DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 18 August 2019

My Zaujah Humairah - Bab 1




TOPI dan kunci kereta dicampak ke atas meja.
Rantai hitam yang dipakai sejak kecil dibetulkan lalu
menghenyak tubuhnya ke sofa. Mata dipejam sekali gus
meletakkan kedua-dua tangan di belakang kepala.
Sepintas lalu, pertengkaran tadi terlayar di ruang
matanya. Lelah dia mahu meyakinkan kekasih hatinya supaya
menukar agama. Jika dia tidak buat begitu, mereka mungkin
tidak akan dapat berkahwin.
Posisi duduk dibetulkan sesekali. Sukar mencari
jalan penyelesaian masalah yang makin memberat dari hari
ke hari. Bagaimanakah caranya mahu memberi pencerahan
kepada Jane, sedangkan dia bukanlah pakar dalam bidang
itu. Dirinya sendiri terumbang-ambing; inikan pula mahu
menjadi seorang pembimbing?
“Darren...”
Duduk dibetulkan apabila si ibu menegur.
Puan Irma mengambil tempat sambil melirik ke
wajah penat si anak. Dia mengeluh kecil memikirkan tingkah
Darren. Tentu Darren bertengkar lagi dengan kekasihnya.
Melihat dari air wajah anaknya, memang itu jawapan yang
dapat Puan Irma simpulkan.
“Mummy belum tidur?” Darren menyoal serba salah.
Pandangan ibunya cukup dia faham.
“Darren ke mana? Pergi jumpa Jane?” Telahan dibuat
serta-merta. Soalan si anak terus diabaikan.
Darren mengangguk.
“Bergaduh lagi?”
“Ya.” Suara Darren mendatar dan sepatah mengaku
kebenaran. Dia tahu ibunya marah. Dia juga faham bapanya
juga tidak berkenan dengan Jane. Tetapi gadis itu tetap
dikejarnya. Walaupun hati suka sama suka, namun perbezaan
agama menjadi penghalang utama.
“Mummy tak mahu Darren sia-siakan masa depan
hanya kerana perempuan tu. Ramai lagi perempuan baik yang
layak dijadikan isteri. But not her...” Puan Irma mengeluh
berat.
“Saya sayang dia. I love her so much...”
“Mummy tahu, tapi dia macam mana? Dia sayangkan
Darren?”
“Agaknya...” Tidak yakin Darren menjawab
berdasarkan penolakan Jane untuk menukar agama. Kalau
benar Jane betul-betul mencintainya, pasti gadis itu akan
setuju untuk memeluk Islam.
“Tak berbaloi Darren masih cintakan dia. Lebih elok
tinggalkan aje!” tegas Puan Irma membuat usul.
“Mummy, tolonglah faham isi hati saya. Saya
perlukan sikit masa lagi untuk pujuk dia terima Islam,”
jelas Darren terkejut dengan cadangan ibunya dan dia tetap
berkeras mahu mencuba.
 “Cukuplah tu. Sebelum ini mummy dan daddy dah
banyak berikan peluang. Sekarang waktunya Darren kena
dengar cakap mummy. Tolong jangan tunjuk ciri-ciri anak
derhaka.”
Darren menggeleng. Ketegasan si ibu membuatkan
dia sedikit kesal. Lebih-lebih lagi apabila ibunya menyentuh
soal anak derhaka. Jauh benar perginya.
“Mummy salah. Saya tak bermaksud macam tu.
Saya tetap hormatkan mummy dan daddy.” Suaranya sedikit
mengendur.
“Jadi? Darren kena patuh dan taat pada kami.
Barulah betul namanya hormat.” Suara Puan Irma menekan
di hujung ayat sambil tangan menyilang ke dada. Terasa
menang atas pangkat seorang ibu. Sebagai seorang ibu, dia
arif di mana kelemahan anak tunggalnya itu.
Darren mengeluh keras. Terperangkap dengan
kata-kata sendiri. Perlahan dia bangkit dari tempat duduk
mahu berlalu.
“Nak ke mana?” Tegak badan Puan Irma menyoal
sejurus melihat anaknya mahu beredar.
“Atas. Tidur.” Soalan ibunya dibalas tanpa nada.
Tidak mahu terus berdebat. Akhirnya nanti pasti dia yang
yang tewas juga. Itu ibu kandungnya. Bukan calang-calang
orang untuk dia tunjuk kedegilan diri.
“Baguslah. Tidur awal. Tak perlu fikir soal perempuan
tu lagi. Darren dah penat kejar dia, kan?”
Saat berpaling memandang ibunya semula, bibir
Darren terlakar senyum tawar. Tahu Puan Irma menyindirnya.
Pandangan kosong dilemparkan. Tidak memberi apa-apa
erti. Kemudian, langkah diatur meninggalkan ruang tamu.
Memang benar sindiran ibunya. Dia penat. Letih mengejar
cinta yang tidak dihargai.

KEESOKANNYA MEREKA berjumpa lagi. Kali ini Darren
nekad; jika Jane tetap menolak, dia terpaksa putuskan
hubungan mereka.
“Apa susah sangat you nak convert? Just do it. Lepas
tu masalah kita akan selesai.” Daren tidak putus asa dan terus
memujuk walaupun jelas penolakan drastik daripada gadis
itu.
“Cakap memang senang. Kalau I dah tak minat, you
paksa macam mana pun, tak guna jugak.” Jane membetulkan
mini skirt yang membaluti cuma dua puluh peratus kulit
kakinya.
Darren menjeling sekilas dan terus memandang ke
tempat lain. Gaya tarikan menggoda seperti kebiasaan itu,
tidak lagi menjadi minatnya.
“Tolonglah, Jane. I sayangkan you. Tapi perasaan
sayang tu takkan buahkan hasil kalau you masih berdegil.”
“Tak boleh ke kalau kita terus macam ni aje? Apa
bezanya I tukar agama atau tak? I tetap cintakan you. Tak
berubah pun perasaan I.”
“Itu I tahu. Tapi dalam Islam, soal perasaan you tak
ada makna pun. Kita tetap tak boleh kahwin walau berapa
banyak pun you cintakan I.”
“Huh, agama you memang melampau! Jadi, I tak
hairan kalau Islam selalu dilabelkan sebagai pengganas.
Semua perkara nak buat lebih-lebih.”
“Jaga bahasa you. Jangan hina agama I.”
“Alah, kalau I tak cakap macam tu pun, memang
terbukti orang Islam sendiri yang hina agama mereka.
Tak perlu I tengok contoh jauh-jauh. Depan mata I pun
ada. Macam you. Islam cuma pada nama. Tapi, you tetap
pegang-pegang I jugak, kan? You fikir I bodoh sangat ke tak
tahu menahu pasal Islam? Daddy you pun sama. Masuk Islam
semata-mata nak kahwin dengan mummy you. I tengok cara
hidup uncle tak nampak pun macam orang Islam. Tengoklah
dia didik you macam mana. Sama aje macam papa didik kami
adik-beradik. So, you tak payah nak bangga sangat dengan
title Islam you tu.”
“Okey, cukup. I tak nak berdebat dengan you dalam
perkara sensitif. Tapi I nak you fikir baik-baik. Dah 12 tahun
kita macam ni. Bila lagi kita nak tamatkan hubungan ni
dengan ikatan halal? Kita tak boleh selamanya keluar sesuka
hati dan bergaul bebas. I nak kahwin dan ada anak dengan
you. Kalau tak...” Darren mengangkat kedua-dua tangan ke
sisi bahu.
“Kalau tak, apa? You nak putus?”
“Kalau dah terpaksa...”
“Tadi you jugak yang kata, cinta dan sayangkan
I. Tapi tak sampai lima minit, you cakap macam tu pulak!”
bentak Jane keras.
“Apa lagi pilihan yang I ada? You tak nak convert,
takkan I nak letak pisau kat leher dan paksa you masuk
Islam?”
Jane jatuhkan bahu. “Darren, please... I tak nak
tukar agama. Tak boleh ke kalau kita terus bercinta macam
biasa? Tak perlu kahwin pun tak apa. Tolonglah...”
“Tak boleh. I minta maaf.”
“Darren...”
“Nampaknya, sekali lagi I gagal pujuk you. Mungkin
I yang tak pandai berkata-kata. Tak pandai nak susun ayat
macam mana nak bagi penjelasan mengenai Islam secara
tepat pada you.”
“Okey. Kalau you nak putus, putuslah. Tapi I cabar
you. Boleh ke you dapat seorang isteri lebih baik daripada
I dan lebih bagus dari latar belakang you sendiri?” Jane
mendengus. Cukup mudah lelaki itu membuat keputusan.
Retina mata Darren mengecil. Kata-kata Jane buat
dia rasa terkesan. Kedua-dua tangannya dikepal. Bengang
dan sakit hati apabila dicabar begitu. Di manakah dia boleh
berjumpa seorang perempuan yang lebih baik daripada latar
belakangnya sendiri? Dia faham apa maksud cabaran Jane.
Dia bukan bodoh tidak tahu menilai.
Kalau ada sekalipun perempuan seperti itu, mana
hendak dicari? Lagipun, untuk apa dia mencari isteri seperti
itu hanya disebabkan cabaran Jane?
Jika ada wanita keperibadiannya lebih mulia, berada
pada kedudukan yang baik, solehah, mahukah wanita begitu
menerima lelaki sepertinya? Dia serba-serbi kurang dalam
ilmu agama. Inikan pula mahu jadi pengemudi rumah
tangga. Tentu perempuan yang tinggi ilmu agamanya, hanya
memandang sebelah mata.

HUMAIRAH DUDUK berehat sambil berbual-bual dengan
dua adik perempuannya.
“Minggu depan akak dah nak buka madrasah ni. Dua
bulan akak cuti. Bosannya tak mengajar.”
Sofiah dan Aisyah masing-masing tersenyum
mendengar.
Sebuah buku yang mencatat segala perbelanjaan
madrasah, kini dibuka helaiannya. Humairah tunduk dan
memerhati isi yang tercatat di halaman pertama.
 “Sekarang, kerja ubah suai madrasah ni tak siap
lagi. Nak buka sekarang pun macam tak sesuai. Nanti susah
budak-budak nak belajar.”
“Betul kata akak. Kalau tak tutup sekejap, nanti akak
pulak yang serabut. Mana nak mengajar lagi, nak mengemas
lagi, nak fikir sumber pendapatan lagi. Dahlah pendapatan
akak tak tetap.” Aisyah mencelah.
Humairah angkat bahu. “Walaupun tak ada
pendapatan tetap, tapi tak kisahlah. Apa yang akak buat,
semuanya lillahi taala.”
“Kami pun tak kisah. Akak dah bagi sikit sagu
hati, cukuplah. Lagipun kami tahu, duit yang akak dapat
kebanyakannya atas sumbangan orang ramai dan bantuan
dari kerajaan negeri.” Sofiah menyampuk.
“Erm, betul tu. Lagipun, kami tolong akak masa
cuti sekolah dan balik dari asrama je. Abang Umar pun sama.
Walaupun dia cikgu dan mengajar kat sekolah kerajaan, tapi
kalau hari cuti, dia selalu tolong akak.” Aisyah menambah.
Humairah menoleh memandang adik-adiknya. Saat
itu tergerak hati untuk menceritakan semula bagaimana
madrasah itu terbina.
“Sejak remaja, akak bercita-cita nak ada madrasah
sendiri yang dikhaskan untuk budak-budak perempuan.
Cita-cita tu, akak sampaikan pada umi dan walid sebelum
pergi ke Yaman.” Humairah menarik nafas. Perlahan-lahan
dihembusnya semula. Kemudian, dia menyambung cerita.
“Tamat pengajian, akak balik Malaysia dan guna
sepenuhnya ilmu yang akak ada. Sebelum madrasah ni
siap, akak ajar budak-budak mengaji kat rumah.” Humairah
tersenyum puas saat habis bercerita dan bangkit dari kerusi
lalu menutup tingkap.
“Okey, semua kerja kita dah siapkan.” Humairah
mendongak ke dinding. Tambah lebar senyuman menghiasi
bibirnya melihat kipas-kipas dipasang dengan jumlah
dikehendaki.
“Kalau ada rezeki lebih nanti, akak nak kipas-kipas
tu ditukar dengan air-cond.” Perhatian beralih kepada
kedua-dua adiknya. Jam di pergelangan tangan dipandang
sepintas lalu. Melihat jarum jam pada angka 12.30 tengah
hari, Humairah berkira-kira mahu mengajak mereka pulang.
“Kerja-kerja Sofi dan Cah dah siap, kan?”
Sofiah yang sedang memegang tangga besi,
berpaling memandang kakaknya. Aisyah pula masih sibuk
membetulkan langsir terakhir. Berhati-hati dia berdiri di atas
tangga. Kepercayaan sepenuhnya diberikan kepada Sofiah.
“Nak siap dah ni. Sikit aje lagi.” Sofiah menjawab
bagi pihak adiknya.
“Tak lama lagi dah nak masuk waktu zuhur. Kita
siap-siap untuk solat dulu. Mana kerja yang tak selesai, kita
sambung esok,” ujar Humairah ambil memegang tangga
yang sama apabila Aisyah mula turun.
Mereka serentak mengangguk. Humairah tersenyum
lucu melihat telatah Aisyah yang sibuk mengesat peluh.
Kedua-dua tangan Aisyah dibetul-betulkan uratnya. Letih
sangat barangkali.
“Penatnya...” Aisyah separuh merungut. Belakang
pinggangnya dipukul-pukul perlahan.
“Panjat-panjat tangga ni kerja orang lelaki. Bukan
perempuan. Kalau ada orang lelaki boleh tolong kita pasang
langsir ni tadi, kan senang. Macam walid ke, Abang Umar
ke...” Sofiah menolak perlahan tangga ke tepi dinding.
“Walid dah tak kuat nak panjat tangga. Umar pulak
pergi pasar temankan umi. Kalau Sofi maksudkan lelaki lain
selain walid dan Umar, akak tak nak. Biar kita saja yang buat
selagi kita mampu.” Humairah menggeleng dan tersenyum.
 “Kak Sofi cuma gurau aje. Dia tak serius tu.” Aisyah
tertawa halus mendengar omelan Humairah. Faham sangat
pendirian kakaknya.
Sofiah mendekati Humairah. Lengan kakaknya
dipaut penuh erat.
“Betul cakap Cah tu. Sofi gurau aje. Akak jangan
ambil hati, tau. Kami faham pendirian akak. Tak nak ada
lelaki ajnabi berkeliaran dalam kawasan madrasah kecuali
atas urusan penting yang tak boleh nak elak.”
“Terima kasih sebab Sofi dan Cah faham dengan
pendirian akak. Kalau boleh, biarlah kau orang jugak ada
pendirian yang sama. Selagi kita boleh buat sendiri, kita akan
buat. Tak perlu ada campur tangan dari lelaki bukan mahram
kecuali dalam keadaan darurat. Bukan apa, akak bimbang
kalau dah bercampur nanti, lelakilah yang selalunya tak
boleh jaga pandangan. Dari situ akan mula tumbuh akar-akar
dosa yang kita tak perasan. Permainan iblis tu sangat licik,
tau.” Lengan yang dipaut Sofiah, disentuh perlahan.
“Insya-Allah...” Mereka menjawab serentak. Suka
mendengar kata-kata nasihat daripada Humairah. Suaranya
perlahan, nadanya tersusun. Sentiasa bermanis muka ketika
berhujah.
Saat melangkah keluar dari pintu pagar madrasah,
Aisyah mencipta perbualan. Ia sekadar memenuhi ruang
waktu sementara mereka tiba di tempat letak kereta.
“Umur akak dah 27 tahun. Bila akak nak kahwin?”
Sofiah menyenggol lengan adiknya. Soalan itu tidak
perlu ditanya pada Humairah. Dari awal dia tahu kakaknya
tidak suka dengan topik itu.
“Ada jodoh, adalah...” jawab Humairah. Caranya
menjawab langsung tidak menampakkan minat.
Aisyah mencemik apabila mendengar jawapan yang
tak mesra alam kakaknya.
“Alah akak ni, asyik jawapan yang sama aje.”
“Cah...” Sofiah menjeling. Memberi sedikit teguran
kepada Aisyah supaya hal itu tidak dilanjutkan.
Langkah Humairah terhenti sejurus tiba di tempat
letak kereta. Dia tersenyum cuma ketika melihat wajah tidak
puas hati adik bongsunya dengan jawapan diberi.
“Jawapan tu tetap akan sama selagi Allah belum
berkata, ‘kun’!”
“Cah ni memang mengada-ada. Dia sajalah tu nak
korek sesuatu. Mungkin dia fikir akak ada kekasih.” Sambil
tergelak halus Sofiah memandang adiknya.
“Kalau perkara tu yang ada dalam fikiran Cah,
nampaknya Cah silap. Akak tak ada kekasih, teman lelaki,
buah hati, bakal imam atau apa ajelah gelarannya. Biarlah
matlamat akak nak tengok madrasah ni makin maju, tercapai
dulu. Lain-lain perkara, akak tak nak fikir. Lebih-lebih lagi
kalau libatkan soal hati dan perasaan, cinta sesama manusia
antara lelaki dan perempuan yang selalu melebihi cinta kita
pada Allah dan Rasul.”
Mereka berdua tunduk mendengar. Sesaat dua Aisyah
berpaling kepada Sofiah sebelum diangkat mukanya mencari
wajah Humairah. Rasa bersalah menjemput keinginan untuk
dia meminta maaf.
“Cah tak patut tanya soalan macam tu pada akak.
Cah minta maaf. Apa yang Cah tanya tadi, tak serius pun. Cah
cuma nak borak-borak biasa je...”
Senyum manis dilemparkan buat Aisyah sambil
memaut mesra bahu adiknya itu.
“Tak apa. Akak faham Cah dan Sofi masih remaja.
Soalan macam tu memang selalu jadi topik gadis-gadis
macam kau orang berdua.”
Masing-masing mengangguk. Mengiakan kebenaran.
Soal cinta dan teman lelaki, sering menjadi tajuk perbualan
dalam kalangan kawan-kawan mereka di sekolah selain
membicarakan soal pelajaran.
Tetapi, Aisyah tersilap sedikit apabila bertanyakan
hal itu kepada Humairah yang dari awal dia tahu, kakaknya
itu langsung tidak berminat.

No comments:

Post a Comment