DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 30 June 2019

Kampung Hilang - Bab 6

REMBANG menghadirkan bahang yang
terik walaupun seluruh kawasan diserkup dedaunan
seperti atap. Bahang tetap terik, walaupun cahaya
matahari tidak mencecah tanah. Serkupan dedaunan
bertindak seperti balang kaca biarpun dari selaan daun,
olakan angin berpuput perlahan dan adakalanya sedikit
deras masih mampu menerobos.
Sesuatu yang menarik tentang tempat itu ialah,
tiada langsung suara atau kicauan burung. Kalau ada
pun, cuma jeritan reriang rimba yang entah mana
duduknya. Pun begitu, bunyinya tidak meriah. Tidak
juga menghiburkan, bahkan bernada sayu memanjang
dan sayup-sayup.
Sesekali kedengaran deburan di permukaan
air dan aliran sungai membelah batu-batan yang
seolah-olah tidak disentuh peradaban manusia.
Mungkin ikan bersaiz besar yang menangkap serangga
atau katak yang cuba menyeberang sungai. Atau
barangkali juga ranting atau dahan reput pokok yang
tumbuh di tebing sungai yang patah dan jatuh menimpa
permukaan sungai.
Faizal terus mengatur langkah. Biarpun penat,
malah walaupun pada suatu ketika dia hampir tidak
mampu melangkah lagi, namun dia bertekad untuk
tidak berhenti rehat.
Sudah lebih 24 jam dia berjaga. Mencari
jalan pulang ke khemah tetapi acap kali dia hanya
berpusing-pusing dan berkitar-kitar di tempat yang
sama. Dia memang berada di tebing sungai, tetapi dia
tidak nampak khemah kawan-kawannya mahupun
mendengar suara mereka. Semua arah dan petunjuk
kelihatan serupa.
Tekaknya seperti diganggang bahang. Perutnya
pula berkeroncong minta diisi makanan.
Tatkala keletihan sudah pun menguasai
seluruh tubuhnya dan keputusan untuk berehat sambil
memikirkan serta mengingati kembali laluan yang
digunakan untuk sampai ke situ, Faizal mula terfikir
sesuatu.
“Aneh benar tempat ini. Betul-betul sunyi,”
bisiknya perlahan.
Seketul batu besar dengan permukaan agak
rata menjadi tempat untuk dia melepaskan penat.
Ketika dia sudah berada di atas batu itu dan bersedia
untuk melunjurkan kaki, dia terpandang aliran sungai.
Ada keinginan untuk dia meraup air sungai itu dan
membasahkan tekaknya tetapi entah mengapa, dia jadi
terlalu malas. Sebaliknya dia sekadar membaringkan
diri, merasai suam-suam permukaan batu hampar yang
amat selesa.
Walaupun otaknya terus bekerja keras mencari
jalan penyelesaian sehingga dia mampu bercakap
sendiri, tetapi dia tidak mempunyai keinginan untuk
bergerak dan meninggalkan batu hampar itu. Dia mahu
berehat dan dia mahu melepaskan lelah. Apatah lagi
setelah lebih 24 jam dia berjaga.
Dalam melayani fikirannya yang menerawang
tidak menentu, akhirnya Faizal terlelap. Nyenyak
tidurnya tanpa diganggu sebarang mimpi. Lama rasanya
dia terlelap apabila badannya terasa digoncang-goncang
seseorang.
“Saudara! Saudara!” suara gadis itu sedikit
keras.
Faizal lantas bingkas. Sangkanya itu suara
Sofea ataupun Anna yang telah menemuinya tetapi
ketika matanya mendarat pada wajah yang berada di
hadapannya, dia terus memandang sekeliling untuk
memastikan yang dia bukannya bermimpi.
Di hadapannya, seorang gadis berambut lepas
panjang lurus, berwajah bujur sirih, berkulit putih
kuning dengan hidung sedikit mancung dan berbibir
mongel, berdiri di hadapannya. Gadis dengan kening
yang sedikit lebat tebal hitam itu, sekadar berkemban.
“Apa saudara buat di sini?” gadis itu bertanya,
perlahan. Lembut dan lunak suaranya.
“Saya... saya....” Untuk seketika Faizal
kehilangan kata-kata. Gadis di hadapannya terlalu jelita.
“Saudara barangkali tersesat,” kata gadis itu
lagi.
Otak Faizal kembali semula pada realiti.
“Ya, ya... saya tersesat. Saya cari kawan-kawan
saya. Puas saya berpusing-pusing, tapi saya tetap tak
jumpa mereka,” Faizal berterus terang.
Gadis misteri itu tersenyum sambil mengangguk
kecil.
“Saudara bukannya orang pertama. Sudah
ramai yang tersesat di sini.”
“Maksud saudari?”
Gadis itu tidak menjawab sebaliknya mengatur
langkah menjauhi Faizal. 5 langkah, dia berhenti dan
berpaling kepada Faizal.
“Mari ikut saya ke rumah dahulu. Nanti saya
minta bapa saya bantu saudara cari kawan-kawan
saudara itu. Bapa saya lebih tahu dan lebih maklum
dengan keadaan di tempat ini.”
Gadis itu mengatur langkahnya semula. Teratur
dan penuh sopan meskipun kain batik yang dipakainya
melekat pada kulit badan, punggung dan pahanya; sekali
gus membuatkan Faizal gagal melarikan pandangan.
Sekali lagi gadis itu berhenti melangkah
ketika berada di tengah-tengah sungai. Air sungai
separas pahanya seperti tidak tertampan. Aliran sungai
langsung tidak terganggu.
“Marilah saudara... nanti gelap, susah nak
berjalan,” katanya perlahan sambil menguntumkan
senyuman buat Faizal.
Seperti dipukau kuasa sihir, Faizal terus
bangun, melangkah kalut ke arah sungai.
“Saudara meniti batu-batu itu. Air di sebelah
situ agak dalam. Saudara tak biasa dengan sungai ini.
Nanti lemas.”
‘Awak kan ada. Saya akan jadi orang yang paling
gembira sekiranya awak jadi penyelamat saya. Lebih
gembira kalau awak melakukan CPR kepada saya.’
Namun kata-kata itu sekadar berlegar-legar di hatinya.
Tidak lepas di rengkung dan tidak terluah di bibir.
Akur dengan nasihat yang diberikan, Faizal
meniti batu-batu yang tertonjol di permukaan sungai
untuk ke seberang. Tatkala dia berhenti dan mengangkat
muka, gadis misteri itu sudah pun menunggu di
seberang sungai sambil tersenyum lebar.
“Cepatnya dia berjalan.”
Permukaan batu-batu yang terjojol di
permukaan sungai dan menjadi penahan kepada
aliran sungai sedikit licin. Beberapa kali Faizal hampir
terjerumus ke dalam sungai kerana tergelincir. Hanya
kerana semangatnya untuk menunjukkan dia seorang
jantan, dia cuba menyaingi langkah gadis itu. Akhirnya
dia selamat juga sampai ke seberang.
Sebaik-baik sahaja kakinya menjejaki tanah di
seberang, ada sejenis perasaan ganjil menyerbu otaknya.
Rasa tenang menyelimuti seluruh perasaannya.
Ketenangan yang tidak pernah dirasai dan kebahagiaan
yang sukar digambarkan. Untuk seketika, dia sekadar
berdiri menikmati pemandangan di hadapannya tanpa
dia berpaling melihat seberang sungai dan kawan-kawan
yang telah ditinggalkannya. Ikhwan, Anna dan Sofia
seperti tidak pernah wujud dalam hidupnya.
“Cantiknya pemandangan di sini.”
Gadis misteri itu sekadar berdiri tegak
memerhatikan Faizal. Setia dia menanti gerak Faizal
yang seterusnya. Dia seolah-olah sengaja membiarkan
Faizal menikmati pemandangan baharu yang tersaji di
hadapannya.
“Marilah saudara,” ujar gadis misteri itu,
lembut.
Walaupun ingin bertanya lagi tetapi Faizal
memilih untuk akur. Dia memulakan langkah,
menelusuri lorong yang agak bersih dengan
pokok-pokok besar di kiri kanan lorong tersebut
menyerkup daun-daun yang rendang bagaikan pintu
gerbang yang menyambut kedatangannya sekali gus
mewujudkan redupan yang melindungi matahari
daripada mencecah permukaan tanah.
Tiada sebarang lekukan becak. Laluan tanah
merah itu seperti dijaga rapi dengan permukaan yang
rata dan di kiri kanannya, rumput-rumput hijau diparas
pendek. Laluan itu lurus dan seolah-olah menuju
ke infiniti. Di hujung jalan, redupan seakan-akan
membentuk pintu gerbang berlubang cahaya bersaiz
kecil.
Hanya mereka berdua di laluan itu. Faizal
tidak mendengar suara sesiapa pun. Tiada juga
suara unggas yang kebiasaannya menjadikan semak
dan tumbuh-tumbuhan sebagai tempat berhabitat.
Benar-benar sunyi. Kecuali bunyi desas-desus
dedaunan yang saling bergesel sesama sendiri apabila
bayu berpuput. Atau sesekali suara ranting kering jatuh
ke tanah.
Biarpun diasak keganjilan dan rasa ingin tahu
yang membuak-buak, Faizal tetap juga meneruskan
langkah kerana gadis misteri di hadapannya itu
tidak menunjukkan tanda-tanda canggung dengan
kehadirannya. Gadis itu melangkah tenang dengan
lenggang-lenggok yang sesekali membuatkan mata
Faizal tidak lekang melekat pada gegaran daging
punggungnya yang melekat pada kain batik basah.
Ketika melewati dua batang pokok besar
yang entah apa jenisnya di kiri kanan laluan tersebut,
langkah Faizal terhenti. Gadis itu juga turut berhenti
dan berpaling ke arah Faizal.
“Mengapa, saudara?”
Faizal tidak terus menjawab. Sebaliknya dia
cuba menghayati dan menikmati bau yang cukup
wangi dan menyegarkan. Nafasnya ditarik dalam-dalam
dengan mata yang terpejam renik. Seakan-akan ada
sejenis tenaga yang mengalir deras ke dalam puncak
otaknya apabila bauan yang begitu harum menusuk
ke hidungnya. Baunya jauh lebih wangi berbanding
pewangi yang pernah dihidunya. Malah baunya jauh
lebih sedap berbanding minyak wangi mahal yang
sering dipakai oleh orang di bandar.
“Wangi betul. Saya tidak pernah mencium bau
sewangi ini,” Faizal berterus terang.
Gadis itu kedengaran tertawa kecil. Barangkali
dia geli hati melihat gelagat Faizal. Atau boleh jadi
menyindir kepandiran Faizal yang gelagatnya tidak
ubah seperti rusa masuk kampung.
“Kita ini dalam hutan. Bau yang saudara cium
itu adalah bauan semula jadi alam. Kami di sini sudah
biasa dengan bauan seperti itu. Jadi, kami tidak pernah
ambil kisah dan ambil tahu,” ujar gadis itu, bersahaja.
“Saya tak fikir ini bau sejenis bunga. Baunya
lebih keras tetapi...”
“Biarkanlah, saudara. Rasa-rasanya elok kita
teruskan perjalanan. Saudara tentu sudah lapar. Saya
tak fikir dari semalam perut saudara sudah berisi
makanan.”
Gadis itu meneruskan langkahnya. Faizal
ditinggalkan untuk menikmati haruman aneh
yang membuatkan dia semakin kagum. Namun
kekaguman Faizal itu hilang apabila gadis itu semakin
jauh daripadanya. Terpaksalah Faizal berlari untuk
menyaingi langkah perlahan gadis yang masih belum
memperkenalkan namanya itu.
Sama seperti tadi, gadis itu tetap berada di
hadapan Faizal. Laluan lurus itu masih belum sampai
ke penghujung meskipun lubang cahaya di hujung
laluan itu semakin membesar.
“Eh, batu tu...”
Mata Faizal tertancap pada seketul batu besar
yang beratnya mungkin lebih 100 tan. Bahagian atas batu
tersebut datar. Sekeliling batu itu dibaluti kain kuning
selebar dua meter. Pada bahagian kaki batu besar itu
terdapat pelbagai jenis colok dan dulang-dulang kosong
yang sudah pun berlumut. Lorong kecil di sekeliling
batu tersebut menandakan orang yang datang akan
berpusing di sekeliling batu itu seperti bertawaf.
“Saudara pelik?”
“Ya.”
“Jangan hairan. Manusia memang sukar
difahami. Mereka sepatutnya mempunyai Tuhan dan
kepada Tuhan mereka meminta, tetapi manusia tetap
ingin percaya yang Tuhan itu berbentuk zahir meskipun
pada masa yang sama, mereka mengakui mereka
beriman dengan Tuhan yang ghaib. Mereka melihat dan
beranggapan perantaraan itu lebih baik dan lebih cepat
makbul permintaan berbanding meminta terus kepada
Tuhan.”
Faizal terangguk-angguk. Dia bersetuju dengan
pendapat gadis itu meskipun pada masa yang sama, jauh
di sudut hatinya dia sedikit lega kerana dia bukanlah
orang luar pertama yang datang ke kampung tersebut.
Justeru, sepatutnya dia mencampak jauh-jauh sebarang
prasangka atau kebimbangan.
“Masih ada lagi orang yang menyembah dan
meminta dari batu, ya?”
“Masih ramai. Kemajuan dunia hari ini tidak
bermakna manusia semakin berfikiran rasional,
sebaliknya membuatkan mereka semakin ramai yang
meminta bantuan ghaib walaupun mereka juga sedar,
bantuan ghaib bukanlah sesuatu yang pasti.”
Ketenangan dan kematangan suara gadis di
hadapannya benar-benar memukau Faizal. Mungkin
sebelum ini, dia sedikit sangsi memandangkan gadis
itu berada di ceruk hutan, tetapi berdasarkan pada gaya
perbualannya, serta kematangan buah fikirannya, Faizal
yakin gadis di hadapannya itu bukanlah sembarangan
orang. Setidak-tidaknya, dia pernah belajar di luar dari
kepompong kekampungannya. Atau paling tidak, dia
mempunyai hobi membaca atau pergaulannya dengan
bijak pandai.
“Mari, saudara. Kita teruskan perjalanan.”
Perjalanan diteruskan. Semakin jauh Faizal
meninggalkan tebing sungai, dia semakin tertawan
dengan keindahan persekitarannya. Tidak sahaja cantik
dan indah, tetapi juga sunyi, tenang dan damai.
“Kampung ini jauh dari kampung orang. Jarang
orang datang ke sini. Tiada apa-apa yang menarik untuk
orang ramai berpusu-pusu ke kampung saya. Mungkin
sebab itulah saudara tidak melihat pencemaran seperti
yang saudara tengok di luar sana.” Gadis itu seperti
mengerti perasaan Faizal.
“Tapi kampung ini memang cantik... errr...
maksud saya, jalan masuk ke kampung saudari pun dah
cantik. Jadi, saya pasti, kampung saudari juga cantik.”
Gadis itu berpaling sejenak dan menghadiahkan
senyuman untuk Faizal.
“Nanti, bila saudara dah berehat, dah makan,
saya bawa saudara melihat-lihat perkampungan
saya. Orang kampung ini tentu seronok menerima
kedatangan saudara. Saudara orang istimewa.”
“Istimewa?”
Gadis itu tidak menghiraukan pertanyaan
Faizal lagi. Sebaliknya mempercepatkan langkahnya.
Termengah-mengah Faizal cuba menyaingi lantas gadis
itu yang semakin lama semakin pantas.
Ketika Faizal hampir putus nafas, mereka sudah
pun tiba di penghujung lorong. Faizal sempat berpaling,
mengukur jarak laluannya dengan pandangan.
Kemudian menghela nafas panjang, mengosongkan
rasa mengah yang menyesak sehingga ke pangkal tekak.
Nafasnya cuba diatur satu per satu.
Di sebalik rimbunan pokok dan semak samun,
tersaji untuk dilihat oleh Faizal adalah sebuah
perkampungan tradisional Melayu. Tiada sebuah
kenderaan pun walaupun cuma sebuah basikal cabuk.
Tiada juga deruman enjin motosikal, apatah lagi kelibat
kenderaan bermotor lain. Di atas jalan juga, tiada
sebarang kesan bunga tayar, menandakan memang
tiada sebuah kenderaan pun pernah sampai ke kampung
itu.
Hampir kesemua rumah yang ada di kampung
itu adalah rumah kutai. Berbumbung panjang dengan
sudut dinding tepinya dipasang tebar layar yang
diperbuat daripada pelupuh yang berkelarai, manakala
di bawah kaki tebar layar pula terdapat alang para buang
beratap yang biasanya digunakan untuk menyimpan
barang-barang. Rumah-rumah tersebut sama ada
bertiang 12 atau 16 pada rumah ibunya.
Faizal tahu, setiap rumah kutai itu terdiri
daripada ruang serambi, ruang tamu dan bilik. Di
sebelah belakangnya ialah rumah dapur yang dipisahkan
oleh ruang selang yang tidak beratap. Kesemua rumah
kutai itu dibina daripada kayu dan buluh. Kayu untuk
tiang dan rangka bumbung manakala dindingnya
pelupuh dan atapnya pula adalah atap rumbia.
“Rupa-rupanya masih ada perkampungan
macam ni, ya? Masih wujud... saya fikir, perkampungan
tradisional sudah pupus terus dari muka bumi ini.
Kalau ada pun, keadaan rumahnya tidak terjaga,” ujar
Faizal, perlahan.
“Macam yang saya katakan tadi, kampung ni
jauh dari perkampungan lain. Jalan perhubungan pun
dah tak ada. Satu-satunya jalan, ialah laluan yang kita
gunakan tadi. Orang kampung membina rumah mereka
dari bahan-bahan yang ada di sekitar mereka... hutan.”
Tiada sebarang tanda-tanda yang gadis itu akan
melencong ke arah mana-mana satu rumah yang mereka
tempuhi. Sebaliknya langkahnya tersusun menyusur
laluan bersih yang membelah dan membahagikan
perkampungan tersebut kepada dua bahagian.
Namun, tatkala mereka melepasi sebuah selekoh
jalan yang membelah bukit kecil, Faizal terpandang
sebuah rumah kutai agam yang terletak di puncak
sebuah bukit kecil. Hanya ada tiga batang pokok besar
di dada bukit tersebut dan kehijauan selebihnya adalah
tercipta daripada rumput yang terjaga rapi.
“Itulah rumah saya,” kata gadis itu sambil
menarik tangan Faizal. Barangkali memberi isyarat atau
gesaan agar Faizal mempercepatkan langkahnya dan
tidak lagi terus terbuai dengan keindahan panorama di
sekelilingnya.
Sememangnya Faizal kagum. Rumah kutai itu
jauh lebih besar, lebih cantik dan lebih menampakkan
yang penghuninya merupakan orang yang berpengaruh
di kampung itu.
“Saudari...”
“Melati... nama saya Melati.” Gadis itu
memotong kata-kata Faizal dengan pantas.
“Melati?” Faizal seperti meminta kepastian
daripada gadis itu. “Err... nama saya Faizal.”
“Marilah. Bapa saya sudah menunggu saudara.”
“Panggil saya Faizal saja. Tak payahlah
bersaudara-saudara.”
“Maafkan saya.”
“Tak mengapa.”
Tangga rumah besar di puncak anak bukit itu
bersih. Tiada walau sepasang kasut atau selipar pun di
kaki tangga. Sebaliknya yang tersedia di kaki tangga
adalah sebuah tempayan yang agak besar berukir dua
ekor naga sedang berjuang pada dadanya, dan sebuah
batok yang tersangkut pada sebatang kayu yang dicacak
separas pinggang lelaki dewasa.
Melati seperti mengerti perasaan Faizal. Dia
berdiri di atas batu alas anak tangga. Mengambil batok
yang tersangkut, menceduk air di dalam tempayan dan
mencurah ke kedua-dua belah kakinya, membersihkan
kekotoran, habuk dan debu kerana perjalanan panjang
tadi. Berkali-kali dia menggenyeh kakinya antara satu
sama lain sambil menarik hujung kain batik kembannya
sehingga menampakkan perut betisnya yang putih
gebu.
Faizal terbelalak. Meskipun dia sudah melihat
lebih daripada itu, tetapi dapat melihat perut betis
Melati bagaikan satu pemandangan yang terlalu asing
dan baharu kepadanya. Dia seperti terkena renjatan
elektrik tatkala terpandang betis Melati. Seperti telur
rebus yang baru dikupas, gebu dan mulus. Tumitnya
juga kemerah-merahan.
Melati berpaling ke arah Faizal. Senyuman
tidak lekang daripada bibirnya.
“Marilah naik. Jangan segan-segan.”
Sentuhan lembut Melati pada bahunya
membuatkan Faizal seperti baru tersedar daripada
lamunan panjang. Namun selepas dia menanggalkan
kasutnya, sekali lagi Faizal seperti hilang pedoman. Dia
tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Sama ada perlu
mendaki anak tangga itu dahulu dan kemudian dianggap
biadab kerana tidak tahu adab atau membersihkan
kakinya, sama seperti yang dilakukan Melati sebagai
menghormati tatasusila di perkampungan tradisional
seperti itu.
‘Takkan nak basuh kaki sedangkan kaki
aku tak kotor,’ bisik hatinya. Namun benaknya
membuat keputusan tanpa perlu menunggu lama. Dia
mengulangi perbuatan Melati sebelum mendaki anak
tangga. Benaknya berbisik, setidak-tidaknya itu adalah
syarat sebagai tanda dia menghormati Melati.

No comments:

Post a Comment