DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 30 June 2019

Kampung Hilang - Bab 7

“NAK tunggu berapa lama lagi? Dah nak
masuk senja ni. Kelibatnya tak kelihatan pun.”
“Ah, kawan kau ni betul-betul menyusahkanlah!”
“Sofia, kan Faizal tu kawan kau juga.”
Sofia mendengus. Menghela nafas panjang
tanda marah. Batang pokok yang entah apa spesiesnya
ditekan dengan siku. Dia membuang pandangan ke
arah sungai.
“Sebab tu aku kata, elok kita keluar dari sini.
Dapatkan bantuan daripada orang kampung. Orang
kampung tentu tahu selok-belok tempat ni. Kalau kita
masuk mencari, nanti kita pula yang sesat.”
“Ikhwan, kalau kau ikut dia sekali semalam,
tentu tak jadi macam ni,” Sofia masih bersuara kesal.
“Kau pun tahu perangai Faizal tu macam mana,
Sofia. Bukan salah Ikhwan.” Anna cuba mengurangkan
ketegangan sekali gus tuduhan liar Sofia.
“Menyusahkan dan melambatkan!”
Ikhwan mencebik. Biarpun kesal dengan
tuduhan Sofia, namun Ikhwan juga enggan
memanjangkan pertengkaran dengan Sofia. Dia kenal
dan masak benar dengan perangai Sofia. Sofia biarpun
mempunyai raut wajah yang cantik, tetapi kerasnya
melebihi lelaki. Pantang tercabar, Sofia pasti akan
mengajak bertumbuk. Ikhwan sedar, dia tidak mungkin
akan menang kalau bergaduh dengan Sofia.
Sofia masih dengan kekesalannya.
Ikhwan tunduk merenung ibu jari. Anna pula
mencungkil-cungkil tanah di hadapan bekas nyalaan
unggun api. 2 buah khemah di belakang mereka masih
terpacak. Periuk dan cerek untuk memasak masih lagi
berada di para yang diperbuat daripada susunan buluh.
“Apa kita nak buat sekarang?” Sofia bersuara
perlahan setelah marahnya sedikit reda.
“Aku rasa lebih baik...”
“Kau diam! Aku tak tanya kau!” Sofia berpaling
dan menjegilkan matanya kepada Ikhwan.
Ikhwan menekur sehingga dagunya berlaga
dengan dada.
“Kau ni dah kenapa, Sofia? Asyik nak marah
saja.”
“Aku marah sebab kawan kau ni pengecut sangat.
Kan dah cakap awal lagi, kalau nak ke mana-mana pun
waktu malam, mesti berteman. Mesti maklumkan
kepada kawan-kawan lain. Jangan memandai-mandai.
Ini kawasan Kampung Hilang.”
“Kalau kau marah-marah sekalipun, Faizal
tetap tak balik juga. Kita tetap kena cari jalan untuk
cari, selamatkan dia atau paling tidak, keluarkan dia
kalau dia terperangkap dalam kawasan bahaya,” Anna
bersuara perlahan, tetapi tegas.
Ikhwan menumbuk-numbuk tanah. Kalau
diikut-ikutkan hatinya, mahu sahaja dia meninju
mulut Sofia. Biar hilang comel wajah itu. Biar
bibirnya memayung macam bibir ikan keli. Biar
giginya tertanggal satu atau dua batang. Namun
Ikhwan masih sedar Sofia tidak akan membiarkan dia
melakukan sebagaimana yang terdapat dalam bayangan
keinginannya. Sofia pasti melawan dan dia pasti akan
tersungkur dengan mudah.
“Tak sudahnya kita duduk menunggu di
khemah. Aku rasa, betullah macam yang Ikhwan
cadangkan tadi. Kita keluar dari tempat ini, dapatkan
bantuan orang kampung dan kemudian kita lapor
kepada polis.”
“Kalau Faizal muncul dan kemudian tengok
kita tak ada?”
“Kita bagilah isyarat kepadanya yang kita balik
ke kampung itu. Tinggallah tanda-tanda apa pun. Yang
penting, dia tahu kita terpaksa keluar dari sini untuk
dapatkan bantuan.”
Sofia terdiam sebentar. Ikhwan berpandangan
dengan Anna. Kembang hatinya kerana Anna berjaya
melembutkan ketegaran Sofia.
“Kita perlu datang balik ke sini? Macam mana
kalau aku saja yang tunggu di sini? Kau berdua keluar
dan dapatkan bantuan,” Sofia memberi cadangan.
“Jangan jadi gila! Nanti Faizal kita tak jumpa,
kau pula yang hilang tak berjejak.”
“Kalau orang kampung enggan membantu?”
“Mustahil orang kampung tak mahu membantu.
Jarang sangat orang kita menolak apabila ada orang
yang memerlukan bantuan.”
“Masalahnya, kita nak cakap apa? Kenapa kita
di sini?”
“Kita cakap sajalah perkara yang betul. Kita
berterus terang.”
“Kau dah lupa macam mana air muka orang kat
warung tu bila kita kata kita nak cari Kampung Hilang?
Kau dah lupa, orang tua tu dah bagi amaran kepada
kita supaya kita jauhkan diri dari Kampung Hilang?
Kau dah lupa macam mana kakak kedai tu tenung aku
macamlah aku dah buat salah besar kat dia?”
“Aku ingat.”
“Habis tu? Setelah kita langgar segala pantang
larang dan tegahan mereka, kau fikir mereka masih nak
bantu kita?”
“Sudah pasti,” kata Anna meskipun dia
sebenarnya turut ragu-ragu dengan jawapannya.
“Semua ni gila!” Sofia menumbuk batang pokok
itu. Bergegar juga ranting-ranting di pokok tersebut.
“Gila tak gila, itu saja pilihan yang kita ada. Aku
tak sanggup tunggu lagi di sini walaupun cuma satu
malam. Hari dah nak senja. Sebelum gelap, lebih baik
kita keluar dari tempat ni.”
“Aku setuju,” Ikhwan bersuara takut-takut.
Sofia menghela nafas panjang. Dia mengangguk
kecil.
“Kalau sudah begitu, kemaskan barang-barang.
Kita keluar.”
Keputusan yang diberikan oleh Sofia benar-benar
menyenangkan hati Ikhwan. Dia tidak menunggu
lama. Barang-barang dari dalam khemah dikeluarkan.
Disusun setempat. Kemudian diasing-asingkan. Ada
yang dimasukkan ke dalam beg sandangnya dan
sebahagiannya pula dimasukkan ke dalam beg galas
milik Faizal. Selesai mengemas barang-barang, khemah
yang digunakan untuknya dan Faizal pula diruntuhkan.
Tidak lama masa yang diambil untuk menggulung dan
kemudian memasukkan gulungan khemah tersebut ke
dalam beg khas bersama-sama rangka dan tali khemah.
Sofia dan Anna masih terkial-kial untuk
menyiapkan barangan mereka. Ikhwan segera
menghulurkan bantuan. Dia membiarkan Anna dan
Sofia mengemaskan beg galas mereka, sedangkan dia
sendiri meruntuhkan khemah kedua-duanya.
“Dah selesai. Kita keluar sekarang,” kata
Ikhwan.
“Periksa dulu kalau-kalau ada barangan lain
yang tertinggal. Aku tak mahu berpatah balik bila dah
mula keluar dari sini,” balas Anna.
“Aku dah periksa. Barangan aku dan Faizal
semua dah ada dalam beg galas,” ujar Ikhwan, yakin.
Selepas berpuas hati, ketiga-tiganya memulakan
perjalanan keluar. Ikhwan terkial-kial kerana terpaksa
membawa dua buah beg galas yang sarat.
Ketika mereka sampai di tubir jalan bertar,
cahaya telah pun remang-remang. Tiada sebarang deru
enjin kedengaran. Tiada juga sebarang kelibat manusia
atau suara orang kampung. Jarak dari tempat mereka
berada dengan Kampung Sebelah masih jauh.
Sofia merungut-rungut kecil. Tidak diketahui
biji butirnya. Namun jelas menunjukkan yang dia
tidak berpuas hati kerana segala rancangan terbantut
angkara Faizal yang menghilangkan diri.
Ikhwan sekadar memerhatikan gelagat
kawannya itu. Anna tidak seperti Sofia, kelihatan lebih
tenang sambil mengatur langkah tanpa menghiraukan
persekitaran yang semakin kelam. Cuma sesekali dia
berhenti dan memerhati sekeliling seolah-olah sedang
cuba memastikan bahawa laluan yang mereka gunakan
itu adalah betul dan mereka tidak akan tersesat jauh
dari destinasi yang dituju.
Dia kembali mengingati cerita Faizal yang
akhirnya mendorong mereka berempat datang ke
tempat itu. Kata Faizal, arwah bapanya pernah datang ke
kampung tersebut bersama beberapa orang kawannya.
Ketika mereka singgah di Kampung Sebelah yang
menjadi penempatan semula penduduk asal Kampung
Hilang itu, mereka cuba dihalang memasuki Kampung
Hilang yang sudah pun bertukar menjadi hutan biarpun
masih terdapat rumah-rumah lama yang belum runtuh
sepenuhnya.
Namun larangan tersebut tidak dipedulikan.
Keterujaan dengan pelbagai kisah mistik dan misteri
yang membelenggu Kampung Hilang membuatkan
arwah bapa Faizal dan kawan-kawannya melupakan
bahaya yang diperkatakan. Malahan, mereka
menganggap bahaya tersebut sebagai satu cabaran atau
cerita-cerita kosong bagi mewajarkan pemindahan
penduduk kampung dari perkampungan asal mereka.
Awal tahun 1990-an, pembangunan bagaikan
banjir besar yang melanda di segenap pelosok negara.
Kaum dan agen-agen kapitalis bermaharajalela. Orang
kampung yang sudah biasa dengan kesempitan hidup
ditawarkan dengan sejumlah wang yang banyak.
Kebanyakan orang kampung pada waktu itu tidak
pernah bermimpi yang suatu hari akan ada pihak yang
berminat untuk menabur wang kepada mereka.
Justeru, banyak perkampungan terutama sekali
yang tanahnya mempunyai nilai strategik dan komersial
diambil alih atas nama pembangunan. Orang kampung
yang sebelum itu tinggal di rumah-rumah kayu,
dihadiahkan rumah-rumah separa batu yang keluasan
tanahnya tidaklah seberapa berbanding tapak rumah
asal. Namun kebanyakan orang kampung menerima
perubahan tersebut dengan dada yang terbuka dan
menganggap sebagai salah satu pengorbanan untuk
memajukan negara.
Disebabkan itulah Faizal meyakinkan
kawan-kawannya bahawa Kampung Hilang sebenarnya
adalah mangsa keserakahan dan kehalobaan kaum
kapitalis yang turut dikuatkuasakan oleh golongan
penguasa yang lapar habuan.
Misteri kematian kawan-kawan arwah bapa
Faizal sebenarnya lebih terarah kepada perbuatan
khianat. Itulah yang dipercayai dan dipegang oleh
Faizal.
“Mana ada sesuatu yang berlaku tanpa
penjelasan konkrit. Hidup di dunia ini perlu logik.
Setiap kejadian perlu ada penjelasan,” kata Faizal
ketika Ikhwan cuba mengaitkan fenomena ghaib dalam
misteri kehilangan dan kematian kawan-kawan arwah
bapanya di Kampung Hilang.
Sama seperti arwah bapa Faizal dan
kawan-kawannya, mereka juga dihalang ke Kampung
Hilang ketika singgah di sebuah gerai di Kampung
Sebelah. Tiada sesiapa pun yang sudi menunjukkan
jalan ke Kampung Hilang. Petunjuk lama yang ada
pada mereka hanyalah kewujudan sebatang jalan tar era
Perang Dunia Kedua yang diyakini penuh semak samun
dan tidak lagi digunakan oleh sesiapa pun apabila jalan
baharu yang menjauhi Kampung Hilang dibina oleh
pihak berkuasa.
Petunjuk itu pun mereka tidak jumpa. Namun
Faizal yang cukup yakin kononnya mereka telah sampai
ke kawasan yang dituju, akhirnya membawa mereka
berkhemah di dalam hutan, tidak jauh dari sebatang
sungai. Belum pun beberapa jam, Faizal hilang dan
mereka terpaksa keluar dari hutan itu, mencari gerai
yang menjadi tempat persinggahan 2 hari lepas.
“Telefon kau ada line?” Anna tiba-tiba bersuara.
Cepat-cepat Ikhwan meraba kocek seluarnya.
Telefon pintar yang dibeli menggunakan baki wang
pinjaman PTPTN, segera dihidupkan. Wajah dan
gambar aksinya terpampang pada permukaan skrin
telefon pintarnya.
“Tak ada line langsung.”
“Samalah... telefon aku pun tak ada line.” Anna
mencuit bahu Sofia. “Tengok telefon kau. Kau pakai
line apa? Mungkin telefon kau ada line.”
Perjalanan mereka terhenti lagi. Kelam
malam mula menyerkup persekitaran mereka. Hanya
cahaya daripada skrin telefon masing-masing yang
menandakan wujudkan ketamadunan di tempat itu.
“Samalah. Teruk betul tempat ni. Langsung tak
ada line.”
“Kawasan hutan. Barangkali ini adalah
kawasan paling hujung yang tak begitu penting. Sebab
itulah syarikat telekomunikasi tak dirikan menara
telekomunikasi di sini,” kata Ikhwan.
“Ahhhh!” Sofia meneruskan langkahnya
semula. Namun baru beberapa langkah, dia berhenti
lagi. Kali ini, beg galasnya dijatuhkan ke tanah.
Berbekalkan lampu dari skrin telefonnya, dia mencari
sesuatu di dalam beg galasnya.
Sedar apa yang cuba dilakukan oleh Sofia, Anna
turut menurunkan beg galasnya. Manakala Ikhwan pula
meraba-raba ke dalam beg galas Faizal yang dibawanya.
“Kau berdua perasan tak?” Anna bersuara
perlahan, separuh berbisik.
“Apa?” Sofia cuba membeliakkan matanya
meskipun Anna dan Ikhwan tidak peduli.
“Tempat ni betul-betul sunyi.”
Anna dan Ikhwan seperti baru perasan. Mereka
tercangak-cangak. Ikhwan cuba menyalakan lampu
suluh yang diperolehnya dari dalam beg galas Faizal,
tetapi dihalang oleh Anna dengan pantas.
“Jangan suluh!” suara Anna sedikit keras.
“Kenapa?”
Anna tidak menjawab.
Sofia meskipun tidak diarahkan oleh Anna akur.
Mereka bertiga berdiri di dalam gelap. Telinga
terpasang. Cuba menangkap sebarang bunyi yang boleh
dikaitkan dengan alam. Satu-satunya bunyi yang ada,
hanyalah pergerakan mereka dan nafas masing-masing.
“Kau ada rasa apa-apa tak?” bisik Anna kepada
Ikhwan.
Ikhwan meraba-raba belakang tengkuknya.
Dia membesarkan matanya, cuba menembusi kelam
malam di sekitar mereka. Kepalanya dirasakan seperti
besar sebelah. Bahunya terasa seperti ditekan tangan
ghaib berkuku tajam. Kulit lengannya pula mencering
dengan bulu-bulu roma terpacak bagaikan duri enau.
Dia mahu memberitahu segala yang dirasakannya
itu kepada Anna dan Sofia. Namun memikirkan Sofia
mungkin akan menjatuhkan hukuman kepadanya,
Ikhwan memendamkan perasaannya jauh-jauh. Pun
begitu, dia cuba merapatkan diri dengan Anna.
“Jomlah cepat kita tinggalkan tempat ni. Perut
aku pun dah lapar.”
Ikhwan tahu, Sofia sengaja menjadikan perut
dan kelaparan sebagai alasan. Jauh di sudut hatinya,
dia dapat berasakan yang Sofia juga sepertinya, dilanda
ketakutan dan curiga.
“Kita datang dari arah ini atau... belakang?”
Anna cuba mendapatkan kepastian.
“Depan.” Sofia menjawab pantas dan tanpa
ragu-ragu.
“Aku tak rasa kita datang dari arah depan
ni.” Ikhwan menghidupkan lampu suluh dan mula
menyuluh kawasan sekitar, mencari sebarang petunjuk
yang boleh mengingatkan semula dia kepada jalan
masuk ke tapak perkhemahan mereka sebelum ini.
“Matikan lampu picit kau!” arah Sofia dengan
nada keras.
Ikhwan tidak peduli dengan arahan Sofia. Dia
terus menyuluh dan akhirnya suluhannya mendarat ke
rimbunan pokok senduduk.
“Kau berdua ingat pokok senduduk tu?” Ikhwan
menggerak-gerakkan lampu suluh yang memancarkan
cahaya terus ke rimbunan pokok senduduk di tepi jalan.
“Kenapa?”
“Kan masa kita datang, pokok senduduk tu
di sebelah kiri kita. Maknanya, kita datang dari arah
belakang.”
“Jangan mengarut! Aku ingat lagilah! Aku
belum lupa, kita datang dari arah depan ni,” Sofia cuba
mempertahankan pendapatnya.
Ikhwan hilang sabar. Kedegilan yang
ditunjukkan oleh Sofia seperti langsung tiada batasan.
Sikap sebenar Sofia benar-benar menjengkelkan.
“Yang kau berkeras sangat ni kenapa, Sofia?”
Ikhwan akhirnya meluahkan rasa tidak puas hatinya.
“Tak betul ke apa yang aku cakap?” Sofia
semakin mengeraskan suaranya.
“Memang tak betul pun! Kalau ikut jalan kau
tu, memang jauh kita tersesat nanti.”
“Tak ada sesatnyalah! Ini jalan tar. Penghujung
jalan tar ini, mesti ada rumah dan kampung orang.”
“Kalau jaraknya berkilometer atau berbelas
kilometer, macam mana?”
“Aku tak percaya tempat ini besar sangat.
Hutan ini pun tidak seluas mana,” Sofia tetap dengan
keras kepalanya.
“Walaupun tak luas, tempat ini orang tak lalu.
Yang ada di sini cuma kita,” balas Anna yang mulai
bosan dengan sikap Sofia.
“Sebab tu aku kata, kita jalan terus.”
“Jalan tu salah. Jalan sebenarnya, di belakang,”
jawab Ikhwan.
“Suka hati kau oranglah! Kalau kau berdua
nak berpatah balik, silakan. Aku nak jalan terus.” Sofia
menghidupkan lampu suluhnya, mengangkat beg dan
menggalasnya sebelum memulakan langkah pantas.
Ikhwan dan Anna berpandangan. Namun
akhirnya, mereka terpaksa mengekori Sofia yang
semakin lama semakin laju langkahnya.
Hampir 10 minit mereka berjalan, tiada
sebuah rumah apatah lagi perkampungan yang mereka
temui. Gerai tepi jalan tempat mereka berhenti untuk
membasahkan tekak dan bertanyakan arah 2 hari lepas
pun masih tidak kelihatan. Malahan, mereka seperti
memasuki sebuah kawasan yang jauh lebih padat hutan
dan tumbuh-tumbuhannya.
“Sofia! Berhenti!” Anna bersuara separuh
menjerit.
Akur, Sofia berhenti dan berpaling.
“Kenapa?”
“Kau tak rasa apa-apa ke?”
“Rasa apa?”
“Masa kita datang 2 hari lepas, kita mana lalu
tempat macam ni. Tengok tu.” Anna menyuluh ke arah
serumpun buluh yang tumbuh subur agak jauh sedikit
dari tepi jalan. “Aku tak rasa dan tak ingat langsung kita
ada jumpa rumpun buluh macam tu.”
Ikhwan mengeluarkan telefonnya dan cuba
melihat sekiranya ada liputan talian di kawasan tersebut.
“Kau tengok apa? Kawasan ni tak ada line
telefon!” bentak Sofia.
Ikhwan tidak menghiraukan bentakan Sofia.
Sebaliknya dia bergerak ke arah yang difikirkannya
dapat menangkap liputan telekomunikasi.
“Dapat?” tanya Anna apabila Ikhwan berhenti
melangkah dan menekan-nekan butang pada telefonnya.
“Ada, tapi lemah sangat. Sekejap ada, sekejap
hilang.”
Anna dan Sofia terus mendapatkan Ikhwan.
Menjenguk telefon Ikhwan sebentar sebelum
mengeluarkan telefon masing-masing.
“Aku dapat tapi ‘E’.”
“Cuba buka Maps. Mana tahu boleh?” Sofia
merendahkan suaranya.
Jikalau tidak disuruh oleh Sofia pun,
sememangnya itulah yang hendak dilakukan oleh Anna.
Berjalan tanpa haluan yang pasti, hanya membuang
masa dan tenaga. Apatah lagi perut masing-masing
mulai dicerut kelaparan.
“Apa nama kampung tu?” tanya Ikhwan.
“Entah... Berapa jauh kampung terhampir
dengan kedudukan kita?” tanya Sofia sambil menyimpan
telefonnya kembali ke dalam kocek seluar.
“Kalau ikut Maps, lebih kurang 20 minit
berjalan kaki.”
“Arah mana?”
“Arah belakang.”
Sofia tidak berpuas hati. Telefon Ikhwan
dirampas. Dalam keadaan terkejut, reaksi balas Ikhwan
adalah mempertahankan telefonnya daripada dirampas
oleh Sofia. Bagaimanapun ragutan Sofia yang agak kuat
melucutkan genggamannya. Ikhwan cuba merampas
kembali telefonnya. Sofia tidak dapat memegang
telefon itu dengan kemas. Telefon yang diharapkan
boleh membantu membawa mereka bertiga keluar dari
situ terjatuh. Seperti gerak perlahan dalam sebuah
tayangan filem, mereka bertiga serentak merenung
peranti itu jatuh dan berkecai sehingga cahaya dari
skrinnya terpadam.
“Sofia! Kau buat apa ni?” Ikhwan pantas
menghidupkan semula lampu picitnya. Pancaran lampu
picit terarah ke bangkai telefon tangannya.
Ikhwan tunduk dan memungut bangkai telefon
itu. Dia cuba menghidupkannya kembali tetapi gagal.
Sofia hilang kata-kata. Anna pula menghela
nafas panjang.
“Kau berdua macam budak-budak.”
“Kan kita dah tahu arah mana kita patut pergi.
Kita teruskan perjalanan sajalah. Kalau kau berdua
mahu mendengar cakap aku, kita tak perlu berjalan
jauh dan bersusah payah macam ni. Ni nak thrilllah,
nak jadi backpackerslah, nak rasai sendiri hidup sebagai
pengembara, nak naik bas, nak naik teksi... konon!
Kalau ikut cakap aku, kita bawa kereta, tak adalah teruk
macam ni.” Sofia seperti cuba mengelakkan dia daripada
dipersalahkan kerana merosakkan telefon Ikhwan.
“Apa lagi yang kau tak puas hati, Sofia? Semua
orang salah. Kau saja yang betul. Kau juga yang beria-ia
nak ikut. Dah dari awal lagi kata, kita takkan bawa
kereta, semua setuju. Kau pun setuju. Sekarang kau
pula nak pusing cakap!” Ikhwan meninggikan suaranya
sedikit.
“Dah memang aku betul!” Sofia pantas membela
diri.
“Yalah, kau sajalah yang betul. Orang lain
semua salah. Bila orang sanggah kau, mulalah kau
buat perangai macam budak-budak,” Ikhwan terus
menyuarakan kejengkelannya dengan sikap Sofia.
“Yang kau nak marahkan aku ni, kenapa?
Jangan risaulah. Balik nanti, aku ganti balik telefon kau
yang aku rosakkan tu. Kalau aku tak jumpa model yang
sama, aku bayar dengan harga dua kali ganda. Bukannya
mahal sangat pun telefon cabuk kau tu.”
“Itulah masalah kau. Telefon aku tu bukannya
masalah utama. Masalah utamanya sekarang adalah
perangai kau! Sentiasa membuatkan orang lain
tertekan dan menyusahkan!” Ikhwan tidak mampu lagi
membendung kemarahannya.
“Jaga sikit mulut kau!” Sofia menggetap bibir.
“Kau nak buat apa? Kau nak pukul aku?
Pukullah kalau kau...”
Sofia tidak menunggu sehingga Ikhwan
menghabiskan kata-katanya. Penumbuk dan
penendangnya melayang, mendarat tepat ke muka
dan badan Ikhwan. Ikhwan hilang keseimbangan diri.
Berat beg galasnya, memudahkan dia jatuh terlentang
dan bahagian belakang kepalanya terhentak keras ke
permukaan jalan beraspal.

No comments:

Post a Comment