DAPATKAN TEASER PERCUMA!
Sunday, 30 June 2019
Kampung Hilang - Bab 1
Ogos, 1948...
KAMPUNG Hilang di pinggir hutan itu
kecoh. Sekurang-kurangnya 3 buah rumah telah
dibakar oleh pengganas Bintang Tiga. Sebahagian orang
kampung terpaksa menyelamatkan diri di masjid kayu
yang terletak di tengah-tengah kampung. Sebahagian
yang lain, awal-awal lagi telah melarikan diri ke
Kampung Sebelah, berteduh dan berlindung di rumah
saudara-mara bersama ahli keluarga masing-masing.
Gerombolan Bintang Tiga yang diketuai Mat
Perang, benar-benar mengganas dan membalas dendam.
Semuanya berpunca daripada Andang, salah seorang
penduduk Kampung Hilang yang dikatakan menjadi
penyuluh kepada askar kerajaan untuk memusnahkan
kem Bintang Tiga yang terletak di dalam hutan di
pinggir Kampung Hilang.
3 buah rumah yang dibakar oleh gerombolan
Bintang Tiga yang diketuai oleh Mat Perang adalah
milik ahli keluarga Andang. Andang yang hidup
menduda bersama-sama anak perempuannya, hilang
tanpa bekas. Tiada sesiapa pun tahu ke mana dan bila
masanya Andang dan anak perempuannya melarikan
diri.
Kekejaman tentera Jepun beberapa tahun
sebelum itu pun tidak sekejam gerombolan Bintang
Tiga. Beberapa orang lelaki di kampung itu yang dibawa
gerombolan Mat Perang ke dalam hutan, lenyap tanpa
khabar berita. Ada orang kata, mereka telah diseksa
terlebih dahulu sebelum dibunuh. Ada yang kata,
mereka telah dipujuk untuk menyertai gerombolan
Bintang Tiga yang diketuai Mat Perang. Mat Perang
mahukan lebih ramai ahli-ahli dan anggota-anggota
Melayu untuk membuktikan dia adalah orang yang
paling layak menjadi ketua komunis di daerah itu.
Askar-askar kerajaan telah pun dikerah
memasuki hutan itu sebelum ini. Mereka telah
memburu gerombolan Mat Perang. Orang kampung
terperangkap dalam perintah berkurung selama
berbulan-bulan. Acap kali mereka mendengar bunyi
tembakan dan pertempuran di dalam hutan di hujung
kampung.
Apabila askar-askar kerajaan meninggalkan
Kampung Hilang, Mat Perang muncul semula dan
mencari Andang, orang yang disyaki telah menjadi
tali barut kerajaan menyalurkan pelbagai maklumat
tentang kegiatan dan kedudukan gerombolan Bintang
Tiga pimpinan Mat Perang.
“Selagi Mat Perang tak dapat tangkap Andang,
selagi itulah kita semua dalam bahaya,” Darus yang
telah melantik dirinya sebagai ketua pemuda kampung
bersuara tegas.
“Salah apa yang Andang dah buat? Sedangkan
yang jadi penjahat adalah Mat Perang.” Cikgu Amad,
tidak bersetuju langsung dengan pendapat Darus.
Cikgu Amad adalah guru yang mengajar
di sekolah dewasa kampung itu. Dia merupakan
satu-satunya anak kampung yang berjaya menamatkan
pelajaran dalam darjah 6. Dengan kelulusannya
itu, Cikgu Amad menjadi tenaga pengajar untuk
mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan
penduduk kampung.
“Cikgu jangan cakap banyak. Dalam keadaan
sekarang, kita bukan kira siapa betul, siapa salah.
Yang penting sekarang adalah nyawa dan keselamatan
kita. Tak guna kalau kita betul pun kalau nyawa dan
keselamatan anak isteri kita terancam. Tengok ni,
nak buat apa pun tak boleh. Nak ke kebun tak boleh.
Nak keluarkan rotan dan getah perca pun tak boleh.
Nak memburu, lagilah tak boleh. Sentiasa diancam
ketakutan,” Darus berpegang teguh dengan hujahnya.
“Saudara rasa, kalau kita tangkap Andang dan
serahkan kepada Mat Perang, semuanya akan kembali
macam biasa?” Cikgu Amad seperti mahu menduga
Darus.
“Sudah tentu!”
“Tidakkah itu namanya khianat?” Cikgu Amad
seperti sengaja mencari fasal dengan Darus.
Orang kampung yang berada di masjid sekadar
menjadi penonton. Masing-masing tahu, tiada gunanya
mereka cuba meleraikan atau menenangkan Cikgu
Amad dan Darus. Lebih-lebih lagi Darus yang sentiasa
berasa dia sahaja yang betul dan cakap-cakapnya perlu
sentiasa dipatuhi oleh orang kampung.
“Lebih baik khianat seorang daripada kita
khianati seluruh penduduk kampung,” balas Darus.
“Bintang Tiga tidak akan berpuas hati dengan
Andang seorang. Selepas Andang, mereka akan cari
yang lain pula. Kita pula terperangkap macam anak
ayam ditimpa hujan. Nak keluar dari kampung tak
boleh. Nak balik ke rumah sendiri pun tak boleh.”
“Kan ada askar-askar kerajaan?”
“Siapa yang nak keluar dari kampung untuk
buat laporan? Saudara berani keluar?” Cikgu Amad
mencabar Darus.
Darus terdiam. Orang kampung berpandangan
sesama sendiri. Ada yang tersenyum-senyum kecil
tetapi cepat-cepat menutup mulut masing-masing agar
tidak dilihat oleh Darus.
“Ingat aku tak berani ke?” Darus bingkas dan
berjalan ke pintu masjid. Namun langkahnya mati. Dia
tidak jadi keluar dari masjid.
“Kenapa?”
Pertanyaan Cikgu Amad tidak dijawab. Darus
sebaliknya menjadi kaku seperti patung kayu. Cikgu
Amad tidak berpuas hati. Dia juga bangun dan berdiri
di sebelah Darus, mencari sebab mengapa Darus kaku
secara tiba-tiba.
Dan sebaik sahaja dia melihat apa yang dilihat
Darus, Cikgu Amad juga terpaku dan kaku.
DI HALAMAN masjid, Mat Perang yang lengkap
dengan pakaian seragam Bintang Tiga berwarna khaki,
bersenjata api, dikelilingi hampir 10 orang Bintang
Tiga berbangsa Cina, sedang mencekak pinggang.
“Semua orang di dalam masjid, sila keluar
dan berdiri di halaman!” perintah Mat Perang sambil
mengacu-acukan senapangnya.
Cikgu Amad mencuit Darus. Darus masih
kaku. Cikgu Amad tidak ada pilihan lain kecuali
menarik lengan Darus. Orang kampung yang lain turut
melangkah keluar dengan langkah takut-takut.
“Cepat, semua berkumpul dan berdiri di
halaman masjid!” arah Mat Perang.
Mungkin pergerakan orang kampung dirasakan
lembab dan mereka perlu ditakut-takutkan, Mat Perang
melepaskan tembakan ke udara. Dentuman senapang
membuatkan orang kampung berlari ke halaman masjid.
Beberapa orang wanita yang membawa anak-anak
kecil mereka turut berkumpul. Ada anak-anak kecil
yang mulai menangis dan cuba ditenangkan oleh ibu
masing-masing.
Wajah Mat Perang sangat bengis. Tiada langsung
senyuman terukir pada bibirnya. Renungannya amat
tajam. Dia bergerak dari seorang ke seorang. Memeriksa
wajah dan tubuh setiap seorang daripada mereka.
“Mana Andang?” Mat Perang bertanya garang
setelah orang yang dicarinya tetap tidak ditemui.
“Dia tak ada di dalam kampung ni,” Cikgu Amad
memberanikan diri untuk menjawab.
Mat Perang yang berbadan kecil, wajah
berminyak dan bermisai nipis mendekati Cikgu Amad.
Diamat-amati wajah Cikgu Amad. Merenung dari
hujung kepala sehingga ke hujung kaki.
“Kau tahu dia pergi mana?” tanya Mat Perang.
Nadanya berubah, lebih mesra.
Cikgu Amad menggeleng.
Serentak dengan itu, Mat Perang melepaskan
penumbuk tepat ke rahang sebelah kiri Cikgu Amad.
Tumbukan kuat Mat Perang membuatkan Cikgu
Amad terlentang ke tanah. Mat Perang tidak puas hati.
Dia membangunkan Cikgu Amad dan menamparnya
berulang kali sehingga darah menjejeh dari bucu bibir
dan hidung Cikgu Amad.
“Mana boleh kau tak tahu. Kau duduk di
kampung ini, kan? Kau ni cikgu sekolah dewasa tu,
kan?” desak Mat Perang.
“Aku tak tahu. Dah beberapa hari dia
menghilangkan diri,” beritahu Cikgu Amad tanpa
menunjukkan rasa gentar.
Mat Perang melepaskan Cikgu Amad. Dia
mendekati Darus pula.
Darus menggigil. Cakap-cakap besarnya kini
sudah tidak terpakai lagi. Takutnya mengatasi takut
orang lain di halaman masjid itu.
“Kau! Kau mesti tahu ke mana Andang pergi.
Kau ketua pemuda di kampung ni,” Mat Perang
mengeraskan suara sambil menjolok perut Darus
dengan muncung senapangnya.
Darus terjelepok ke tanah. Wajahnya pucat lesi.
Dia menggigil teruk.
“Kenapa kau kencing dalam seluar? Kau takut?”
Mat Perang mengejek-ejek Darus yang sedang menekup
cawat seluarnya yang sudah basah.
Darus mengangguk-angguk.
“Kalau kau takut...” Mat Perang meletakkan
muncung senapangnya di bawah dagu Darus. Darus
bangun perlahan-lahan mengikut tekanan pada
muncung senapang. “Baik kau cakap, ke mana Andang
pergi?”
“Kami semua tak tahu,” beritahu Darus dengan
nada terketar-ketar.
“Kalau kau tak tahu, agak-agak kau, siapa yang
tahu?” ejek Mat Perang.
Darus segera menuding ke arah Cikgu Amad.
Cikgu Amad terpinga-pinga. Mungkin terkejut dengan
cubaan Darus untuk menyelamatkan diri.
Mat Perang kembali mendekati Cikgu Amad.
Kali ini dia tidak bertanya lagi, sebaliknya menghentak
buntut senapangnya ke rusuk Cikgu Amad. Hentakannya
agak kuat. Berderap bunyi tulang rusuk Cikgu Amad.
Cikgu Amad terjatuh ke tanah dan dia kelihatan
bersusah payah untuk menarik dan menghela nafas.
“Baik kau cakap. Tak guna kau sembunyikan
pengkhianat tu!” jerkah Mat Perang sambil menekan
batang tengkuk Cikgu Amad dengan but kerasnya.
Cikgu Amad tidak boleh bersuara. Mukanya
bertukar kebiru-biruan. Tidak seorang pun berani
menolong Cikgu Amad. Orang kampung sekadar
mampu memandang dan berharap Mat Perang yang
pernah mereka kenali suatu ketika dahulu mempunyai
sedikit rasa simpati dan perikemanusiaan terhadap
Cikgu Amad.
Seorang komunis Cina mendekati Mat Perang.
Dia bercakap sesuatu sambil memberi isyarat agar
nyawa Cikgu Amad dicabut.
Mat Perang akur. Muncung senapangnya
dihalakan ke dalam mulut Cikgu Amad yang sedang
tercungap-cungap. Picu ditarik. Tembakan dilepaskan.
Sebahagian daripada tengkorak bersama-sama kulit
kepala dan rambut Cikgu Amad bertaburan di halaman
masjid. Dua atau tiga saat, Cikgu Amad menggeletik
kemudian tubuhnya kejung dan kaku.
“Ini hukuman kepada sesiapa sahaja yang cuba
mengkhianati pejuang kemerdekaan,” kata Mat Perang.
“Kau semua sepatutnya bekerjasama dengan kami sebab
kami yang bebaskan negara ini daripada penjajahan
Jepun. Pengkhianat rakyat perlu dihukum.”
Tiada langsung kekesalan pada Mat Perang
sedangkan orang yang dibunuhnya itu adalah rakan
sepermainannya semasa kecil. Mat Perang sendiri
dijaga oleh ibu bapa Cikgu Amad setelah ibu bapanya
meninggal dunia apabila perahu mereka karam di
sungai dalam hutan di pinggir Kampung Hilang.
“Lebih baik beritahu aku, di mana Andang
bersembunyi. Kalau tidak...”
Mat Perang terpandang seorang budak lelaki
berusia 9 tahun yang dipeluk erat oleh ibunya. Dia
mendapatkan budak itu, merenggutnya daripada
pelukan si ibu. Ibunya meraung-raung, memohon
belas kasihan agar anaknya dilepaskan dan tidak
diapa-apakan.
Raungan dan tangisan itu seperti membesarkan
lagi kekejaman Mat Perang. Mat Perang mahu
menghukum dan menakut-nakutkan orang kampung.
“Kalau tidak ada sesiapa yang mahu beritahu
aku di mana Andang bersembunyi, aku sembelih budak
ini hidup-hidup!” Mat Perang mengeluarkan bayonet
yang tersarung dan tersisip di pinggangnya. Mata
bayonet dihalakan ke tengkuk budak lelaki itu.
Budak lelaki itu seperti tahu nyawanya sedang
terancam. Dia cuba melepaskan diri tetapi pelukan Mat
Perang ke tubuhnya terlalu erat.
Si ibu pula terus meraung sambil menerkam
ke arah Mat Perang bagi menyelamatkan anaknya.
Satu das tembakan kedengaran. Komunis Cina yang
memberi arahan kepada Mat Perang untuk membunuh
Cikgu Amad tadi melepaskan tembakan menggunakan
revolvernya. Tembakannya tepat ke kepala wanita
malang itu.
Orang kampung jadi tidak tentu arah. Jerit
pekik, raungan dan tangisan membingitkan telinga.
Darus masih terjelepok di tanah, langsung tidak berani
bergerak. Sesekali dia merenung ke arah jasad Cikgu
Amad yang terbujur kaku.
“Cepat cakap kalau kau semua tak mahu tengok
kepala budak ni terpisah dari badannya!” gertak Mat
Perang. Mata bayonet dilintang dan ditekan ke batang
tengkuk budak lelaki yang dipeluknya.
Budak lelaki itu menjerit. Ada lelehan darah
pada kulit batang tengkuk yang ditekan mata bayonet.
Tiada orang kampung yang berani tampil untuk
menyelamatkannya.
Mungkin disebabkan orang kampung enggan
memberikan kerjasama kepadanya, Mat Perang
mengotakan apa yang dikatakannya. Budak lelaki
malang itu disembelih hidup-hidup. Orang kampung
terpanar dengan kejadian ngeri di hadapan mereka.
Kaum ibu menjerit dan ada yang pengsan. Anak-anak
kecil turut sama menjerit dan menangis. Suasana
bertukar menjadi hingar bingar.
Mat Perang masih tidak berpuas hati apabila
kehendaknya tidak dituruti. Dia mengarahkan orang
kampung mengambil timbunan kayu api di masjid yang
biasanya digunakan untuk memasak makanan sekiranya
masjid mengadakan sebarang jamuan. Kesemua kayu
api itu dipindahkan ke halaman masjid. Timbunan kayu
api itu kemudiannya dibakar.
Api menjulang tinggi. Orang kampung
berpandangan antara satu sama lain. Mereka sudah
dapat meneka apa yang hendak dilakukan oleh Mat
Perang.
“Kalau masih tidak ada sesiapa yang mahu
memberitahu di mana Andang berada, aku akan tolak
semua orang ke dalam unggun api itu. Kau semua akan
dibakar hidup-hidup!” jerit Mat Perang.
Darus mengongoi seperti anak kecil.
Seluarnya basah lencun dengan air kencing sendiri.
Hilang sudah segala cakap besarnya. Hilang sudah
segala keperwiraannya. Hilang juga segala titis
darah keturunan pahlawan dan raja-raja yang sering
dibangga-banggakannya. Darus yang wujud kini adalah
Darus yang penakut, bacul dan kecut perut.
“Tuan Mat!” Seorang lelaki kampung tiba-tiba
bersuara. Dia berada di barisan paling belakang.
Bersongkok leper dan kusam, berbaju kemeja lusuh
dan berseluar gedoboh dengan kesan tampalan pada
bahagian paha kanannya. Lelaki itu berusia dalam awal
20-an. Sedikit lebih muda daripada Darus.
MAT PERANG memanjangkan lehernya ke arah lelaki
kampung yang bersuara itu.
“Ya, kau ada apa-apa maklumat?” Suara Mat
Perang kembali lunak.
“Dari yang saya dengar, Andang lari ke kaki
gunung bersama-sama anak perempuannya,” kata
lelaki itu.
“Kau ada bukti? Kau tahu apa akibatnya kalau
kau berbohong?” Mat Perang menggertak.
“Beberapa hari lepas, Andang datang ke rumah
saya untuk berubat. Dia sendiri yang beritahu saya,
dia nak ke kaki gunung untuk melarikan diri. Ada
saudara-maranya di kampung di kaki gunung tu yang
sedia sembunyikan dia dan anaknya daripada tuan dan
pasukan tuan,” kata lelaki itu.
Mat Perang berpandangan dengan Bintang
Tiga Cina di sebelahnya. Bintang Tiga Cina itu
mengangguk-angguk.
“Kau maksudkan Kampung Orang Asli Sungai
Kumbai?” Mat Perang cuba mendapatkan kepastian.
“Ya. Dia memang selalu ke sana.”
“Baik. Kalau macam tu, aku akan ke sana. Tapi
ingat!” Mat Perang mengertap bibirnya sampai kelihatan
berbekas. Rahangnya pula berkisar-kisar. “Kalau aku
tahu kau berbohong, kau adalah orang pertama yang
aku akan panggang hidup-hidup.”
Orang kampung yang berada di halaman
masjid menarik nafas panjang apabila Mat Perang dan
gerombolan Bintang Tiga itu kembali semula ke hutan.
Untuk seketika, tiada sesiapa yang berani bergerak
dari tempat masing-masing. Sehinggalah mereka
benar-benar pasti Mat Perang dan gerombolannya
hilang ditelan hutan di pinggir kampung, barulah
masing-masing seperti dikejutkan daripada lamunan
panjang.
JERIT PEKIK, tangisan dan suara-suara gumam
bercampur baur. Tiga mayat hasil kekejaman Mat
Perang perlu diuruskan dengan secepat mungkin.
Dalam kecoh sebegitu, tiada sesiapa pun yang mahu
tampil untuk menjadi ketua.
“Imam mana? Siak mana?”
Orang kampung tercangak-cangak. Dua
orang penting di kampung itu rupa-rupanya tidak
bersama-sama mereka. Tok ketua juga tidak kelihatan.
“Mereka dah lari!” seseorang bersuara pantas.
“Celaka!”
Semua pandangan terarah kepada Darus. Darus
yang selalunya cuba mengatasi dan membayangi kuasa
imam, siak dan tok ketua masih tidak ubah seperti kain
buruk. Bahunya masih terhinggut-hinggut dengan
esak tangisnya dapat didengar dengan jelas. Seluruh
tubuhnya dapat dilihat menggeletar seperti orang yang
diserang demam kura. Daripada tubuhnya juga bau
hancing, haring dan pering.
“Langsung tak boleh harap. Berlagak macam
bagus-bagus tapi rupa-rupanya penakut!” Lelaki
berbadan kecil bersongkok kusam dan berseluar
gedoboh sempat merenung Darus dengan pandangan
jijik.
“Siapa yang nak uruskan jenazah-jenazah ni?”
“Siapa lagi yang lebih layak kalau bukan kau,
Daram.”
“Aku bukannya imam. Aku bukannya siak. Aku
juga bukannya tok ketua.”
“Tapi kau pun bukannya jahil macam orang
kampung ni. Tolonglah uruskan. Kami akan tolong
sama-sama.”
Kebimbangan dan trauma dengan kehadiran
dan tindakan Mat Perang bersama-sama gerombolan
Bintang Tiga tadi menakutkan orang kampung untuk
pulang ke rumah masing-masing. Masjid menjadi
tempat untuk mereka berlindung. Pun begitu, hanya
beberapa orang sahaja yang bersolat di dalam masjid.
Yang lain sekadar berlindung.
Namun secara jelas, ada beberapa orang
yang jarang-jarang bersolat Jumaat dan tidak
pernah kelihatan pada setiap solat waktu kelihatan
bersungguh-sungguh berdoa di ruang solat masjid.
Tinggi dan luas tangan mereka terdepang. Muka
terdongak ke arah tulang bumbung masjid. Mata
terpejam renik. Mulut kumat-kamit. Entah apa yang
didoakan, tetapi yang pasti, doa mereka sangat panjang
sehinggakan orang kampung yang bersolat sunat dua
rakaat tahiyatul masjid sudah habis, mereka masih lagi
berdoa.
Sepanjang petang sehingga senja, orang
kampung yang diketuai Daram bergotong-royong
menyempurnakan tiga jenazah mangsa pembunuhan
Mat Perang. Biarpun dicengkam ketakutan, mereka
sedar kewajipan dan fardu kifayah perlu dilaksanakan
dengan apa cara sekalipun.
Sesudah maghrib, semua orang masih
berkumpul di masjid. Hanya hidangan ubi kayu rebus
dicecah sambal belacan yang disajikan untuk semua
orang. Tiada sesiapa pun yang berani balik ke rumah
untuk mengambil beras ataupun ikan masin. Unggun
besar yang sepatutnya digunakan untuk membakar
orang kampung hidup-hidup digunakan sebagai dapur
untuk merebus dan membakar ubi kayu. Air kopi pekat
yang dibancuh dengan gula kelapa turut disajikan.
“Daram, boleh aku tanya sikit?”
“Kau nak tanya apa, Mid?” Daram merenung api
pelita yang terliang-liuk ditiup bayu malam. Sesekali
dia melemparkan pandangan ke arah orang kampung
yang berkaparan bercampur lelaki perempuan dan
kanak-kanak di atas lantai papan masjid; sedang
merebahkan badan sambil cuba melelapkan mata dan
melupakan kesengsaraan yang sedang mereka lalui.
“Andang.”
“Kenapa dengan dia?”
“Betul ke apa yang kau cakapkan kepada
komunis-komunis tu?”
Daram berpaling dan tersenyum kecil. Baki
ubi rebus di tangannya segera dihabiskan. Mid sabar
menunggu jawapan Daram.
“Ya, betul.”
“Kau rasa...” Mid tidak dapat menghabiskan
kata-katanya apabila Daram memotong dengan pantas.
“Aku tahu apa yang kau maksudkan. Kalau
aku tak khianati Andang, satu kampung akan dibunuh
oleh komunis bedebah tu. Kau tengok apa yang dibuat
syaitan-syaitan tu kepada Cikgu Amad, Senah dan
anaknya. Semuanya mati sia-sia.”
Mid berdecit. Pangkal lehernya ditekan. Sebelah
kakinya dipacakkan dan belakang badannya rapat ke
dinding masjid.
“Kita main-main dengan nyawa orang, Daram,”
ujar Mid dengan nada perlahan.
“Aku tahu, Mid. Tapi apa lagi yang aku boleh
buat? Andang perlu dikorbankan untuk selamatkan
orang kampung termasuk aku dan kau.”
“Ahhh... semuanya kerana perang dan kuasa.
Alangkah baiknya kalau dunia ini sentiasa aman dan
damai.” Mid termenung kecil sambil menggaru-garu
pangkal keningnya.
“Kau ada nampak Darus?” Daram mengalihkan
topik perbualan.
“Eh...” Mid berpaling ke kiri dan kanan. “Kalau
tak salah aku, tadi aku nampak dia di tangga masjid.
Lembik seluruh tubuh. Kena papah. Nak makan nak
minum pun kena suap.”
Daram mendengus.
“Cakap saja besar. Langsung tak boleh harap.”
“Biarlah dia. Bahagian dia tu. Lepas ni, kalau
dia masih nak bercakap besar, kita ingatkan balik apa
yang berlaku kat dia petang tadi.”
“Tak sudahnya kita macam ni. Kita kena buat
sesuatu.”
“Maksud kau?”
“Takkan selama-lamanya kita jadi hamba
komunis-komunis tu? Mereka suka-suka hati datang,
bunuh orang kampung ni, rampas makanan, paksa
orang kampung salurkan maklumat, paksa orang
kampung jadi mata telinga mereka kalau-kalau askar
kerajaan masuk dan sebagainya. Sampai bila kita nak
terus dicengkam ketakutan?”
“Kita tak ada daya. Kita tak ada kekuatan.”
“Lagi penakut orang kampung ni, lagi mudah
komunis-komunis tu tekan. Mat Perang kenal setiap
orang kampung ni sebab dia orang kampung ni.”
“Kau fikir-fikir, siapa lagi yang kita boleh
harapkan?”
“Entah.” Daram angkat bahu.
“Kalau kau ada sebarang rancangan, kau
beritahu aku.”
“Kau berani?”
“Entah, tapi orang susah jangan
disusah-susahkan lagi kerana akhirnya orang susah itu
akan menyusahkan.”
Daram bersetuju dengan kata-kata Mid.
“Nantilah aku fikir-fikirkan.”
“Eh, Daram... kau ni kalau tak salah aku, tahu
mengubat, kan? Takkan kau tak tahu macam mana
nak menangkal dan memagar kampung ni supaya
komunis-komunis tu tak datang lagi?” Mid sebenarnya
sekadar menguji.
“Aku cuma ada petua untuk berubat saja. Bab
berbomoh aku tak pandai dan tak pernah belajar. Arwah
ayah aku tak pernah ajar aku.”
“Oh, aku ingatkan orang yang pandai berubat,
pandai juga menangkal dan berjampi.”
“Aku bukannya bomoh. Aku cuma perawat.
Pakai petua, pakai tumbuh-tumbuhan hutan. Perubatan
Melayu.”
“Aku tak tahu pula. Maafkan aku kalau kau
tersinggung.”
“Taklah. Nak tersinggung kenapa pula? Memang
ramai yang keliru pun.”
“Andang datang jumpa kau nak berubat apa?”
“Kayap.”
“Kayap? Teruk ke?”
“Dah separuh badan kayap tu melilit.”
“Isy, bahaya tu. Dah berapa lama?”
“Dah dekat 6 bulan.”
“Patutlah dia datang rumah aku, mengelak
betul dia masa aku hidangkan sayur peria.”
“Benda melilit yang kau bagi kat dia, kenapa?
Kan pantang besar tu?”
“Manalah aku tahu dia kena kayap.”
“Ya tak ya juga.”
Dalam keadaan tertekan begitu, kedua-duanya
masih mampu ketawa.
Malam semakin larut. Semakin ramai orang
kampung yang berlindung di masjid, sudah nyenyak
dibuai tidur. Macam-macam gaya tidur mereka. Ada
yang mengerekot, ada yang menonggeng, dan tidak
kurang juga yang mengiring dan meniarap.
Mid dan Daram masih belum tidur. Ada-ada
sahaja topik perbualan mereka. Sesekali meletus tawa
mereka di ruang masjid yang sudah sunyi sepi. Hanya
beberapa biji pelita yang masih menyala dengan cahaya
yang tidak seberapa terang.
“Eh, siapa pula yang datang ke masjid
tengah-tengah malam macam ni?” Mid melemparkan
pandangan menerusi bukaan pada dinding masjid yang
sepatutnya terdapat dua keping papan sepanjang 6 kaki.
Daram turut melemparkan pandangan ke luar.
Namun gelap malam menyukarkannya untuk mengenal
pasti orang yang sedang berjalan merapati masjid.
“Jangan-jangan Mat Perang datang balik,” Mid
bersuara, perlahan. Separuh berbisik.
“Kalau dia, dia takkan datang seorang diri,”
balas Daram.
Mereka tidak berganjak dari bukaan dinding
masjid itu. Orang yang sedang berjalan di dalam gelap
dan merapati masjid, bagaimanapun tidak terus ke
tangga sebaliknya sekadar berdiri di halaman, tidak
jauh dari kawasan unggun api yang hampir membunuh
orang kampung siang tadi.
“Siapa tu?” Daram bersuara lantang.
Suara lantang Daram mengejutkan beberapa
orang kampung yang sedang tidur. Mereka bangun dan
terpisat-pisat sambil tertanya-tanya apa yang sedang
berlaku.
“Siapa tu? Tunjukkan diri cepat,” arah Daram.
Orang yang sedang berdiri di tepi unggun
yang masih berbara dan menghasilkan sedikit cahaya
masih tidak berganjak dan bersuara. Keengganannya
memperkenalkan diri menggusarkan semua orang.
Hampir kesemua mereka menjangkakan
peristiwa ngeri siang tadi bakal berulang kembali, dan
kali ini Daram adalah mangsanya.
Daram memberanikan diri ke pintu masjid.
Walaupun Mid cuba menghalang, Daram tidak peduli.
Daun pintu masjid yang hanya disengkang sebatang
palang kayu, dikangkangkan perlahan-lahan. Untuk
seketika, Daram sekadar berdiri di ambang pintu. Dia
menarik nafas panjang dan mula menuruni tangga
masjid.
Mid sekadar memerhati tanpa berganjak dari
tempat duduknya.
Daram berjalan perlahan-lahan ke arah orang
yang sedang berdiri di tepi unggun berbara. Ternyata
dari suaranya, dia adalah seorang lelaki. Namun
percakapannya dengan Daram tidak begitu jelas. Tiada
sesiapa pun yang dapat meneka apakah yang sedang
diperbualkan.
Agak lama Daram dan lelaki tidak dikenali itu
berbual-bual. Sesekali terdengar lelaki itu menjerkah
Daram dan Daram tunduk.
“Siapa tu?” Seorang lelaki kampung mencuit
Mid.
Mid angkat bahu. Dia sebenarnya jujur. Dalam
keadaan gelap begitu, sukar untuknya memastikan
orang yang sedang dihadap oleh Daram.
“Macam Andang.”
“Andang?” Mid baru terfikir. Dia meneliti
dan akhirnya mengangguk-angguk, membenarkan
kata-kata lelaki kampung di sebelahnya. “Memang dia.”
“Berani pula dia datang. Kan Mat Perang cari
dia.”
Mid tidak sedap hati. Dia bingkas dan meluru
ke tangga. Kemudian mendapatkan Daram dan Andang
yang masih berbual.
Kehadirannya tidak dihiraukan oleh Andang.
Andang hanya berbaju nipis kain kasa berwarna gelap.
Berseluar longgar dan kepalanya berbalut dengan
kain pelekat. Andang hanya bersenjata sebilah golok
bersarung di pinggangnya.
“Andang, kenapa kau datang? Komunis cari
kau. Kerana kau, 3 orang dibunuh komunis siang tadi,”
Mid segera memberitahu.
“Aku tahu. Sebab itulah aku datang jumpa
Daram.”
“Kenapa?”
“Daram telah membocorkan rahsia aku. Aku
nak tahu apa yang dia sakit hati atau berdendam sangat
dengan aku sedangkan aku tak pernah buat apa-apa
salah dengan dia,” jawab Andang dengan tenang.
“Daram terpaksa berbuat begitu. Kalau dia
tak pecahkan rahsia kau, mungkin lebih ramai orang
kampung yang akan dibunuh oleh komunis Melayu
itu. Dia sembelih anak Senah dan tembak kepala Senah
depan semua orang kampung.”
“Aku tahu.”
“Tak sepatutnya kau marahkan Daram.”
“Aku tak kata pun yang aku marahkan Daram,”
balas Andang.
Mid keliru. Dahinya berkerut.
“Habis tu, kenapa kau datang menunjukkan
diri di sini?”
“Sebelum aku bertindak, aku cuma nakkan
kepastian. Tak lebih daripada tu.”
“Bertindak? Maksud kau?”
Andang tidak terus menjawab, sebaliknya
senyumannya melebar. Sedangkan pada masa yang
sama, Mid dapat melihat kegusaran pada kerut wajah
dan bahasa tubuh Daram.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment