DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 30 June 2019

Kampung Hilang - Bab 2

Penghujung September 1948...

SEBAHAGIAN besar daripada penduduk
kampung telah berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Askar-askar kerajaan yang didatangkan ke kampung
itu, tidak begitu menjamin keselamatan mereka.
Mat Perang gagal menangkap Andang, sebaliknya dia
dan gerombolannya telah diserang oleh penduduk
Kampung Orang Asli Sungai Kumbai. Serangan
mengejut yang dilakukan oleh Orang Asli Sungai
Kumbai menyebabkan Mat Perang sendiri tercedera,
manakala beberapa orang anggota gerombolannya
selain ditangkap, turut dibunuh.
Khabarnya, kedatangan Mat Perang dan
gerombolannya yang lengkap bersenjata itu telah
diketahui oleh penduduk Kampung Sungai Kumbai.
Mat Perang yang cukup yakin kerana memiliki senjata
api berbanding penduduk Sungai Kumbai yang hanya
menggunakan sumpit dan panah, datang pada tengah
hari ketika hampir semua orang berada di kampung.
Tidak lama masa yang diambil oleh penduduk
Sungai Kumbai untuk menewaskan dan memalukan
Mat Perang. Apabila semua jalan keluar telah dikepung,
manakala jalan masuk ke kampung itu pula disekat,
Mat Perang dan gerombolannya terperangkap. Hanya
kerana nyawanya masih panjang, Mat Perang terselamat
daripada dibunuh dan berjaya melepaskan diri. Itu pun
dia mengalami kecederaan apabila dua batang anak
panah yang matanya bersalut racun ipuh, tertusuk ke
betis dan pahanya.
Mid tidak berhajat untuk ke Kampung Sungai
Kumbai meskipun beberapa kali Daram mengajaknya
ke sana. Sebaliknya Mid banyak mendengar cerita dan
khabar dari Kampung Sungai Kumbai menerusi Darus.
Biarpun kurang percaya dengan cerita-cerita Darus,
namun Mid memilih untuk sekadar menjadi pendengar
tanpa menyampuk biarpun pada masa yang sama, Mid
begitu teringin mengingatkan Darus tentang ketakutan
luar biasanya sewaktu Mat Perang dan gerombolan
komunis datang ke kampung mereka mencari Andang
beberapa minggu sebelum itu.
Darus sendiri tidak segan silu atau malu untuk
menceritakan pengalamannya bersama-sama Daram.
Jikalau diturut-turutkan ceritanya, Darus bersendirian
di dalam hutan di Kampung Sungai Kumbai walaupun
pada tengah malam demi keselamatan dan memburu
komunis. Jarang benar nama Daram disebut oleh Darus
dalam ceritanya, tetapi nama Andang sentiasa meniti di
bibir seolah-olah Andang sangat rapat dan sangat akrab
dengannya. Seolah-olah tanpa Darus, Andang akan
pincang sebelah kaki dan tidak tahu apa yang harus
dilakukan.
Daram tidak banyak menyanggah temberang
Darus. Mungkin Daram mahu membiarkan Darus
berseronok dengan caranya sendiri. Musim-musim
perang dan darurat sebegitu, apalah sangat hiburan
yang ada. Jikalau ke pekan pun, belum tentu ada joget
lambak seperti sebelum perang dahulu.
“Esok petang kami nak masuk ke hutan di
kaki gunung. Orang Asli Kampung Sungai Kumbai
yang minta kami datang untuk berjaga-jaga,” Darus
bersuara lantang seolah-olah mahu seluruh kampung,
kalau tidak pun satu masjid memberikan perhatian
kepadanya.
Petang itu, orang kampung berkumpul di
masjid untuk bermesyuarat dan melantik ketua
kampung, imam dan siak baharu. Ketua kampung,
imam dan siak lama, semenjak kehadiran Mat Perang
dengan gerombolan komunisnya, telah hilang entah ke
mana. Seperti batang tubuh mereka yang ghaib, khabar
berita juga tidak siapa pun yang tahu. Ada yang kata,
mereka telah melarikan diri tanpa membawa keluarga
masing-masing. Ada juga yang kata, besar kemungkinan
mereka telah dilarikan komunis ke dalam hutan.
“Nak buat apa ke sana? Kan askar-askar
kerajaan dah ada,” tanya Mid dengan nada acuh tak
acuh. Jawapan Darus sebenarnya sudah diduganya.
“Askar-askar kerajaan tu bukannya tahu sangat.
Mereka bukan orang kawasan ini. Banyak yang datang
tu, askar-askar orang putih. Apalah yang mereka
tahu tentang hutan kita. Kena gigit nyamuk pun dah
bengkak-bengkil muka masing-masing.”
“Betullah kebanyakan askar-askar kerajaan tu,
orang putih. Tapi kena ingat, dah beratus tahun orang
putih perintah negara ini.”
“Ah, ini kawasan kita. Ini tempat kita. Segala
ceruk rantau, lembah belukar di kawasan ini, kita yang
lebih tahu berbanding askar-askar kerajaan tu.”
“Apalah sangat kita ni kalau dibandingkan
dengan askar-askar kerajaan tu. Askar-askar kerajaan
itu lengkap bersenjata, lebih terlatih. Bukan saja dari
segi senjata, risikan, latihan dan taktik pun lebih baik
daripada kita orang-orang kampung ni,” Mid seperti
sengaja mencabar ego Darus.
Darus mencebik.
“Taklah hebat mana pun. Kalau nak dapatkan
maklumat, orang kampung juga yang dicari dan ditanya.
Kalau kita tak bagi maklumat, askar-askar kerajaan tu
takkan boleh buru komunis-komunis dalam hutan.”
Orang kampung yang tadinya berkumpul,
perlahan-lahan menjarakkan diri. Mungkin mereka
sudah bosan mendengar sembang besar Darus. Atau
barangkali mereka sedar, masa sudah semakin suntuk
sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan.
Darus seperti tidak berpuas hati kerana orang
kampung enggan mendengar ceritanya.
“Kau berdua tengoklah orang kampung ni.
Langsung tak tahu nak berterima kasih dengan orang
yang bersusah payah nak pastikan keselamatan kita
semua.” Semakin kuat suara Darus. Dia mencebik-cebik.
“Orang kampung kenal kau, Darus,” balas Mid.
Daram bersetuju.
Muka Darus merah padam.
“Ah, kau berdua pun sama macam orang
kampung ni.”
“Kami semua dah nak bermesyuarat. Tak ada
masa nak dengar cerita kau. Kau simpan cerita kau
untuk anak cucu kau,” kata Mid lagi.
Darus bingkas dengan wajah mencuka.
“Sekejap lagi dah pukul 6. Semua orang kena
duduk dalam rumah. Kalau kau tak berminat nak
bermesyuarat, eloklah kau balik. Pergi angkat kayu api
dan air. Nanti malam dah tak boleh keluar lagi,” Daram
pula bersuara.
“Aku nak ke Kampung Sungai Kumbai,” balas
Darus.
“Berani sangatlah kau nak pergi seorang diri,”
Daram tersenyum mengejek.
“Daripada kau asyik bercerita tentang kehebatan
kau, baik kau duduk sekali dalam mesyuarat ni. Kita ni
nak pilih ketua kampung, imam dan siak yang baharu.
Mungkin kau teringin salah satu jawatan tu. Kau pun
sebelum ini bukan main dengki dengan arwah Cikgu
Amad,” kata Mid pula.
“Lagi-lagi orang yang dah mati tu juga yang
disebut namanya. Kalau sebut beratus kali pun, dia
bukan boleh bangun dan selamatkan orang kampung
ni. Yang hidup ni jugalah yang dapat selamatkan orang
kampung.” Darus menepuk-nepuk dadanya.
Ada orang kampung yang tergelak dengan
kata-kata Darus. Apabila seorang sudah ketawa, yang
lain-lain pun turut ketawa.
Darus menyinga.
“Jangan ejek aku!” Darus cuba berlagak garang.
“Macam mana tak ejek, penakut dan bacul
macam kau, nak minta kami berterima kasih? Cerita
macam hebat sangat, tapi berdiri depan Mat Perang,
terkencing dalam seluar.”
“Bedebah!”
Darus menerkam ke arah orang kampung
itu. Namun dia terjerembab ke lantai masjid apabila
kakinya dibentes oleh Daram. Mukanya tertonyoh.
Kuat bunyi jatuhnya. Hampir 5 saat, Darus tidak
berkutik atas lantai. Bila dia bangun, darah menitik dari
batang hidungnya. Bibirnya memayung bengkak, juga
berdarah.
Orang kampung di dalam masjid sekadar
menjadi penonton. Tiada sesiapa pun yang teringin
hendak membantu Darus. Darus menekup mulut dan
hidungnya. Darah berjurai dari celah jari dan tapak
tangannya.
“Baik kau balik dan tuam hidung serta mulut
kau tu. Nanti kalau ada darah beku dalam rongga
hidung kau tu, susah. Boleh datangkan penyakit lain
pula,” kata Daram tanpa menunjukkan simpati walau
sedikit pun.
Darus tidak bersuara. Dia berjalan
terhincut-hincut ke pintu dan tangga masjid.
“Yang sakit tu muka dan kepala, tapi yang jalan
terhincut-hincut tu kenapa?” tanya Daram.
Darus tidak menjawab. Berpaling pun tidak.
Selepas Darus meninggalkan masjid, mesyuarat
diteruskan. Ternyata, mesyuarat pada petang itu tidak
mendatangkan hasil seperti yang diharapkan. Meskipun
terdesak dan memerlukan, tiada sesiapa pun dari
kalangan orang kampung termasuklah Daram dan Mid
yang sanggup memikul tugas sebagai ketua kampung,
imam dan siak.
“Siapa lagi yang kita boleh harapkan selain kau,
Daram,” kata salah seorang penduduk kampung yang
turut sama bermesyuarat.
Daram menggeleng.
“Aku tak mahu dan tak sanggup. Dengan
komunis bermaharajalela, dan pada bila-bila masa akan
masuk ke kampung ni, terima jawatan bererti menyerah
batang tengkuk dan nyawa kepada komunis.”
“Kau pun tak berani?” Mid seperti menyindir.
“Orang pertama yang komunis akan cari ialah
ketua kampung. Kemudian imam dan siak. Tak dapat
mereka, keluarga mereka pula yang akan dikacau dan
diancam.”
Semua orang mengangguk-angguk. Bersetuju
dengan pendapat Daram.
“Kalau macam tu, kampung ni kekal tak ada
ketua kampung, imam dan siak lagi,” kata Mid.
“Jumlah penduduk pun dah tak seramai mana.
Dah berminggu-minggu kita tak boleh adakan solat
Jumaat sebab jemaah tak cukup 40 orang.”
“Apa fikiran kau sekarang?”
“Aku dah lama fikirkannya... aku rasa, eloklah
kalau kita semua tinggalkan kampung ni. Kita berhijrah
ke tempat lain. Kita balik semula ke kampung ni selepas
keadaan aman dan ancaman komunis tak ada lagi.”
“Berapa lama?” orang kampung tidak berpuas
hati.
Daram angkat bahu.
“Entahlah... mungkin setahun. Mungkin 2
tahun. Mungkin 10 tahun. Selagi ada ancaman komunis,
selagi itulah kita tak boleh duduk di kampung ni.”
Masing-masing menghela nafas panjang.
“Ada betulnya pandangan Daram tu. Sekarang
ni kita memang selamat sebab askar-askar kerajaan
masih ada di sekitar kampung kita. Sampai masanya,
askar-askar kerajaan tu akan keluar atau dihantar ke
tempat lain. Komunis akan datang semula untuk balas
dendam. Kita kena ingat, Mat Perang orang kampung
kita. Aku percaya, Mat Perang ada kakinya di kampung
ni,” Mid pula menokok.
“Kalau dah macam tu, kita kena buat satu
lagi mesyuarat dengan semua orang kampung. Kita
beritahu keputusan ni. Harap-harap, tidak adalah orang
kampung berdegil untuk terus bertahan di kampung
ni.”
“Bila?”
“Bila apa?”
“Mesyuaratlah.”
“Tengah hari esok,” Daram buat keputusan
tanpa merujuk kepada sesiapa pun.

DARUS SAKIT hati. Sama sekali dia tidak menyangka,
Daram dan Mid akan memalukannya di hadapan
orang kampung. Dia cukup yakin, satu kampung akan
mentertawakannya dan mengejek-ejeknya.
“Celaka punya Mid! Kau memang cari fasal
dengan aku. Kau belum kenal aku lagi.” Darus
mengepal-ngepal penumbuknya. Kalaulah Mid ada di
hadapannya, sudah pasti muka Mid akan ditunjal-tunjal
dan ditumbuk-tumbuknya. Dia memang geram sangat
dengan Mid. Lebih geram lagi dengan Daram kerana
Daram yang membuatkan hidung dan mulutnya
tercedera. Namun untuk berkeras dengan Daram,
tidak mungkin sanggup dia lakukan. Walaupun Daram
berbadan kecil, tetapi dia tahu Daram tangkas bersilat.
Arwah bapa Daram dahulu, selain menjadi orang yang
mengubat, juga merupakan guru silat.
Lagipun tanpa Daram, bagaimana dia hendak
bertemu dengan Andang. Daram sebenarnya yang
banyak tahu tentang Andang. Jikalau ke Kampung
Sungai Kumbai pun, Daram yang lebih banyak bercakap
dengan Andang. Andang pula lebih banyak memberikan
perhatian kepada Daram. Apa-apa sahaja yang Daram
sebut, akan didengar walaupun tidak semuanya dituruti
oleh Andang. Jikalau dia cari fasal dengan Daram,
pastilah Daram tidak mahu membawanya lagi bertemu
Andang ke Sungai Kumbai.
Hendak ke kampung itu bersendirian?
Direndam dalam sungai api sekalipun Darus
tidak akan pergi seorang diri. Dia mungkin bercakap
besar dengan orang kampung, tetapi semua orang tahu
untuk ke Kampung Sungai Kumbai, mereka perlu
menempuhi hutan belukar. Perkampungan orang asli
itu terletak jauh ke dalam hutan dan di kaki gunung.
Alang-alang orang, tidak ada yang sanggup ke kampung
itu jikalau tidak ada sebab yang kukuh. Apatah lagi
masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Kumbai pun
bukannya mesra sangat dengan orang luar. Kecuali
Andang yang menjadi puncanya, kebanyakan orang luar
tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke dalam kampung
itu.
Otaknya ligat berfikir, mencari jalan untuk
membalas dendam. Selagi dendamnya kepada Mid tidak
dibalas, hidupnya tidak akan lengkap. Setidak-tidaknya,
selepas itu orang kampung akan memberikan sedikit
hormat kepadanya.
Sememangnya kejadian di halaman masjid
benar-benar memalukan Darus. Namun sesiapa pun
akan berada dalam keadaannya apabila muncung
senapang diacu ke muka. Sesiapa pun akan hilang
kewarasan apabila kepala orang yang berdiri di
sebelahnya berkecai akibat peluru timah panas. Sesiapa
pun akan dihantui ketakutan luar biasa apabila mata
bayonet menghiris kulit tengkuk dan memenggal
kepala seorang budak lelaki.
Justeru, tidak sewajarnya orang kampung
memandangnya secara sinis kerana Darus percaya,
hampir kesemua orang kampung yang berkumpul
di halaman masjid dihantui ketakutan yang sama.
Buktinya, dari sehari ke sehari, semakin ramai penduduk
Kampung Hilang membawa keluarga berpindah keluar
dari kampung itu.
“Aku kena ajar Mid. Dia tak boleh dibiarkan.
Kalau dibiarkan, dia akan semakin lemak. Mulutnya
semakin cabul,” kata Darus menahan geram.
“Apa lagi yang kau duduk di luar tu, Darus? Kau
tak tahu ke sekarang dah perintah berkurung? Masuk
ke dalam cepat!” suara ibunya kedengaran dari dalam
rumah.
Darus seperti baru tersedar daripada lamunan.
Cepat-cepat dia bingkas sambil membetulkan gulungan
kain pelekat lusuhnya. Pun begitu, ketika dia hendak
masuk, matanya sempat juga melilau melihat
persekitaran hadapan rumahnya yang sedikit lapang
tanpa sebatang pokok. Tiada sebarang kelibat atau
pergerakan yang mencurigakan. Jikalau ada pun, cuma
beberapa ekor kunang-kunang sesat yang barangkali
sedang megah mempamerkan punggungnya yang
boleh mengeluarkan cahaya.
“Tak ada apa-apa makanan ke malam ni, mak?”
tanya Darus sebaik-baik sahaja dia menutup pintu ke
serambi.
“Ada... ubi rebus.”
“Ubi rebus lagi. Sampai bila kita asyik nak
makan ubi? Nasi tak ada ke?”
“Kalau kau tak mahu makan ubi rebus, esok
aku bakar ubi tu. Kalau kau tak mahu makan ubi kayu,
nanti aku gantikan dengan ubi keledek. Kalau tak suka
juga, aku ganti dengan ubi keladi. Kalau kau tetap tak
suka juga, aku boleh jamu kau dengan ubi gadung. Kau
pun rajin sangat ke pekan kalau ada pesta-pesta, kan?
Jumpa perempuan-perempuan joget. Jadi, eloklah kau
makan banyak-banyak ubi gadung.”
“Eh, mak ni... orang tanya sikit pun, dia
melalut-lalut panjang.”
“Darus, sekarang musim perang. Kau sendiri
hampir kena bunuh dengan Mat Perang. Aku suruh kau
pergi ambil padi di bendang, kau kata kau tak berani.
Padi tu sampai rebah begitu saja, tak ada siapa yang
mengerat dan memukul. Kalau ada padi tu, ada jugalah
beras untuk nasi kita,” kata ibunya.
Darus mendengus.
Tidak habis-habis ibunya mengungkit tentang
bendang tiga petak yang terletak di tepi paya itu.
Bendang tiga petak itu telah diusahakan ibunya lama
dahulu. Dari bendang itulah, ada bekalan padi dan
beras untuk mereka. Kadang-kadang, ibunya ada juga
menjualkan secupak dua kepada orang kampung.
Namun selepas kejadian di halaman masjid,
Darus tidak berani langsung untuk ke bendang tiga
petak itu. Tempat itu adalah tempat yang paling sesuai
untuk Mat Perang dan gerombolannya bersembunyi.
Bukan sahaja terpinggir dan berhampiran pula
dengan paya, tetapi juga ada bendang yang padinya
hanya tunggu untuk dikerat dan dituai. Bendang itu
memastikan bekalan beras komunis yang dikepalai Mat
Perang terjamin.
“Kalau kau dah teringin sangat nak makan nasi,
esok pergilah pinjam secupak dua dengan Mid.”
Darus menghela nafas panjang. Perut yang
lapar tetapi selera untuk makan tiada membuatkan
Darus kembali semula ke ruang hadapan rumah.
Walaupun ada hatinya untuk membuka tingkap dan
membiarkan angin malam bersama-sama nyamuk
masuk ke dalam rumah, namun kebimbangan akhirnya
membuatkan dia sekadar bersandar sambil melayani
fikiran dengan perut yang semakin hebat berkeriau
minta diisi makanan.
“Sudah berminggu-minggu macam ni. Sampai
bila nak terus macam ni?” Darus merenung api pelita
yang semakin malap. Sebentar nanti pun pelita itu akan
dipadamkan bagi menjimatkan penggunaan minyak
tanah.
“Esok, cubalah kau minta pinjam sikit daripada
Mid kalau kau nak sangat makan nasi.”
Nama yang disebut oleh ibunya adalah nama
orang yang paling dibencinya saat ini. Sanggup
ibunya menyebut nama Mid setelah dia memberitahu
apa yang dilakukan oleh Mid dan Daram di masjid
sehingga dia mengalami kecederaan hidung dan
mulut. Ibunya langsung tidak menaruh simpati,
bahkan mentertawakannya dan kini menyebut pula
nama Mid dengan harapan dia akan menagih bantuan
semata-mata untuk makan nasi kosong.
“Tidak, aku takkan mengalah! Tak ada dia pun,
aku tak mati. Tak makan nasi pun, aku tak melarat!”
“Kau merungut apa lagi tu, Darus?
Berpada-padalah... mari makan ubi rebus ni. Jangan
seksa diri kau tu. Kalau kau sakit, nanti aku juga yang
kau susahkan. Rengek kau walau demamnya sikit saja,
kalah budak-budak takut nak bersunat.”
Sebal cuping telinga Darus dengan sindiran
ibunya.
“Makan, jangan duk ikut sangat kepala angin kau
tu. Kepala angin kau tu pun tak ke mana. Paling-paling,
akhirnya memalukan diri sendiri. Cubalah kau buat
sesuatu yang boleh membanggakan keluarga kita, kalau
tidak pun diri kau sendiri. Sudah-sudahlah bercakap
besar ke sana sini. Orang kampung bukan tak kenal
kau, Darus.”
Darus diam saja. Kalaulah yang sedang
membebel itu bukan ibunya, harus pinggan ayan
yang berisi ubi rebus itu dibaling. Biar lapar di perut,
asal jangan hati terseksa. Walau Darus kepala angin,
dia masih tidak berani menderhakai ibunya. Cerita
anak derhaka yang badannya sekerat tertanam ke
dalam tanah yang sangat panas, sentiasa kekal dalam
fikirannya. Dia tidak mahu jadi seperti itu dan dia juga
tidak mahu menjadi patung batu seperti si Tanggang.
“Esok Darus akan dapatkan beras untuk kita
berdua.” Suara Darus perlahan sahaja tetapi amat jelas
didengar oleh ibunya.
“Kau nak pergi ke bendang tu?”
Darus diam. Mengangguk tidak. Mengiakan
pun tidak.
“Suka hati kaulah, Darus. Aku cuma boleh
nasihatkan kau, sekarang ini zaman perang. Zaman
darurat. Zaman orang boleh hilang secara tiba-tiba.
Berhati-hati dan berfikir bila nak buat sesuatu. Dahlah,
kau kemaskan pinggan mangkuk tu. Aku nak rehat.
Letih bekerja sepanjang hari. Ada anak pun tak boleh
harap... merayau sepanjang masa.”
Darus mengerutkan dahinya. Ibunya yang
sudah berusia hampir 60 tahun dan hanya berkemban
itu berjalan terhuyung-hayang ke tempat dia selalunya
berehat. Darus tahu, di situ ada gobek dan sirih pinang.
Ibunya pasti akan mengunyah sirih pinang sampai
merah mulut dan bibir. Di tepi tiang seri itulah juga
ibunya akan meletakkan bakul yang berisi gobek,
sirih pinang, gambir dan kapur. Dalam bakul itu,
pada dasarnya yang dilapiki kertas surat khabar lama,
kadang-kadang ibunya sembunyikan wang. Cuma
Darus tidak berani menyelongkar bakul sirih itu kerana
suatu masa dahulu, dia pernah tertangkap sedang
menyelongkar dan akibatnya, tangannya hampir patah
dipukul oleh ibunya. Selepas itu, dia melihat bakul sirih
itu sebagai berpuaka, berjembalang dan berpenunggu.
Bakul sirih itu membawa masalah, kesakitan dan
kesengsaraan.
Seperti yang disuruh oleh ibunya, Darus akur.
Hanya bertemankan sebiji lampu pelita, pinggan
mangkuk yang sudah digunakan dan sepatutnya
dibersihkan itu dilonggokkan di tepi dapur, bukannya
di pelantar.
Entah apa malangnya, pelita yang sepatutnya
bersumbu panjang boleh pula terpadam secara tiba-tiba.
Hendak dikatakan ditiup angin, agak tidak munasabah
kerana dia tidak merasai sebarang pergerakan angin.
Hendak dikatakan ada mulut gatal yang meniupnya,
lagilah tidak munasabah kerana yang ada di situ hanya
dia. Ibunya pula sedang sibuk menggobek sirih di
tepi tiang seri rumah. Hendak dikatakan mana-mana
bahagian tubuhnya tersentuh sumbu panjang pelita
ayan itu sehingga terpadam apinya, lagilah tidak
munasabah kerana kalau tersentuh, sudah pasti dia
yang akan menjerit dahulu sebelum api pelita terpadam.
“Darus...” suara itu menggumam dan
menggeletar dari bawah lantai dapur.
Capang telinganya. Cering bulu romanya. Sejat
darahnya. Tiba-tiba sahaja seperti ada aliran sejuk yang
mengalir sehingga ke bahagian paling atas kepalanya
sehingga ke hujung ibu jari kaki.
“Makkkk!!!” Darus meninggalkan pelita yang
terpadam. Dia berlari mendapatkan ibunya yang masih
leka menggobek sirih di tiang seri.
“Kau dah kenapa?” tanya ibunya sambil
berkerut dahi.
Darus membuka mulut tetapi suaranya
langsung tidak mahu keluar. Dia cuba ingati satu
per satu apa yang hendak dikhabarkan kepada ibunya
tetapi segala perkataan berkecamuk dalam otaknya. Dia
langsung tidak dapat menyusun bait-bait ayat mahupun
perkataan yang sepatutnya dituturkan.
“Kau kenapa?”
Darus tidak mampu bersuara, tetapi akhirnya
menuding ke arah dapur.
“Kenapa?” Acuh tak acuh sahaja orang tua itu
bertanya. Gobek ditonggengkan ke telapak tangan.
Buntut gobek diketuk dengan belakang alunya.
Berketul-betul daun sirih hancur bersama-sama
pinang, gambir dan kapur berkumpul di atas telapak
tangan. Diuli-uli seketika sebelum dimasukkan terus
ke dalam mulut.
Apabila usahanya untuk memberitahu ibunya
tentang suara aneh dan menakutkan yang didengar
menyebut namanya dari bawah lantai dapur tidak
berhasil, Darus terduduk. Saat itu, punggungnya
dirasakan seperti dicucuk-cucuk dengan lidi. Darus
beralih. Sememangnya ada seseorang yang mencucuk
lidi dari bawah lantai menerusi selaan lantai.
“Ada orang bawah rumah,” akhirnya Darus
mampu bersuara.
Ibunya terdiam dan merenungnya. Darus
menunjuk ke arah lidi yang masih terpacak di
celah lantai sebagai bukti kepada ibunya yang dia
tidak bercakap bohong, bukan berkhayal mahupun
mengada-adakan cerita.
“Siapa?” ibunya pula bertanya kepada orang di
bawah rumah.
“Aku.” Suara itu menggeletar, menderam dan...
menakutkan!
“Aku tu siapa?” wanita yang hanya berkemban
itu terus mendesak.
“Imam.”
“Imam?” Darus dan ibunya bersuara serentak.
“Ya, bagi aku naik.”
“Yalah... yalah... Darus pergi buka pintu dapur.
Imam, naik ikut dapur. Jangan banyak bunyi. Jangan
bersuara.”
Biarpun cuak dan ragu-ragu, Darus turuti juga
kemahuan ibunya. Pun begitu dalam masa yang sama,
otaknya ligat memikirkan tentang imam. Betulkah
imam yang bersuara dan menjolok punggungnya dari
bawah rumah dengan lidi? Betulkah imam yang bacaan
Al-Fatihahnya panjang dan berlagu sedangkan suara
yang didengarnya lebih dengung dan gumam macam
orang sakit tekak? Benarkah imam yang meminta untuk
masuk ke rumahnya itu benar-benar imam, bukannya
jembalang yang menyamar sebagai manusia?
Segala persoalan tidak dapat dijawabnya.
Daun pintu dapur berkeriuk sedikit ketika
dibuka. Engselnya hanyalah gelungan dawai yang turut
dikukuhkan oleh belahan rotan. Darus menunggu
dengan penuh debar. Dia mendengar sesuatu sedang
memanjat pelantar buluh dan kemudian bergerak ke
arah pintu dapur. Dalam remang-remang cahaya, dia
dapat melihat bentuk tubuh seorang lelaki sedang
merapati pintu dapur.
“Cepat tutup pintu dapur,” suara imam masih
lagi menggumam dan menderam.
Darus akur.
Daun pintu ditutup dan dipalangnya. Ibunya
hanya menunggu di tiang seri rumah bertemankan
cahaya pelita. Ada 3 buah pelita ayan dinyalakan.
Suasananya lebih terang berbanding tadi.
“Imam? Apa sudah jadi dengan imam?” tanya
Ibu Darus dengan kalut.
“Syyy... perlahankan sedikit suara tu. Aku tak
mahu orang lain tahu aku dah balik,” kata imam.
Wajah dan tubuhnya benar-benar berbeza
berbanding imam yang mereka kenali sebelum
kehilangannya sebulan yang lalu. Imam yang ada
di hadapan mereka adalah seorang lelaki berwajah
cengkung, berambut panjang, berserabut dan tidak
bersikat, berpakaian serba lusuh, berdanur dan kotor.
Kesan-kesan daki yang agak tebal kelihatan pada kulit
lengan dan kakinya. Kuku jari tangan dan kakinya juga
panjang-panjang serta di hujungnya sarat berwarna
hitam. Keadaan imam amat menjijikkan. Baunya juga
tidak menyenangkan.
“Aku dapat lari dari sarang komunis tu. Hampir
sebulan aku kena tahan,” kata imam membuka cerita.
“Imam kena tawan komunis? Mat Perang?”
“Siapa lagi, dialah.”
“Siak?”
“Siak sudah dibunuh kejam oleh Mat Perang.
Dia dilapah hidup-hidup bila dia enggan beritahu di
mana Andang bersembunyi.”
Imam meminta agar dia dibenarkan
membersihkan diri, diberikan pakaian yang lebih
bersih dan makanan. Untuk turun ke telaga
bersama-sama imam, Darus tidak berani. Imam
terpaksa membersihkan dirinya di pelantar. Namun
Ibu Darus tidak membenarkan dia menjirus tubuhnya,
sebaliknya sekadar mengelap untuk membuang daki
dan kekotoran sahaja. Kepalanya pun hanya boleh
dibasahkan dan disabun tanpa perlu dijirus.
Kehadiran imam di rumahnya merupakan
satu hikmah besar kepada Darus. Mid dan Daram
tentu sahaja tidak menyangka imam muncul semula
dan cuba mendapatkan bantuannya. Orang kampung
yang mentertawakannya sudah pasti akan melopong
apabila selesai perintah berkurung pagi nanti, dia
akan membawa imam ke masjid dan memperkenalkan
kepada mereka semula.
Darus sudah dapat membayangkan biji mata
orang kampung terbeliak besar kerana terkejut.
Dia boleh mereka-reka pelbagai cerita, termasuklah
menyelamatkan imam di dalam hutan atau dari kem
komunis ketika dia selesai memburu mereka. Siapa
yang boleh sanggah lagi kerana buktinya ialah imam
sendiri. Takkanlah imam yang sudah terhutang budi
kepada dia dan ibunya sanggup menafikan cerita-cerita
temberangnya? Lagipun imam bukan jenis itu. Selama
ini pun, kalau ada sesuatu yang tidak kena, imam akan
tersenyum dan enggan terlibat.
Baki ubi rebus yang masih ada di dalam periuk
dihidangkan kepada imam. Bercecahkan sambal belacan
kosong, imam kelihatan cukup berselera seolah-olah
sudah lama dia tidak menyentuh sebarang makanan.
“Macam mana imam boleh tertangkap?
Ceritalah sikit, imam,” kata Darus.
Ibunya yang berada di sebelahnya turut
mengangguk. Juga mahu tahu cerita sebenar daripada
mulut imam sendiri.
“3 hari sebelum Mat Perang dan kawan-kawannya
masuk ke kampung ini, aku dan siak ditangkap mereka.
Masa tu kami di masjid. Bukan sahaja kami ditangkap,
bekalan makanan yang ada di masjid pun Mat Perang
angkut habis. Kami dibawa ke dalam hutan, ke kem
mereka. Kami dipasung ke sebatang pokok. Selama 4
hari, jangankan nasi, setitik air pun tidak dibenarkan
masuk ke badan kami.”
“Apa hendaknya komunis tu?” tanya Ibu Darus
dengan penuh minat.
“Nak apa lagi, mereka nakkan Andanglah.
Kebetulan Mat Perang tahu, Andang baru sedekahkan
beras dekat 100 kati kepada masjid. Beras 100 kati
itulah yang dirampasnya dan dilarikan ke dalam hutan.
Kata Mat Perang, beras itu hak komunis kerana Andang
membocorkan rahsia komunis kepada askar-askar
kerajaan,” cerita imam.
“Macam mana kau boleh lepas daripada
komunis tu?” Ibu Darus bertanya dengan nada lembut
tetapi renungannya yang tajam membuatkan imam
tunduk mengalihkan pandangan ke arah lain.
“Kebetulan komunis-komunis tu tengah
mabuk. Ikatan pada tangan aku longgar. Masa mereka
tengah leka, aku ambil kesempatan lari.”
“Komunis-komunis tu tak kejar?”
“Ini kawasan aku. Tahulah aku kat mana jalan
dan laluan atau tempat untuk menyorok,” kata imam
dengan bangga.
“Hairan... selalunya dan setahu akulah,
komunis jarang mabuk kalau dalam hutan. Kecualilah
kalau di pekan,” kata Ibu Darus sambil membelek-belek
sehelai daun sirih yang bertemu urat.
Darus tidak begitu berminat dengan
pertanyaan-pertanyaan ibunya. Dia hanya mahu
mendengar cerita imam tentang keadaan di dalam
hutan, terutama sekali di kem komunis. Dia perlu tahu
kedudukan kem dan sarang komunis itu supaya mudah
untuk dia melaporkan kepada Andang. Apabila Andang
mendapat maklumat itu, sudah tentu Daram akan
terpinggir.
“Imam ingat lagi kat mana sarang
komunis-komunis tu?” tanya Darus dengan penuh
teruja.
“Apa pula aku tak ingat. Aku datang dari sana.
Tutup mata sambil berjalan pun aku boleh tunjuk
tempatnya.”
“Cuba imam beritahu, kat mana sebenarnya
sarang komunis tu?” Darus merapatkan lututnya
dengan lutut imam.
“Kenapa? Kau nak beritahu Andang ke?” tanya
imam kembali.
Darus mengangguk pantas.
“Kalau Andang tahu tempat sebenar sarang
komunis tu, tentu lebih mudah. Kampung ni dan
Kampung Sungai Kumbai serta kampung-kampung
berhampiran akan lebih selamat tanpa komunis.”
“Ramai ke yang ikut Andang?” imam bertanya
lagi.
“Taklah ramai sangat. Tapi semua yang ikut
Andang, semuanya gagah-gagah dan berani-berani
belaka,” Darus mengembangkan dadanya. Dia
sebenarnya meminta imam memujinya.
“Termasuklah kau. Alang-alang orang, takkan
berani masuk ke hutan memburu komunis. Lebih-lebih
lagi kalau setakat bersenjatakan parang, panah dan
lembing. Komunis-komunis tu dah berpengalaman
berperang dengan Jepun dan British.”
Sememangnya hati Darus kembang.
Rasa bangganya membuak-buak. Kalaulah boleh
diterjemahkan dalam bentuk cecair, sudah tentu
melimpah dan membanjiri rumah itu.
“Aku pun teringin nak jumpa Andang. Sebelum
ini, aku cuba juga menegur dia, tapi dia buat endah
tak endah saja. Dia pun jarang ke masjid kecuali hari
Jumaat.” Imam menguis tahi api pada sumbu pelita
ayan. Apinya berubah saiz jadi lebih besar.
“Elok juga tu. Andang tentu seronok jumpa
imam.”
“Aku rasa tak selamat. Dalam kampung ni, susah
nak percaya sesiapa pun. Jangan beritahu sesiapa pun
tentang aku. Jangan sebut langsung yang aku datang
berlindung di rumah kau. Esok, pagi-pagi lagi aku nak
ke pekan. Nak buat laporan polis dan nak maklumkan
kepada pihak kerajaan tentang kedudukan sarang
komunis tu. Lepas tu, aku akan pergi cari Andang di
Kampung Sungai Kumbai, kan?”
Ibu Darus mengerutkan keningnya. Matanya
tajam merenung imam. Sedangkan Darus pula
mengangguk-angguk laju tidak ubah seperti burung
tukang yang sedang mencari ulat pada batang kayu
reput.
Imam dan Darus terus rancak bercerita. Sesekali
meletus tawa daripada mulut mereka. Hilang sudah
ketakutan dan kebimbangan. Imam sendiri pun seperti
sudah melupakan kesengsaraannya dalam tahanan
komunis seperti yang diceritakannya sebelum itu.
Kadang-kadang dia yang lebih kuat ketawa berbanding
Darus.
Darus turut menceritakan bagaimana dia
berjaya menyelamatkan orang kampung daripada
dibunuh oleh Mat Perang walaupun akhirnya terpaksa
reda dengan kematian tiga orang termasuklah Cikgu
Amad.
“Cikgu Amad dah mati?” imam bertanya pantas.
“Ya, kalau tak bijak, aku pun dibunuh sekali dek
komunis tu,” balas Darus, bangga.
“Betul cakap kau... dalam keadaan sekarang,
bukan kuat yang akan selamatkan kita semua, tapi
bijak. Kuat sahaja tapi tak bijak, tak guna juga,” imam
berfalsafah.
Darus mengangguk-angguk lagi.
“Sayang... kalau Cikgu Amad tu bijak, dia bukan
saja boleh selamatkan dirinya, tapi juga satu kampung.
Dia adalah orang yang paling layak untuk dilantik
sebagai ketua kampung. Tahu serba-serbi dan rajin
membaca serta berpengetahuan.”
Darus tidak senang dengan kata-kata imam.
Sepatutnya imam mengutuk Cikgu Amad kerana
Cikgu Amad bodoh sehingga akhirnya terbunuh. Yang
selamatkan orang kampung ialah dia, bukannya Cikgu
Amad. Apatah lagi, dalam ceritanya kepada imam,
Cikgu Amad memang tidak berguna walau sesen pun.
Ceritanya kepada imam ialah, Cikgu Amad penakut dan
pengecut. Cikgu Amad menagih simpati dan menangis
meraung-raung sebelum akhirnya ditembak oleh Mat
Perang.
Namun imam tetap berpendapat Cikgu Amad
seorang yang berani, bahkan orang yang paling layak
menjadi ketua kampung. Bahagian mana ceritanya
kepada imam yang tidak kena?
“Imam,” Ibu Darus bersuara, perlahan tetapi
tegas. Imam berpaling ke arahnya, namun tetap tidak
berani bertentangan pandangan dengannya. “Kau
ni sebenarnya berjaya lepaskan diri atau sengaja
dibebaskan oleh komunis tu? Cuba kau berterus terang.
Dalam rumah ni pun, hanya kita bertiga saja,” Ibu
Darus tidak mampu lagi menahan rasa ingin tahunya.
Wajah imam berubah. Dia terkesima sebentar.
Darus pula jadi serba salah.
“Apalah mak ni tanya soalan karut macam tu?
Takkan mak tak tengok macam mana keadaan imam
tadi?” Darus sebenarnya lebih kuat memujuk hatinya
sendiri berbanding ibunya.
“Aku lebih kenal imam ni berbanding kau,
Darus,” balas Ibu Darus, tegas.
“Jangan diungkit kisah yang lepas,” lirih sahaja
permintaan imam.
Darus semakin bingung. Permainan apa
sebenarnya yang sedang berlaku di hadapannya;
melibatkan ibunya itu dengan imam yang jarak usia
mereka hampir 10 tahun? Apa maksud ibunya, dia lebih
mengenali imam berbanding sesiapa pun dan mengapa
pula imam meminta agar ibunya tidak mengungkit lagi
cerita-cerita yang lepas?

No comments:

Post a Comment