TIDAK lama kemudian, mereka bertiga
sudah berada di luar bilik kecemasan hospital. Sufiya
masih berada di dalam bilik untuk pemeriksaan
lanjutan. Tidak ada apa lagi yang mampu mereka
lakukan selain menunggu.
“Petang tadi sewaktu saya ke rumah, dia elok
saja,” cerita Intan yang masih terkejut dengan kejadian
itu.
Ustaz Muiz hanya diam. Dia sendiri tidak
menyangka perkara itu akan terjadi. Meskipun usia
Sufiya sudah melepasi 50 tahun, namun sepanjang
tempoh kehamilan yang hampir memasuki tempoh
8 bulan, Sufiya tidak pernah mengalami masalah
kesihatan yang kronik. Kejadian itu benar-benar
mengejutkan, namun dia akur dengan ketentuan
Tuhan.
“Mujurlah Kak Sufiya pengsan sewaktu ustaz
ada di rumah,” sambung Karim pula.
“Syukurlah,” balas Intan yang masih lagi
tergamam.
“Siapa keluarga pesakit yang bernama Sufiya
Suhaimi?” Seorang jururawat berteriak di tepi kaunter
wad kecemasan.
Ustaz Muiz bergegas pergi. Dia dibawa masuk
untuk bertemu dengan doktor. Kira-kira setengah jam
kemudian, dia keluar dengan tenang.
“Kak Sufiya dah sedar?” Intan terus bertanya.
“Belum,” jawab Ustaz Muiz. “Dia masih tak
sedar dan doktor akan tahan di wad.”
“Doktor kata apa?” tanya Intan lagi.
“Sebenarnya... doktor pun tak tahu kenapa dia
pengsan. Doktor kata, semua bacaan okey. Jadi doktor
nak pantau beberapa hari lagi.”
Kesemua yang ada terdiam.
Pada malam itu, Intan menawarkan diri untuk
menjaga Sufiya di wad. Sementara Ustaz Muiz dan
Karim balik berehat sehingga keesokan harinya.
MENJELANG TENGAH malam, Budin baru sampai
semula ke rumah. Badannya basah lencun dengan
peluh dan berbau busuk. Kesan tanah kubur memenuhi
pakaian dan kakinya.
“Pergi mandi dulu,” arah Salim yang sudah
sedia menunggu di tangga. Dia yakin Budin sudah
melakukan apa yang disuruh dengan baik. Adiknya itu
selama ini tidak pernah berani melawan kata-katanya.
Suruhlah apa pun, Budin akan tetap melakukannya
tetapi dengan syarat mendapat imbuhan duit.
Setengah jam kemudian, Budin datang
menemuinya di bilik khas.
“Apa yang abang suruh buat semua aku dah
buat,” ucap Budin dengan sekali nafas. Separuh helai
kain batik milik Sufiya diserahkan ke tangan Salim.
Kain batik itu diambil lalu diletakkan di dalam
dulang berdekatan bekas bara. Menggigil tangannya
menahan gejolak di dada. Dapat dirasakan kemenangan
sedang berpihak kepadanya.
“Kubur siapa? Pak Deraman?” Salim meneka.
Kalau mengikut syaratnya, mayat yang dikebumikan
mestilah tidak lebih dari 7 hari. Meninggalnya pula
selepas waktu maghrib. Setahunya, di dalam kampung
itu hanya Pak Deraman yang meninggal belum
seminggu lamanya. Tidak tahulah kalau ada yang dia
terlepas pandang.
“Orang lain. Ni... kubur anak Lebai Usin. Baru 2
hari meninggal. Jatuh semasa memanjat pokok petai.”
Salim terangguk-angguk. Dia memang tidak
tahu soal itu.
“Tak ada orang jaga?” Dia bertanya. Meskipun
dia tahu di kampung itu bukan kebiasaannya kubur
dijaga selama 40 hari 40 malam seperti di sesetengah
tempat.
“Kubur tu jauh di hujung tanah. Mana ada
orang berani ke situ selepas senja?” jawab Budin
bercampur bangga.
“Dah buat seperti yang aku suruh?”
“Dah. Saya dah ikat balik mayat tu dengan kain
batik bini ustaz tu.”
“Bagus. Selagi orang tak jumpa kain tu, selagi
tu dia akan mereput bersama mayat tu,” jawab Salim.
Di matanya terbayang kerja-kerja yang telah dilakukan
Budin. Daripada mencuri kain batik isteri Ustaz Muiz
dari ampaian sampailah mengikat mayat anak lebai
dalam kubur yang telah digali semula sejak senja tadi.
Tentu Budin penat.
“Tapi...” Bulu roma Budin merinding.
“Mari sini.” Salim menggamit agar Budin
mendekatkan kepala ke arahnya.
Apabila Budin mendekat, dibacakan mantera
dan diraup muka Budin menyongsang dari bawah ke
atas lalu rambut Budin dicekak sebelum dilepaskan ke
atas bersama hembusan mantera.
“Abang dah buang segala badi yang mengikut
engkau tu. Engkau akan lupa semua yang engkau
nampak dan cium di dalam kubur tadi. Pergilah tidur
dulu. Engkau dah letih.”
Budin tersengih lebar. Bukan kerana Salim
telah membuang segala rasa tidak enak yang melingkari
dirinya sejak meninggalkan kubur tadi, tetapi kerana
dihulurkan 3 keping duit kertas 50 ringgit di tangannya.
“Tidur dulu, bang.” Dia segera angkat
punggung.
Salim hanya memandang. Dia duduk di
situ menambah serpihan kemenyan sambil meratib
mantera. Kemudian kain batik milik Sufiya yang
tinggal sebahagian itu dilayur di atas asap beberapa kali
sebelum dikoyak-koyak. Kain batik itu digulung dan
diikat seperti mayat yang dikafankan.
DI WAD, Sufiya tiba-tiba terjerit dan bingkas duduk.
Intan yang baru melelapkan mata di atas kerusi
kelam-kabut berdiri. Jururawat yang sedang memeriksa
tekanan darah pesakit bersebelahan segera datang
melihat. Kedua-duanya bingung.
“Kak Sufiya?”
Intan kehilangan kata-kata. Tadi Sufiya
terjerit dan duduk tegak, sekarang Sufiya pengsan
semula. Dia bukan bermimpi kerana jururawat juga
menyaksikannya.
Sementara jururawat memeriksa Sufiya, Intan
memerhati dari jauh. Dapat dilihat ada titisan jernih
yang mengalir dari kelopak mata Sufiya yang terpejam.
Keadaan itu menghadirkan rasa sebak dalam dada.
Dapat dirasakan Sufiya dalam keadaan terseksa dan dia
tidak tahu bagaimana mahu menolongnya.
“Nurse...” Intan mahu bertanya kalau-kalau ada
perubahan setelah kejadian tadi.
Jururawat hanya memandang Intan sekilas
lalu. Setelah pemeriksaan dibuat, dia mahu beredar ke
katil lain.
“Dia pengsan balik. Tapi tekanan darah dan
denyutan nadi dia normal. Denyutan jantung anak pun
dalam keadaan normal.”
Intan bungkam. Keadaan itu sukar diterima
akal namun tetap membimbangkan. Setelah dilihatnya
Sufiya tidak bereaksi semula, dia memutuskan untuk
ke bilik air. Beberapa minit kemudian, dia balik ke katil
Sufiya dan kali ini dia tergamam besar sehingga dia
terkaku dengan mata yang buntang.
Ada sekujur mayat yang berkain kafan penuh
terbaring kaku di atas tubuh Sufiya.
“Kak...” tegur seorang jururawat apabila Intan
berdiri tegak di tengah laluan.
“Astaghfirullahaladzim...” Intan tersedar dan
menoleh ke sisi dengan tergigil-gigil. Jururawat tadi
memandangnya dengan wajah yang pelik. Apabila dia
menoleh semula ke arah katil Sufiya, mayat tadi telah
hilang.
“Kakak kenapa?”
Intan menelan air liur. Pertanyaan itu dibiarkan
mati sendiri.
Selepas itu dia tidak mampu lagi melelapkan
mata. Dia tidak mampu menghapuskan bayangan yang
dilihat tadi. Terasa malam itu terlalu panjang.
TEPAT PADA pukul 2.30 pagi, Ustaz Muiz terjaga
semula. Seperti kelazimannya pada setiap malam, dia
bangun membersihkan diri dan mendirikan solat sunat
hingga ke subuh. Pada malam itu dia berasa amat
berbeza. Ingatannya tertumpah kepada Sufiya dan anak
dalam kandungan yang masih belum lepas daripada
keadaan yang membingungkan.
Selesai mendirikan solat sunat wuduk, dia
mendirikan pula solat sunat taubat dan seterusnya solat
sunat tahajud. Setiap kali dia berdoa, tidak putus dia
mendoakan Sufiya dan anaknya. Hanya Allah SWT yang
mengetahui hikmah di sebalik apa yang berlaku dan dia
sepenuhnya percaya pada apa yang ditentukan Allah
untuk mereka bertiga nanti.
Sampailah pada satu ketika dia rukuk untuk
rakaat kedua solat sunat tahajud, satu bayang
hitam melintas di sebelah kirinya. Dia abaikan dan
meneruskan gerakan solat sehinggalah dia mengangkat
kepala untuk duduk tahiyat akhir, seekor ular tedung
yang besar berdiri di hadapannya.
Ular itu memanggung dan mengembangkan
kepalanya yang besar. Terlihat jelas, warna kuning dan
hitam yang menjadi coraknya. Kedua-dua matanya
merenung tepat ke muka Ustaz Muiz seperti mengawasi
setiap gerakan.
Ustaz Muiz terkaku beberapa saat. Apabila dia
memberi salam ke sebelah kiri, didapatinya ulat tedung
tadi telah tiada.
Dia menoleh ke sekitar tempat dia bersolat,
kalau-kalau ternampak ular tadi tetapi ia tetap tidak
kelihatan di mana-mana. Setelah puas mencari, dia
kembali ke atas sejadah dan meneruskan wirid dan doa.
Dia faham sebagai hamba Allah, dia selayaknya
diuji dan ujian Allah itu akan datang dalam pelbagai
bentuk dan rupa. Dia memohon kesabaran dan
kekuatan. Tiada tempat kembali selain kembali kepada
Allah dalam situasi apa pun jua.
Dia juga berdoa semoga Sufiya dan anak dalam
kandungan itu kuat dan dilindungi Allah sepanjang
masa.
Pukul 4.30 pagi, dia ke rumah Karim. Dia
mengajak Karim berjemaah di surau hospital sebelum
melihat Sufiya dan Intan.
“DAH LAMA sampai?” Intan bertanya sebaik sahaja
keluar dari wad perempuan. Ketika itu baru sahaja
pukul 8.00 pagi. Dia terkejut apabila mendapat pesanan
daripada seorang jururawat bahawa ada lelaki hendak
berjumpanya di luar.
“Sebelum subuh kami dah sampai.” Karim
menjawab. Mereka bertiga pergi bersarapan di kantin
hospital yang terletak di bangunan berasingan.
“Kenapa tak beritahu awal-awal?”
“Kami ingat Intan tidur lagi. Tak mahulah
ganggu,” jawab Karim sejujurnya. Ustaz Muiz hanya
tersenyum nipis.
“Tidur apanya?” Intan menahan tangis.
“Kenapa pula tak tidur?” Karim dan Ustaz Muiz
sama-sama terperanjat.
Intan bergumam. Kalau boleh, ingin diceritakan
pada masa itu juga segala yang telah berlaku pada
malam tadi. Dia masih diselubungi rasa tidak tenteram.
Belum pernah dia berasa terganggu seperti itu dalam
hidupnya. Terusik sedikit pun dia akan terperanjat
bukan main.
“Macam mana keadaan Kak Sufiya?” Ustaz Muiz
pula bertanya.
“Malam tadi... malam tadi dia terbangun
sekejap,” jawab Intan.
“Alhamdulillah.” Senyuman Ustaz Muiz
merekah. Begitu juga dengan Karim.
“Tapi sekejap saja. Dia terjerit, kemudian
tumbang balik.” Intan menambah.
“Terjerit?” tanya Karim.
Ustaz Muiz berubah air muka.
Intan mengangguk lalu diceritakan secara
terperinci apa yang telah terjadi kepada Sufiya.
“Tapi...” Dia kembali serba salah apabila
teringatkan hal yang masih membelenggu fikirannya.
Tangannya yang sedang memegang sudu tergigil-gigil.
“Kenapa tergigil-gigil tu?” Karim menegur
sikap Intan.
Intan melirik ke arah Ustaz Muiz sebelum
kembali merenung wajah suaminya. Dia menceritakan
apa yang dia lihat pada malam tadi. Itu pun cukup
untuk buat dia berdiri bulu roma. Rasanya seperti
tidak sanggup lagi untuk dia menemani Sufiya pada
malam-malam seterusnya.
Mata Ustaz Muiz membesar kemudian tunduk
merenung jauh.
“Sekejap lagi Intan baliklah dengan Karim.
Tidur dan berehat. Biar saya jaga Sufiya.” Setelah
berfikir, dia membuat keputusan itu. Dia tahu Intan
sangat terganggu. Dia sendiri rasa ada yang tidak kena
di mana-mana.
“Gangguan dari tempat ini atau macam mana
tu, ustaz?” tegur Karim sewaktu mereka berjalan balik
ke wad.
“Kita tak boleh tergesa-gesa menuduh,” balas
Ustaz Muiz. Dia teringat akan kejadian ular tedung pada
awal pagi tadi. Semuanya seolah-olah memberi petanda
bahawa dia sedang berhadapan dengan ancaman ilmu
hitam, namun dia juga berharap semua itu hanyalah
satu prasangka yang perlu ditepis.
No comments:
Post a Comment