SELESAI sahaja solat isyak berjemaah di
masjid, Ustaz Muiz balik bersama Karim. Mereka berdua
hanya berjalan kaki menyusuri jalan raya sebelum
masuk ke sebatang lorong menuju ke rumah mereka
yang hanya bersebelahan. Sambil mereka berjalan,
mereka berbual dan berbincang mengenai projek
pembinaan madrasah yang akan dimulakan secepat
mungkin. Namun ada sesuatu yang menarik perhatian
Ustaz Muiz pada malam itu.
“Nak ke mana laju sangat tu?” Dia menegur dua
orang remaja yang berjalan lalu melintasinya seperti
terkejar-kejar. Karim hanya memandang.
“Nak ke gelanggang silat,” jawab salah seorang
daripada remaja itu. Namanya, Aman. Tinggal tidak
jauh dari masjid. Umurnya 16 tahun. Sudah berhenti
sekolah dan hanya melakukan kerja-kerja kampung.
“Gelanggang silat?” Ustaz Muiz berkerut dahi.
Tidak pernah pula didengar yang kampung itu ada
gelanggang silat. Itulah kali pertama.
“Baru buka. Malam ni baru malam ke-7.” Aman
tersengih bangga.
“Kamu berdua belajar silatlah ya? Baguslah.
Belajar ilmu mempertahankan diri,” balas Ustaz Muiz.
Dia tiada halangan. Malah dalam kepalanya
mula membayangkan untuk membuka kelas memanah
dan menunggang kuda di madrasahnya kelak. Dia suka
melihat anak-anak muda aktif dalam melakukan sesuatu
yang berfaedah. Semuanya itu akan mencerdaskan
minda.
“Siapa yang mengajar?” Tergerak hatinya untuk
bertanya.
“Mahaguru Salim. Silat Suci Giring.” Sekali
lagi Aman menjawab dengan bangga.
Ustaz Muiz terdiam seketika. Salim? Silat Suci
Giring? Pelbagai perkara mula bermain dalam kepala.
“Dia buka gelanggang di mana?” Dia bertanya
lagi.
“Dekat rumah dia.”
Ustaz Muiz angguk faham. Dia tidak mampu
menahan lagi. Aman dan kawannya sudah berlari-lari
anak ke rumah Salim kerana terlewat. Mereka berdua
juga terus berjalan balik.
“Salim jadi mahaguru? Silat apa tu?” Karim
bertanya sambil menapak perlahan.
Ustaz Muiz terdiam lama. Dalam hatinya mula
timbul rasa risau yang berpanjangan. Risau kalau-kalau
aliran silat yang dibawa oleh Salim itu bertentangan
dengan agama. Apatah lagi kalau bercampur dengan
upacara-upacara yang berunsur khurafat. Akidah
anak-anak muda kampung itu akan tercemar dan rosak
perlahan-lahan.
“Cuba siasat,” jawabnya sebelum berpisah di
hadapan rumah.
SALIM DUDUK bersila di atas pangkin yang dibina di
hadapan gelanggang. Di sebelah kanan duduk adiknya,
Budin. Di sebelah kiri pula duduk anak sulungnya,
Salwa. Kedua-duanya telah dilantik menjadi pembantu
dan jurulatih kanan. Merekalah yang akan mengajar dan
melatih ahli-ahli silat yang baru sahaja mendaftarkan
diri sejak 7 hari yang lalu. Ketiga-tiganya memakai
seragam silat putih dan berlilit kepala dengan kain
hitam.
Empat batang jamung dinyalakan di empat
penjuru gelanggang yang dikepung dengan batang
buluh. Setiap jamung dan setiap penyambung buluh
diikat dengan kain putih. Setelah semua anak-anak
muridnya tiba, Salim mengangkat bekas yang berisi bara
yang ada di atas pangkin lalu diasap ke empat penjuru
gelanggang. Setelah itu bekas bara itu dibawa ke tengah
gelanggang di mana anak-anak murid seramai 12 orang
sedang duduk berhimpun.
Asap kemenyan dikibas-kibas dengan tapak
tangan sambil mulutnya membaca mantera. Dia
menyeru semangat Suci Giring untuk hadir merestui
anak-anak buahnya pada malam itu. Besar harapannya
agar anak-anak buahnya akan mahir dan mampu
menguasai segala buah dan jurus yang akan diajar satu
per satu tanpa sebarang masalah.
“Boleh mulakan.” Dia berkata kepada Budin dan
Salwa lalu kembali ke pangkin untuk duduk memerhati.
Dia tidak akan campur tangan kecuali keadaan tidak
lagi terkawal.
Melatih bunga, buah dan belebat silat bukanlah
sesuatu yang menjadi keutamaannya. Apa yang penting
ialah menyebarkan aliran itu kepada orang lain seperti
janjinya kepada tok gurunya beberapa bulan yang lalu
di tanah Jawa. Balasannya ialah rasa hormat orang
kepadanya dan kekayaan yang berlimpah-limpah.
Dia sudah serik hidup susah dan ilmu yang
asalnya diperoleh melalui mimpi itu telah banyak
mengubah hidupnya. Malah sejak pulang dari tanah
Jawa, dia semakin dihormati; dipandang tinggi sebagai
orang berilmu. Setiap kata-katanya didengar orang.
Apatah lagi setiap usahanya mengubat dan menolong
orang lain semuanya berjaya. Dia semakin yakin dengan
aliran itu. Dia yakin betul dengan bantuan Suci Giring.
Latihan silat pada malam itu berjalan lancar
hingga hampir ke tengah malam. Ada yang baru belajar
bunga. Ada yang baru belajar berdiri dan memantapkan
kekuda. Ada yang belajar menumbuk angin. Dengan
bimbingan Budin dan Salwa, setiap anak murid diajar
satu per satu dengan tekun. Setelah itu semua anak
buahnya disuruh pulang kecuali dua orang yang baru
menjadi ahli pada malam itu.
Kedua-duanya disuruh tunggu untuk upacara
menerima ahli yang dilakukan hanya tepat pada waktu
tengah malam.
Budin mengeluarkan seekor ayam putih yang
dikurung dalam sungkup rotan di tepi pangkin. Ayam
itu dijinjing pada kakinya lalu diserahkan kepada
Salim yang menunggu di tengah gelanggang. Sambil
meratib mantera, Salim menyembelih ayam tersebut
dengan parang. Sementara ayam itu menggelupur di
tangannya, darah yang keluar dari leher ayam ditadah
ke dalam mangkuk kaca berwarna putih.
Setelah cukup, mangkuk berisi darah ayam
itu diserahkan kepada dua orang anak murid sebagai
pensyaratan menjadi ahli aliran Suci Giring. Darah itu
perlu diminum untuk menyucikan diri daripada segala
dosa yang telah dilakukan selama ini.
“Ulang apa yang aku sebut,” kata Salim.
Matanya menyeluruhi kedua-dua anak muda yang
duduk di tanah.
Kedua-duanya akur. Setiap apa yang dilafazkan
Salim dalam bahasa yang tidak pernah didengar itu
diikut dan diulang tanpa banyak soal.
“Minum,” arah Salim.
Sekali lagi kedua-duanya akur bagaikan
terpukau.
Salim tersenyum senang. Kini aliran Suci
Giring mendapat dua orang lagi pengikut. Itu satu
kejayaan baginya dan pasti Suci Giring akan gembira
dengan usahanya.
“Sekarang kamu berdua boleh balik. Besok
senja datang lagi,” katanya.
Setelah kedua-dua anak muda itu beredar,
bangkai ayam tadi dicampak ke tengah gelanggang dan
jamung dimatikan oleh Budin dan Salwa. Dia tahu,
sekejap lagi akan ada makhluk yang datang untuk
menerima sajenan itu.
Selepas itu mereka bertiga naik ke rumah. Di
muka pintu, tiba-tiba Salim menoleh ke belakang. Dia
melegarkan pandangan ke serata arah namun yang
hanya terlihat adalah kegelapan malam; tetapi ada
khabar yang berbisik di telinga bahawa ada mata yang
memerhati segala tingkah lakunya di gelanggang tadi.
Dia tersenyum sinis. Tiada apa yang hendak
ditakutkan. Kesemuanya bukan lawannya.
Sementara itu dari celah-celah pokok, Derani
memerhati segala tindak-tanduk Salim sejak tadi. Segala
yang Salim lakukan membuatkan hatinya senang.
Dia tidak bimbang perihal Salim yang sudah tunduk
sepenuhnya kepada mereka. Apa yang dia fikirkan
sekarang ialah bagaimana mahu memperkudakan
Salim bagi menentang Ustaz Muiz.
Sedang berfikir dia mendapat bisikan. Ada
manusia di situ. Dia pun mencari di sekitar kawasan
rumah Salim dan akhirnya ternampak seorang lelaki
tergesa-gesa meninggalkan tempat itu dengan sebuah
motosikal.
Hutan Hasam Hurang...
SEMENTARA DERANI pulang membawa berita,
Zub-yan menyibukkan diri dengan pelbagai hal. Ada
bomoh yang menyerunya siang dan malam. Ada jin
yang meminta ditukarkan rupa dan pelbagai masalah
lain. Namun hari itu dia dikejutkan dengan kedatangan
yang tidak pernah dijangkakan.
“Kaedar.”
Akalnya tampak jelas akan kehadiran makhluk
daripada api itu meskipun tanpa memandang secara
zahir. Walaupun matanya buta, namun setiap
pancainderanya yang lain mampu memperlihatkan
segala perincian dengan jelas dalam fikirannya.
Begitulah cara dia melihat, malah dia mampu melihat
jauh ke dalam hati makhluk-makhluk yang lain.
“Sahir Zub-yan.”
Dengan perlahan, dia menoleh ke sebelah kiri
apabila namanya disebut dengan tepat. Berdiri di situ
seekor kuda berwarna hitam pekat. Di atas kuda itu
duduk satu susuk lembaga bertubuh besar. Berpakaian
seperti pahlawan dan di tangannya ada sebilah tombak
yang apinya tidak pernah terpadam meskipun sudah
menyala selama ribuan tahun.
Menyedari kehadirannya sudah diterima
Zub-yan, Kaedar turun dari kuda. Sewaktu dia berdiri,
ketinggiannya hampir setinggi pokok-pokok di hutan
Hasam Hurang. Zub-yan terpaksa mendongak untuk
berbicara dengan susuk tidak berwajah itu.
“Aku memerlukan pertolongan engkau.”
Kaedar tidak membuang masa.
“Tentunya aku amat berbesar hati kerana
Kaedar, salah satu ketua daerah Hasam Hurang
sanggup datang meminta pertolongan.” Zub-yan
sekadar berlembut. Walhal sudah diketahui niat Kaedar
sejurus Kaedar muncul di situ.
“Engkau tentu tahu, perjumpaan 1000 tahun
akan diadakan pada bulan gerhana akan datang.”
“Tuan mahukan korban yang terbaik untuk
dipersembahkan kepada Ghafanzar.”
Zub-yan terus kepada perkara utama. Dia tahu
Kaedar memerlukan satu persembahan yang mampu
mengangkat kedudukannya di mata Ghafanzar. Di
perhimpunan 1000 tahun itu setiap ketua yang datang
akan saling membandingkan segala kejayaan yang
mereka capai dalam masa 1000 tahun berlegar-legar
di langit dan di bumi. Siapa yang paling banyak
mengumpulkan pengikut baharu Ghafanzar, dialah
yang akan diangkat dan dipuji-puji. Pastinya Kaedar
tidak mahu kalah dan malu.
“Benar tekaan engkau, Zub-yan.”
“Aku cuma sahir bawahan. Tidakkah tuan ragu
dengan keupayaan aku untuk membantu tuan?”
Zub-yan bermain kata. Kaedar boleh sahaja
pergi menemui sahir-sahir Kaum Kan yang lebih
handal daripadanya tetapi Kaedar memilih dia. Pasti
ada muslihat.
“Sebagai tukaran, nama engkau akan aku sebut
di hadapan Ghafanzar. Di hadapan semua ketua-ketua
yang ada. Tidakkah itu satu peluang yang sangat baik?”
balas Kaedar.
Zub-yan faham apa yang cuba dilakukan Kaedar.
Makhluk api itu percaya bahawa dia akan berusaha
bersungguh-sungguh demi peluang yang ditawarkan.
Dengan itu Kaedar akan mendapat sesuatu yang sangat
hebat.
Zub-yan juga sudah lama menginginkan peluang
itu. Dia ingin kemampuannya diperakui dan perakuan
Ghafanzar adalah sesuatu yang amat tinggi nilainya
bagi sahir sepertinya. Selepas itu, kebolehannya sebagai
sahir akan lebih dihormati berbanding sekarang. Dan
satu hari kelak, dia layak untuk menjadi ketua kepada
semua sahir-sahir Kaum Kan yang ada.
“Apakah engkau mampu?” Kaedar menambah.
“Korban yang terbaik adalah hati musuh kita
yang paling keras,” jawab Zub-yan dengan tenang.
Semua itu disambut sebagai cabaran untuk menguji
kemampuannya. Dia yakin, Ghafanzar akan gembira dan
kagum sekiranya Kaedar mampu mempersembahkan
hati seorang manusia yang sangat kuat pegangan
agamanya. Seseorang yang sukar untuk dipengaruhi
dan dipujuk. Seseorang yang sukar untuk ditipu.
Seseorang yang hanya ada Allah dalam hatinya.
“Seorang manusia?” Kaedar memberi perhatian.
“Apakah ada yang lebih berharga daripada itu?
Semakin tinggi nilai iman yang mereka miliki semakin
berharga bagi Ghafanzar.”
“Siapa?”
“Siapa orangnya, serahkan kepada aku. Di
sini, aku akan serahkan imannya kepada tuan,” janji
Zub-yan.
“Jangan hampakan aku. Buruk padahnya,”
balas Kaedar.
Ancaman itu tidak sedikit pun menggetarkan hati
Zub-yan. Dia yakin dengan kebolehan konco-konconya.
Sekuat-kuat manusia pasti ada kelemahan dan nafsu
adalah pintunya.
Lalu sebagaimana dia datang, begitu juga
dia menghilang. Kaedar ghaib dalam sekelip mata.
Apa yang tinggal hanyalah ringkikan kuda yang
memantul-mantul di segenap hutan Hasam Hurang.
No comments:
Post a Comment