KETIKA itu wad agak sesak dengan jumlah
pesakit yang ramai. Katil-katil disusun berdekatan dan
ada katil tambahan yang diletakkan sementara di tengah
laluan. Jururawat yang bertugas tidak berhenti-henti
menjalankan tugas. Intan dan Karim datang sebelum
maghrib tetapi Ustaz Muiz memutuskan untuk terus
berada di situ sehingga lewat sedikit.
“Said dah panggil orang lain untuk meneruskan
kerja,” cerita Karim sewaktu mereka berdua duduk
berbual di atas pondok wakaf yang didirikan kira-kira
10 meter di luar wad.
Belum sempat Ustaz Muiz membalas, Karim
terus menyambung.
“Tapi ada masalah lain pula...”
“Masalah apa?”
Mata Karim terkelip-kelip beberapa kali. Berat
mulutnya hendak bercakap. Wajahnya bertukar serius.
“Said kata... mereka tak tahan berada di situ
lama-lama... sekejap kerja, sekejap berhenti.”
“Eh?” Ustaz Muiz bingung.
“Katanya panas... macam berada dalam
lingkungan api,” terang Karim.
Ustaz Muiz terdiam lama. Selama ini tanah
kebun itu tidak pernah mendatangkan masalah.
Tanahnya subur dan lembap. Apa pun yang ditanam,
mudah sahaja hidup dan berbuah lebat. Dia terfikir
untuk menanam lebih banyak pokok buah-buahan
untuk pelajar-pelajar madrasah kelak. Kalau ada lebih,
boleh juga dijual sebagai sumber pendapatan. Cuma
kini, dia tidak faham apa yang sedang berlaku.
“Apa kita nak buat, ustaz?”
“Apa pendapat kamu?” Ustaz Muiz merenung
wajah Karim. Ingin didengar isi hati Karim sedikit
sebanyak.
“Kalau ustaz tanya saya... saya percaya ada
yang tak kena ni, ustaz. Saya bukan tak biasa ikut ustaz
ke situ. Saya tahu tanah tu elok. Lagipun semalam
tiba-tiba saja tempat tu dilanda ribut. Radi dihempap
pokok. Ustaz pun nyaris kena. Lepas tu Kak Sufiya pula
pengsan. Intan kena ganggu. Ada saja musibah yang
berlaku.”
Ustaz Muiz tidak menyanggah semua yang
keluar daripada mulut Karim, cuma dia sedaya upaya
masih mahu bersangka baik.
“Macam ada orang yang cuba halang usaha
ustaz untuk bina madrasah di situ.” Karim menambah.
“Selagi kita belum pasti, simpan saja
kemungkinan itu dalam hati. Anggaplah semua ini
ujian untuk kita semua. Cara menghadapinya adalah
dengan kembali kepada Allah,” jawab Ustaz Muiz. Dia
bimbang syak wasangka akan menimbulkan fitnah.
“Baik, ustaz,” jawab Karim. Sudah diagak
jawapan itu, tetapi sekurang-kurangnya dia sudah
meluahkan pendapatnya.
“Sudah melepasi tengah malam ni... marilah
kita balik. Pagi esok nak datang lagi,” ujar Ustaz Muiz
seraya menyarung selipar. Dia ingin menjenguk Sufiya
terlebih dahulu dari luar tingkap sebelum beredar.
Tanpa banyak soal, Karim mengikut selepas
menguap panjang.
Setibanya di luar wad yang terletak di tingkat
bawah itu, Ustaz Muiz menjenguk melepasi tingkap. Air
mukanya langsung berubah. Yang dilihat terbaring di
atas katil Sufiya, bukan isterinya, tetapi sekujur mayat
yang dikafan penuh. Dia langsung beristighfar.
“Kenapa, ustaz?” Karim menyedari sesuatu
tetapi tidak nampak apa-apa.
“Pesan pada Intan, baca surah Al-Baqarah,” kata
Ustaz Muiz. Dia percaya itu boleh memulihkan keadaan.
Karim terdiam seketika sebelum menyampaikan
pesanan kepada Intan.
MALAM ITU malam kedua Salim bertapa di Gua
Sembunyi. Suasana begitu dingin bagaikan gua itu tidak
berdinding. Yusa tidur mengerekot tanpa berselimut.
Salim masih bertafakur dan meratib mantera di hadapan
lilin yang semakin banyak dimamah api. Sampai satu
detik, deria baunya menangkap bau yang sangat wangi.
Bau itu memandu akalnya kembali ke alam nyata.
Kelopak matanya yang berat, terbuka
perlahan-lahan. Anak matanya membesar tatkala
terpandang satu susuk putih bercahaya berdiri di
tengah pintu gua. Gua itu pun menjadi terang seperti
siang.
Tok guru? Hatinya memanggil. Sejak dahulu
sampailah ke saat itu dia belum pernah melihat wajah
Tok Guru Suci Giring yang sebenarnya. Cahaya putih
yang melingkari susuk orang tua itu menyilaukan mata
yang memandang.
“Engkau sudah menyempurnakan dua
syarat yang aku pinta. Sekarang engkau hendaklah
menyempurnakan syarat yang ketiga supaya perjanjian
terlaksana. Engkau kekal sihat dan menjadi lebih
ampuh.”
Salim serta-merta bersujud sebagai tanda
hormat dan penyerahan diri. Apa pun yang akan dipinta
oleh tok guru akan disempurnakan tanpa ragu-ragu.
Dia amat memerlukan ganjaran yang bakal diberikan
nanti.
“Apa pun yang tok guru perintahkan akan saya
patuhi,” katanya dengan sekali nafas.
“Sebelum matahari naik, anakmu mesti
disembelih. Nyawanya diserahkan kepada penguasa
alam semesta. Mayatnya dicampak ke lereng sebelah
barat. Darah dari lehernya mesti disemah ke empat
penjuru gua ini. Dan engkau mesti meneruskan
pertapaan sehingga genap 3 malam.” Gua itu bergema
dengan satu suara garau.
Salim tercungap seketika. Lurus matanya tidak
berkelip. Nyawa Yusa?
Fikiran dan perasaan terus bercelaru. Antara
sanggup dan tidak, sama-sama menggeluti nafsu.
Akhirnya dia menguatkan semangat. Mungkin semua
itu hanyalah ujian untuk melihat sama ada dia sanggup
melakukan apa sahaja demi aliran Suci Giring ataupun
tidak.
“Baik, tok guru,” katanya sambil bersujud lagi.
Sayangnya, selepas itu gua kembali gelap dan sunyi
sepi. Tinggal dia terpinga-pinga.
DETIK DEMI detik berlalu. Fikiran Salim semakin
kacau-balau. Ada waktunya dia yakin dengan
keputusannya. Ada waktunya, dia tidak sanggup.
Tambahan lagi apabila melihat wajah Yusa yang polos.
Dia teringat arwah isterinya. Dia teringatkan Salwa. Dia
serba salah.
‘Tiada hasil tanpa pengorbanan.‘ Kata-kata itu
terdengar jelas dalam kepalanya.
‘Engkau harus yakin bahawa semua ini
hanyalah ujian untuk menaikkan darjat engkau di sisi
tok guru. Apakah engkau fikir, ilmu yang tinggi itu
mudah untuk diberikan? Apalah ertinya hilang satu
nyawa kalau hendak dibandingkan dengan apa yang
engkau bakal dapat nanti?’ Semakin banyak kata-kata
yang bergema dalam kepalanya. Riuh-rendah. Mengejek
dan memperolokkan dirinya.
‘Engkau pengecut! Engkau penakut!’
“Argh!” Salim menjerit sehinggakan Yusa
terkejut dan terkebil-kebil bangun.
“Abah...”
Salim menoleh dengan wajah bengis. Akal
warasnya sudah hilang. Di hadapan matanya bukan lagi
anaknya, Yusa. Tetapi seekor burung gagak berwarna
hitam pekat. Lantas ditangkap lengan Yusa lalu diheret
ke luar gua.
“Abah...” panggil Yusa sambil menangis tetapi
yang Salim dengar hanyalah bunyi burung gagak yang
memekik-mekik ingin dilepaskan.
Tanpa berlengah, Yusa direbahkan di atas
sebongkah batu sehingga kepala Yusa terjuntai ke
bawah. Yusa menangis dan meronta-ronta ketakutan.
Kedua-dua belah tangannya tergapai-gapai cuba
menarik tangan ayahnya, namun dia tidak berdaya
melawan kudrat Salim yang sedang hilang akal.
“Abah!” Mulut Yusa terlopong apabila mata
parang mencecah lehernya.
Beberapa minit kemudian, suara Yusa
lenyap bersama tiupan angin pergunungan yang
menderu-deru. Mayatnya terkulai di atas batu begitu
sahaja. Salim menadah darah yang menitik dari leher
yang terpelahang lalu dicurahkan ke empat penjuru
gua. Setelah itu tubuh kecil Yusa dikendong dan
dicampak ke lereng sebelah barat yang berhutan tebal
seperti mencampak bangkai haiwan buruan.
Kemudian dia kembali ke tempat pertapaan
tanpa berasa apa-apa.
Daerah Hasam Hurang, Puncak Gunung Dayan...
ZUB-YAN DAN Derani ketawa bertingkah-tingkah.
Apa yang telah dilakukan Salim tepat seperti yang
dirancangkan. Salim benar-benar sudah jatuh ke
tangan mereka. Anak sendiri pun sanggup dikorbankan.
Sekarang mereka yakin Salim akan menurut apa sahaja
arahan mereka.
“Bulan gerhana hampir tiba. Kita tak banyak
masa lagi.” Zub-yan teringatkan perjanjiannya dengan
Kaedar. Perjumpaan 1000 tahun semakin lama semakin
hampir. Penghuni Daerah Hasam Hurang seperti
penghuni-penghuni di daerah yang lain sibuk membuat
persiapan. Dia yakin Kaedar juga semakin cemas.
“Tolak kerisauan itu ke tepi. Kita Kaum Kan
tidak pernah kekeringan akal. Apa yang kita inginkan,
apa yang kita mahu akan kita dapatkan.” Derani begitu
yakin, Ustaz Muiz akan jatuh ke tangan mereka sedikit
masa lagi.
“Benar kata engkau, Derani...” sahut Zub-yan
dengan gembira.
“Jiwanya sedang terbelah dua. Isterinya masih
tidak sedarkan diri. Anak dalam kandungannya semakin
lemah. Usahanya berhadapan dengan bermacam
dugaan. Andai terus disukarkan, tidak mustahil akan
tiba pada satu titik; dia akan berpaling kepada kita.”
“Aku akan menyambutnya di sini,” balas
Zub-yan.
DI RUMAH Ustaz Muiz, pipinya tiba-tiba dihembus
angin sejuk. Dia yang sedang khusyuk berdoa di atas
sejadah terhenti seketika. Sejurus hembusan itu
berhenti, dia dirayapi rasa sedih yang bukan kepalang
bagaikan baru sahaja kehilangan seseorang. Air matanya
mengalir laju.
Dia meneruskan doa dengan mata yang
basah sehingga hatinya dikuasai ketenangan semula.
Meskipun masih tidak memahami apa yang berlaku,
namun dia bersedia. Apa pun yang bakal berlaku, dia
akan cuba sedaya upaya untuk menghadapinya dengan
tenang.
Sedang asyik berwirid, bau kapur barus hinggap
di hidungnya. Semakin dalam nafasnya dihela, semakin
pekat baunya. Lantas dia menoleh ke arah katil, di
tempat Sufiya selalu berbaring. Di situ ada satu susuk
mayat yang siap berkafan terbaring kaku.
“Tolong Sufiya, bang... Sufiya sakit bang...”
Mayat berbungkus penuh itu bersuara sambil menoleh
ke arahnya.
“Allahuakbar...” Ustaz Muiz terlompat bangun.
Dengan spontan dipukul katil itu dengan sejadah yang
digunakan.
Mayat berkafan tadi langsung ghaib.
SELEPAS ITU, Ustaz Muiz berjaga-jaga sampai ke
subuh. Setiap saat diisi dengan solat tahajud, wirid
dan doa. Sebelum azan subuh berkumandang, dia
sudah berada di luar rumah Karim. Mereka berjemaah
di masjid kampung pagi itu. Selesai sahaja imam
membacakan doa, dia terus mencari bapa saudaranya,
Ustaz Majdi yang berada di saf ketiga.
“Setakat ini belum ada petunjuk.” Ustaz Majdi
membuka bicara pagi itu. “Tapi insya-Allah... kita akan
terus mencari selain berusaha meleraikan.”
Ustaz Muiz tertunduk lama. Jawapan itu
agak mengecewakan tetapi dia akur kalau masanya
masih belum tiba untuk mereka ditunjukkan dengan
jelas akan sihir yang dikenakan kepada Sufiya. Cuma
dia bimbang dengan keadaan Sufiya dan anak dalam
kandungan isterinya itu.
“Seperti yang pak ngah cadangkan semalam,
kalau doktor tak mampu buat apa-apa, lebih baik dibawa
balik ke rumah. Kita cuba ubati dengan perawatan
Islam.” Ustaz Majdi merenung lama wajah Ustaz Muiz.
“Baik.” Dengan itu Ustaz Muiz meminta diri
bersama Karim. Mereka mahu ke hospital dahulu.
***AKAN BERADA DIPASARAN, KELUARAN JUN 2019***
No comments:
Post a Comment