DAPATKAN TEASER PERCUMA!
Sunday, 30 June 2019
Gerhana Cinta Yana - Prolog
KEPALA tunduk merenung inai merah yang
menghiasi jemarinya. Ternyata dirinya masih sukar untuk
percaya yang dia sudah bergelar isteri secara rasmi. Pipi yang
terasa lenguh akibat seharian tersenyum diurut perlahan.
Punggung mendarat di hujung katil untuk melepaskan
keletihan yang sudah mula menjalar di segenap tubuh.
Mujurlah majlis pernikahan ini dibuat secara sederhana atas
permintaan dia dan suaminya setelah mendapat persetujuan
daripada kedua belah keluarga.
Saat ini, pelbagai persoalan berselirat di mindanya.
Jari-jemari Yana bermain-main dengan cincin berlian yang
tersarung indah di jari manisnya. Betulkah keputusan yang
dibuatnya ini? Perkahwinan ini bukan dia terima kerana
terpaksa.
‘Aku sayangkan dia! Ya, aku sayang dia. Cinta pasti
akan datang kemudian. Bukankah bercinta selepas nikah itu
lebih indah? Aku janji akan cuba mencintai suamiku sepenuh
hati,’ tekad Yana sendiri.
“Sayang, menung apa tu? Saya masuk pun awak tak
perasan. Sampai mana dah?”
Teguran si suami membuatkan Yana tersentak.
“Err... aw... awak. Bila awak masuk? Sorry, saya
tak perasan pulak.” Yana tersenyum nipis, cuba untuk
menenangkan hati yang mula berdetak laju apabila
berdua-duaan dengan lelaki yang baru bergelar suaminya
siang tadi.
“Eh, kita tanya dia, dia tanya kita balik. Comel betul
isteri saya ni.” Hidung Yana dicuit perlahan.
Degupan jantung Yana bertambah laju tatkala si
suami menggenggam erat tangannya. Wajahnya pucat tak
berdarah membayangkan apa yang bakal berlaku seterusnya.
‘Betul ke aku dah bersedia? Aku milik dia. Berdosa
jika aku nafikan hak suamiku. Tapi awal lagi ni. Ramai lagi
tetamu kat luar tu. Aduhai, macam mana ni?’ Buntu Yana
memikirkannya.
“Sayang...”
Meleret panggilan sang suami kedengaran di telinga
Yana. Dia menelan liur yang terasa kesat.
“Ya, awak nak apa? Nak air panas ke? Saya boleh
buatkan.” Penyaman udara yang terpasang tidak mampu
menyejukkan hati Yana saat ini.
“Tak nak. Saya dah minum kat bawah tadi.”
“Habis tu, awak nak apa?” Yana rasa nak tampar
mulut sendiri. Hesy, soalan apa yang dia tanya ni?
“Saya nak awak.”
Jawapan berserta kenyitan mata yang diberikan si
suami hampir membuatkan Yana pengsan. “Err... sa... saya...”
Yana gagap. Aik, sejak bila dia jadi gagap ni? Yana memarahi
dirinya.
“Hahaha...” Pecah tawa dari bibir lelaki itu melihat
kekalutan isterinya.
Yana angkat kepala memandang wajah di hadapannya
dengan kerutan di dahi. Dah kenapa suaminya itu gelakkan
dia? Tak lama kemudian, Yana mula mengerti yang dirinya
sudah dipermainkan. Lantas dia tersenyum senget dan
mendekatkan kedudukan mereka berdua. Kedua belah
tangan dibawa ke arah pinggang suaminya dan digeletek
sepuas hatinya.
“Sayang, stop it! Saya gelilah. Okey, okey. Saya
mengaku kalah. Saya minta maaf, okey?” Terbaring si suami
yang hampir kehilangan nafas akibat menahan kegelian
sambil ketawa.
“Jahat! Awak kenakan saya...” Perbuatan Yana
terhenti apabila sebelah tangannya sudah digenggam kemas
oleh suaminya.
“Saya gurau jelah. Saya janji tak usik awak lagi.”
Janji itu membuatkan Yana mengalah dan berbaring
di sebelah suaminya.
“Saya sayang awak,” tutur lelaki itu perlahan.
Yana mengiring menatap wajah yang menjadi
syurganya kini. “Saya sayang awak jugak,” balasnya ringkas
sambil tersenyum ikhlas.
Tangan si suami mengelus lembut pipi Yana sambil
merenung ke dalam mata isterinya itu.
“Janji dengan saya yang awak akan jaga diri
sebaik-baiknya? Nak pergi mana-mana pastikan berteman.
Stalker tu masih bebas, jadi saya nak awak berhati-hati.”
Mata Yana mula memberat. Hatinya tiba-tiba
menjadi tidak enak mendengarkan bait bicara itu. Bukankah
dia telah punya suami yang akan melindungi dirinya?
“Kenapa awak cakap macam ni? Awak dah janji nak
jaga saya, kan? Kenapa cakap macam awak nak biar saya
sendirian pulak?” Yana meluahkan rasa tidak puas hatinya.
Renungan si suami dibalas sayu.
“Maksud saya, kalau saya dah tak ada nanti, sayang.”
Suara lelaki itu kedengaran sebak menahan rasa.
“Awak nak pergi mana pulak? Saya tak sukalah awak
cakap macam ni.” Air mata yang ditahan sejak tadi, mengalir
keluar juga akhirnya.
“Syhh... Jangan menangis sayang. Saya tak
bermaksud pun nak buat awak menangis,” pujuk si lelaki
sambil menarik Yana ke dalam dakapannya.
“Tadi usik saya, ni buat saya sedih. Saya tak nak
kawan awak!” bentak Yana untuk mencuri sedikit perhatian
daripada suaminya.
Si suami memandang si isteri dengan senyuman
yang tidak lekang dari bibir. Alahai comel betul isteri dia ini,
tak nak kawan pula dah. Anak bongsu memang beginikah
manjanya?
“Tak nak kawan ya? Tapi kita dah kahwin. Macam
mana tu?” soal lelaki itu sambil menjongket keningnya.
Meletus ketawa dari bibir kecil Yana. Pandai pula
encik suami menceriakan hatinya kembali.
“Macam ni kan cantik. Senyum, gelak. Baru betul
isteri saya.”
“Tapi saya merajuk dengan awak lagi tau sebab awak
dah buat air mata berharga saya menitis,” ujar Yana sengaja
ingin mendera perasaan suaminya.
“Tak apa. Bab memujuk serahkan kepada suami
awak ni. Tak menyesal suruh saya pujuk ni?” tanya si suami
meminta kepastian.
Aik, kenapa nak menyesal pula? Yana jadi pelik
sendiri. Kepala tetap juga digeleng, menandakan dia
benar-benar ingin dipujuk.
Sejurus itu terasa kedua pipinya dipegang dan sebuah
ciuman mendarat di dahi. Yana terkebil-kebil memandang
wajah insan di hadapannya. Tidak hanya berhenti di situ,
kedua pipinya pula menerima ciuman, disusuli hidung
sebelum renungan lelaki itu menikam jauh ke dalam matanya.
Tanpa dipaksa, mata Yana perlahan-lahan terpejam
dengan sendiri. Menjemput kucupan di bibirnya. Dia rela
dan pasrah. Lama mereka berdua hanyut dalam keadaan itu
sebelum si suami melepaskan ciuman.
“Terima kasih, sayang.” Si lelaki tersenyum
merenung ke wajah Yana yang sudah kemerahan menahan
malu.
“Awak, saya malulah...” Kepala Yana disembamkan
ke dada kekar milik sang suami.
Ya Tuhan, comel betul keletah isterinya ni. Kelakar
pun ada. Dia sembunyi senyum. Kepala Yana yang berada di
dadanya diusap perlahan.
Tok! Tok! Tok!
“Yana! Mentua Yana nak balik dah tu. Turunlah,”
teriak along dari luar.
“Okey along. Kejap!” sahut Yana dari dalam bilik.
“Famili awak dah nak balik?” tanya Yana sambil
mendongak mencari wajah suaminya.
“Ya Allah! Saya lupalah. Sebenarnya tadi saya nak
beritahu awak yang saya nak ikut mama dan papa balik. Saya
nak ambil kereta.” Tangan naik menepuk dahi. Lupa tujuan
asal dia masuk ke sini untuk bertemu isterinya. Dah nampak
isteri cantik depan mata, semua perkara lain terus lupa.
“Kenapa tak tunggu esok je?” soal Yana.
“Esok nanti kita nak gerak ke sini sana kan senang.”
“Kita boleh pinjam kereta umi. Tak pun kereta walid
ataupun along.” Yana tidak mahu mengalah. Hati terasa berat
untuk melepaskan suaminya pergi.
“No needlah sayang. Kereta saya ada. Sekejap je
saya pergi, okey? Takkanlah tak boleh berpisah sekejap pun
dengan saya?” Lelaki itu juga tidak mahu mengalah. Eloklah
tu, masing-masing keras kepala. Baru bertemu buku dengan
ruas.
“Bukan macam tu, tapi... Okeylah, awak boleh pergi
tapi saya teman ya?”
“Eh, tak payahlah. Awak tunggu saya kat sini. Tunggu
saya balik. Mana tahu nak buat preparation ke?” usik si suami
berserta kenyitan di mata.
“Gatal!”
“Saya pergi dulu tau. Jaga diri, sayang.” Lirih suara
lelaki itu menuturkan kata.
“Awak pun take care. Saya tunggu awak.” Spontan
Yana menarik tangan suaminya dan melabuhkan kucupan
sebagai tanda hormat. Sebagai balasan sebuah kucupan
mendarat lama di ubun-ubun Yana. Lama bagai tidak mahu
lepas. Seolah-olah itu pertemuan terakhir mereka.
“YANA! YANA! Bangun!”
Ketukan di pintu kedengaran bertalu-talu diselangi
panggilan namanya. Kuat suara Puan Anisah memecah
kesunyian yang mencengkam.
Yana bangun dengan mata yang terpisat-pisat.
Pandangan dihalakan ke sisi. Kosong! Suaminya belum
pulang lagi atau masih berbual di tingkat bawah? Tak sedar
bila masanya dia terlelap. Pukul berapa sekarang ini? Tangan
meraba iPhone di meja sisi. Jam sudah menunjukkan angka
12 tengah malam.
Yana mengemaskan rambut dan baju tidur satin
yang tersarung di tubuh. Pantas kakinya melangkah ke
arah pintu yang tidak berkunci. Ketukan di pintu masih lagi
kuat kedengaran diselang-seli dengan suara Puan Anisah
memanggil namanya.
“Kenapa umi?” Sebaik sahaja pintu dikuak, soalan
itu terlontar dari bibir Yana. Wajah uminya yang kelihatan
cemas menimbulkan rasa tidak enak di hati Yana. Tangannya
digenggam kuat oleh umi.
“Yana kena banyakkan bersabar, nak. Cepat bersiap,
kita ke hospital sekarang,” arah Puan Anisah
“Pergi hospital buat apa umi? Kenapa ni? Umi jangan
buat Yana takut.” Air mata sudah mula bertakung di kelopak
matanya apabila bermacam andaian singgah di benak fikiran.
“Suami Yana... accident dalam perjalanan ke sini.”
Sejurus Puan Anisah selesai memberitahu, Yana
jatuh terduduk. Kakinya tidak mampu menampung beban
tubuh sendiri. Air mata mengalir laju membasahi pipi.
“Tak mungkin! Umi tipu Yana kan?” Teresak-esak
Yana menangis, tidak dapat menerima kenyataan yang baru
didengarinya.
“Yana, umi tak tipu Yana, sayang. Yana kena kuat.
Jangan macam ni, nak.” Puan Anisah berusaha membantu
anaknya untuk berdiri. Namun, tidak berhasil kerana Yana
tidak bergantung sepenuhnya pada kekuatannya.
“Ya Allah! Bangun Yana. Along! Tolong umi angkat
adik ni!” teriak Puan Anisah.
Air mata menjadi peneman setia kepada keluarga
Yana pada dingin malam yang hening itu.
ITU CERITA semalam. Hari ini, Yana di sini. Di tanah
perkuburan ditemani kaum keluarga dan sahabat handai
yang tidak henti memberikan kata-kata semangat dan nasihat
kepadanya. Benar kata orang, berat mata memandang berat
lagi bahu yang memikul beban.
Mata yang sudah bengkak tidak mampu lagi
mengalirkan air mata pada saat ini. Fikiran Yana kosong.
Masih cuba mencerna setiap kejadian yang berlaku ke atas
dirinya. Semalam mereka semua gembira, meraikan majlis
pernikahan dia dan arwah suaminya. Belum pun sampai 24
jam bergelar seorang isteri, dia kini sudah memegang gelaran
balu.
‘Sampai hati awak pergi tinggalkan saya. Awak janji
nak jaga dan lindungi saya. Awak buatkan saya cuba untuk
terima awak. Awak janji akan setia bersama saya selamanya.
Awak nak ajar saya erti cinta yang sebenar, cinta selepas nikah.
Tapi sekarang awak pergi tinggalkan saya. Awak tinggalkan
saya selama-lamanya, bukan sekejap. Patutlah semalam awak
cakap benda pelik-pelik. Kenapa saya tak perasan semua tu?
Kenapa awak tipu saya? Awak janji nak bahagiakan saya. Mana
semua janji-janji awak?’ Setitis air mata yang menitis dikesat
laju.
“Yana, Yana tunggu along dekat kereta ya. Reda, dik.
Ini semua ujian untuk Yana.” Diusap perlahan bahu adiknya.
Yana hanya mampu mengangguk lemah.
‘Astaghfirullahalazim, apa aku fikir tadi? Saya minta
maaf, awak. Awak dah tunaikan semua janji awak. Awak dah
lindungi saya sebelum ni. Awak dah berikan kebahagiaan
untuk saya walaupun cuma seketika. Awak dah ajar saya erti
cinta walaupun terlalu sekejap masa kita bercinta. Terima
kasih kerana hadir dalam hidup saya. Terima kasih untuk
segala-galanya. Saya janji takkan menangis lagi bila teringat
kat awak. Saya akan sentiasa senyum sebab dulu awak pernah
cakap yang awak tak suka lihat air mata saya. Saya akan terus
tersenyum mengenang detik-detik indah yang awak hadirkan
dalam hidup saya. Tenanglah awak di sana, wahai suamiku.’
Seusai itu, Yana melangkah meninggalkan pusara
arwah suaminya dengan longlai. Digagahkan juga dirinya
yang tersangat lemah ketika ini. Setelah tujuh langkah
terakhir, maka bermulalah soal jawab si mati di dalam kubur
bersama malaikat Munkar dan Nakir.
“Along, Yana tunggu dalam kereta,” ujarnya kepada
Shahrul yang sedang berbual dengan seorang lelaki yang
hanya kelihatan dari arah belakang. Hati yang kosong menjadi
semakin pedih saat lelaki itu berpusing menghadap dirinya.
“Yana, takziah. Abang harap Yana banyakkan
bersabar. Abang faham apa yang Yana lalui. Yana kena
kuat untuk teruskan kehidupan.” Mata si lelaki tidak lepas
menyorot seraut wajah yang dirindui setelah sekian lama.
“Terima kasih,” ucap Yana seraya mengangguk dan
terus berlalu masuk ke dalam kereta. Entah kenapa dia berasa
sayu pada saat ini. Tangan naik memegang dada.
Pilu.
Ngilu.
Sebak.
Sakit.
Semua rasa bercampur menjadi satu. Rasa cinta
dan sayang yang pernah singgah di hati buat lelaki itu suatu
ketika dahulu masih ada. Masih kekal utuh di hatinya. Tidak
pernah berubah. Secara perlahan matanya terpejam, cuba
menerima semua rasa yang sedang mengasak jiwanya. Yana
reda dengan ketentuan ini...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment