DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 18 August 2019

My Zaujah Humairah - Bab 3

BEBERAPA kiriman WhatsApp Jane dibaca
berulang kali. Gadis itu merayu minta disambung kembali
hubungan mereka. Tetapi, dia sudah tidak ada keinginan ke
arah itu. Bagi dia, kalau dah putus maka putuslah.
Darren tidak akan berganjak dari keputusan
yang dibuat. Letih menjadi penunggu setia. Selama Jane
menyambung pelajaran di luar negara dan kembali semula ke
Malaysia, selama itu dia menanti kepulangan gadis itu untuk
melamar.
Namun, setelah disuarakan hasrat hati dan meminta
Jane memeluk Islam, mentah-mentah gadis itu menolak atas
alasan tidak berminat. Sedangkan dahulu, Jane yang berjanji
akan turut apa saja demi cinta. Tetapi Jane berubah pendirian.
Jelas, penantiannya cuma sia-sia.
Kesan perpisahan itu, Darren lebih banyak
mendiamkan diri. Jarang berbual dan lebih suka duduk
bersendirian. Fokus pada perniagaan turut terjejas.
Puan Irma menyedari perubahan Darren sehingga
dia disapa kebimbangan.
“Ada tak abang bercakap dengan anak kita malam
tadi?” soalnya kepada Encik Tan yang tekun menjamah
sarapan.
Mengikut rutin, setiap malam suami dan anaknya
akan bertanyakan soal perniagaan. Walaupun bidang
perniagaan antara bapa dan anak itu berbeza, namun
masing-masing tetap mengambil berat antara satu sama lain.
Encik Tan mengangkat muka memandang isterinya.
Nasi lemak bersama tumis ikan tongkol ditolak perlahan
ke tengah meja. Seperti biasa, masakan Acik Maryam tidak
mengecewakan. Licin satu pinggan.
“Dah hampir seminggu saya tak nampak batang
hidung dia. Apa dah jadi?” Cermin matanya diturunkan
sedikit ke bawah. Wajah isteri diperhatikan. Ada sesuatu yang
berlaku di luar pengetahuannya. Mungkin.
Puan Irma mengeluh sesaat. Tidak tahu bagaimana
mahu memulakan. Darren yang lebih layak bercerita. Bukan
dia.
Melihat reaksi serba salah isterinya, Encik Tan
berdeham keras.
“Selama ni, Darren tak pernah timbulkan masalah.
Dia anak yang baik. Tapi sejak minggu lepas, saya nampak ada
perubahan besar pada dia. Beritahu saya, apa yang berlaku?”
“Darren... dah putuskan hubungan dengan Jane.”
Puan Irma segera menjawab. Tahu suaminya tidak suka
menunggu. Setiap saat amat berharga bagi seorang ahli
korporat.
Mendengar berita itu, Encik Tan menahan nafas
seketika. Dihembus perlahan-lahan dengan reaksi tenang.
Memang itu yang dia harapkan. Gadis liar seperti Jane tidak
sesuai untuk Darren walau pada hakikat itu adalah anak
rakan kongsinya.
“Darren buat keputusan yang betul.”
“Abang tak risau kalau Franklee marah? Jane tu anak
dia. Kalau hubungan abang dan Franklee terjejas disebabkan
perkara ni, nanti apa yang dia akan buat?”
Encik Tan tersenyum nipis menyambut kebimbangan
isterinya. Dia tahu Mr. Franklee seorang yang sangat
profesional. Tidak pernah dicampuradukkan antara masalah
perniagaan dan peribadi.
“Dalam soal tu, awak jangan risau. Saya percaya,
Franklee dan isterinya takkan marah. Nanti saya suruh
Darren bercakap dengan mereka supaya semuanya jelas.
Tentu mereka akan faham.”
“Saya pun harap macam tu. Kita dah lama berkawan
dengan mereka. Saya tak nak mereka bermusuh dengan
kita disebabkan hal anak-anak.” Setuju Puan Irma dengan
cadangan suaminya.
“Tolong panggil Darren. Katakan saya nak jumpa.
Kita tak boleh biarkan dia macam tu.”
Puan Irma berlalu ke tingkat atas. Lima minit
kemudian dia turun bersama Darren.
Dari arah meja makan, Encik Tan nampak wajah
Darren yang tidak bersemangat. Teruk betul apabila anak
terunanya putus cinta. Setia sangat dengan Jane, itulah
jadinya. Dia membebel sekadar di hati.
Tiba di meja makan, perlahan Darren tarik kerusi.
Sementara Puan Irma pula tidak turut serta kerana sengaja
memberi ruang untuk suaminya menasihati anak mereka.
“Macam mana business?” Si bapa mulakan
komunikasi. Lebih cepat dia berbual dengan Darren, lebih
awal dia dapat keluar dari rumah dan terus ke kilang biskut.
“Okey.” Hanya sepatah yang keluar dari mulut
Darren. Tidak rancak seperti kebiasaan apabila disentuh soal
perniagaan.
“Okey yang macam mana? Lebih menguntungkan
atau hanya mendatar saja?”
“Meningkat sikit.”
“Berapa peratus?”
Bibirnya diketap perlahan. Kiraan secara tepat,
Darren tidak tahu kerana sejak kebelakangan ini dia jarang
ambil peduli mengenai laporan modal dan keuntungan yang
die-mel oleh pembantunya. Lagi pula, sudah seminggu dia
tidak menjenguk premis perniagaannya. Seratus peratus
diharapkan kepada para pekerjanya sahaja.
Melihat ada kelainan pada diri anaknya, Encik Tan
mengeluh panjang. Darren menunjukkan sikap yang tidak
sepatutnya. Itu yang dia tidak suka.
“Dalam business, mana hilangnya semangat anak
daddy? Jangan kerana seorang perempuan, kamu jadi
lemah macam ni. Keturunan kita tak perlukan orang yang
lemah. Nanti kamu akan ketinggalan dalam banyak perkara.
Keturunan kita perlu kekalkan kemajuan. Bukan masih
duduk di tempat yang sama. Kamu faham tu?”
“Faham...” Darren tunduk menekur permukaan
pinggan yang baru diisi Acik Maryam dengan nasi lemak.
“Mulai esok, daddy tak nak tengok muka kamu
moyok macam ni. Daddy bagi peluang cuma hari ni untuk
kamu layan perasaan putus cinta. Esok, tutup buku lama,
buka buku baru. Move on!” tegas Encik Tan.
Duduk dibetulkan. Kata-kata si bapa membuatkan
Darren sedikit gentar. Bukan dia tidak tahu perangai bapanya
kalau sudah keluar suara tinggi.
Perlahan Encik Tan menolak kerusi. Cukup
seringkas itu dia menasihati dan membangkitkan semula
semangat Darren. Selebihnya, pandai-pandailah anaknya
menimbal balik semua perkara. Takkan semuanya nak diajar
dan diingatkan? Lainlah kalau anaknya itu masih remaja.
Pinggan dan cawan dibawa ke dapur sejurus selesai
bersarapan. Tidak perlu menunggu Acik Maryam yang
kemaskan meja makan. Darren boleh buat sendiri. Nasihat
bapanya diterima dengan baik. Walau tidak sepenuhnya
semangat bangkit semula, dia akan cuba perlahan-lahan.

HUMAIRAH MENELITI senarai nama-nama pelajar di dalam
buku rekod. Pen digigit sambil membuat kira-kira.
Sofiah dan Aisyah yang bersantai-santai di atas katil
Humairah, mula memberi tumpuan kepada apa yang si kakak
mereka lakukan. Jelas di wajah Humairah terpamer seribu
satu masalah.
“Akak tengah fikir apa?” Sofiah memulakan
pertanyaan.
“Tak ada apa-apa. Akak tengah buat kira-kira jumlah
pelajar yang ada. Semuanya 25 orang. Target tak sampai lagi.
Sepatutnya madrasah tu boleh muat 50 orang.”
Aisyah ternganga mendengar.
“Kalau nak tambah pelajar, cikgu pun nak kena cari
jugak. Tapi, macam mana nak buat? Siapa yang sanggup kerja
tanpa gaji tetap dan hanya boleh terima sagu hati pada zaman
sekarang ni?” Humairah berdecit perlahan.
Sofiah mengangguk faham. Terlintas buah fikiran
dalam kepalanya saat itu. Namun, dibiarkan dahulu Humairah
selesai bercerita.
“Kebanyakan orang berlumba-lumba nak jadi kaya,
nak pegang jawatan tinggi dan ada pendapatan yang kukuh.
Tapi, akak tak mampu janjikan semua tu pada diaorang.
Orang yang sanggup buat kerja sukarela ni tak ramai. Kalau
dalam seratus orang, adalah seorang.” Humairah menutup
buku lalu menyimpan ke dalam beg.
“Kawan-kawan yang sama belajar dengan akak dulu,
tak ada ke?” Aisyah menyoal. Turut berminat dengan topik
diperkatakan.
“Ada tu memanglah ada. Tapi, kebanyakannya dah
kahwin. Dahlah semuanya duduk jauh-jauh.”
“Hah, apa kata kalau akak buat iklan dalam FB!”
Teruja Aisyah membuat usul.
Sofiah mencebik mendengar cadangan adiknya.
“Kalau nak bagi pendapat, biarlah logik. Akak kita mana ada
FB?”
“Laa, buatlah satu. Bukan susah pun.”
“Nak buat guna apa? Akak bukannya ada smartphone.
Telefon dia cuma boleh buat call dan hantar SMS aje. Apalah
Cah ni.” Sofiah tergeleng-geleng. Cadangan adiknya memang
bagus. Tetapi kakak mereka tidak mempunyai kemudahan
itu. Humairah sangat ketinggalan.
Aisyah garu pipi. Masih mencari idea lain. “Kalau
Cah dan Kak Sofi ada smartphone, boleh kami tolong akak.”
“Dah, jangan fikir nak ada FB. Walid tak benarkan.”
Humairah mencelah dengan memberi peringatan kepada
adik-adiknya.
Masing-masing tunduk mendengar. Sedikit gerun
memikirkan ketegasan bapa mereka. Perlahan-lahan Sofiah
angkat tangan. Syarat meminta izin untuk bercakap.
“Akak kena terangkan pada walid. Kalau kita nak
miliki sesuatu untuk tujuan kebaikan, ia tak salah. Ustaz dan
ustazah kita orang kat sekolah pun semua ada Facebook. Tapi,
diaorang tak gunakan medan sosial tu untuk tujuan lagha.
Diaorang kongsi perkara-perkara yang baik aje.”
Humairah kerutkan kening. Hairan dengan kata-kata
Sofiah.
“Macam mana Sofi tahu? Sofi ada Facebook ke?
Guna komputer kat sekolah atau pergi cybercafe?”
Giliran Aisyah pula angkat tangan. Meminta izin
untuk mencelah.
“Err... sebenarnya, kita orang dah lama ada Facebook.
Tapi, kita orang tak online selalu. Kadang-kadang je. Tu pun
kalau ada peluang guna komputer dan Internet kat sekolah.
Kalau kita orang log in, tak sampai pun sepuluh minit.”
“Cah, Sofi. Kau orang ada minta izin walid tak?”
Humairah bulatkan mata. Tidak menyangka apabila
mendengar pengakuan berani mati si adik bongsu.
Kedua-duanya menggeleng serentak dalam gerakan
perlahan. Tunduk setunduk-tunduknya melihat reaksi sang
kakak.
Nafasnya ditarik perlahan dan cuba bertenang.
Teringat pesanan ibunya semalam. Jangan terlalu berkeras
dengan adik-adik.
“Lepas ni, akak nak kau orang pergi jumpa walid dan
terangkan perkara sebenar. Jangan lupa minta maaf. Lain
kali kalau nak buat perkara yang walid tak suka, Sofi dan
Cah mesti terangkan pada walid supaya dia faham dan boleh
terima alasan kau orang. Jangan buat sorok-sorok.”
“Kita orang minta maaf...” Sofiah hulur tangan.
“Buat apa minta maaf dengan akak? Pergi minta
maaf dengan walid.”
Aisyah menyenggol lengan Sofiah. Meminta Sofiah
menjawab pertanyaan kakak mereka.
“Malam nanti kita orang jumpa walid.” Sofiah
membalas ringkas. Terkulat-kulat dia memandang Humairah.
Aisyah pula perlahan-lahan mengangkat muka.
Dalam kepalanya, masih belum selesai memikirkan jalan agar
impian kakaknya tercapai.
“Bila kita orang jumpa walid nanti, bolehlah kita
orang beritahu walid akak nak minta izin beli smartphone.
Hehe...”
“Bila masa akak kata nak beli smartphone ni? Cah
jangan memandai. Akak tak terfikir nak ada telefon canggih
macam orang lain.”
“Akak belilah. Lepas tu, buat akaun Facebook. Dah
ada FB nanti, boleh terus buat page untuk buat iklan pasal
madrasah. Kalau akak tak pandai buat, Kak Sofi boleh tolong.
Janji ada smartphone. Kalau tak ada, susahlah. Takkan akak
nak pergi cybercafe? Akak pun tak suka tempat macam tu,
kan? Tak pun, akak pinjam laptop Abang Umar.” Aisyah
bersungguh-sungguh mencurahkan idea depan kakaknya.
Harap-harap, terbukalah sedikit minda Humairah yang
selama ini terkurung.
“Bukan akak tak hargai apa yang Sofi dan Cah
cadangkan. Tapi, telefon macam tu mesti mahal. Duit akak
mana cukup. Pasal nak pinjam laptop Umar pulak, akak tak
naklah. Umar banyak kerja dengan laptop dia tu.”
Sofiah dan Aisyah berpandangan sesama sendiri.
Kening mereka turut menari-nari. Nampaknya, usaha
mereka tidak sia-sia. Sudah nampak sedikit minda Humairah
terbuka.
“Tak mahal pun. Insya-Allah, akak mampu. Minggu
lepas kawan Sofi ada beli satu. Telefon yang dia beli tu
harganya cuma RM500 je.”
“Bawah harga RM500 ada tak?” soal Humairah.
Nampak berminat ingin tahu.
“Itu Sofi tak tahu pulak.”
Aisyah tiba-tiba petik jari. “Hah, apa kata kalau kita
pergi bandar esok. Kita cari telefon yang harganya lebih
murah dari RM500 tu. Okey tak?”
“Kalau nak beli telefon, kat pekan tu pun ada. Buat
apa pergi jauh-jauh?” Humairah membantah cadangan
adiknya.
“Alaa... kat pekan tak best. Tak banyak pilihan. Kita
pergi bandarlah. Kat sana lagi banyak pilihan kedai telefon.
Lagipun, boleh jalan-jalan sekali. Please, akak. Kami dah
lama tak pergi bandar. Asyik berkurung kat asrama je...”
rengek Aisyah lalu melentok kepalanya di bahu Humairah.
Melihat si bongsu dengan wajah penuh mengharap,
tiba-tiba Humairah bersimpati.
“Yalah. Kita tunggu walid balik dari masjid. Nanti
akak minta izin.”
“Yeay... seronoknya!” Aisyah menunjukkan
kegembiraan.
“Alhamdulillah. Akhirnya maju jugak pemikiran
akak.” Sengih Sofiah pada kakaknya. Sempat dia mengusik.
“Eh? Akak yang nak beli telefon, kau orang pulak
yang seronok.” Humairah mematikan perbualan lalu
menyuruh adik-adiknya keluar dan mengulang kaji pelajaran.

No comments:

Post a Comment