DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 30 June 2019

Lara Wirang - Bab 9

“BETUL, bang. Semasa saya nampak mayat
tu di atas Kak Sufiya, saya macam kena pukau. Menggigil
tapi tak boleh nak keluarkan suara.” Di dalam kereta,
Intan masih rancak menceritakan pengalamannya.
“Abang bayangkan, mayat tu tertiarap atas
muka Kak Sufiya. Dahlah kembung, busuk, airnya
hitam...” Dia menambah.
Karim bergumam. Matanya lurus ke hadapan
tetapi fikirannya seperti tertinggal di hospital.
Pengalaman Intan meyakinkan dia bahawa Sufiya
bukanlah sakit biasa tetapi lebih kepada gangguan ilmu
hitam. Masalahnya, siapakah yang tergamak buat Sufiya
sampai begitu sekali?
“Ada apa-apa yang berlaku semasa kami tak ada
di rumah?” tanya Karim.
Intan terdiam sebentar, kemudian dia
teringatkan sesuatu.
“Entahlah, bang. Macam tak ada, tapi macam
ada.”
Karim mengeluh.
“Kenapa cakap macam tu? Kalau ada, adalah.
Kalau tak ada, tak adalah.”
“Semalam, semasa saya ke rumah Kak Sufiya
sebab nak beritahu pasal ribut di tapak madrasah tu,
saya macam ternampak orang dekat ampaian kain Kak
Sufiya. Apabila saya jenguk, tak ada pula. Saya pun tak
pasti,” jawab Intan.
“Kalau ternampak sesiapa, jeritkan saja.
Sekurang-kurangnya dia tahu kita dah nampak dia,”
balas Karim.
Hal sudah berlaku. Intan tidak membalas.
Apa yang dia fikirkan sekarang ialah bagaimana mahu
menghilangkan rasa gementar dalam hatinya. Tidak
selesa rasanya kalau berterusan begitu.
“Kenapa tu?” Karim menegur apabila Intan
asyik menggosok lengan seperti kesejukan.
“Bulu roma tak turun-turun. Ada benda
mengikut kita balik ke ni?” balas Intan.
“Kita ke rumah Ustaz Majdi dululah. Ambil
daun bidara.”
Karim memulas stereng ke sebelah kanan jalan.
Kereta terus masuk ke halaman rumah Ustaz Majdi. Dia
ingin meminta sedikit daun bidara dan limau purut
untuk dibuat air mandian Intan. Sambil itu dia juga
mahu menyampaikan hal Sufiya kepada Ustaz Majdi.

MENJELANG WAKTU melawat tengah hari tiba,
Tok Empat Abu dan Ustaz Majdi tiba di situ untuk
melawat Sufiya. Ustaz Muiz menyambut kedatangan
kedua-duanya dengan senyuman.
“Belum banyak yang berubah,” kata Ustaz Muiz.
“Insya-Allah... bersabarlah.” Tok Empat
Abu menepuk bahu Ustaz Muiz beberapa kali untuk
memberi semangat.
Bagaimanapun Ustaz Majdi diam sahaja. Mereka
tidak lama di situ kerana mahu melawat Radi pula di
wad lelaki.
Setibanya di kaki lima, Ustaz Majdi menarik
lengan Ustaz Muiz.
“Kenapa pak ngah?” Ustaz Muiz terpinga-pinga
apabila Ustaz Majdi merenung lama wajahnya.
“Yang sebenarnya Sufiya tu sakit apa?” tanya
Ustaz Majdi. Dia baru tahu perihal Sufiya daripada
Karim yang singgah di rumah pagi tadi.
“Tak tahu lagi, pak ngah. Doktor kata semua
bacaan elok sahaja. Ujian darah, tekanan dan kadar
denyut jantung bayi pun tak menunjukkan apa-apa
tanda. Cuma Sufiya seperti tak bangun-bangun.”
Ustaz Majdi menarik nafas panjang.
“Apa pendapat pak ngah?” Ustaz Muiz mula
merasakan yang ayah saudaranya itu tahu sesuatu.
“Sejak terpandang muka Sufiya tadi, pak ngah
rasa tak sedap hati. Mukanya kehitaman. Baunya pun
macam bau mayat mereput. Kamu tak bau apa-apa?”
Ustaz Muiz terdiam lama. Pada pandangan
matanya, Sufiya seperti sedang tidur nyenyak sahaja.
Namun tidak mungkin bapa saudaranya mereka-reka
cerita.
“Kalau tak berubah juga, apa kata bawa balik
berubat di rumah pula?” Ustaz Majdi menambah.
“Begini, pak ngah...” Ustaz Muiz menceritakan
semula apa yang dilihat Intan pada tengah malam
semalam. Mungkin itu ada kaitan dengan apa yang
dilihat oleh bapa saudaranya. Dia sahaja yang belum
mengesan sebarang keanehan pada Sufiya.
“Tak hairanlah kalau begitu...” Ustaz Majdi
membalas.
“Saya nak lihat perkembangannya dalam sehari
lagi. Kalau tak ada apa yang boleh dibuat di sini... saya
akan bawa balik ke rumah. Sementara tu... pak ngah
tolonglah tengok-tengokkan ya?” Ustaz Muiz meminta
dengan penuh hormat. Sebagai orang tua, dia percaya
bapa saudaranya lebih arif dalam soal itu.
“Muiz... ingatlah, Allah takkan menguji
kekuatan daun dengan kekuatan angin yang melanda
akar. Semakin tinggi duduknya daun, semakin kencang
angin yang cuba mematahkan tangkai.”
Ustaz Muiz mengangguk faham.

SEMENTARA ITU di rumah Salim, Budin rancak
menyampaikan berita. Salim dan Salwa duduk
mendengar perkhabaran itu dengan gembira.
“Dengarnya malam tadi dihantar ke hospital.
Dah beranak ke belum tak tahulah,” kata Budin.
“Eloklah tu. Jadi untuk sementara waktu ni tak
adalah dia datang ke sini mengganggu dan menyibuk
hal kita lagi.” Salim benar-benar lega. Ternyata apa
yang dia lakukan telah menjadi.
“Itulah... siapa suruh cari pasal dengan kita?
Kan dah mendapat?” Budin ketawa kecil.
Salim bergumam lama. Dia yakin hidup Ustaz
Muiz tidak akan tenteram selepas ini. Semoga dengan
itu Ustaz Muiz akan sedar akan kesilapan yang telah
dilakukan. Mencabar dirinya adalah satu kesilapan.
Kalau sudah api, buat apa dipegang-pegang.
“Sementara dia sibuk dengan isterinya itu,
elok kalau aku ke Gua Sembunyi. Malam ini pun tepat
jatuhnya pada malam Selasa Kliwon seperti yang Pak
Akub cakap tu.”
“Abah nak pergi ke Gua Sembunyi?” Salwa baru
tahu.
“Kamu berdua buka gelanggang seperti biasa.
Cuma sementara aku tak ada ni, jangan diterima ahli
baharu. Tunggu aku balik,” balas Salim.
Salwa dan Budin tidak membantah.
“Berapa lama abah nak pergi tu?”
“3 hari 3 malam. Bermula pada senja ni,” jawab
Salim sebelum termenung jauh. “Dan kali ni abah akan
bawa Yusa sekali.”
“Hah?” Mulut Salwa terlopong seketika. “Yusa
kan sekolah?”
Salim menghempas nafas. Pertanyaan Salwa
menaikkan darah.
“Jangan bantah kalau tak mahu susah. Kalau
itu yang Tok Guru Suci Giring mahukan, itulah yang
kita patuh.”
Salwa diam dan termenung.

DEKAT WAKTU senja, mereka tiba di tepi sebuah
kawasan ladang kelapa sawit yang luas. Kawasan itu
bersempadan dengan kaki banjaran gunung-ganang.
Itulah salah satu jalan masuk menuju ke Gua Sembunyi
yang kurang diketahui orang. Salim suka memilih jalan
itu kerana tidak suka terserempak dengan petapa yang
lain. Itu akan membuatkan dia rasa dirinya setanding
dengan petapa yang lain. Sedangkan dia, seorang yang
luar biasa.
“Turunkan aku di situ,” kata Salim kepada
Budin yang memandu keretanya. Dia hanya duduk di
sebelah. Yusa duduk diam di belakang.
Budin segera memberhentikan keretanya di
tepi jalan bertanah merah.
“3 hari nanti jangan lupa datang sini. Jauh
ni kalau nak berjalan kaki ke jalan besar.” Salim
mengulangi peringatan yang sudah diberi berkali-kali
di rumah. Kepada Salwa juga sudah ditinggalkan pesan
yang sama kerana Budin bukan boleh diharapkan
sangat.
“Ya,” balas Budin. Beg sandang yang sudah
lusuh dikeluarkan dari kereta lalu diserahkan kepada
Salim. Selain itu hanya sebilah parang dan sebotol air
sejuk yang dibawa. Yusa yang terpinga-pinga hanya
mengikut tanpa bantahan.
“Jaga gelanggang. Jangan lupa perasapkan
dulu sebelum dibuka. Karang tak pasal-pasal ada yang
menggelupur.”
“Abang pergi sajalah. Bukan kali pertama abang
bertapa. Sudah banyak kali. Lagipun Salwa tu lagi riuh
mulutnya daripada abang,” bidas Budin.
Salim terdiam. Dengan adanya Salwa, dia rasa
lebih yakin untuk melepaskan semua hal sebelum
bertolak ke Gua Sembunyi.
“Kalau macam tu, aku pergi dulu.”
Salim menyandang beg yang mengandungi
beberapa barang penting untuk digunakan nanti.
Parang diikat ke pinggang dan botol air hanya dipegang
dengan tangan kiri. Dengan serangkap jampi serapah
pembuka laluan, dia memulakan langkah dengan kaki
kiri.

SEMAKIN JAUH masuk ke dalam ladang kelapa sawit,
semakin sunyi dirasakan. Tambahan lagi suasana
semakin gelap kerana malam hampir menjelang.
Mereka berdua berjalan hanya berpandukan lampu
suluh.
Tangan Yusa dipegang kejap. Dia bimbang
kalau-kalau Yusa takut dan berpatah balik. Itu memang
satu kepantangan.
“Kita nak ke mana, abah?” Yusa bertanya sambil
cuba menyaingi langkah ayahnya yang laju.
“Abah nak bawa Yusa panjat gunung. Dekat
situ cantik,” pujuk Salim. Dia sendiri tidak tahu
kenapa tok guru mahu Yusa dibawa bersama. Baginya
menyusahkan sahaja tetapi dia juga percaya, semakin
sukar syarat yang diberi, semakin hebat ganjaran yang
didapati nanti. Mujurlah dengan jawapan itu, Yusa tidak
bertanya lagi.
Dengan semangat yang membara, mantera
dilafazkan silih berganti. Sesekali dilafazkan kuat
sehingga terdengar di telinga, sesekali dia hanya
menggerakkan bibir yang semakin kering. Dia
menyeru dan memujuk penjaga Gunung Senandung
agar kedatangannya diterima dan perkara yang sangat
penting ialah agar Gua Sembunyi dibuka hijabnya.
Masa berlalu, bunyi burung carik kafan dan
tawang-tawang yang mengiringi perjalanan semakin
tidak kedengaran. Dia tiba di tepi sebatang anak sungai
yang landai. Diletakkan beg yang dibawa ke tanah.
Dikeluarkan sebatang lilin dan dinyalakan. Di hadapan
lilin diletakkan seekor bangkai burung gagak yang
sudah disalai sebagai sajenan kepada penunggu hutan.
Semua diperhati Yusa tanpa suara.
Selepas melafazkan mantera dan menyatakan
hajat, dia meneruskan perjalanan ke kaki gunung. Kini
dia harus mula mendaki batu kapur yang tajam dan
curam.
Ada banyak alur pendakian yang boleh diikuti
tetapi pengalaman yang sudah-sudah membantunya
memilih alur yang dirasakan paling mudah dan cepat
untuk dilalui. Di sebalik kesukaran mendaki di dalam
gelap, dia juga harus memastikan mantera tidak putus.
Akhirnya setelah bersusah payah dia dan Yusa
mendaki selama hampir 5 jam, dia sampai ke puncak
gunung. Antara gua-gua yang banyak di situ, hanya ada
satu gua yang bercahaya.
Itulah Gua Sembunyi!

SUASANA DI sekitar gua itu begitu sunyi. Angin tidak
menderu. Unggas dan tawang-tawang tidak berbunyi.
Segalanya tampak kaku namun dari luar lagi, Salim
sudah tercium bau setanggi yang kuat.
Dia melegarkan pandangan ke segenap sudut.
Dia tercari-cari sekiranya ada manusia lain di situ tetapi
tiada. Maka hatinya membenarkan cerita tok gurunya
dahulu bahawa sekiranya ada ribuan manusia pun di
situ, wujudnya tidak akan kelihatan. Mereka ada tetapi
disembunyikan di sebalik setiap lapisan hijab sehingga
tidak kelihatan antara satu sama lain. Bagaimanapun
bagi yang tajam mata hatinya, boleh merasai akan
kehadiran manusia lain di situ.
“Kita dah sampai,” katanya kepada Yusa yang
pucat keletihan. Bagaimanapun dia bangga kerana di
sepanjang perjalanan, Yusa tidak merungut dan patuh
pada apa sahaja perintahnya.
Yusa memandang persekitaran sepintas lalu.
Angin yang bertiup kuat membuatkan dia kesejukan.
“Kita masuk dalam. Nanti Yusa boleh tidur di
sana.” Salim mengheret tangan Yusa memasuki Gua
Sembunyi yang tampak terang dari luar. Yusa mengikut.
Mulut gua itu hanya setinggi pinggang lelaki
dewasa. Mahu tidak mahu dia terpaksa menunduk
dengan berhati-hati. Berhenti sebentar untuk
melafazkan mantera dan kemudian melangkah ke
hadapan 7 langkah. Di mana dia berhenti, di situlah dia
perlu duduk memulakan upacara tapa tilem.
Dalam tempoh berada di situ, dia tidak akan
makan atau minum. Juga tidak tidur. Dia menentang
segala keperluan jiwa raga dan duniawi. Biasanya hanya
selepas 3 hari menahan lapar, dahaga dan rasa penat,
barulah dia didatangi sesuatu yang akan mengabulkan
permintaannya dalam pelbagai bentuk. Dan kali ini dia
benar-benar berharap untuk memiliki ilmu yang tidak
mampu dikalahkan oleh sesiapa termasuk Ustaz Muiz.
Sehelai kain pelekat dibentang di atas tanah.
“Yusa tidur sini. Abah ada kerja nak buat. Yusa
jangan ganggu abah,” katanya bersalut risau. Dia berasa
pertapaan kali itu amat berat dengan kehadiran Yusa.
Yusa yang sudah letih dan mengantuk terus
berbaring di atas kain pelekat. Salim pula terus
duduk di sisi dan mengeluarkan sebotol air kosong
dan sebungkus biskut dari beg sandang. Kesemuanya
diletakkan dekat di kepala Yusa.
Setelah itu dia mengeluarkan 3 batang lilin
lalu ditegakkan ke lantai gua yang kering. 1 batang
dinyalakan sementara yang lain dibiarkan sahaja. Sebiji
pinggan tembaga dikeluarkan dari beg. 7 jenis bunga
yang dikutip Salwa dari keliling kampung ditabur di
atasnya dan di tengah-tengah pinggan, diletakkan 3 biji
telur ayam kampung.
Setelah itu, dia merapatkan sila dan mula meratib
mantera. Suaranya bergema dan memantul-mantul
pada dinding gua. Makin lama dia makin asyik dan
tenggelam dalam alam yang penuh keramaian. Dia
tidak melihat sesiapa tetapi dia mendengar suara-suara
yang riuh dan penuh keasyikan.

No comments:

Post a Comment