RAMBUT ikal yang melepasi bahu diikat satu
supaya tampak lebih kemas. Baju yang sudah tersarung di
tubuh, diperkemaskan lagi. Yana tersenyum puas melihat
biasan penampilan dirinya di dalam cermin.
Cantik Sara Aryana binti Ahmad Syukri ni. Amboi,
perasan! Cantik tu satu bonus tapi apa yang paling penting
penampilan ini takkan mengganggu konsentrasi Yana untuk
menjalani ujian memandu sebentar lagi. Yana nekad, sekali
percubaan dia harus lulus. Ada lesen barulah senang untuk
bergerak ke mana sahaja nanti.
Agak-agak along sudah bangun ke belum? Semalam
abangnya itu keluar melepak dengan kawan dia. Pukul
berapa entah baru balik. Kalau pergi terjah bilik alongnya
pun seronok ni. Sudah lama Yana tidak kacau alongnya.
Sekali-sekala apa salahnya. Yana gelak jahat dalam hati.
Sebaik sahaja sampai di depan bilik Shahrul, Yana
membuka pintu bilik itu dengan perlahan. Dah macam gaya
pencuri pun ada. Untung pintu tidak berkunci, dapatlah Yana
menjalankan misi nakalnya.
Sejuknya bilik along. Tak beku ke along tidur dengan
air-cond terpasang sampai ke pagi? Acah-acah baru balik dari
overseas ke apa? Kepala Yana tergeleng beberapa kali. Tangan
pantas mencapai alat kawalan jauh air-cond tersebut dan
butang off ditekan.
“Along, bangunlah! Semalam janji nak hantar Yana
kan? Bangunlah... bangun...” rengek Yana sambil menarik
comforter yang menyelimuti tubuh si abang.
Yana geram. Bukan alongnya mahu bangun, malah
ditarik lagi comforter itu menyelubungi seluruh tubuhnya
semula. Hanya yang kedengaran suara gumaman yang tidak
jelas di telinga Yana. Hesy, tak boleh jadi ni! Alongnya ini
mahu kena ugut baru nak bangun agaknya.
“Betul ni tak nak bangun? Jangan menyesal eh kalau
Yana geletek along?” Yana sengaja mengugut Shahrul supaya
bangun.
“Hmm...”
Namun sekali lagi Yana hampa apabila telinganya
disapa dengan bunyi sebegitu. Pelik juga, kebiasaannya
Shahrul pasti akan bangun jika digertak dengan kelemahannya
yang satu itu.
Tanpa berfikir panjang, Yana pun terus masuk
ke dalam comforter dan menggeletek pinggang abangnya
yang sedang tidur membelakanginya. Yana tidak pedulikan
rambutnya yang sudah menjadi kusut masai. Tangannya yang
ditepis beberapa kali juga tidak dihiraukan. Dia bertambah
geram apabila abangnya tetap tidak bangun juga.
“Yana buat apa tu?” Suara Shahrul kedengaran dari
pintu bilik.
Yana tergamam. Dia kaku di bawah comforter itu.
Along? Kalau tu along, yang ni siapa pula? Alamak, apa
dia dah buat ni? Dengan dada yang berdebar-debar, Yana
memunculkan diri di sebalik comforter. Matanya tertancap
pada figura Shahrul yang sudah lengkap berpakaian.
Kemudian, dijeling sekilas ke arah manusia yang masih
nyenyak tidur di atas katil.
“Along, siapa ni?” tanya Yana dengan suara yang
terlalu perlahan berserta wajah yang sangat pucat. Huargh,
siapa kat atas katil alongnya ni? Yana rasa nak menjerit.
“Turun dulu, Yana. Tak manis anak dara buat
macam ni.” Shahrul mengarahkan Yana turun dari katil dan
menggamit adik kesayangannya itu supaya menghampiri.
Yana akur. Dengan perlahan dia turun dari katil.
Dalam hati sempat berdoa semoga manusia di atas katil
itu masih belum sedar daripada lenanya. Mana nak disorok
mukanya? Malu wei!
“Tu kawan along. Malam tadi kan along keluar. Along
ambil dia kat airport. Ada sebab kenapa dia terpaksa tumpang
tidur dekat sini.”
Kawan along? Yana terkejut. Huargh, rasa nak
nangis. Apa yang dia dah buat ni!
“Dah, pergi turun breakfast. Nak tunggu Yana siap,
along pun dah kenyang makan kat bawah tadi. Tu, rambut
tu,” tegur Shahrul.
“Kenapa dengan rambut Yana?”
“Pergi betulkan. Umi dengan walid nampak karang,
salah faham pulak diaorang.”
Yana buat muka. Buruk sangatkah rambut dia? Yana
jadi kaget. Muka berbahang menahan malu.
“Along...” Meleret suara Yana memanggil Shahrul.
“Hah, apa lagi? Adalah tu. Kalau tak jangan harap
nak panggil along dengan suara yang lemah gemalai macam
tu kan?”
“Alah, along ni... Please, rahsiakan perkara ni ya?
No secret between us, right?” rayu Yana dengan kedua belah
tangan di hadapan mukanya. Memohon simpati si abang.
“Tengoklah macam mana nanti. Along tak janji,”
ujar Shahrul selamba. Sengaja dia ingin menyakat adiknya
itu.
“Alah, along...”
“Yalah, yalah.”
Sepantas kilat Yana terus berlari ke biliknya semula
untuk merapikan kembali rambut yang sudah tidak serupa
orang lagi.
Sejurus kelibat adiknya hilang dari pandangan,
Shahrul terus masuk ke dalam biliknya dan berdeham
beberapa kali.
Sebaik terdengar isyarat yang diberikan Shahrul itu,
Haqimie terus menolak comforter yang melindungi wajahnya
ke bawah.
“Aku tahu kau dah bangun tadi, kan?” Shahrul main
serkap jarang.
Haqimie balas dengan anggukan sebelum tersenyum
nipis.
“Dah. Tapi aku saja buat-buat tidur, tak nak nanti
adik kau segan. Ganas jugak adik kau.”
“Dia tu memang macam tu. Bila garang, garang
sangat. Tapi kalau mood nak bermanja datang, manja
macam kucing. Anak bongsulah katakan.” Shahrul ketawa
membayangkan keletah adik kesayangannya.
“Sorry tau. Tadi aku ingat lepas solat nak baring
kejap. Tak sangka terlelap pulak. Kau bagi aku 15 minit nak
bersiap. Nanti aku turun.”
“Cepat sikit. Membebel pulak mak cik sorang tu
karang. Jangan lupa kunci pintu. Kalau Yana terjah lagi bilik
aku, tak pasal-pasal kena kahwin pulak korang.”
“Kahwin free aku okey je along.” Haqimie cuba
berseloroh.
“Banyaklah kau punya along. Geli aku. Dah, aku
tunggu kat bawah.” Shahrul terus berlalu menuju ke tingkat
bawah.
MATA SHAHRUL menyorot pada figura umi dan Yana yang
sedang bersarapan. Kakinya terus diayun ke situ.
“Yana, along tunggu dekat luar tau. Nak panaskan
enjin kereta.”
“Okey, along. Tak apa, awal lagi ni,” balas Yana.
“Along, Qimie mana? Tak ajak sarapan sekali?” tanya
Puan Anisah.
“Uhuk, uhuk!” Terbatuk kecil Yana yang sedang
menghirup air kopi panas di dalam cawan.
“Yana, minum perlahan-lahan. Panas air tu,” pesan
Puan Anisah prihatin.
Shahrul tersenyum senget melihat gelagat si adik.
Masakan tidak, hanya dia yang tahu kenapa Yana beraksi
seperti itu.
“Kejap lagi turun, umi. Dia tengah siap tu. Yana okey
tak?” Sengaja Shahrul mahu menyakat si adik.
“Okey je. Kenapa tak okey pulak?” balas Yana tak
mahu kalah.
“Mana tahu ada buat salah ke.”
Yana menjegilkan matanya ke arah Shahrul.
“Dah, jangan dikacau adik nak makan ni. Walid
tunggu along kat luar tu. Ada yang nak dipesannya kat along.”
“Okey umi, along jumpa walid.”
Sebaik sahaja Shahrul berlalu, Yana memulakan
sesi soal siasat. Ini semua terpengaruh dengan drama Korea
bertajuk Black yang baru habis ditontonnya secara maraton
malam semalam.
“Umi, kenapa kawan along tidur sini?” Yana
mengajukan soalan pertama dan pastinya bukan yang
terakhir. Tentunya akan ada soalan lanjutan sebentar lagi.
Mahu dikoreknya sehingga ke lubang cacing.
“Ibu Qimie tak ada kat rumah. Tu yang kena tumpang
tidur sini,” jawab Puan Anisah.
“Ibu dia pergi mana?”
“Outstation untuk aktiviti kemasyarakatan NGO
kalau tak silap umi.”
“Tak ada pegang kunci rumah sendiri ke?” soal Yana
lagi.
“Dia baru balik study dari overseas, sayang. Sebelum
Yana tanya lagi biar umi ceritakan semua ya?”
Yana tersengih mempamerkan barisan giginya yang
tersusun cantik. Ala-ala model iklan ubat gigi gitu!
“Qimie nak buat surprise kat ibu dia. Balik awal dari
yang sepatutnya. Kalau tak silap umi ikut perancangan asal
Qimie akan balik 2 minggu lagi. Tapi sebab semuanya dah
settle, so dia boleh balik awal. Nak buat surprise kononnya,
alih-alih diri sendiri yang dapat kejutan,” terang umi dengan
panjang lebar.
Kepala Yana terangguk-angguk beberapa kali seperti
burung belatuk.
“Patutlah along tak ada cerita pun sebelum ni yang
ada kawan dia nak datang. Tak plan rupanya.”
Baru sebentar tadi terdetik di hatinya untuk
memarahi along kerana merahsiakan perkara ini daripada
pengetahuannya. Tapi rasa marah Yana kembali reda apabila
sudah mengetahui kisah sebenarnya.
“Yalah, kamu berdua tu kan BFF. Apa tu tagline yang
umi selalu dengar? No secret between us, kan?”
“Betul-betul! 10 markah untuk umi. Yeay!” Yana
bertepuk tangan dengan riang tanpa menyedari ada mata yang
sedang memerhati kelakuannya yang sedikit keanak-anakan
ketika itu.
‘Comel!’ detik hati Haqimie.
“Eh, Qimie. Mari duduk makan sekali,” pelawa Puan
Anisah.
Erk! Yana terkaku apabila kerusi di sebelahnya
ditarik dari arah belakang.
“Yana, tuangkan air untuk Abang Qimie tu. Isikan
nasi goreng tu dalam pinggan,” arah Puan Anisah.
‘Dah kenapa umi ni? Kenapa aku pulak kena buat?
Dia kan ada tangan buatlah sendiri!’ Yana menggumam tidak
puas hati. Dalam keterpaksaan, dia mengikuti juga arahan
daripada uminya sebentar tadi.
“Terima kasih,” ucap Haqimie sebaik sahaja pinggan
yang berisi nasi goreng bertukar tangan. Baru kini mereka
berpeluang bertembung empat mata secara berdepan.
Handsome! Bisik hati kecil Yana. Rezeki pagi-pagi
lagi dah dapat cuci mata. Tidak betah berlama-lama di situ,
Yana terus membawa pinggan kotor ke dapur.
Sebelum dia memalukan diri sendiri dengan
perkara-perkara lain, lebih baik dia cabut dulu. Ini saja
langkah paling selamat. Yana tersenyum sendiri mengingati
insiden dalam bilik Shahrul tadi. Hesy, memalukan betul!
No comments:
Post a Comment