DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 30 June 2019

Lara Wirang - Bab 5

USTAZ Muiz memerhati dengan teliti setiap
lenggok silat yang ditarikan Salim. Dia tahu, dia perlu
bersedia dan tidak boleh leka. Dalam setiap lenggok
itu tersirat gambaran buah dan belebat aliran yang
dibawa. Ternyata aliran persilatan yang dibawa Salim
itu belum pernah dilihat sebelum ini dan penuh dengan
tenaga kebatinan yang gelap. Dia melihat lebih kurang
6 makhluk hitam mengelilingi Salim.
“Salim... aku datang ke sini bukan nak
berlawan. Aku nak berbincang baik-baik. Apa yang aku
tak faham, engkau berilah faham. Apa yang engkau tak
jelas, engkau bertanyalah. Mungkin aku boleh berikan
jalan,” pujuk Ustaz Muiz.
Sejujurnya dia malas menjadi perhatian
beberapa pasang mata di situ. Sekiranya dia tewas tidak
mengapa. Tetapi kalau Salim yang tewas, masalah akan
jadi berpanjangan. Dendam akan berakar dan bertunas
bertahun-tahun selagi tidak berbalas. Rasa malu yang
dipikul menjadi lara wirang. Sebelum itu berlaku, lebih
baik hal itu diselesaikan secara baik.
“Engkau takut, bukan? Engkau tahu aliran Suci
Giring ini bukan sembarangan aliran,” cabar Salim
seraya terus membuka belebat. Sasaran kali ini ke arah
dagu dan muka Ustaz Muiz, namun sekali lagi dapat
ditepis sehingga Salim terdorong ke hadapan. Hampir
tertonggeng mencium tanah.
Tindakan itu membuatkan Salim bertambah
berang. Dia berpaling dan menerajang Ustaz Muiz.
Tetapi tapak kakinya tidak menyentuh tubuh Ustaz
Muiz malah kembali jatuh ke atas tanah. Dia hampa
tetapi belum mahu berputus asa.
“Sudahlah, Salim. Tak elok ditengok orang.”
Sekali lagi Ustaz Muiz memujuk.
“Cis! Pantang keris balik ke sarung kalau tak
berdarah.”
Salim terus menyerang bertubi-tubi.
Tumbukan, pukulan dan tendangan silih berganti.
Kesemuanya disambut Ustaz Muiz dengan tenang dan
tanpa banyak mengambil gerak.
Dengan tiba-tiba kesemua itu terhenti, di
tengah gelanggang Salim berpencak seorang diri.
Dia membuka gerak yang tidak pernah diperlihatkan
kepada orang lain.
Hutan di sekeliling jadi hingar bingar dengan
tempikan monyet liar dan pelbagai jenis haiwan
yang tidak kelihatan dek mata kasar. Karim dan yang
lain-lainnya menggelisah. Pegang apa pun tidak kena.
Ustaz Muiz memerhati dengan waspada. 6
makhluk hitam tadi kini menyatu menjadi satu dalam
tubuh Salim. Tidak berhenti dia melafazkan zikir.
Hanya kepada Allah dia berlindung.
Tanpa berlengah, Salim menghentak tanah
dengan kaki kanan sebelum melompat naik ke atap
rumah.
Kesemua yang berada di situ terkejut dan
terpinga-pinga melihat kehebatan Salim. Bagaimanapun
Ustaz Muiz cuma berpaling pergi. Dengan isyarat mata
dia mengajak Karim beredar dari situ. Sayangnya, baru
beberapa langkah, Salim tiba-tiba menerjah di hadapan
mereka berdua.
Langkah Ustaz Muiz terhenti. Dia menyuruh
Karim ke tepi. Apabila Salim menghantar belebat angin
kepadanya, dia sekadar menekan tapak kaki ke tanah
lalu membaca ayat 128-129 dari surah At-Taubah.
Salim terpelanting ke tepi pagar. Dari mulutnya
tersembur darah pekat. Suasana hingar bingar tadi
serta-merta menjadi senyap. Sementara itu, Derani yang
menyaksikan pertarungan itu ketawa terbahak-bahak.

GETARAN HALUS masih terasa hingga ke urat perut.
Rasa terkejut masih belum luruh. Karim memandu
dengan perasaan yang berkecamuk. Apa yang telah
dilihat di rumah Salim benar-benar membuatkan dia
tidak keruan. Hendak bertanya pun dia seolah-olah
kehilangan kata-kata.
Ustaz Muiz membiarkan Karim bertenang
sendiri. Dia tahu Karim terkejut kerana tidak pernah
melihat dia bertarung dengan sesiapa pun sebelum ini.
Dia juga bukan mahu menunjuk handal atau sengaja
bergaduh. Dia hanya mempertahankan diri. Belebat
angin yang dihantar Salim itu amat berbisa dan mampu
melumpuhkan sesiapa jua. Ikhtiarnya berjaya pun
hanya dengan kehendak Allah. Dia hamba yang tidak
berupaya.
“Nanti... tak payahlah cerita dengan sesiapa,”
pintanya kepada Karim ketika mereka hampir tiba
di rumah. Dia tidak mahu hal itu heboh. Dia tidak
berbangga dengan semua itu. Kalau boleh dielak dia
akan mengelak, tetapi Salim yang berdegil.
“Daripada mana ustaz belajar semua tu?”
Akhirnya Karim mampu membuka mulut.
“Daripada seorang guru agama,” jawab Ustaz
Muiz dengan jujur. Pertanyaan itu membuatkan dia
terkenang akan Almarhum gurunya yang telah lama
pergi.
“Teruk juga Salim tadi tu. Menyembur darah.”
“Harap dia tak apa-apa.” Sejujurnya ada
kekesalan dalam hati Ustaz Muiz. Dia sendiri tidak
menyangka sebegitu kuat kesannya. Mungkin apa yang
dihantar memakan diri Salim sendiri.
“Bukan salah ustaz. Dia yang degil. Dia ingat
dia handal sangat,” balas Karim sebelum mematikan
enjin kereta.
“Semoga dia sihat semula. Semoga ada
petunjuk dan hidayah untuk dia dan kita semua.” Ustaz
Muiz membuka pintu kereta tetapi Karim menarik
lengannya.
“Saya tak sedap hati...” kata Karim.
Ustaz Muiz memandang muka Karim. Ada riak
risau. Dia faham. Dia juga memikirkan kemungkinan
yang hal itu akan berpanjangan dan menjadi dendam
yang berterusan.
“Esok saya pergi melawat dia dan minta maaf.”
Dia mengalah.

SEMENTARA ITU di rumah Salim, suasana masih
lagi tegang. Salim mengerang kesakitan di atas katil.
Budin cuba merawat abangnya dengan jampi serapah.
Sayangnya, usaha itu tidak menunjukkan sebarang
hasil. Salim masih terbatuk-batuk dan mulutnya
berdarah.
“Kita pergi hospital, abah...” pujuk Salwa yang
hampir menangis.
Salim menggeleng. Diramas alas katil sekuat
hati untuk menahan sakit. Entah kenapa pada saat itu
tubuh badannya terasa berkecai dari dalam. Setiap sendi
seperti putus. Rasanya terlalu pedih dan perit. Jiwanya
juga rasa kosong tidak bermaya.
“Abah... tolonglah. Mari kita ke hospital.” Salwa
terus mendesak namun Salim tetap menggeleng.
Budin menoleh ke arah Salwa yang bercucuran
air mata. Dahinya berkerut-kerut.
“Jangan bimbang sangat. Abah Salwa ni bukan
seperti kita. Suci Giring akan menyembuhkan dia pada
bila-bila masa saja.” Dia menegur.
Salwa tidak menjawab. Dia di antara percaya
dengan tidak.
“Tinggalkan aku.” Salim menghalau.
“Tapi abah...” Salwa bingung.
“Tinggalkan aku,” ulang Salim sebelum
terbatuk-batuk lagi. Darah yang keluar daripada
mulutnya disapu dengan tuala yang hampir basah. Dia
mahu berseorangan. Ada sesuatu yang ingin dilakukan.
Arahan itu segera dipatuhi Budin. Dia bangkit
lalu mencuit bahu Salwa dengan kasar. Akhirnya Salwa
bangun. Mereka berdua keluar dari bilik itu.
Salim berbaring semula. Kepala dialas dengan
tiga biji bantal kekabu untuk mengurangkan rasa
sesak pada dada. Kemudian dia memejamkan mata dan
melafazkan jampi serapah. Dia menyeru Suci Giring.

“KENAPA TAK bawa abah ke hospital? Banyak darah
abah keluar tu.” Di luar bilik, Salwa tidak berpuas hati
dengan keputusan ayahnya. Pada dia, itulah keputusan
yang terbaik.
“Kalau doktor tanya, apa kita nak jawab?” bidas
Budin. Hatinya geram dengan sikap Salwa yang berusia
20 tahun itu. Banyak perkara yang Salwa belum faham.
Kalau ke hospital akan jadi panjang kisahnya dan dia
juga takut mengenangkan perbelanjaan yang terpaksa
ditanggung. Salwa tidak fikir semua itu.
“Jawablah apa-apa.”
Budin menggeleng. Dia bersandar pada dinding
bilik Salim. Dia tidak akan berganjak jauh dari situ
kerana bimbang kalau-kalau Salim memerlukan
bantuan.
“Perkara macam ni bukan hospital jawapannya.
Abah Salwa tentu tahu apa nak dibuat. Kita tak payah
campur kalau dia tak minta.”
Salwa menjeling tajam. Sakit hatinya dengan
keputusan Budin. Adik-beradik sama sahaja keras
kepala.
“Kalau jadi apa-apa pada abah, pak cik yang
bertanggungjawab,” katanya.
“Tak payah risau sangat. Salwa jaga saja
adik-adik. Biar pak cik jaga dia,” balas Budin.
Salwa pandang wajah adik-adiknya, Uli dan
Yusa. Kedua-duanya sejak tadi menunggu mereka di
luar bilik. Kedua-duanya hanya diam terpaku melihat
pertengkaran mereka berdua.
“Jom masak!” Dia menarik lengan Uli dan Yusa
ke dapur.
“Abah macam mana, kak?” tanya Uli yang
berusia 10 tahun.
Salwa tidak menjawab. Hatinya sakit.

BILIK TIDUR Salim semakin gelap. Di luar, senja
merangkak tiba. Di dalam bilik itu hanya ada satu pelita
kecil diletakkan di lantai. Di sebelah pelita, terdapat
sebiji dulang ayan yang diisi bekas bara dan semangkuk
bertih. Asap kemenyan memenuhi rongga udara
menjadikan udara di situ sesak tanpa pengudaraan yang
baik.
Di atas tilam, Salim masih kaku terpejam. Hanya
bibirnya sahaja yang terus bergetar melafazkan jampi
serapah sambung-menyambung. Dia memusatkan
ingatan dan sepenuh jiwa menyeru Suci Giring untuk
datang bertemunya. Beberapa minit sebelum masuk
waktu maghrib, hajatnya dimakbulkan.
“Bangun!” Satu suara bergema di dalam rongga
telinga sehinggakan jantung ikut tersentap.
Salim tersentak sehinggakan terus terbangun.
Dadanya turun naik dengan laju. Sekujur tubuhnya
berpeluh. Bibirnya kering dan kebas. Darah mengering
di serata tubuh.
“Suci Giring.” Salim memanggil dengan nafas
yang terengah-engah. Meskipun darah sudah berhenti
keluar, namun dada terasa sesak. Kaki serta tangan
kebas dan tidak mampu digerakkan.
Dari dinding yang gelap, muncul seorang lelaki
tua serba putih. Rambut, kening hingga ke janggutnya
putih bercahaya. Jubah yang dipakai juga putih bersih.
Kemunculannya di situ seolah-olah sebutir bintang
turun ke bumi. Bilik itu menjadi cerah seperti siang
pada pandangan mata Salim.
Dia tersenyum lega.
“Engkau akan sembuh menjelang pagi,” kata
lelaki tua itu. Matanya merenung tajam wajah Salim
tanpa berkelip.
“Terima kasih, tok guru.” Salim tunduk sedikit
sebagai menghargai pertolongan yang diberikan. Dia
gembira kerana pertolongan yang diharapkan sudah
tiba. Ternyata tidak sia-sia dia menjadi pengikut setia
Suci Giring.
“Tetapi ada syarat,” tambah lelaki itu.
“Apa sahaja, tok guru.”
Salim tidak kisah apa-apa lagi. Apa yang
penting dia mesti sembuh secepat mungkin untuk
membuktikan kehandalannya dan apa yang dilakukan
Ustaz Muiz itu tidak meninggalkan kesan kepadanya.
Harga dirinya mesti ditebus.
“Ada 3 syarat. Yang pertama, pergi ke Gua
Sembunyi selama 3 hari 3 malam.”
“Syarat kedua?’
“Syarat kedua, bawa anak kamu yang bongsu
bersama.”
Salim terdiam seketika. Terbayang wajah anak
bongsunya, Yusa yang baru berusia 7 tahun. Dia tidak
memahami atas alasan apa Yusa perlu dibawa bertapa
tetapi semua itu tidak dipedulikan.
“Syarat ketiga?”
“Syarat ketiga, engkau akan tahu selepas
engkau berjaya melakukan syarat pertama dan kedua,”
jawab lelaki tua itu dengan tenang.
“Baik.” Salim tunduk sekali lagi. Apa pun yang
diminta, akan dilakukan asalkan dia sembuh secepat
mungkin.
“Kalau engkau gagal melaksanakan semua
syarat-syarat itu, engkau bukan saja akan lumpuh
seumur hidup, tetapi juga akan kehilangan segala ilmu
dan kehormatan yang ada pada engkau.”
Salim menelan air liur.
“Tetapi kalau engkau berjaya menunaikan
segala syarat, engkau bukan sahaja pulih seperti
sediakala tetapi juga mendapat kelebihan yang lebih
besar. Engkau akan jadi lebih kuat dan mampu
mengalahkan musuh dengan sekali hembus.”
Wajah Ustaz Muiz terbayang di ruang mata.
Wajah yang selalu tersenyum dan tenang namun
amat menyakitkan hati. Kini lelaki itu sudah menjadi
musuhnya nombor satu. Selagi lelaki itu hidup, dia tidak
akan tenang. Maruah dirinya mesti ditebus semula.
“Terima kasih, tok guru. Segala yang tok guru
perintahkan akan saya kerjakan secepat mungkin.”
Putus sahaja pengakuan, lelaki tua itu
meletakkan tangannya di atas dada Salim beberapa saat
sebelum ghaib dalam sekelip mata.
Salim tersandar keletihan namun amat
gembira. Dia yakin, keluarganya dan Ustaz Muiz akan
terkejut melihat keadaannya esok pagi.

DI PUNCAK Gunung Dayan, Derani datang menemui
Zub-yan dalam keadaan letih dan lesu.
“Sengaja aku alihkan segala pendamping dalam
tubuhnya. Biar dia terseksa apabila ilmunya memakan
diri sendiri,” cerita Derani sebaik sahaja tiba.
“Kelicikan kamu luar biasa. Apa yang telah
kamu janjikan?”
Zub-yan meletakkan tongkatnya ke atas
bahu kiri Derani. Cara itu akan memulihkan tenaga
pembantunya itu. Berubah-ubah bentuk sememangnya
menghakis banyak tenaga. Itu risiko yang terpaksa
ditanggung oleh Derani.
“Kesembuhan dan kekuatan yang kekal abadi,”
jawab Derani.
Zub-yan ketawa besar. Betapa mudahnya
memperdayakan manusia yang sudah taasub pada
kehebatan mereka.
“Dalam keadaan sekarang, dia akan sanggup
buat apa saja untuk kita. Dia pasti tidak mahu kalah
dengan lelaki itu,” jawab Derani dengan bangga.
“Buatlah apa saja asalkan cepat. Aku tak
tahan lagi mendengar dia mengaji. Suaranya sampai
ke sini,” kata Zub-yan. Bencinya kepada Ustaz Muiz
meruap-ruap.

No comments:

Post a Comment