaknya.
“Diaorang kata, tak ada yang silap. Bos diaorang
memang sengaja bagi iPhone tu pada akak.”
“Apa???” Humairah terkejut dan terduduk di kerusi
ruang tamu. Bibir bawah digigit perlahan-lahan. Lantas
mendongak memandang adiknya.
“Tapi, untuk apa dia bagi telefon mahal macam tu
pada akak?”
“Katanya nak tebus kesalahan.”
“Itu aje alasannya?”
“Itulah apa yang diaorang cakap dalam telefon tadi.”
Humairah menggeleng. Bagaikan tidak mahu
menerima alasan diberikan pemilik kedai telefon berkenaan.
“Akak tak boleh terima walau apa pun sebabnya.
Cukup setakat dia dah minta maaf pada akak. Tak perlu nak
tebus kesalahan dengan barang.”
“Kalau akak kata macam tu, apa yang akak nak suruh
Umar buat?”
“Pulangkan.”
“Telefon ni?” Umar mengambil kotak dari tangan
kakaknya.
“Ya. Pulangkan telefon tu.”
“Lepas tu?”
“Minta balik telefon sebenar dengan harga yang akak
dah bayar.”
Umar mengeluh pendek. Dia mengangguk dan
bersetuju mengikut rentak dan cara Humairah. Faham sangat
pendirian kakaknya. Bukan boleh dibuat sembarangan.

HUMAIRAH TENANG menunggu kepulangan adik lelakinya.
Hampir satu jam berlalu, barulah enjin kereta Umar
kedengaran.
Umar yang baru naik ke rumah, tergeleng-geleng
dan tersenyum melihat tingkah kakaknya. Tentu Humairah
tidak senang duduk dari tadi.
“Macam mana? Diaorang ada bagi tak telefon yang
akak beli semalam?” tanya Humairah dengan rasa tidak sabar.
Tidak sempat adiknya mahu duduk di kerusi.
Umar hulurkan sebungkus plastik putih. Dia
mengangguk.
“Ada. Ini hah... tapi, Umar tengok muka tuan kedai
tu macam tak puas hati. Nampak macam marah pulak,”
beritahunya sambil terbayang semula reaksi wajah pemilik
kedai telefon yang tidak diketahui namanya.
“Kenapa dia nak marah? Hairan...” Humairah
kerutkan muka. Pelik dengan apa yang disuarakan adiknya.
“Umar pun tak faham. Tapi Umar rasa dia kecik hati
aje tu. Tak ada apa-apalah. Dah, akak jangan fikir lagi. Pergi
buat kerja akak. Kalau nak minta tolong, nanti akak panggil
Umar.”
“Okey. Terima kasih ya, Umar.”
“Sama-sama,” balas Umar kemudiannya terus masuk
ke bilik.
Humairah tersenyum puas hati apabila telefon yang
dibayar dengan harga sebenar, kini menjadi miliknya. Plastik
putih dibawa masuk. Ceria menghiasi wajahnya tika itu. Ada
banyak misi mahu dilakukan malam ini.
Selesai solat maghrib, dia menghabiskan masa
selama sejam di atas sejadah. Dalam tempoh itu, al-Quran
dibaca dan dihafalnya semula. Jika tidak dibuat latihan, dia
bimbang kalau tiba-tiba boleh terlupa. Tetapi setakat hari ini,
ingatannya masih baik.
Telekung disimpan bersama sejadah. Perlahan dia
bangkit dan menuju ke arah meja kecil berhampiran katil.
Seketika pandangannya melekat pada plastik putih berisi
kotak telefon bimbit. Kotak itu dikeluarkan lalu dibawa ke
katil.
Mulutnya melantun bacaan bismillah sebelum
membuka kotak berkenaan. Sehelai kertas berlipat dua jatuh
ke riba. Kertas itu diambil lalu dibuka lipatannya.

Kepada gadis sombong,
Tak baik awak tolak pemberian orang.
Awak memang gadis pelik. Orang lain
berebut-rebut nak iPhone percuma.
Tapi awak???
Saya takkan jual telefon ni pada orang
lain.
Ia tetap milik awak. Untuk sementara,
saya simpan dulu. Simpan sebagai
sejarah!
YB,
Darren Tan
(YB tu bukan YANG BENAR.
Tapi, YANG BENGANG)


“Astaghfirullahalazim...” Humairah mengurut
dadanya perlahan. Sepanjang usia 27 tahun, belum pernah
sekalipun dia dapat nota marah-marah begini.
Teruk sangatkah apa yang dia buat? Sekadar menolak
pemberian orang dengan alasan masuk akal, takkan pemilik
kedai telefon itu tidak boleh terima?
Dahi diusap berkali-kali. Nota itu dilipat semula dan
disimpan ke dalam laci. Tak apalah. Biar dikatakan sombong.
Asalkan tidak dianggap terhegeh-hegeh kerana mahukan
sesuatu. Apatah lagi iPhone semahal itu.
Telefon yang baru dibeli, diambil dan diperhatikan
sesaat dua sebelum dia menekan butang power. Sebelum itu,
pandangannya tertancap pada satu objek. Dia tercengang dan
berwajah ceria kemudian. Objek dimaksudkan adalah inhaler,
ubat sedut miliknya.
“Syukurnya, ya Allah...” Inhaler dibawa rapat ke
dada. Tidak perlu dia beli yang baharu di farmasi.
Namun, rasa gembiranya tidak lama apabila melihat
satu lagi kertas putih dilipat dua yang dilekatkan bersama
inhaler tersebut. Kertas itu ditanggalkan pelekatnya lalu
dibuka dan dibaca perlahan.

Orang sakit tak boleh sombong. Nanti
tak ada orang nak tolong. Jaga ubat
sedut awak baik-baik. Jangan cuai
lagi...
YANG TOLONG KUTIP UBAT AWAK
ATAS LANTAI SIMEN,
Darren Tan.


Mata Humairah mengecil. Bait-bait ayat yang
disusun si tukang tulis, buat dia rasa tersindir. Apabila dibaca,
sinis sekali bunyi ayat-ayat itu di telinganya. Namun, dia tidak
mahu ambil peduli. Biarlah lelaki itu mahu menganggap
apa sekalipun. Nak dikatakan dia sombong? Angkuh? Ego?
Humairah tidak kisah.
Cuma Sang Pencipta dan dia saja yang kenal siapa
dirinya. Dia bukan sombong. Dia cuma menjaga maruah dan
harga diri.

No comments:

Post a Comment