DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 30 June 2019

Kampung Hilang - Bab 8

KETIKA Pak Daram dan Chot tiba di kedai
makan milik Eton, kedai itu tidak ada pelanggan. Cuma
lampu yang terpasang dan galak dihurungi serangga
malam yang terpesona dengan cahaya kalimantang.
Beberapa ekor cicak melekap kemas pada alang, mencari
peluang untuk memenuhkan perut dengan serangga
malam yang terus galak berterbangan di sekeliling
lampu kalimantang.
Kedatangan Pak Daram dan Chot tidak begitu
mengujakan Eton. Barangkali penat melayan tetamu
sebelum itu, membuatkan dia melihat kedatangan
Pak Daram dan Chot sebagai tidak penting. Mungkin
dia beranggapan Pak Daram dan Chot sekadar singgah
untuk membasahkan tekak, sama seperti hari-hari
sebelumnya. Sama seperti orang kampung yang lain.
“Hah, aku ingatkan kau dah tutup kedai,
Eton.” Pak Daram menarik kerusi. Chot yang ada di
hadapannya juga kalut menarik kerusi.
“Kenapa pula nak tutup? Kalau tutup, anak-anak
saya nak makan apa?” Eton bersuara malas tanpa
bangun daripada kerusinya di kaunter pembayaran.
Matanya leka memerhati skrin televisyen.
“Tak mahu ambil order ke?” Chot bersuara
pantas.
Pak Daram merenung Chot. Chot buat-buat
tidak nampak.
“Siapa yang nak bayar makan minum kau
nanti?” tanya Pak Daram.
“Pak Daramlah, siapa lagi. Saya mana ada duit.
Pak Daram kan baru dapat duit orang bandar tu.”
“Isy kau ni!” Pak Daram tarik muka, tidak suka
dengan kata-kata Chot.
Chot terus tersengih-sengih. Eton masih lagi
diam di kerusinya. Leka benar dia menonton siaran
televisyen. Tiada sebarang suara dari televisyennya
tetapi pergerakan cahaya menunjukkan yang televisyen
tersebut berfungsi.
“Eton, marilah sini. Aku nak order ni,” arah Pak
Daram.
Eton tetap tidak berganjak.
“Pergilah bancuh air sendiri. Aku malas dan
letih.”
“Aik, macam tu pula cara kau berniaga.”
“Macam tak biasa pula Pak Daram ni. Kan
selalunya Pak Daram banyak kompelin. Air yang aku
bancuh tak sedap, tak cukup gula, tak cukup susu, tak
cukup panas.”
“Macam balas dendam saja kau ni, Eton?”
Eton langsung tidak berpaling. Chot kerutkan
kening dan dahinya. Sikap pasif Eton membuatkan Chot
keliru. Perlahan-lahan dia bangun daripada kerusinya,
berjalan ke arah Eton tetapi hujung belakang bajunya
segera ditarik oleh Pak Daram.
Chot berpaling dan mahu bertanya tetapi Pak
Daram memberikan isyarat agar Chot tidak membuka
mulut. Malah Pak Daram mengisyaratkan agar Chot
kembali ke kerusinya. Pak Daram sendiri yang bangun,
berjalan mendapatkan Eton dengan langkah yang
sangat perlahan dan berhati-hati.
“Eton...” Pak Daram melembut dan
melunakkan suaranya apabila berada di kaunter
bayaran. Suaranya seperti sekadar melantun ke dinding
dan talunnya berpatah ke gegendang telinganya sendiri.
Panggilannya langsung tidak mencuitkan badan Eton.
Eton sama seperti tadi, tidak memberikan sebarang
reaksi mahupun terkesan dengan kehadiran Pak Daram.
“Ton!” Pak Daram mengeraskan sedikit
suaranya.
Sama seperti tadi.
Baru Pak Daram hendak menghulurkan
tangan dan menghinggut bahu Eton, janda berbadan
boyak beranak 5 itu berpaling dengan wajah masam.
Renungannya sangat tajam. Namun hanya sebentar
apabila dia kembali merenung kaca televisyen di
hadapannya.
“Pak Daram nak apa?” Suara Eton tidak bernada.
Selari dan mendatar sahaja seperti tidak mempunyai
perasaan.
“Cubalah kau tengok muka aku bila bercakap.”
“Malaslah!”
“Apa, tak kacak ke aku ni?” Pak Daram cuba
berseloroh.
Eton tidak ketawa. Tidak tersengih. Tidak
berpaling pun.
“Pak Daram nak apa?”
“Buatkan aku teh tarik.”
“Kenapa tak buat sendiri?”
“Takkanlah aku nak ke dapur kau. Aku ni
pelanggan. Pelanggan is always right, tau.” Pak Daram
cuba memancing jelingan Eton.
Eton masih tidak berganjak. Masih tidak
terpengaruh dengan cubaan Pak Daram.
“Pergilah buat sendiri. Aku dah penat. Aku nak
rehat,” Eton jawab secara acuh tak acuh.
“Berniaga apa macam ni?” Pak Daram mula
hilang sabar. Suaranya dikeraskan.
Chot yang melihat, bangun dan berjalan
mendapatkan Pak Daram dengan langkah panjang.
Jikalau Eton sudah mula menunjukkan sikap biadab
terhadap Pak Daram, maka Chot perlu campur tangan.
Bukan tidak ada jasa Pak Daram kepada Eton. Eton
kena sedar tentang realiti itu. Seandainya kehadiran
Pak Daram tidak disenangi oleh Eton, janda bertubuh
boyak beranak 5 itu perlu berterus terang. Tidaklah
nanti dikatakan orang hidung tak mancung, pipi
tersorong-sorong.
Namun sama seperti tadi, Pak Daram
memberikan isyarat kepada Chot agar menjauhinya.
Pak Daram tidak mahu Chot turut campur.
“Eton, kau ni dah kenapa?” tanya Pak Daram
dengan suara yang kembali dilunakkan.
Eton tidak menjawab tetapi dia mula bangkit
daripada kerusinya. Berjalan ke arah dapur tanpa
sedikit pun berpaling ke arah Pak Daram dan Chot. Pak
Daram sekadar memerhatikan langkah Eton. Chot juga
turut memerhati tetapi dengan pelbagai tanda tanya
bermain-main di benaknya.
Tiada sebarang bunyi dari arah dapur.
Selalunya kalau Eton membancuh minuman untuk
pelanggan-pelanggannya, pasti akan kedengaran bunyi
cawan atau gelas berlaga. Pasti akan kedengaran juga
bunyi sudu berlanggar dengan dinding gelas.
Lama juga Pak Daram menunggu tetapi Eton
tidak keluar dari dapur. Chot juga sudah tidak sabar.
Dia kembali mendapatkan Pak Daram. Kali ini Pak
Daram membiarkan Chot berada di sebelahnya.
“Sunyi aje. Macam tak ada orang kat dapur,”
kata Chot.
Pak Daram merenung tajam dinding dapur
yang memisahkan kaunter bayaran dengan kelibat Eton
di dapur. Seolah-olah renungannya boleh menembusi
dinding itu.
“Jangan-jangan dia tertidur di dapur tu,” kata
Chot lagi.
“Pergilah tengok.” Bahu Chot ditolak.
Seperti seorang panglima yang telah dicabar
oleh musuh, Chot melangkah pantas ke dapur. Dia
sudah merangka apa yang hendak dilakukannya. Dia
akan memarahi Eton kerana membuatkan Pak Daram
menunggu. Dia akan hamun Eton dan mengungkit
tentang jasa Pak Daram kepada Eton. Dia juga akan
mengingatkan Eton, tanpa bantuan Pak Daram, Eton
tidak mungkin boleh mencari nafkah dengan berniaga
makanan. Lebih daripada itu, kalau bukan kerana Pak
Daram, Eton dan 5 orang anak-anaknya tidak mungkin
hidup di Kampung Sebelah.
Namun sebaik-baik sahaja berada di dapur,
Chot terpinga-pinga. Dapur yang menjadi nadi utama
kedai makan itu, bukan sahaja tiada Eton, tetapi juga
gelap-gelita. Chot meraba-raba suis lampu di dinding.
Apabila lampu menyala, Chot sekali lagi terpukau.
Keadaan di dapur itu tidak seperti yang selalu
dilihatnya. Dapur itu seperti sudah ditinggalkan
berbulan-bulan. Debu dan sawang penuh di sana sini.
Gelas dan cawan yang masih tersusun di atas rak seperti
sudah lama tidak terusik. Di atas lantai pula, daun-daun
kering bertaburan. Pintu belakang dapur itu masih
tertutup dan terkunci dari dalam.
“Chot! Chot!” Suara Pak Daram memanggilnya.
Kalaupun Pak Daram tidak memanggilnya, Chot
memang mahu meninggalkan ruang dapur itu.
Persekitaran yang menjadi sajian pandangannya amat
tidak menyenangkan. Segala keberanian yang tadinya
terkumpul untuk memarahi Eton hilang bagaikan wap
air dalam sinaran rembang. Hanya bersama-sama Pak
Daram boleh mengembalikan semula semangatnya
yang hilang.
“Kau nampak apa?” tanya Pak Daram.
Chot sekadar buka mulut tetapi tidak bersuara.
Suaranya lekat di kerongkong. Macam-macam yang
hendak dikatakan oleh Chot tetapi semua perkataan
itu menyerbu serentak sehinggakan dia tidak tahu apa
perkataan yang harus diungkapkannya terlebih dahulu.
Pada masa yang sama, seluruh tubuhnya seperti dijeruk
dengan ketulan ais dari kutub, sejuknya membuatkan
dia menggigil sehinggakan rahangnya menggelatuk.
Pak Daram memegang dahi Chot sambil
memejamkan matanya. Bibirnya terkumat-kamit.
Seketika kemudian, matanya terbuka. Pak Daram
memetik jarinya di pangkal kening kanan Chot.
Chot seperti terkena renjatan elektrik. Pak Daram
mengelus-elus belakang tengkuk Chot.
“Kita dipermain-mainkan. Segala-galanya dah
bermula balik.”
Chot terjelepok di atas lantai gerai. Tidak ubah
seperti kain buruk. Pak Daram membangunkan Chot,
memeluk bahunya dan kemudian menghela nafas
panjang.
“Orang di Kampung Hilang tu dah dapat
mangsa,” Pak Daram bersuara perlahan.
Chot masih tidak dapat bersuara tetapi apa
sahaja yang dibuat oleh Pak Daram, dia akur dan
menurut.
Pak Daram membawa Chot keluar. Tatkala
mereka berada di pinggir jalan, tiba-tiba sahaja semua
lampu di dalam gerai itu terpadam. Suasana tiba-tiba
bertukar menjadi hening dan sunyi.
“Kenapa ni, Pak Daram? Apa dah berlaku?”
Chot kembali dihantui ketakutan.
“Kita dipermain-mainkan.”
“Siapa yang mainkan kita?”
“Orang di Kampung Hilang.” Pendek sahaja
jawapan Pak Daram.
“Orang Kampung Hilang? Takkan kita nak jadi
balik macam sebelum ini?”
Pak Daram menarik tangan Chot ke tubir jalan.
“Jangan cakap apa-apa!” Pak Daram
mencengkam kulit lengan Chot dengan kuat. Chot
tidak jadi bertanya. “Ingat janji kita, Chot. Walau apa
pun terjadi, kita tak boleh cakap apa-apa.”
Berdiri di atas jalan tar dan merenung gerai
yang sudah gelap sepenuhnya, membuatkan Chot
kembali gelisah. Meskipun Pak Daram ada di sebelahnya
dan Pak Daram adalah seorang bomoh yang dianggap
handal, namun terbukti Pak Daram tidaklah sekental
mana.
Pak Daram sendiri kehilangan kata-kata. Dia
lebih banyak menunduk kemudian memanggung
dan merenung kedai Eton yang diserkup kegelapan
sepenuhnya.
“Mari kita ke rumah Eton,” ajak Pak Daram
sambil memulakan langkah.
Chot cepat-cepat menyaingi langkah Pak
Daram. Dia tidak mahu ketinggalan jauh.
Rumah Eton tidak jauh dari kedai makannya.
Lebih tepat lagi, rumah Eton terletak di seberang jalan,
lebih kurang 20 meter sahaja dari gerainya. Untuk
sampai ke rumah Eton, mesti melintasi dua batang
pokok bacang tua di kiri kanan laluan ke rumahnya.
Serkupan rendang kedua-dua pokok bacang tua itu,
menambahkan lagi gelap di laluan yang menghala terus
ke halaman rumah Eton. Namun dari tempat mereka
berdiri, mereka dapat melihat cahaya menandakan
rumah Eton berpenghuni. Suara kanak-kanak dan
suara televisyen berbaur, menunjukkan wujudnya
aktiviti manusia di rumah itu.
“Cepatlah!” Pak Daram menarik tangan Chot
meskipun Chot berada tidak sampai pun setengah
meter daripadanya.
Gelap laluan pendek itu tidak memberikan
banyak masalah kepada Chot dan Pak Daram. Cuma yang
menjadi masalah ialah rasa takut Chot. Pengalaman
singkatnya tadi mengingatkan Chot, peranannya sudah
pun bermula. Ulangan peristiwa silam akan kembali
semula.
“Eton!” Pak Daram bersuara lantang sebaik-baik
sahaja mereka berada di hadapan pintu utama rumah
separuh simen separuh papan itu.
Daun pintu masih terkatup rapat tetapi di
celah-celah selaan papan, kelihatan cahaya dan suara
kanak-kanak bergurau senda. Panggilan Pak Daram
tidak dijawab. Barangkali keriuhan 5 orang kanak-kanak
yang sedang bergurau atau bergaduh dan suara
televisyen menghilangkan terus salam Pak Daram.
“Eton!” Pak Daram mengeraskan suara.
Separuh melaung.
Suara dalam rumah tiba-tiba hilang.
“Ya...” suara budak tidak cukup umur menyahut
sambil langkah kakinya mendekati pintu kedengaran.
Sebentar kemudian, daun pintu terkuak.
“Pak Daram rupa-rupanya.” Munsyi yang
merupakan anak sulung Eton berusia 12 tahun terpacul
di muka pintu. “Pak Daram nak apa?”
“Aku cari mak kau.”
“Mak ada dalam bilik. Dia demam.”
“Demam? Dah berapa hari?”
Munsyi merenung ke arah Chot. Chot angkat
kening. Munsyi tunduk merenung lantai. Chot
tersenyum puas.
“Berapa hari dah mak kau demam?” Pak Daram
mengulangi pertanyaannya apabila Munsyi terus
tunduk merenung lantai.
“Dah 2 hari.”
“Mak kau tak berniagalah?”
Munsyi geleng dengan pantas.
“Siapa tu?” Suara Eton kedengaran lemah dari
dalam.
“Pak Daram... dengan... Abang Chot,” Munsyi
bersuara lambat-lambat. Seolah-olah takut benar
hendak menyebut nama Chot.
“Suruh diaorang masuk.”
“Mak suruh masuk,” kata Munsyi tanpa beralih
pandang ke muka Chot.
Selipar dan kasut ditanggalkan. Pak Daram
dan Chot melangkah masuk ke dalam rumah yang
kelihatan berselerak dengan kain baju dan kusyen
kerusi. Televisyen terpasang dengan suara yang agak
kuat. Keempat-empat orang adik Munsyi yang bising
dan leka bermain tadi bertukar menjadi budak baik.
Mereka merenung Chot dan Pak Daram.
Eton keluar dengan susah payah dari biliknya.
Kepalanya berbalut tuala yang kelihatan lembab. Di
kiri kanan penjuru dahinya tertampal koyok empat segi
sama bersaiz sebesar setem surat.
“Masuklah Pak Daram, Chot. Maaflah, aku tak
sihat,” kata Eton sambil menggapai Munsyi.
Munsyi segera mendapatkan ibunya. Eton
dibantu dan dipapah ke kerusi di ruang tamu.
“Pak Daram tengoklah budak-budak ni. Aku
sudahlah tak sihat, diaorang ni pula bukannya reti nak
tolong aku. Berselerak rumah ni dibuatnya.”
Pak Daram tersengih.
“Munsyi, pergi jerang air.”
“Tak payahlah, Eton. Aku datang ni nak ziarah
kau saja.”
“Terima kasihlah Pak Daram. Dah 2 hari dah
aku tak sihat. Tak boleh nak berniaga.”
Mahu sahaja Chot memberitahu, keadaan di
dapur gerai Eton langsung tidak kelihatan seperti 2
hari ditinggalkan. Sebaliknya sudah bertahun-tahun.
Namun renungan tajam Pak Daram membuatkan Chot
membatalkan niatnya.
“Apa sakit kau? Sakit lama balik?” Pak Daram
kelihatan bersimpati.
“Entahlah, mungkin juga.”
“Kacau sungguh. Tak aman hidup kita ni.”
“Apa maksud Pak Daram?”
“Tak berubah langsung anak-anak Kak Eton ni,
kan?” Chot akhirnya bersuara.
Eton tersenyum. Sedikit pun dia tidak marah.
“Eton, selain datang nak ziarah kau, aku nak
tanyalah kau sikit.”
“Tanya apa?”
“Kau ingat, 4 orang budak bandar yang singgah
ke gerai kau 2 hari lepas?” tanya Pak Daram.
“Ingat. Lepas itulah aku demam.”
Pak Daram mengangguk-angguk.
“Kenapa dengan budak-budak tu? Diaorang
dah keluar ke dari hutan pinggir Kampung Hilang?”
“Belum lagi.” Pak Daram terdiam sejenak
seperti sedang menyusun ayat. “Selepas budak-budak
tu pergi, ada sesiapa lagi yang datang ke gerai kau?”
“Ramai yang datang. Aku tak ingat semuanya,
tapi sebahagian besar yang datang tu orang-orang
kampung kita.”
“Kau ada perasan orang asing yang datang?”
Eton cuba mengingat. Kemudian dia
mengangguk.
“Ada seorang. Perempuan muda. Cantik
orangnya. Dia tak banyak cakap, tapi lebih banyak
tersenyum.”
“Apa yang dia nak?”
“Dia sekadar pesan air limau panas bungkus.”
“Kau bagi?”
“Dia pelanggan.”
“Lepas tu?”
“Lepas bayar, dia terus keluar dari gerai.
Aku tak tengok ke mana dia pergi sebab sibuk layan
pelanggan-pelanggan yang datang. Hari tu ramai pula
yang datang nak makan dan minum.”
“Yang tadi tu...” Chot mencuit lengan Pak
Daram.
“Isy kau ni... cuba jangan menyampuk.”
Eton kerutkan dahi. Kata-kata Chot menarik
perhatiannya.
“Apa yang tadi? Kenapa?”
“Di kedai Kak Eton.”
“Kenapa dengan kedai aku? Ada orang khianat
ke?”
“Khianat tu tidaklah, tapi aku kena kacau.”
“Siapa yang kacau kau, Chot? Kan kau dengan
Pak Daram.”
“Dengan Pak Daram sekali kena kacau.”
“Siapa yang kacau?”
“Hantu!”
Munsyi dan adik-adiknya terbeliak. Munsyi
berjalan mendapatkan adik-adiknya. Dua orang
adiknya yang berusia 8 dan 9 tahun berpelukan. Jelas
budak-budak itu ketakutan.
Eton sendiri pun terbeliak matanya. Eton
sendiri pun seperti tidak percaya dengan apa yang
didengarnya.
“Kat mana kau dengan Pak Daram kena kacau?”
Suara Eton sedikit menggeletar.
“Di kedai Kak Etonlah.”
“Hah???”
“Kau dah buat macam yang aku suruh?” tanya
Pak Daram.
“Dah.”
“Cukup semuanya?”
“Errr... ada kurang satu.”
“Apa dia?” Pak Daram kelihatan tidak senang
hati.
“Kemenyan Arab. Puas aku cari dan pesan,
susah nak dapat kemenyan Arab tu. Barangkali memang
tak ada dijual di sini.”
“Kenapa kau tak tanya aku? Aku ada banyak.”
“Pak Daram sendiri yang suruh aku cari dan
sediakan. Kalau Pak Daram ada, kenapa tak cakap
dengan aku?” Eton memulangkan paku buah keras.
Pak Daram berdecap. Kesal dengan sikap sambil
lewa Eton.
“Tak hairanlah benda tu mengacau.”
“Benda apa?”
“Benda dari Kampung Hilang.”
“Pak Daram kata, budak-budak tu punya fasal.
Pak Daram kata, penduduk Kampung Hilang dah dapat
mangsa,” Chot pantas memintas.
“Kau diamlah! Kau mana tahu!” Pak Daram
mula berang.
“Habis tu, apa yang aku kena buat ni?” Hilang
sudah demam dan sakit Eton. Kebimbangan dan
kerisauan mengatasi sakit-sakit pada seluruh tubuhnya.
“Aku tak mahu aku dan anak-anak aku lalui hidup
macam sebelum ni.”
Pak Daram tidak terus menjawab. Dia
menekan-nekan jenang pintu. Kemudian berjalan
perlahan ke arah tingkap cermin yang tertutup rapat.
Pak Daram berdiri membelakangkan tingkap cermin.
Pangkal tengkuknya diraba berkali-kali.
“Entahlah, Eton. Aku harap sangat-sangat, kita
tak hidup secara berulang-ulang. Aku sendiri pun rasa
terseksa,” Pak Daram bersuara lambat-lambat.
“Pak Daram tak ada cara lain untuk selamatkan
kampung kita dan kita semua?”
Pak Daram diam. Jelas dia kebuntuan.
“Kalau aku dan Chot dah dikacau, bermakna
itulah isyarat pemulanya. Kalau kau dah kata, ada
perempuan cantik asing selain budak-budak berempat
tu muncul di kedai kau, maknanya kita kenalah
bersedia.”
Chot terangguk-angguk, tidak ubah seperti
burung tukang sedang mencagut ulat pada batang yang
hampir reput.
“Kau jangan nak ke mana-mana, Munsyi. Jaga
adik-adik kau. Jangan merayap tak tentu arah. Jangan
keluar malam-malam macam ni. Jaga emak kau,” pesan
Pak Daram kepada Munsyi.
Munsyi tidak memberikan sebarang reaksi.
Sekadar menyukat muka Pak Daram dengan pandangan
kosong.
“Ingat tu!” Chot pula menyampuk.
Dan Munsyi laju mengangguk, lebih laju
daripada anggukan Chot tadi. Adik-adiknya yang lain
turut mengangguk sama walaupun tidak ditanya oleh
Chot.
Pak Daram menghela nafas panjang. Kepalanya
digaru berkali-kali. Wajahnya jelas rusuh. Chot seperti
dapat menyelami perasaan Pak Daram pada ketika itu.

No comments:

Post a Comment