DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 30 June 2019

Gerhana Cinta Yana - Bab 10

SEMINGGU berlalu tanpa Haqimie mahupun
Yana cuba menghubungi sesama sendiri. Masing-masing
menyepikan diri.
Haqimie dengan strategi untuk membuatkan Yana
menyedari tentang perasaan cinta yang terpendam kepadanya.
Ditambah dengan kesibukan menguruskan business katering
milik si ibu.
Yana pula masih dengan rajuk yang sengaja
dipanjangkan. Lagi pula kesibukan menyelesaikan assignment
sebelum final exam yang akan bermula tidak lama lagi,
membuatkan dia terpaksa melupakan sebentar masalah yang
sengaja dicipta dengan Haqimie.
Terapi minda! Yana suka melihat pokok-pokok
bunga uminya yang tumbuh dengan subur. Pelbagai warna
segar yang menyapa pandangan mata membuatkan mindanya
menjadi tenang.
Sedang Yana leka menyiram pokok-pokok bunga
uminya itu, muncul seseorang dari luar pagar.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Cari siapa ya?” tanya Yana
sambil menutup pili air sebelum berjalan mendekati pagar.
Pintu pagar yang berkunci tidak dibuka. Langkah keselamatan.
Hidup di dunia zaman ini perlu lebih berhati-hati. Lebih-lebih
lagi untuk kaum Hawa sepertinya. Pelbagai kejadian yang
tidak diingini boleh berlaku.
Figura lelaki di hadapannya ditilik dari atas ke
bawah. Muda lagi budak ni. Baru habis sekolah rasanya.
Ada jambangan bunga dan sekotak coklat Ferrero Rocher di
tangan lelaki itu.
“Maaf mengganggu. Saya cari Cik Sara Aryana.”
“Saya Sara Aryana. Ada apa ya?” Walaupun sudah
agak yang kiriman tersebut adalah untuknya, Yana masih
bertanya untuk kepastian.
“Ni ada kiriman untuk cik. Tolong sign dekat sini,”
jawab lelaki tersebut. Sebatang pen dan clipboard dihulur.
Yana menyambut huluran dan menurunkan tanda
tangan di ruangan yang berkaitan. Setelah selesai, pen
dan clipboard tadi dipulangkan semula kepada lelaki itu.
Jambangan bunga dan kotak coklat bertukar tangan.
“Terima kasih dik,” ucap Yana sambil tersenyum.
“Sama-sama kak.”
Yana berlalu ke buaian yang menjadi tempat
kegemarannya. Kotak coklat yang berbentuk hati diletakkan
di sebelah sebelum dia membelek tiga kuntum bunga mawar
merah yang diterima tadi. Sekeping kad ditarik keluar.
Haqimie ni pandai betul buat kejutan. Tak payah
teka pun dah tahu dia yang bagi semua ni. Okey, Yana dah tak
merajuk lagi. Mudah betul rajuknya terpujuk. Bibir mengukir
senyum senang.
‘Kenapa eh tiga kuntum? I am sorry? I miss you?I
love you? Or... I hate you?’
Banyak betul persoalan yang bermain dalam fikiran
Yana. Jawapannya ada di dalam kad tersebut. Tanpa berlengah,
kad di tangan dibuka.
I’m sorry...
Hope I didn’t hurt you.
Aww! So sweet. Macam ni ke nak pujuk adik? Dah
gaya pujuk girlfriend pula. Tapi kenapa ‘sakit’? Oh, mungkin
sakit hati kut. Memang sakit pun hati bila tak dipedulikan.
Yana ketawa sendiri. Dia tunduk mencium jambangan bunga
di tangan.
Pantas iPhone dicapai dan dia terus menghubungi
Haqimie.
“Assalamualaikum,” ucap Yana sebaik talian
bersambut.
“Waalaikumussalam. Cari siapa ya?” usik Haqimie.
“Abang Qimie! Janganlah main-main.”
“Hahaha! Alah, abang gurau je. Lama tak borak
dengan Yana. Ada apa telefon ni? Rindu abang ke?”
“Eleh, Abang Qimie tu jangan nak berlakon pulak.”
“Berlakon apanya princess?”
Princess... Alahai rindunya nak dengar panggilan tu.
“Ehem...” Yana menyedarkan diri sendiri.
“Ehem kenapa tu princess?”
“Err... tak ada apa-apa. Cuma nak cakap thanks dekat
Abang Qimie. Macam tahu je Yana suka bunga dan coklat
yang Abang Qimie bagi ni.” Berbunga-bunga hatinya sewaktu
berbicara.
“Hah? Bunga? Coklat? Abang yang bagi?” Haqimie
menyoal untuk mendapatkan kepastian. Rasanya dia belum
nyanyuk lagi untuk lupa perkara penting seperti itu jika
benar dia yang memberi.
“Abang Qimie... tak lawak okey buat-buat lupa
macam ni. Habis tu siapa yang bagi kalau bukan Abang
Qimie?”
“Mana abang tahu, princess.”
Yana telan liur yang terasa kesat. Ini memang betul
menyeramkan. Kalau bukan Haqimie, siapa yang bermurah
hati untuk memberi hadiah sebegini?
“Tapi dekat kad ni tulis sorry. Bukan Abang Qimie
ke?” Yana masih tidak berpuas hati dengan penafian Haqimie.
Jauh di sudut hati mengharapkan Haqimie mengakui
pemberian itu adalah daripadanya.
“Betul Yana, abang tak tipu. Bukan abang yang
bagi Yana semua tu.” Haqimie tidak senang duduk. Yana ada
peminat rahsia?
Mendengarkan pernyataan daripada Haqimie itu,
Yana bertambah panik.
“Yana takut...” Hampir menangis Yana jadinya.
Matanya melilau ke kiri dan ke kanan. Takut jika ada yang
mengintai dirinya. Tiba-tiba rumah sendiri pun dirasakan
tidak selamat. Lega apabila pandangan matanya tidak
menangkap sebarang figura aneh.
“Yana relaks, okey. Ada kad kan? Ada hint nama
pengirim tak? Macam singkatan huruf ke?”
“Tak ada pun, sebab tu Yana ingat Abang Qimie
yang bagi. Yana mana ada kawan rapat lain. Siap tahu alamat
rumah pulak tu.”
“Apa yang ada tulis dekat kad tu?”
“I’m sorry. Hope I didn’t hurt you.” Yana mengulang
semula ayat yang tertera.
“Ada sesiapa yang buat Yana sakit tak lately ni?”
“Ada, sakit hati! Abang Qimielah! Sebab tu Yana
ingat ni semua dari Abang Qimie.”
Buk! Haqimie terasa mengena seratus-peratus
tembakan Yana itu terus menusuk ke hatinya. Makan dalam!
Tak sangka dia pula yang terkena.
“Abang pulak yang kena balik. Abang busy sikit
dekat ofis ibu. Baru masuk kerja, so banyak benda nak kena
catch up. Sorry ya. Bukan abang tak nak contact or jumpa
Yana,” jelas Haqimie.
“Yalah tu...”
“Hari ni tak ada kelas, kan? Yana dekat rumah ke?”
“Haah, Yana tinggal sorang je. Umi pergi marhaban.”
Ada rasa bangga terselit di hati Yana kerana Haqimie masih
mengingati jadual kelasnya walaupun sibuk.
“Okey, macam ni. Yana masuk dalam. Jangan lupa
kunci pintu. Malam nanti lepas isyak abang datang sana ambil
Yana. Kita keluar sekejap, bincang pasal benda ni. Abang ada
kerja sikit nak kena settle ni.”
“Okey. Anything roger. Thanks, assalamualaikum.”
“Anything for you my princess. Waalaikumussalam.”
Yana terus melangkah ke dalam rumah bersama
jambangan bunga dan sekotak coklat yang diterima tadi.
Matanya melirik pada kad yang disertakan.
‘Sorry? Kenapa sorry? Ada orang buat salah dengan
aku ke? Aku tak rasa ada pun. Buntunya aku fikir benda ni.’
Yana melabuhkan duduk di sofa bersama seribu
persoalan yang tiada jawapannya.

SEPERTI YANG dijanjikan Haqimie datang ke rumah Yana
malam itu dan membawa Yana keluar setelah mendapat
keizinan daripada Encik Syukri dan Puan Anisah.
“Yana dah makan?” soal Haqimie memulakan bicara.
“Dah, tadi.”
“Lah, kan abang dah cakap nak ajak Yana keluar?”
Haqimie sedikit hampa mendengar jawapan yang diberikan
oleh si gadis.
“Makan dengan famili dah. Makan dengan Abang
Qimie belum lagi.” Yana tersengih.
Lega Haqimie mendengar penjelasan Yana. Kalau
tak, terpaksa pula gadis itu menemaninya makan malam.
“Amboi, kuat makan jugak ya Yana ni. Nampak je
slim.”
“Yana memang kuat makanlah. Cuma badan je yang
tak naik. Tadi umi ajak makan, tak sampai hati nak tolak. Tu
yang Yana jamah jugak sikit,” terang Yana.
“Okey, kita pergi makan dulu. Nanti baru kita
bincang pasal hal petang tadi. Yana nak makan apa?”
“Tak kisah. Yana ikut je.”
“Senang betul jawapan tu kan?” perli Haqimie.
Akhirnya dia memilih untuk menjamu selera di sebuah
restoran yang berdekatan dengan kawasan perumahan
Yana. Senang untuk dia menghantar gadis itu pulang nanti.
Lagipun tidak manis pula jika Yana dihantar lambat ke rumah
semula.
Setelah masing-masing kekenyangan, Haqimie
memulakan bicara. Tidak mahu berlengah lagi.
“So, Yana. Pasal petang tadi tu ada orang yang tahu
tak?”
“Tak ada. Abang Qimie sorang je yang tahu. Yana
takut nak beritahu orang lain. Kalau walid tahu, lepas ni
mesti Yana susah nak keluar rumah. Yana tak naklah sampai
jadi macam tu. Abang Qimie tahu kan walid tu macam mana.”
“Kenapa tak beritahu Shahrul?”
“Tak naklah Yana. Along tu bukan boleh percaya.
Dah banyak kali dia terbocorkan rahsia Yana. Abang Qimie
jangan nak beritahu along pulak eh. Kalau along tahu, siap
Abang Qimie!”
“Wah, my princess dah pandai mengugutlah... Okey,
abang tak beritahu Shahrul cuma Yana jangan sorokkan
apa-apa daripada abang.”
Wajah Yana memerah menahan rasa saat perkataan
‘princess’ itu meniti di bibir Haqimie seperti kebiasaannya.
“Ya, Yana janji akan cerita semua benda pada Abang
Qimie.” Tangan kanan Yana naik ke sisi seperti orang sedang
berikrar.
“Okey, sekarang abang nak tanya. Ada sesiapa yang
syok dekat Yana ke?”
“Manalah Yana tahu. Abang Qimie ni pun soalan tak
ada yang lagi mencabar ke?”
“Maksud abang ada tak sesiapa bagi hint pada Yana
ke?”
“Tak ada pulak. Yana tak ada berkawan rapat dengan
sesiapa pun kecuali Abang Qimie.”
Tersenyum lebar Haqimie mendengar pernyataan
itu. Bangga menjadi insan terpilih yang rapat dengan Yana,
gadis yang amat dijaga rapi oleh keluarganya.
Walaupun tidak bertudung tetapi pakaiannya tidak
menjolok mata. Pergaulannya juga terbatas tetapi apa yang
merisaukan Haqimie adalah tentang gerangan manusia yang
memberi hadiah kepada Yana petang tadi. Jika benar tiada
sesiapa yang rapat dengan gadis itu selain ahli keluarga dan
dirinya, siapakah insan misteri itu?
“Helo, Abang Qimie! Jauhnya mengelamun.”
Tersentak Haqimie apabila Yana memetik jari di
hadapan wajahnya. “Sorry, sorry. Abang risaukan Yana.”
“Mungkin dia salah hantar kut.” Yana cuba
menenangkan Haqimie sedangkan dalam hati sendiri sudah
kacau-bilau memikirkan perkara yang membawa kepada
pertemuannya dan Haqimie pada malam ini.
“Tak mungkin, sebab dia tahu nama Yana. Yana kena
berhati-hati. Coklat yang dapat tadi tu jangan makan, buang
je. Takutlah ada apa-apa ke.”
“Baik, Abang Zacqryl Haqimie. Saya yang menurut
perintah. Tapi coklat tu sedap, sayang pulak nak buang.”
“Jangan mengada-ada. Ambil ni.” Haqimie
mengeluarkan sekotak coklat Ferrero Roche berbentuk hati
dari dalam beg silangnya.
“Abang minta maaf seminggu ni busy dan buat Yana
sakit hati hari tu. Sengaja abang nak usik Yana tapi lepas
tu busy sampai tak sempat nak pujuk. Makan yang ni, yang
petang tadi tu buang.”
Yana tersenyum senang menyambut kotak coklat
pemberian Haqimie.
“Thank you. Sayang Abang Qimie!” Teruja sungguh
Yana dengan pemberian dari Haqimie sehingga tidak sedar
akan perkataan yang keluar dari mulutnya.
“Abang sayang Yana jugak.”
Yana pandang Haqimie tidak berkelip. Mati terus
senyuman lebarnya tadi.
“Err... jom balik. Dah lewat ni.”
Haqimie cuba mengelak dari bertentang mata
dengan Yana. Macam manalah dia boleh terlepas cakap.
Sabar, Qimie. Slow and steady, baru gentleman. Haqimie
mengingatkan diri sendiri.
“O... okey jom,” jawab Yana tergagap kerana masih
terkejut dengan apa yang baru didengarinya tadi.

***AKAN BERADA DIPASARAN, KELUARAN JUN 2019***  

No comments:

Post a Comment