DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 18 August 2019

My Zaujah Humairah - Bab 4

DARREN menggeliat. Dia tersedar pada jam 5.50
pagi saat telinga menjamah azan dari masjid berhampiran.
Kerutan di dahi dan rengusan perlahan melantun dari
bibirnya. Tangan menarik selimut sehingga menutup
keseluruhan kepala supaya azan yang mengganggu tidurnya
tidak lagi kedengaran.
Hari ini dia mahu ke premis perniagaannya dan akan
memulakan rutin seperti biasa. Arahan bapanya dihadam
sebaik mungkin. Walaupun berat mahu menurut, tetapi dia
tiada pilihan atas ketegasan bapanya itu. Biarlah, akan diikuti
arahan bapanya dengan separuh hati. Separuh lagi masih
melayan perasaan putus cinta.
Tidurnya pagi itu berlanjutan sehingga jam loceng
pada telefon bimbitnya berbunyi tepat jam 8 pagi. Selimut
diselak malas lalu perlahan bergerak turun dari katil. Tuala
diambil dan terus masuk ke bilik air.
Lima belas minit kemudian, Darren mula turun
bersarapan. Di meja makan, hanya tinggal Acik Maryam yang
sibuk mengemas.
“Mana semua orang?” Darren menyoal sambil
menarik kerusi.
Acik Maryam tersenyum menyambut pertanyaan
itu. Anak majikannya ini kalau tidak sampai pada waktunya,
memang tak akan bangun dari tidur.
“Encik dan puan dah pergi ke kilang. Tak sempat
tunggu Darren sarapan sekali.”
Hairan dengan jawapan Acik Maryam, dia garu
kepala. Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas.
“Mummy ikut daddy?”
“Puan bosan agaknya asyik duduk kat rumah.”
Darren menarik cawan. Bersedia menunggu orang
gaji itu tuangkan minuman.
“Darren makanlah. Acik nak solat.”
“Solat apa?” soalnya, sekadar ingin tahu. Hairan
menjengah ruang fikirannya saat itu. Tidak tahu solat apa
yang dimaksudkan Acik Maryam pada waktu begini. Mustahil
subuh pula? Ini sudah jam berapa?
Acik Maryam tersenyum nipis dengan kepala sedikit
menggeleng. Seakan mengerti kedudukan Darren yang serba
serbi cetek ilmunya dalam beragama. Kasihan pun ada. Tetapi
dia siapa mahu menyuarakan rasa simpati? Hanya orang gaji
yang tidak ada pertalian darah dengan keluarga ini.
“Solat duha.”
“Solat duha? Tak pernah saya dengar. Solat apa
tu?” Sesuap rezeki selamat masuk ke mulut sejurus soalan
itu diajukan. Darren pejam mata sesaat, merasai kesedapan
masakan Acik Maryam yang tak boleh dipertikaikan lagi. Dan
sebenarnya, sedang merasai nikmat Tuhan yang tak pernah
disyukuri.
Perlahan Acik Maryam ketap bibir. Tidak tahu dari
mana mahu memulakan. Dia bukan berilmu sangat apabila
Darren melanjutkan pertanyaan. Cukup sekadar yang asas,
bolehlah dia jawab.
“Untuk murah rezeki dan salah satu cara kita
berterima kasih kepada Allah.”
Darren terangguk-angguk. Buat-buat faham dengan
jawapan orang gaji itu. Sarapannya diakhiri dengan meneguk
air Milo suam.
“Acik tak pandai nak terangkan panjang-panjang.
Darren pergilah masjid. Berdamping dengan orang-orang
berilmu. Insya-Allah, selebihnya nanti Darren akan jumpa
sesuatu yang selama ni Darren tak pernah usaha nak cari,”
ujar Acik Maryam seraya beredar meninggalkan ruang
makan. Meninggalkan Darren dengan kata-kata yang buat
anak majikannya itu berfikir. Dia tidak tahu kenapa kata-kata
itu dikeluarkan. Ia terbit secara spontan.
Rasa tersentap dengan kata-kata terakhir Acik
Maryam, dia menyandar di kerusi. Apa yang dia tak usaha nak
cari tu? Apa yang orang gaji itu tahu?
Ah... merepek saja acik ni. Darren merungut dan
menggeleng. Tidak mahu berfikir mencari jawapan pada
persoalan yang ditinggalkan.
Sepasang chopsticks diletakkan ke atas mangkuk
bulat berukuran kecil. Tiada kerajinan pagi ini untuk dia
meletakkan mangkuk itu ke singki. Biar pembantu rumah
yang kemaskan semuanya.
Kerusi ditolak perlahan dan langkah dibawa ke
ruang tamu. Kunci kereta diambil dari kotak simpanan yang
tergantung pada dinding.
Lima belas minit kereta dipandu menuju ke premis
perniagaan, dia meletakkan kereta di ruang parkir yang
dikhaskan untuknya. Ia bukan tempat letak kereta percuma.
Setiap bulan dia membayarnya. Jadi, pemandu-pemandu lain
tidak boleh sewenang-wenang meletakkan kenderaan mereka
di situ.
Darren melangkah masuk. Bunyi muzik latar Spag
Heddy - Pink Koeks Original Mix memenuhi ruang udara
premis perniagaan itu. Mungkin pembantunya yang pasang
bagi menceriakan suasana urusan jual beli dengan pelanggan.
“Hai, bos. Lama tak datang kedai. Apa story ni?”
tegur Fazli, selaku pembantu setia sejak Darren memulakan
perniagaan. Beberapa kotak berisi iPhone keluaran terbaharu
diletakkan di atas meja. Dia duduk dan memulakan tugas
mengisi maklumat berkaitan jenama telefon bimbit itu ke
dalam laptop.
Malas mahu menjawab soalan Fazli, Darren
mengeluh panjang lantas bahunya dijongket perlahan. Buat
mood hilang saja. Sudahlah di rumah tadi Acik Maryam
merosakkan permulaan hari baiknya dengan persoalan yang
mengarut. Sekarang, Fazli pula.
“Stok baru sampai?” tanya Darren sambil merujuk
kepada kotak-kotak telefon bimbit di hadapan Fazli.
“Baru semalam,” jawab Fazli tanpa menoleh. Fokus
hanya diberi pada skrin laptop.
“Semalam sampai, hari ni baru nak buat rekod?”
Tumpuan Fazli beralih apabila suara Darren sedikit
tinggi. Hairan, selalunya majikannya tidak begini.
“Saya minta maaf. Semalam terlupa. Sibuk sangat
uruskan kedai sejak bos tak datang seminggu.” Tenang
Fazli menjawab dengan alasan masuk akal. Memang dia tak
menang tangan uruskan keadaan dengan ketiadaan Darren.
Lebih-lebih lagi dalam suasana ramai pelanggan.
“Kalau saya tak datang, awaklah bos. Berapa kali
saya nak ingatkan? Cubalah belajar jadi majikan. Kalau awak
tak belajar dari sekarang, bila awak nak pandai? Awak jugak
yang beritahu cita-cita awak nak buka kedai macam ni.”
Darren menekan di hujung ayat. Entah kenapa dia jadi pakar
motivasi. Daripada tiada mood disebabkan dirinya belum
stabil akibat putus cinta, terus mood perniagaan masuk
dalam kepala. Cuma entah kenapa, kata-kata Acik Maryam
masih terngiang-ngiang di telinganya.
Sebelum ini, kalau orang gaji itu berbual apa pun, dia
langsung tak ambil peduli. Hanya sesekali melayan perbualan
kosong Acik Maryam di pagi hari, itu memang rutin biasa.
Tetapi pagi ini, sembang Acik Maryam bukan sembang
kosong. Walaupun cukup ringkas kata-kata itu, entah kenapa
ligat pula otaknya berfikir mencari jawapan.
Darren mengeluh kasar. Mood baiknya kini terbang.
Hari ini janganlah ada sesiapa yang datang cari gaduh.

KERETA DIPANDU perlahan menuju ke bandar sejurus
mendapat keizinan daripada walid. Sofiah dan Aisyah nampak
teruja di tempat duduk belakang, membiarkan Humairah
sendirian di tempat duduk pemandu dan tiada teman di
sebelah.
Setiap kali menaiki kereta, mereka lebih senang
berada dalam situasi begitu. Mudah mahu berbual. Tak adalah
kepala salah seorang asyik terteleng-teleng ke belakang.
Humairah pula jarang bercakap. Dia mengeluarkan suara
cuma sesekali. Jadi, dia lebih sesuai dibiarkan memandu
tanpa berbual dengan sesiapa.
“Banyak sangatlah kedai telefon kat sini. Nanti
pening kita nak pilih. Sederet pulak tu,” kata Sofiah sambil
melihat dan meninjau melalui tingkap cermin kereta.
“Yalah. Cah pun fikir sama macam Kak Sofi.
Lagipun, kedai-kedai tu nampak kecil dan sempit. Pelanggan
pulak ramai. Nanti berhimpit. Malulah nak masuk.” Aisyah
sedikit resah di tempat duduk. Harap-harap Humairah tidak
berhenti di hadapan kedai sederet yang dimaksudkan mereka.
Mendengar omelan dan rungutan adik-adiknya,
Humairah tersenyum. Sekilas memandang kedua-duanya
melalui cermin pandang belakang.
“Akak pun tak nak beli telefon kat situ. Nanti kita
cari kedai telefon dalam bangunan besar yang tak bercampur
dengan kedai lain. Tentu ruangnya lebih luas. Senang
dan selesa kita nak pilih-pilih.” Dia memberi usul dan ia
dipersetujui adik-adiknya.
Hampir sepuluh minit dia memandu, bahunya dicuit
Sofiah dari belakang.
“Akak, cuba berhenti kat depan bangunan tu. Kalau
tak silap Sofi, kat situ ada kedai telefon paling besar dalam
bandar ni. Lagipun, bukan setakat telefon aje mereka jual.
Ada laptop, komputer dan servis baiki semua tu.”
“Hah, tentu ada banyak pilihan jenama telefon. Jom
cari parking.” Aisyah mencelah sambil tersengih puas hati.
Humairah garu kepala. Kenderaan terlalu banyak
memenuhi ruang letak kereta yang sedia ada. Bagaikan tiada
satu pun ruang kosong yang tinggal.
“Susah nak dapat parkinglah kat kawasan ni.”
“Kat situ ada.” Tunjuk Sofiah ke arah satu ruang
parkir yang diletakkan tiang dan papan tanda kecil di
tengah-tengahnya.
Humairah memanjangkan leher dan terus
memberhentikan kereta di hadapan ruang parkir yang
ditunjukkan Sofiah. Sesaat pandangannya berpusat ke arah
tiang besi yang bertanda.
“Ini reserved parking. Kita tak boleh letak kereta kat
sini.”
“Kenapa tak boleh?” tanya Aisyah.
“Parking ni orang punya.”
“Laa, bukan ada kereta pun. Kita pindahlah
papan tanda tu letak tepi,” cadang Aisyah dengan idea
kebudak-budakannya.
“Tak baiklah macam tu, Cah. Mungkin tuan dia
keluar sekejap, mana kita tahu kan. Kalau kita parking jugak,
tiba-tiba tuan dia balik, nanti marahlah dia.”
“Habis, akak nak letak kereta kat mana? Semua
tempat kosong penuh.” Aisyah tunjuk wajah tidak puas hati.
Pin! Pin!
Bunyi hon dari arah belakang buat Humairah
terkejut. Diusap dada dan beristighfar sebentar. Belum
sempat masukkan gear undur, tingkap cermin keretanya
diketuk seseorang. Humairah menoleh dengan wajah cuak.
Seorang lelaki berbangsa Cina berdiri di sebelah keretanya
sambil bercekak pinggang. Perlahan-lahan cermin keretanya
turun sejurus butang ditekan.
“Saya nak masuk parking. Tolong alihkan kereta
awak,” arah lelaki itu dengan suara menekan.
Humairah tunduk dan mengangguk. Faham lelaki
itu marah kerana keretanya menghalang ruang parkir yang
diletakkan papan tanda reserve. Pasti lelaki itu yang punya.
“Saya minta maaf. Sekejap ya, saya undurkan kereta.”
Humairah nampak kalut dan tangannya sedikit menggigil
ketika cuba memasukkan gear. Debarannya belum hilang
dek kedengaran bunyi hon tadi. Apatah lagi melihat seorang
lelaki dalam keadaan marah begitu, buat dia terus jadi panik.
Sofiah dan Aisyah menikus di tempat duduk
belakang. Sesekali Sofiah menjeling keluar. Marah benar
nampaknya lelaki itu.
“Boleh tak cepat sikit?” Darren garu kepala dengan
hujung jari. Kenapa lambat sangat perempuan ini nak
undurkan kereta? Lesen beli agaknya.
“Akak, orang tu dah marah. Cepatlah.” Aisyah
menggesa. Dia juga nampak kalut seperti kakaknya.
“Ya, akak tahulah. Janganlah buat akak panik.”
“Helo, cik.” Darren mengetuk perlahan bumbung
kereta yang menghalang laluan masuknya sambil memberi
isyarat supaya gadis itu bertindak lebih pantas.
“Maaf, encik. Gear kereta saya tak masuk. Tiba-tiba
aje.” Gugup Humairah memberi penjelasan. Berharap lelaki
itu faham dan tidak bertambah marah.
Darren merengus kasar sejurus mendengar alasan
itu. Apa yang boleh dia buat supaya waktunya tidak terbuang?
Dia cuma keluar sekejap pergi makan. Apabila pulang ke
premis perniagaannya semula, dia berhadapan pula dengan
masalah remeh begini.
Nampaknya, Darrren tidak punya cara lain. Kalau
nak tunggu gear kereta perempuan itu kembali berfungsi,
entah esok belum tentu.
“Keluar,” arah Darren sepatah.
Sofiah dan Aisyah masing-masing ketakutan
sementara Humairah pula terpinga-pinga mendengar arahan
begitu. Namun, tidak pula dibantah. Bimbang kalau dia dan
adik-adiknya diapa-apakan, Humairah membuka pintu kereta
sambil menyuruh Sofiah dan Aiyah keluar.
Darren melihat tingkah ketiga-tiga gadis itu dengan
pandangan pelik. Mereka seperti orang ketakutan seolah-olah
menganggapnya sebagai orang jahat.
Humairah berdiri di tengah-tengah Sofiah dan
Aisyah. Lengan kanan Sofiah dan lengan kiri Aisyah dipautnya
kemas seakan-akan menjadi seorang pelindung. Risau kalau
lelaki Cina itu mengapa-apakan mereka.
“Dia gengster ke?” tanya Sofiah. Bibirnya bergetar.
Panik dan takut menguasai dirinya saat itu.
“Tukang kutip hutang kut?” Aisyah menyampuk.
“Hesy, takkanlah.” Humairah menidakkan. Bila
masa mereka berhutang dengan lelaki itu? Kenal pun tidak.
“Mungkin samseng jalanan.” Sofiah mencelah.
“Atau pembuli jalan raya.” Aisyah menokok tambah.
Darren memasang telinga. Setiap andaian dan
kutukan dua orang remaja itu, dapat dia dengar dengan
jelas. Cuma yang seorang lagi tidak memberi apa-apa komen.
Malah, nampak gadis itu melarang kedua-duanya bercakap
yang bukan-bukan. Tidak banyak soal dan membuang masa,
Darren terus masuk ke perut kereta Humairah dan cuba
memasukkan gear.
“Dia nak bawa lari kereta kita ke?” Mata Sofiah
membulat melihat tindakan di luar jangkaan lelaki itu.
“Tak mungkinlah. Cuba tengok dia buat apa tu.
Macam nak tolong kita aje.” Humairah membuat penilaian
berdasarkan apa yang dilihat.
“Kalau dia ada niat nak tolong, kenapa muka nampak
marah? Cakap pun kasar,” rungut Aisyah sambil mencebik.
“Memanglah. Tadi kan kereta kita halang kereta dia
nak masuk parking. Normallah kalau dia marah. Mungkin dia
nak cepat, manalah kita tahu.” Humairah membidas semula
rungutan adiknya.
Dengan hanya sekali tolakan, Darren berjaya
memasukkan gear undur. Pintu kereta Humairah ditutup dan
perlahan kakinya menekan minyak.
Humairah, Sofiah dan Aisyah cuma memerhati.
Mereka nampak sedikit lega apabila kereta yang dipandu
lelaki tidak dikenali itu mula dibawa masuk ke satu ruangan
letak kereta yang terletak di sebelah bangunan. Di situ ada
satu kotak parkir kosong. Kenapa tadi mereka tidak nampak?
Masing-masing tunduk menekur garisan putih di
bahu jalan apabila lelaki itu datang menghampiri sambil
menghulurkan kunci. Humairah langsung tidak mengangkat
muka.
Melihat reaksi si kakak, Aisyah yang menjadi wakil
dan mengambil kunci kereta yang dihulurkan itu.
“Terima kasih,” ucap Humairah perlahan apabila
Aisyah hanya berdiam diri. Berat sangat mulut adiknya mahu
bersuara.
“Hmm. Sama-sama.” Darren membalas dingin.

No comments:

Post a Comment