ANNA dan Sofia masih tidak berpuas
hati. Pak Tua Mid yang membawa mereka pulang ke
rumahnya enggan membantu membawa Ikhwan yang
masih pengsan di tepi jalan. Walaupun didesak, Pak Tua
Mid tetap dengan pendiriannya. Gelagat lelaki tua itu
membingungkan Anna dan Sofia.
“Kamu berdua tinggal di rumah Pak Tua dulu.
Jangan ke mana-mana sampailah keadaan selamat,”
katanya.
Rumah Pak Tua Mid terletak agak jauh dari
jalan besar. Pak Tua Mid katanya tidak mempunyai
isteri dan anak. Kata Pak Tua Mid, isteri dan kedua-dua
orang anaknya telah lama meninggal dunia dalam
satu kemalangan jalan raya. Kini Pak Tua Mid hidup
bersendirian, mengerjakan kebunnya yang terletak
menghala ke jalan lama ke Kampung Hilang.
“Kawan kami tu perlu diselamatkan, Pak Tua.
Kami tak tahu sama ada dia masih hidup ataupun
sudah tidak bernyawa. Kalau dia masih hidup, dia
perlu dihantar ke hospital untuk rawatan,” Anna cuba
mempengaruhi Pak Tua Mid.
“Dia tidak akan ke mana-mana. Kalau kamu
pergi mencarinya pun, kamu takkan berjumpa dengan
kawan kamu itu,” balas Pak Tua Mid.
Anna dan Sofia berpandangan. Kata-kata Pak
Tua Mid tidak memberikan penjelasan kepada mereka,
sebaliknya menimbulkan kekeliruan.
“Kamu pergilah bersihkan diri. Nanti pak tua
siapkan sarapan untuk kamu. Lepas tu, baru kita fikir
apa yang harus dilakukan.”
Pak Tua Mid meninggalkan mereka di serambi.
Bilik untuk Anna dan Sofia telah ditunjukkan. Anna
dan Sofia telah pun memindahkan beg galas mereka ke
bilik tersebut.
“Jom masuk bilik. Ada benda yang aku nak
sembangkan dengan kau.” Anna menarik tangan Sofia.
Rumah Pak Tua Mid hanyalah sebuah rumah
kampung yang sederhana. Walaupun sebahagian besar
daripada rumah di kampung itu separuh simen dan
separuh papan, rumah pak tua sepenuhnya adalah
papan dan kayu. Daripada kesan dan corak pada papan,
ternyata rumah tersebut telah lama terbina. Tiada
sebarang hiasan menarik di rumah tersebut. Semuanya
sekadar peralatan dan hiasan asas.
Namun di ruang tamu di mana satu set kerusi
rotan yang sudah pudar warnanya dengan kusyen yang
kelihatan kusam menandakan sudah lama tidak diganti,
terdapat beberapa hiasan yang agak menarik. Sepasang
keris bersilang menjadi hiasan dinding. Beberapa
bingkai gambar dengan gambar-gambar lama berwarna
hitam putih, turut menghiasi dinding. Dan salah satu
gambar tersebut benar-benar menarik perhatian Anna.
Di hadapan bingkai gambar itulah Anna
mengheret Sofia.
“Gambar apa?” tanya Sofia.
“Cuba kau perhatikan betul-betul.”
Sofia mengecilkan mata. Gambar lama yang
dibingkaikan dan disangkut di dinding berhampiran
sebuah almari lama yang kosong isinya diamat-amati.
Dia tidak faham apakah tarikan sebenar gambar itu.
Dia tidak melihat sebarang keistimewaan. Gambar
itu hanya menampilkan 2 orang pemuda berpakaian
lusuh dan bersongkok kusam sedang berdiri di pangkal
jalan selain berlatarbelakangkan serumpun buluh yang
sangat subur.
“Apa yang kau nak aku tengok? Apa yang tidak
kena dengan gambar ini?” tanya Sofia kepada Anna.
“Cuba kau perhati betul-betul. Tengok rumpun
buluh tu.”
Sekali lagi Sofia mengecilkan matanya. Dia
masih tidak pasti apa sebenarnya yang dilihat oleh Anna
kerana dia masih tidak menemui sebarang keganjilan.
“Aku tak nampak apa-apa pun.”
“Rumpun buluh tu?” Anna masih cuba bermain
teka-teki.
“Kenapa dengan rumpun buluh tu?”
“Kan tak jauh dari situ kita tinggalkan Ikhwan.”
Sofia menarik nafas panjang. Dia
langsung terlupa. Dan seketika kemudian dia
mengangguk-angguk, membenarkan kata-kata Anna.
“Maknanya, pak tua memang tahu tentang
kawasan tu?”
“Bukan itu sahaja. Tengok gaya pakaian, tengok
laluan di belakang kedua-dua lelaki dalam gambar tu.
Maksudnya, tempat tu pernah didiami manusia.”
“Kampung Hilang?”
Anna tidak lagi menjawab. Sebaliknya dia turut
merenung gambar itu.
“Apa yang kamu berdua renungkan tu?” Suara
sapaan Pak Tua Mid mengejutkan Anna dan Sofia.
“Errr... gambar ni, pak tua,” jawab Sofia
tergagap-gagap.
“Kenapa dengan gambar tu?”
“Rumpun buluh tu. Di situlah kami tinggalkan
kawan kami,” Sofia berterus terang.
Wajah Pak Tua Mid sedikit berkerut. Dulang
berisi seteko minuman panas, tiga cawan yang tidak
berpiring dan beberapa keping roti diletakkan di atas
meja rotan.
“Kamu berdua yakin, kamu memang dah
sampai ke situ?” Pak Tua Mid bertanya dengan nada
acuh tidak acuh.
“Ya, saya yakin. Ikhwan yang mengingatkan
kami tentang rumpun buluh itu.”
“Kalau kamu dah kata begitu...” Pak Tua Mid
menghelakan nafas panjang. “Memang tidak banyak
yang boleh dibuat lagi.”
Sofia dan Anna mendekati Pak Tua Mid. Duduk
di sebelahnya dan berharap lelaki yang sudah berusia,
yang hanya bersinglet dan berkain pelekat memberikan
penjelasan kepada mereka.
“Kamu semua cari Kampung Hilang?” tanya
Pak Tua Mid lagi.
Anna dan Sofia mengangguk serentak
“Kenapa cari bahaya? Dari mana kamu tahu
tentang Kampung Hilang?” Pak Tua Mid bertanya.
Tegas suaranya. Namun renungannya tajam menikam
wajah Sofia.
“Dari kawan kami yang sudah hilang tu.
Arwah bapanya pernah sampai ke situ bersama
kawan-kawannya. Malangnya, kawan-kawan arwah
bapa kawan kami itu terbunuh di dalam kampung itu
dan hanya arwah bapa kawan kami itu sahaja yang
terselamat.”
“Sepatutnya kampung itu dilupakan terus.
Sepatutnya tiada sesiapa pun yang tertarik untuk datang.
Tak ada yang menarik tentang kampung itu. Yang ada
hanyalah bencana dan malapetaka. Sepatutnya lupakan
terus kampung tu walaupun ada banyak godaan supaya
ke sana.”
“Jadi kampung itu betul-betul wujud?”
Pak Tua Mid tidak terus menjawab. Dia bangun,
berjalan dan berdiri di hadapan bingkai gambar yang
direnung oleh Sofia dan Anna tadi.
“Dulu pak tua pun tidak tahu apa sebenarnya
yang berlaku di kampung itu, puncanya dan
sebab-sebabnya. Namun setelah berpuluh-puluh tahun,
akhirnya pak tua menemui jawapannya.”
“Maksud pak tua?”
“Dengki, khianat, dendam dan terlalu berani
mencuba sesuatu yang baharu, akhirnya seisi kampung
musnah. Dan masalah itu tidak pernah berakhir,
sebaliknya sentiasa berulang-ulang.”
“Kami tak faham.”
“Kamu berdua tidak perlu faham. Sementara
kamu berdua dah ada di sini, seelok-eloknya kamu
berdua tak payahlah ke sana. Lebih baik kamu
berdua balik dan lupakan terus Kampung Hilang.”
Renungannya tajam Pak Tua Mid tidak lekang ke arah
wajah Sofia.
“Kawan kami masih ada di sana.”
Pak Tua Mid mengangguk.
“Mereka memang ada di kampung itu.
Kawan-kawan kamu tu tak ke mana-mana dan takkan
ke mana-mana.”
Sofia dan Anna berpandangan lagi. Lelaki tua
yang menyelamatkan mereka dan membawa mereka
pulang ke rumahnya itu terlalu misteri. Sama misteri
dengan Kampung Hilang.
“Kamu berdua rehatlah dahulu. Bersihkan
diri. Tengah hari nanti, kita kumpulkan orang-orang
kampung dan minta bantuan mereka,” ujar Pak Tua
Mid.
Pak Tua Mid meninggalkan mereka. Langkahnya
senyap meskipun dia berjalan di lantai papan yang tidak
berlapik tikar atau alas. Kelibatnya hilang di sebalik segi
dinding yang memisahkan ruang tamu dengan dapur.
“Kau dengar apa yang pak tua katakan tadi?”
tanya Sofia.
“Aku dengar dan aku faham. Kita memang dah
sampai ke Kampung Hilang. Kita dah terlibat, sama
seperti arwah bapa Faizal dan kawan-kawannya terlibat
sehingga mereka terbunuh di kampung tu,” balas Anna.
“Maksud kau, Faizal dan Ikhwan dah mati?”
Anna menghela nafas panjang. Dia kelihatan
sukar untuk memberikan jawapan tuntas kepada
pertanyaan Sofia.
Berada di rumah Pak Tua Mid tidak
menyenangkan Anna dan Sofia. Ingatan mereka
tertumpu kepada Faizal dan Ikhwan. Persoalannya
kini, siapa yang membawa mereka ke kampung itu?
Kampung Hilang dikatakan telah ditinggalkan tetapi
kata-kata Pak Tua Mid pula menunjukkan kampung
tinggal tersebut masih berpenghuni.
Pak Tua Mid pula selagi boleh cuba mengelak
daripada berada bersama-sama Anna dan Sofia. Dia
seperti sudah dapat menjangkakan pelbagai persoalan
yang ingin ditanya oleh Sofia dan Anna. Mengelak
berada bersama-sama kedua-dua gadis itu bermakna dia
mengelak daripada menjawab pertanyaan-pertanyaan
mereka. Namun sesuatu yang pasti ialah, Sofia seperti
mempunyai tarikan yang cukup besar kepada Pak Tua
Mid. Renungan tajam Pak Tua Mid kepada Sofia, sama
seperti wanita pemilik kedai makan tepi jalan yang
disinggahi mereka 2 hari lepas.
Sehingga ke tengah hari, Anna dan Sofia
langsung tidak berpeluang bersoal jawab dengan
Pak Tua Mid. Setiap kali mereka hendak membuka
mulut bertanya, ada-ada sahaja helah Pak Tua Mid
untuk mengelak. Berulang-ulang kali Anna dan Sofia
mencuba, berulang-ulang kali jugalah mereka gagal.
Akhirnya Anna dan Sofia mulai bosan. Hal
Ikhwan dan Faizal kini tergantung, tetapi satu
persoalan besar yang bermain di benak Anna dan Sofia
ialah, mengapa Pak Tua Mid masih tidak membenarkan
mereka meninggalkan rumahnya sedangkan pada
masa yang sama, Pak Tua Mid tidak menampakkan
kecenderungannya untuk membantu mereka menjejaki
Faizal dan Ikhwan.
“Kamu berdua bersiap. Pak tua nak bawa kamu
ke kedai Eton,” perintah Pak Tua Mid ketika Anna dan
Sofia sekadar membelek-belek telefon bimbit mereka
yang tidak berfungsi di ruang tamu.
“Kedai Eton?” Anna seolah-olah cuba
mendapatkan kepastian daripada Pak Tua Mid.
Pak Tua Mid tidak memberikan sebarang reaksi,
sebaliknya berjalan dan menghilang ke dalam sebuah
bilik yang terletak hampir dengan dapur. Sebentar
kemudian, dia keluar dari bilik itu, siap dengan pakaian
yang lebih bersih, berseluar kaki besar dan berkopiah
putih dengan baju nipis Pagoda.
“Kamu berdua tak siap lagi?”
“Apa yang nak disiapkan? Ini sajalah pakaian
kami.”
Pak Tua Mid mengangguk-angguk. Dia berjalan
ke pintu utama. Anna dan Sofia mengekorinya. Apabila
mereka sudah berada di tanah, Pak Tua Mid mengunci
pintu rumah itu dari luar.
Sekadar tersadai walaupun di bawah rumah,
terdapat sebuah kereta buatan tempatan yang sudah
agak berusia tetapi masih cantik catnya. Daripada gaya
Pak Tua Mid, Anna dan Sofia dapat mengagak, kedai
Eton terletak tidak jauh dari rumahnya.
“Sebelum ini, kamu ada singgah di kedai makan
tu, kan?” tanya Pak Tua Mid.
Anna mengerutkan keningnya.
“Ya, masa kami baru-baru sampai 2 hari lepas.”
“Eton sepatutnya tahan kamu berempat
daripada masuk ke kampung puaka itu. Lebih-lebih lagi
apabila dia melihat kamu. Tapi dia tak buat macam tu.
Jadi, sekarang satu kampung ditimpa masalahlah.”
Anna dan Sofia terdiam. Pak Tua Mid seperti
meletakkan kesalahan kepada mereka. Pun begitu,
dalam masa yang sama, entah mengapa Anna tidak
faham mengapa di tempat yang begitu asing kepada
mereka berempat, Sofia pula menjadi perhatian.
Untuk ke kedai makan Eton, mereka menyusuri
jalan bertar yang garisan putus-putus di tengah-tengah
jalan semakin pudar. Walaupun aspal pada jalan
tersebut tidak berlubang, tetapi rekahan-rekahan
pada permukaannya menunjukkan jalan bertar itu
bukanlah jalan utama. Apatah lagi sepanjang mereka
menyusuri jalan itu, tiada sebuah kenderaan pun yang
menggunakan jalan tersebut.
“Kebanyakan orang di kampung ini berasal dari
Kampung Hilang. Sebahagian besar telah berpindah
ke luar mengikut anak-anak. Ramai penduduk asal
Kampung Hilang telah meninggal dunia. Anak-anak
muda tidak begitu berminat tinggal di kampung kerana
tidak banyak kerja yang boleh mereka buat,” terang
Pak Tua Mid apabila ditanya tentang jumlah penduduk
di Kampung Sebelah dan kaitannya dengan Kampung
Hilang.
“Tapi kan, banyak kerja yang boleh dibuat.
Ladang, kebun... “
“Tidak ramai anak muda yang mahu bekerja
membanting tulang di bawah cahaya matahari, berbakti
kepada tanah. Ramai anak muda lebih suka bekerja
kilang, di pejabat berhawa dingin walaupun bergaji
kecil dan hidup terpaksa mengikat perut.”
Anna dan Sofia tersenyum. Pak Tua Mid
bercakap benar.
Hampir 10 minit menyusuri jalan tar itu,
akhirnya kedai makan yang pernah disinggahi oleh
Anna, Sofia bersama-sama Ikhwan dan Faizal sudah
kelihatan. Beberapa buah motosikal diletakkan di tepi
jalan menandakan kedai makan itu tidak sunyi dengan
pelanggan. Suara gelak tawa dapat didengar dengan
jelas dari tempat mereka berada.
“Mujur Eton buka kedai makan. Setidak-tidaknya,
ada jugalah tempat orang kampung untuk bertemu,
bersembang, bertukar-tukar maklumat dan mendapat
berita dari luar,” Pak Tua Mid membangga-banggakan
kedai makan Eton.
“Liputan telefon masih tidak ada di sini ke pak
tua?” Anna segera bertanya.
“Dulu ada, tapi entahlah, sejak 2 tahun ni,
ramai yang mengeluh, telefon tangan masing-masing
dah tak berfungsi. Kejap ada, kejap tak ada.”
“Kampung ni ada Internet atau cyber cafe, pak
tua?”
“Ada... dulu kerajaan ada buat sebuah untuk
penduduk kampung. Tak tahulah, pak tua tak pernah
masuk. Tak reti nak guna. Lagipun, kalau nak guna pun
untuk apa?” Pak Tua Mid merendah diri.
“Untuk maklumat. Maklumat sekarang di
hujung jari, pak tua.” Sofia tersenyum-senyum.
“Kadang-kadang, terlalu banyak maklumat
membuatkan kita jadi sentiasa tidak berpuas hati.
Terlalu banyak maklumat buatkan kita rasa kita ni
terlalu pandai dan terlalu bijak. Akhirnya, kerana
terlalu banyak maklumat itulah juga, kita jadi salah
buat pilihan. Lebih-lebih lagi, kita tak tahu nak bezakan
antara maklumat palsu dengan maklumat yang benar.
Naluri manusia, dia hanya mahukan maklumat yang
ingin didengarnya,” kata Pak Tua Mid dengan panjang
lebar.
Kedatangan Pak Tua Mid bersama Sofia dan
Anna menarik perhatian pelanggan-pelanggan di kedai
makan Eton. Anna dan Sofia menjadi sasaran renungan.
Ada yang menelan air liur. Ada yang menggaru kepala
sambil membetul-betulkan rambut. Ada juga yang
sekadar terpelongo dengan mata melotot seolah-olah
baru menyedari wujudnya manusia berjantina wanita
di dunia ini.
“Siapa ni, pak tua? Cucu pak tua ke? Tak pernah
kami nampak pun sebelum ini,” seorang pemuda yang
berambut kerinting, berseluar jean lusuh dan berbaju-T
segera menegur Pak Tua Mid.
“Tamu aku.” Pak Tua Mid masuk ke dalam
kedai, menarik kerusi dan duduk. Kemudian dia
memberi isyarat kepada Anna dan Sofia agar duduk di
hadapannya.
“Tamu? Dari mana?” pemuda itu bertanya lagi.
“Dari Kuala Lumpur kalau tak salah aku.”
“Kalau tak salah? Lain macam bunyinya.”
“Mereka datang ke sini sebab mereka nak masuk
ke Kampung Hilang.”
“Hah???”
Semua terperanjat. Semua berpandangan
sesama sendiri. Semua kerutkan dahi masing-masing.
“Dua orang kawan mereka ada di sana.
Terperangkap tak boleh keluar. Ada sesiapa yang berani
nak temankan kedua-duanya masuk ke Kampung
Hilang dan keluarkan kawan-kawan mereka?” tanya
Pak Tua Mid lagi.
“Tak ada bala cari bala. Aduh, tak fasal-fasal
semua benda kena buat balik,” kata pemuda berambut
kerinting sambil berjalan keluar dari kedai makan itu.
Pak Tua Mid sekadar tersenyum. Anna dan Sofia
membatu.
Pelanggan-pelanggan di kedai makan itu
berbual-bual sesama sendiri. Anna dan Sofia tahu,
kebanyakan perbualan tersebut berkisar tentang mereka
yang masuk ke Kampung Hilang. Bagaimanapun, Anna
dan Sofia tidak dapat menangkap perbualan mereka
dengan jelas. Bunyinya seperti lebah menghurung
bunga atau lalat menghurung bangkai. Menggumam
tanpa jelas perkataan dan ayat-ayatnya.
Seorang wanita berbadan boyak muncul dari
belakang kedai makan. Sebaik-baik sahaja terpandang
Pak Tua Mid, wanita berbadan boyak itu terus
mendapatkannya. Namun langkahnya terhenti apabila
terpandang Sofia dan Anna.
“Kamu... mana 2 orang kawan lagi?” tanya Eton
sambil memerhatikan Sofia.
“Ya, kamilah,” Sofia pantas menjawab.
“Kenapalah kamu tak mahu dengar cakap.
Kamu tahu tak apa natijahnya bila kamu datang ke sini?”
Eton terus bertanya. Sama seperti tadi, pandangannya
tidak lekang ke wajah Sofia.
“Seorang terperangkap dalam kampung tu.
Seorang lagi, katanya masih di tepi jalan di tepi rumpun
buluh tu,” Pak Tua Mid seperti cuba mengalih maksud
pertanyaan Eton.
“Maknanya, kita semua kena ulang
baliklah kehidupan yang lepas?” Eton bertanya.
Sungguh-sungguh benar air mukanya.
“Ya.”
Eton mengeluh panjang. Beberapa orang
pelanggan di kedai makannya mula mengatur langkah
keluar selepas membayar makanan dan minuman
mereka. Tiada sesiapa pun yang berminat lagi dengan
Sofia dan Anna. Mereka seperti cuba mengelak daripada
diajak ke Kampung Hilang.
“Kenapalah kamu semua tak mahu dengar
cakap? Sekarang, semua orang dah susah,” keluh Eton.
“Kalau tak ada orang kampung ni yang berani
masuk ke kampung tu, biar kami keluar buat laporan
polis. Kami cuba dapatkan bantuan daripada polis,” kata
Sofia.
Eton menggeleng-geleng. Pak Tua Mid
tersengih kecil.
“Kamu fikir, ini pekan atau bandar? Pondok
polis yang paling hampir pun 6 kilometer dari sini.
Koperal yang bertugas di pondok polis itu, takkan ambil
risiko masuk ke Kampung Hilang. Dia pun tahu cerita
sebenar dan apa yang akan terjadi lepas ni.”
“Apa yang ditakutkan sangat dengan kampung
tu? Kan kampung tu dah ditinggalkan orang,” Sofia
tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan
oleh Eton.
“Kamu tak sepatutnya bertanya. Kamu lebih
tahu.”
Sofia terdiam. Anna kerutkan keningnya.
Pandangan Eton beralih kepada Anna.
“Kamu tidak tahu sejarah di kampung tu.
Kamu hanya mendengar cerita, tapi apa yang ada dalam
kampung tu dan di luar kampung tu, kamu tak tak
tahu.”
Sofia masih tidak berpuas hati. Wanita bertubuh
boyak itu dirasakan seperti mempermain-mainkannya.
“Apa yang misteri sangat dengan Kampung
Hilang?” tanya Sofia.
“Bukan semua yang kita nampak itu nyata.
Bukan semua yang ghaib dan seperti tidak masuk akal
itu sesuatu yang mustahil,” Pak Tua Mid menyampuk.
“Setidak-tidaknya bagilah penjelasan kepada
kami berdua. Sedikit sebanyak sejarah hitam kampung
tu, kami dah tahu. Arwah bapa salah seorang kawan
kami adalah mangsa yang terselamat dari kampung
itu. Apa yang ada di dalam kampung tu?” Anna terus
bertanya.
“Kemarahan, dendam, syaitan...” Pak Tua Mid
bersuara acuh tidak acuh.
“Errr, pak tua... malam tadi, Pak Daram dan
Chot datang ke rumah,” Eton segera mengalihkan topik
perbualan.
“Daram dan Chot datang ke rumah kamu?” Pak
Tua Mid bertanya kembali.
Eton mengangguk laju.
“Apa yang mereka nak?”
“Bertanya tentang pak tua dan budak-budak
ni.”
“Kamu beritahu apa?”
“Saya cakaplah perkara sebenar.”
“Chot datang dengan Daram?” pak tua ulang
lagi soalannya.
“Ya.”
“Macam mana keadaan dia?”
“Macam biasa. Tapi budak-budak kat rumah tu
takut betul dengan Chot.”
“Jangan sesekali kau bagi anak-anak kau
berkawan dengan Chot. Jangan bagi mereka dekat pun.
Selagi orang yang ditunggu belum sampai ke Kampung
Hilang, selagi itu kita masih ada peluang.”
“Ya. Saya tahu.”
“Aku kena jumpa tok ketua. Kena minta
bantuan tok ketua. Ada Ibu Darus datang ke sini?”
Wajah Eton berubah.
“Bagi budak 2 orang ni makan. Sementara
mereka makan, sempat aku pergi cari tok ketua dulu.
Harap-harap dia ada di rumahnya,” arah Pak Tua Mid
tanpa menunggu Eton menjawab pertanyaannya tadi.
“Pak tua tak payah pergilah. Nanti saya suruh
Munsyi pergi turutkan tok ketua,” sahut Eton.
“Haaa... elok juga tu. Suruh Munsyi pergi
beritahu tok ketua. Katakan yang aku nak jumpa dia,
hal penting... berkenaan Kampung Hilang.”
Eton terus melaung nama anaknya dengan suara
yang kuat. Anna dan Sofia mengenyitkan mata sambil
memasukkan jari ke dalam telinga masing-masing.
Suara Eton begitu tajam.
“Munsyi!” Eton melaung lagi.
“Ada apa, mak?” Munsyi muncul di pintu
belakang dengan termengah-mengah. Sekadar
berseluar pendek tidak berbaju. Di tangannya terdapat
2 biji tempurung kelapa.
“Kau pergi ke rumah tok ketua. Beritahu
tok ketua, pak tua tunggu di kedai. Ada hal penting.
Berkenaan Kampung Hilang,” Eton mengulangi
kata-kata pak tua.
“Kampung Hilang? Nak kena jadi macam dulu
ke mak?” Munsyi bertanya kalut.
“Tak payah tanyalah!” jerkah Eton. “Aku suruh
kau pergi beritahu tok ketua. Bukannya sibuk bertanya
benda yang kau tak sepatutnya tahu!”
Munsyi tersengih-sengih.
No comments:
Post a Comment