DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 18 August 2019

Veenea - Bab 3

ANAS baru saja keluar dari tandas sebelum
matanya tertancap pada troli berisi begnya yang terbiar tidak
berjaga. Matanya langsung terarah ke sekeliling kawasan itu.
Tak ada tanda bayang mereka berdua. Ke mana agaknya?
Langkah diatur perlahan menghampiri tempat
duduknya sebelum ke tandas tadi. Matanya terhenti berkerdip
buat seketika. ‘Wayar aje? Dah tercabut pula tu! Mana pergi
telefon aku? Alahai... mesti dah kena songlap ni!’
Troli langsung ditolak perlahan ke arah bilik yang
dimaklumkan sebentar tadi. Ramai pula yang menunggu di
luar. Malas pula rasanya nak join the crowd. Dahlah telefon
pun entah ke mana perginya. Agak-agak kalau troli tinggal di
depan bilik ni, kena kebas juga tak?
Dalam teragak-agak separuh yakin, Anas
meninggalkan juga troli itu di situ sebelum menuju ke arah
kedai kopi berhampiran. Untuk hari ini dia belum dapat lagi
jumlah kafein yang diperlukan. Wajib teguk secawan kalau
tidak mahu lemau seharian. Itu vitamin dia selama ini.
“Eh, bos! Bos ada sini? Kejap ya! Ada hal!” tegur
seseorang sewaktu dia mahu membayar kopi mocha karamel
di tangannya.
“Eh, korang nak pergi mana tu?” balasnya sambil
mata memerhati langkah mereka berdua menuruni eskalator
ke tingkat bawah.
“Bos tunggu aje situ. Jangan pergi mana-mana.”
“Masalahnya...” Kata-kata Anas terhenti apabila
kelibat kedua-duanya hilang ke tingkat bawah. Tanpa sedar,
dia turut sama melangkah ke bawah dengan langkah diatur
lebih laju dari tadi.
“Budak-budak ni main kejar-kejar ke apa? Suka
hati aje tinggalkan troli kat atas tadi,” bebel Anas sambil
melajukan lagi langkah. Rasa teruja pula hendak tahu apakah
urusan yang penting sangat sampai tak cukup kaki mereka
berdua melangkah.

ERIK KELUAR dari ruangan surau sambil menarik nafas
lega. Dah settle solat, baru senang dan lapang rasa hati.
Mama nak ke mana pun lepas ni, tak adalah rasa berat saja
hatinya hendak mengikut. Mama tu bukan boleh. Ikut suka
hati saja. Kut tiba-tiba rasa nak mengajak ke Dubai, zassss.
Flight terdekat dia tempah. Erik dah picit dahi sendiri apabila
memikirkan fiil mamanya yang susah nak dibendung lagi.
Makin berusia, makin panjang langkahnya, sesuka hati dia
dan semua orang hanya perlu kata ya.
Poket jaketnya diseluk sebelum Ray-Ban
disarungkan. Sekilas jam di tangan dikerling. Dah dekat
pukul 6 petang. Agak-agak press conference mama dengan
papa dah settle ke belum ya? Seingatnya tadi, Eril kata flight
mereka pukul 8. Ke mana? Itu Eril sendiri tidak berapa pasti
katanya.
“Aduh!” rungut Erik sambil menggosok perlahan
bahu dan punggungnya yang terasa berbisa.
“Awak ni buta ke? Main jalan aje! Tak nampak ke
orang tengah lari?”
Mata Erik membulat sambil dia dibantu berdiri dek
Udin dan Apai yang entah bila ada sama. ‘Aku buta? Siapa
yang rempuh siapa tadi tu?’
“Cik... cik yang rempuh bos saya. Apa hal pula bos
saya yang kena tuduh buta?” tukas Apai, tak puas hati.
“Orang buta ajelah yang pakai cermin mata hitam
dalam bangunan!”
“What?” Laju saja Ray-Bannya ditanggalkan sebelum
matanya membulat merenung ke wajah bujur sirih itu yang
sesekali kelihatan meliar matanya.
“Sekarang ni cik yang salah sebab langgar bos kami.
Maaf tak ada, boleh pula tuduh bos kami buta. Ini KLIA cik,
bukan Stadium Bukit Jalil. Rasanya cik salah tempat nak
training Sukan Sea ni.”
“Apa awak cakap? Sukan Sea? Hesy... bos? Ni bos
korang? Tuan punya telefon tu?” soal gadis itu sambil
memandang ke arah lelaki yang dirempuhnya tadi, dari atas
ke bawah berkali-kali. Setakat T-shirt lengan panjang. Mafela
lilit kat leher, konon macam duk kat negara salji, seluar
senteng ni dipanggil bos? Haih!
“Ini...” kata-kata gadis itu terhenti sebelum dia
berpaling ke arah satu sudut.
“Eh, kejap! Apai, bukan kita tengah kejar dia ke? Ni
apa kes bersoal jawab macam sesi temu ramah pulak ni?”
“Lariiii!!!” jerit gadis itu tiba-tiba sebelum kelibatnya
hilang serta-merta.
“Perempuan gila! Dekat KLIA dia boleh ajak kita
main kejar-kejar? Jom kita kejar dia balik wei! Dia bawa
lari lagi telefon tu!” sahut Udin sambil membetulkan ikatan
mafela di leher Erik yang sedikit teralih.
“Kejaplah. Kita kena tahu dulu keadaan bos. Kalau
injured, kau sanggup menjawab dengan Puan Lorena nanti
ke? Bos, bos okey tak? Ada luka mana-mana?”
“Nope. I’m okay. Sebenarnya apa yang dah jadi ni?”
“Nanti kita story bos. Bos balik bilik tadi dulu
ya. Kami ada urusan penting nak diuruskan. Settle nanti
kami jumpa bos dekat sana. Moh kejar!!!” jerit Udin penuh
semangat.
Walaupun tidak faham apa yang sedang berlaku,
bibir Erik tetap terukir senyum apabila nampak kesungguhan
Udin yang beria-ia berlari menaiki eskalator ke atas.
Macam-macam hal!
Dan baru saja langkah mahu diatur ke arah
bertentangan, kelibat seseorang yang sedang melangkah
dengan kopi di tangan serta kaca mata hitam langsung
mematikan langkahnya seketika. Senyum terukir lagi, tapi
hanya sedikit. Di hujung-hujung bibir. Jelasnya, tak ikhlas
mana. Perlahan-lahan jari telunjuknya menunjuk ke arah
atas sebelum lelaki di hadapannya hanya mengangguk
sebagai respons.
Erik mengeluh perlahan sambil terus melangkah
melepasinya tanpa memandang. ‘Mimpi buruk kau bakal
bermula Erik. Mulai sekarang!’

No comments:

Post a Comment