IKHWAN termangu-mangu. Dia tiba-tiba
ditinggalkan bersendirian di tepi sungai itu. Bengal
di kepalanya masih berdenyut-denyut. Sepatutnya
dia dibawa sekali. Malangnya, tatkala dia berpaling,
ternyata dia sudah bersendirian.
“Ke mana pula perginya Melati? Takkan
sekejap benar dia boleh menghilangkan diri?” Ikhwan
bersuara sendiri. Bekas berisi minuman yang diberikan
kepadanya diletakkan di atas tanah.
Rumpun buluh yang dijaga rapi menjadi
kawasan teduhan yang agak menyamankan. Bayu
lembut dari arah seberang sungai, terkepung dan
tertampan dek rumpun buluh itu. Permukaan sungai
pula berkaca-kaca membiaskan cahaya matahari.
Bunyi aliran sungai yang mengalir di celah-celah
batu seolah-olah sebuah orkestra yang mengalunkan
pelbagai irama.
Tadi Melati berjanji untuk membawanya
pulang. Melati kata, makanan sudah disiapkan
untuknya. Dia pun boleh berehat dan membersihkan
diri. Ikhwan memang sudah bersedia untuk ke rumah
yang disediakan oleh Melati tetapi Melati pula hilang
entah ke mana.
Memang ada laluan dari bawah rumpun buluh
itu menuju terus ke sebuah jambatan yang diperbuat
daripada kayu merentangi sungai di hadapannya.
Jalan di seberang sungai pun kelihatan jelas. Jikalau
tahu rumah yang dimaksudkan oleh Melati, dia boleh
berjalan terus ke sana.
Ikhwan berbelah bahagi. Perlukah dia terus
menunggu Melati ataukah dia perlu mula meninggalkan
tebing sungai itu.
Sesekali ada suara halus berbisik di dalam
telinganya, mempersoalkan kewujudannya di situ. Ada
lintasan di hatinya yang membayangkan wajah 2 orang
gadis dan seorang pemuda yang entah siapa nama
mereka. Penat Ikhwan memikirkan di mana dia pernah
menemui mereka, namun jawapan yang dicari-carinya
tetap tidak ditemui.
“Mungkin Melati tahu,” bisik Ikhwan, cuba
menyedapkan hatinya sendiri.
Ada bangku kecil yang berada tidak jauh dari
tempat dia duduk. Ikhwan mengerutkan dahinya.
“Bila masa pula ada bangku tu? Tadi tak ada
pun.”
Ikhwan bangun, berjalan ke arah bangku.
Namun biarpun bangku itu kelihatan berada tidak jauh
dari tempat dia duduk tadi, langkah yang diaturnya
tetap juga tidak sampai-sampai. Bangku itu seperti
berada terlalu jauh. Dan biarpun seluruh tubuhnya
telah berpeluh lencun, dia tetap juga tidak sampai.
Akhirnya Ikhwan berputus asa. Keinginannya untuk
duduk di bangku itu terus dihilangkan dari hatinya.
Hatinya mendongkol.
“Kenapa dengan aku ni?”
Kepalanya tiba-tiba dirasakan seperti dijerut dan
dililit kejap tali belati. Kulit kepalanya terlalu cekang.
Dia cuba memegang kepalanya tetapi sendi-sendi pada
tangannya menjadi terlalu kaku. Dalam dadanya seperti
ada unggun api yang sedang marak membakar. Ikhwan
ingin bersuara, mengeluh dan mengaduh tetapi dia
langsung tidak berkeupayaan berbuat begitu.
“Kenapa ni?” suara Melati tiba-tiba mendesah
cuping telinganya.
Serentak dengan itu, segala masalah yang
melandanya hilang tiba-tiba. Bahkan bangku yang
tadinya begitu jauh boleh disentuh dengan mudah.
“Tak ada apa-apa.” Ikhwan tercium bau yang
sungguh harum. Keharuman itulah yang membuatkan
hatinya terpaut dengan Melati.
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa saya panggil pun
abang macam tak dengar?” Melati bertanya, manja. Dia
mengelus-elus dahi Ikhwan dengan lembut dan mesra.
“Letih.” Pendek sahaja jawapan Ikhwan.
“Atau abang terkenangkan buah hati abang?”
Melati menduga.
Ikhwan menggeleng dengan pantas.
“Buah hati? Abang mana ada buah hati. Hanya
Melati seorang.”
“Betul ni?” Melati tersipu-sipu.
“Betul. Sumpah!”
“Tak baik bersumpah, bang. Ramai yang
musnah kerana dimakan sumpah,” agak tegas suara
Melati meskipun nada mesranya tidak hilang.
“Tapi abang tak berbohong.”
Melati meletakkan jarinya di bibir Ikhwan,
menghalang Ikhwan daripada meneruskan kata-katanya.
Kemudian dia memeluk lengan Ikhwan, melentokkan
kepalanya ke bahu Ikhwan.
Ikhwan menikmati haruman pada rambut
Melati dengan mata terpejam renik. Bahagia benar
dirasakan. Kebahagiaan yang tidak pernah dirasakan
sebelum ini.
“Dah lama kita bersama, tapi Melati tidak
pernah bawa abang jumpa ayah Melati,” ujar Ikhwan.
Melati mendongak. Bibirnya menguntumkan
senyuman. Pandangannya berlaga dengan Ikhwan.
“Abang betul-betul nak jumpa ayah?” Melati
seperti ingin menduga.
“Ya. Dah lama.”
“Kalau ayah tak restui hubungan kita, macam
mana?”
“Abang akan pujuk sampai dia bagi restu.”
“Ibu bapa abang sendiri, macam mana?”
Ikhwan seperti direnjat aliran elektrik. Secara
tiba-tiba sedikit kewarasannya singgah ke otak. Dia
memandang sekeliling. Persekitaran itu tiba-tiba
menjadi terlalu asing kepadanya. Melati sendiri tiba-tiba
menjadi orang yang tidak pernah dikenali.
“Kenapa, bang? Kenapa abang tolak Melati?
Abang dah tak sayang Melati?” Melati kerutkan dahi.
Suaranya lirih bercampur sedih.
Ikhwan menekan-nekan dahinya sambil
memandang sekeliling. Pandangannya kemudian
bertembung dengan renungan Melati. Ikhwan
menjauhkan sedikit dirinya daripada Melati. Pun begitu,
Melati seperti enggan melepaskannya.
“Apa nama tempat ni? Siapa saya?” Ikhwan
berpusing-pusing, cuba mencari sesuatu yang boleh
memberitahunya realiti sebenar.
Melati kembali merapatkan dirinya dengan
Ikhwan. Belakang tengkuk Ikhwan disentuhnya.
Ikhwan cuba mengelak tetapi Melati memaksa.
Sentuhan telapak tangan Melati terlalu menenangkan.
Segala keresahan dan pertanyaan yang bersarang dalam
otak Ikhwan tiba-tiba hilang begitu sahaja.
“Abang jangan banyak fikir. Melati gembira
abang sanggup datang ke sini.”
Ikhwan tidak memberikan reaksi. Perasaannya
bercampur baur.
“Abang nak Melati bawa ke sebuah tempat?”
“Tempat apa?” Ikhwan kembali seperti tadi.
“Tempat yang sangat cantik, yang selalu
dikunjungi orang.”
“Nak.”
“Tapi abang kenalah bersihkan diri dulu. Mari
Melati bawakan abang ke pondok abang. Di pondok
tu, abang bolehlah bersihkan diri. Makanan pun dah
disiapkan.”
Ikhwan mengangguk-angguk kecil. Walaupun
dia tidak pasti dengan reaksinya, namun berjauhan
dengan Melati boleh menyebabkan dia diamuk
kerinduan yang tidak berkesudahan. Dia tidak mampu
menanggung beban kerinduan itu. Biarlah dia menjadi
pak turut kepada Melati, bahkan khadam sekalipun,
asalkan rindunya tidak terbazir.
“Mari.”
Melati menarik tangan Ikhwan, meninggalkan
bangku di tepi tebing sungai dan perdu buluh rimbun
menuju ke jambatan kayu ringkas yang merentangi dada
sungai. Langkah mereka perlahan dan cermat. Ikhwan
tidak dapat melarikan matanya daripada memerhatikan
Melati. Melati terlalu istimewa dan terlalu indah pada
pandangannya.
Mereka berjalan di lorong yang ditabur
batu-batu kecil berwarna putih. Derap kaki mereka
berbaur dengan suara unggas dan bunyi dedaunan
bergesel tatkala ditiup bayu. Pancaran matahari tidak
dirasakan terik, sebaliknya terlalu nyaman.
“Jauh lagi ke pondok yang Melati maksudkan
tu?” tanya Ikhwan apabila sudah lama mereka berjalan.
“Dah tak jauh. Di sebalik selekoh itu sahaja.”
Sambil berjalan, sesekali Ikhwan mengerling
melihat persekitarannya. Pokok-pokok yang tumbuh
di kiri kanan laluan itu seperti sudah tua dan terlalu
menyeramkan. Daripada kerlingannya, dia melihat
kekelaman menyerkup hutan-hutan tersebut tetapi
apabila dia betul-betul memandang, lantai hutan itu
terlalu bersih seolah-olah dia sebenarnya berada di
sebuah taman bunga yang pokok-pokok bunganya
adalah balak-balak sebesar tiga pemeluk.
“Melati dah suruh Ibu Darus jaga abang. Abang
jangan pula terkejut tengok Ibu Darus tu. Dia memang
macam tu. Mungkin kurang bercakap tetapi dia sangat
patuh dengan Melati,” ujar Melati.
“Ibu Darus?”
“Ya, Melati memang upah dia jaga pondok itu
untuk abang. Ibu Darus dan anak lelakinya, Darus.
Mereka memang kelihatan pelik sedikit, tapi abang tak
perlu risaukan apa-apalah. Melati jamin.”
“Jangan pergi lama sangat.” Ikhwan
menggenggam kuat tangan Melati.
“Kenapa?”
“Nanti abang rindu.”
Melati ketawa kecil. Dia menampar lembut=lengan Ikhwan.
“Abang saja nak usik Melati.”
“Betul, abang selalu rindukan Melati.”
“Abang juga yang kata nak jumpa ayah.”
“Kenapa tak bawa saja abang ke rumah dan
terus berjumpa ayah?” tanya Ikhwan.
“Tak boleh. Adat di kampung ni bukan macam
tu. Biarlah kita ikut adat supaya senang ayah bagi restu.
Abang perlu ingat, ayah ada kedudukan dalam kampung
ni. Ayah kena jaga kedudukan tu.”
Ikhwan mengangguk-angguk lagi. Pun begitu,
pada masa yang sama, dia cuba mengingatkan bila
masanya Melati ada menceritakan tentang ayahnya
yang dikatakan mempunyai kedudukan di kampung
itu serta adat budaya yang perlu ditempuhinya. Namun
cintanya terhadap Melati, mematikan segala pertanyaan
itu.
Mereka terus berjalan. Selekoh yang
dimaksudkan oleh Melati telah pun terpampang di
matanya. Benar seperti yang dikatakan, terdapat
sebuah rumah kayu yang semua tingkapnya terbuka
dan langsirnya terbuai-buai ditiup angin. Tangga
rumah yang diperbuat daripada simen melebar
bersambung dengan sebuah beranda berbumbung dan
dipagar dengan papan-papan berukir awan larat. Pada
lingkungan pagar beranda itu terdapat pangkin.
“Itu pondok abang. Sementara abang berada
di kampung ini, abang akan tinggal di sini,” beritahu
Melati.
“Kalau secantik itulah rumah yang disediakan
untuk abang, rasa-rasanya abang takkan tinggalkan lagi
kampung ni. Abang sudi terus menetap di sini.”
Melati terus ketawa. Entah apa yang
menggelikan hatinya.
“Melati pun rasa macam tu.”
“Rasa apa?”
“Abang akan terus tinggal di sini. Abang akan
jaga Melati dan anak-anak kita. Abang akan jadi ketua
keluarga kita.”
Hati Ikhwan kembang. Senyumannya melebar.
Kebahagiaan dirasakan menjalar dalam setiap urat dan
nadinya.
“Mari, bang. Melati kenalkan dengan Ibu
Darus.”
Melati menarik tangan Ikhwan, menghela ke
arah tangga batu lebar dan kemudian berdiri di anak
tangga pertama.
“Ibu Darus!” Melati bersuara kuat.
Tiada jawapan tetapi Ikhwan dapat mendengar
dengan jelas seretan tapak kaki kalut melangkah di
atas rumah. Dan sebentar kemudian, seorang wanita
tua yang hanya berkemban, berambut menggerbang
panjang dan berwajah kusam muncul di beranda. Di
belakangnya, seorang pemuda yang tidak jelas wajahnya
berdiri tegak bagaikan patung kayu.
“Ibu Darus, ini Abang Ikhwan. Bakal tunang
Melati.”
“Ya.”
“Ibu Darus jaga dia sementara Melati balik
ke rumah berjumpa ayah dan maklumkan tentang
kedatangan Abang Ikhwan.”
“Ya.”
“Jaga setiap keperluannya. Siapkan juga makan
minumnya. Suruh Darus ambil air dan penuhkan kolah
di bilik mandi supaya Abang Ikhwan dapat bersihkan
diri.”
“Ya.”
“Jangan benarkan Abang Ikhwan ke mana-mana
sampailah Melati balik ke sini.”
“Ya.”
Wanita tua itu kelihatan terlalu patuh dengan
Melati. Tugasan yang diberikan oleh Melati semuanya
disanggupi dan diterima tanpa banyak soal. Sepanjang
Melati bercakap dengannya, dia sekadar tunduk
merenung lantai. Pun begitu, Ikhwan lebih tertarik
dengan anak muda yang berdiri di belakang Ibu Darus
dan tidak jelas wajahnya.
Melati kembali berpaling ke arah Ikhwan.
Kedua-dua telapak tangan Ikhwan digenggamnya,
lembut.
“Abang jangan ke mana-mana tau. Tunggu
Melati di sini. Nanti Melati bawa abang ke mana sahaja
abang nak pergi. Jangan pergi sendirian. Nanti abang
sesat. Kalau abang sesat dalam kampung ni, susah
Melati nak cari,” pesan Melati.
Ikhwan mengangguk laju. Dia tidak pernah
ada niat untuk lari dari situ walaupun fikirannya tidak
begitu stabil. Malah jikalau boleh, dia mahu sentiasa
bersama-sama Melati.
“Jangan lama-lama. Nanti abang rindu.”
Melati terkekeh-kekeh. Tangan kanan Ikhwan
diangkat. Dia mengucup belakang telapak tangan
Ikhwan. Ikhwan turut membalas kucupan itu pada
belakang tangan Melati. Melati melepaskan tangan
Ikhwan. Menghadiahkan senyuman sebelum berpaling
dan melangkah meninggalkan Ikhwan yang masih
berdiri di atas anak tangga pertama rumah kayu yang
penuh dengan ukiran.
FAIZAL BENAR-BENAR diterpa rasa serba salah yang
tidak berkesudahan. Kehadirannya di rumah besar di
atas bukit itu mendapat perhatian orang kampung.
Orang kampung berkumpul di halaman tetapi mereka
tidak bersuara sepatah pun. Sebaliknya mereka sekadar
merenungnya dengan tajam.
Gadis bernama Melati yang membawanya ke
rumah besar itu entah ke mana hilangnya.
Sekumpulan budak lelaki tiba-tiba berjalan
berderet-deret ke rumah besar itu. Faizal tertarik melihat
mereka. Kesemua mereka berjubah. Tidak seperti
kelaziman, budak-budak lelaki itu terlalu berdisiplin,
tidak bercakap-cakap ataupun saling mengusik, bahkan
sentiasa memastikan perjalanan mereka dalam aturan
barisan yang tegak, bukannya bengkang-bengkok.
Destinasi mereka adalah di halaman bertentangan
dengan tingkap, tempat Faizal berdiri.
“Kamu semua ni dari mana?” Faizal
cuba menegur mereka. Namun tiada sesiapa dari
kalangan budak-budak lelaki itu yang sudi menyahut
pertanyaannya.
Faizal memerhatikan mereka dengan teliti. Pada
saat itulah dia melihat satu keganjilan ketara. Hampir
kesemua budak-budak lelaki itu beruban. Jubah yang
mereka pakai pula bukanlah seperti jubah budak-budak
tahfiz yang sering dilihatnya, sebaliknya sekadar sehelai
kain putih yang membalut tubuh kemudian hujung
pada bahagian bahu disimpulkan.
“Kamu semua sudah makan?” Faizal cuba
mengumpan budak-budak lelaki itu bercakap.
Seperti orang lain yang ditemuinya, mereka
sekadar merenung dengan tajam. Orang kampung yang
berbaris di halaman pula tetap tidak berganjak.
“Pelik betul orang kampung ni. Apa yang tidak
kena dengan aku?”
Faizal melihat-lihat dirinya, cuba mencari
sebarang punca yang menyebabkan kesemua mereka
lebih gemar merenung daripada berbual dengannya.
“Boleh jadi, memang adat budaya orang
kampung ni suka tengok orang luar. Mungkin mereka
tidak pernah jumpa orang bandar macam aku agaknya.”
Faizal cuba menyedapkan hatinya sendiri.
Faizal bosan menjadi objek renungan orang
kampung dan budak-budak lelaki aneh di halaman
rumah. Dia menjauhi tingkap dan berdiri di hadapan
tiang seri rumah limas tersebut. Dia merenung tiang
seri yang berwarna coklat kehitam-hitaman itu. Ada
beberapa batang paku yang dipacakkan pada tiang seri
tersebut. Pada bahagian atas pula, terdapat sebilah keris
bersilang, yang barangkali sengaja diletakkan sebagai
hiasan.
Tiba-tiba dia terdengar riuh di halaman. Faizal
kembali mendekati tingkap.
“Apa kena pula tu?”
Orang kampung dan budak-budak lelaki aneh
tadi bercempera dan terburu-buru lari meninggalkan
halaman. Pun begitu, apabila tiba pada pokok besar di
penjuru halaman, mereka berhenti dan berkumpul.
“Pelik betullah!”
Melati tiba-tiba muncul di laluan menuju
ke tangga rumah. Faizal cepat-cepat meninggalkan
tingkap dan mendapatkan Melati.
“Kamu nak ke mana?” Suara garau seorang
lelaki membuatkan langkah Faizal terhenti. Dia
berpaling. Lelaki yang memperkenalkan namanya
sebagai Andang, bapa kepada Melati sedang duduk di
atas sebuah kerusi kayu tidak jauh dari tiang seri yang
direnungnya tadi.
“Errr... saya nak sambut Melati,” Faizal
memberi alasan.
“Tak perlu. Biarkan dia naik sendiri. Dia
bukannya budak kecil dan perlu dibantu. Yang perlu
dibantu ialah kamu.” Andang langsung tidak bersimpati
dengan Faizal.
Entah mengapa, tiba-tiba sahaja Faizal
berasa benci melihat Andang. Apa hak Andang untuk
menahan dan menghalangnya? Apa salahnya kalau dia
menyambut kepulangan Melati kerana Melatilah yang
membawanya ke rumah itu? Kalaulah dia bukannya
tetamu di kampung itu...
“Jangan hiraukan orang kampung tu. Mereka
memang macam tu. Jarang orang luar masuk ke
kampung ni,” Andang seperti tahu apa yang sedang
bersarang dalam benak Faizal.
Melati naik ke rumah. Bagaimanapun, dia
langsung tidak berpaling ke arah Faizal. Faizal seperti
tidak wujud pada pandangannya.
“Melati!” Andang memanggil anaknya.
“Sebentar, ayah. Biar Melati salin kain dulu,”
ujar Melati sambil terus melangkah melintasi Faizal
menuju ke sebuah bilik yang terletak di sudut ruang
tamu.
“Kamu bernasib baik sebab Melati yang jumpa
kamu. Kamu tahu tak apa yang akan kamu hadapi kalau
Melati tak jumpa kamu?” tanya Andang. Suaranya tegas.
Faizal kerutkan dahinya. Sememangnya dia
tidak menjangkakan soalan itu.
“Bahaya? Bahaya apa?” Faizal mengulangi
pertanyaan.
“Jarang orang luar datang ke sini. Semua
orang cuba mengelak dari datang ke sini. Tapi kamu
nampaknya terlalu teruja untuk datang ke sini.”
Faizal membiarkan Andang meneruskan
kata-katanya.
“Aku lebih suka kalau kamu keluar dari
kampung ini dengan segera,” Andang bersuara lagi.
Kali ini dia seperti berbisik. “Bawa sekali kawan-kawan
kamu yang lain terutama Sofia, keluar dari kawasan ini
dan jangan sesekali datang balik.”
Air muka Faizal berubah. Belum pernah dia
dihalau seperti itu.
“Apa salah saya?”
“Kamu tak buat salah apa-apa. Tapi demi
keselamatan kamu. Aku tak fikir aku dapat halang
mereka daripada mempergunakan kamu.”
“Siapa?” Faizal merenung dalam-dalam wajah
Andang.
Andang tidak menjawab.
Melati keluar dari biliknya. Dia sudah
pun mengenakan baju kebaya berwarna merah
dan berselendang nipis berwarna krim. Ayu benar
wajahnya. Lenggoknya lembut. Jalannya teratur dan
dia mendapatkan Andang yang diperkenalkan sebagai
ayahnya.
“Kenapa ayah cakap macam tu kepada tetamu
Melati?”
“Kita sudah berjanji, Melati.”
“Tidak, Melati tidak mahu lagi berpegang pada
janji itu.” Melati berpaling ke arah Faizal. “Dia adalah
tetamu Melati. Ayah tidak boleh halau dia keluar dari
kampung ni. Ayah juga adalah sebahagian daripada
semua ini.”
Andang tidak bersuara.
“Biarkan tetamu Melati gunakan bilik Melati
untuk berehat. Melati ada urusan di luar. Malam ini,
penduduk kampung akan dijamu dengan makanan
enak yang sudah lama mereka tidak rasai,” kata Melati
lagi.
Andang menghelakan nafas panjang. Ternyata
dia tidak berkuasa walaupun dia kelihatan seperti
seorang ketua di kampung itu.
“Mari saya tunjukkan saudara bilik saudara.
Saudara boleh berehat di bilik itu. Gunakanlah apa-apa
sahaja di bilik itu kalau perlu. Bilik saya, adalah bilik
saudara,” kata Melati sambil menarik tangan Faizal.
Seperti disihir, Faizal sekadar menurut tanpa
bantahan. Namun dia sentiasa dihurungi ingatan
kabur tentang seorang pemuda dan dua orang gadis.
Puas diperah otaknya, dia tetap tidak dapat mengingati
di mana dia pernah bertemu mereka. Mengapa dia di
kampung itu pun dia berasa celaru. Cuma yang dia
pasti, kedatangannya ditunggu-tunggu.
Bilik yang dikatakan Melati sebagai biliknya, dan
kini untuk digunakan oleh Faizal sememangnya cukup
selesa. Perabot yang terdapat di dalam bilik itu cukup
mewah bagi sebuah rumah yang terletak di sebuah
kampung yang jauh dari dunia moden. Katil kayunya
dengan 4 batang tiang beralang yang digunakan untuk
menggantung kelambu, cukup besar dan mempunyai
banyak ukiran-ukiran menarik. Cadar dan pelapik cadar
pula berwarna merah terang dengan corak bunga besar
menunjukkan Melati mempunyai cita rasa tinggi dan
tahu perkembangan fesyen semasa.
“Cantiknya bilik ini. Macam tak sesuai untuk
saya,” kata Faizal.
“Eh, kenapa pula saudara cakap macam tu?
Atau saudara sebenarnya rasa bilik ini tidak cukup
selesa untuk saudara?” Melati bertanya kembali.
“Tidaklah, bilik macam ni hanya boleh saya
tengok dalam filem dan drama saja.”
Melati tersenyum lebar. Mungkin menyindir.
“Saudara adalah tetamu terhormat di kampung
ini. Saudara adalah tetamu saya. Jadi, sebagai tuan
rumah, saya perlu menyediakan yang terbaik untuk
saudara,” kata Melati.
Faizal melangkah dengan penuh hati-hati.
Permaidani bercorak Parsi terhampar di atas lantai
papan. Beberapa bilah keris; bersarung dan tidak
bersarung, digantung di dinding sebagai hiasan.
Terdapat pasu-pasu bunga berleher panjang di
bucu-bucu bilik. Langsir yang tergantung pada semua
tingkap bilik itu juga berwarna merah dan bercorak
bunga besar. Segala-galanya tersusun dan kemas.
“Saudara rehatlah secukupnya. Malam nanti
ada acara menyambut kedatangan saudara. Saya nak
perkenalkan saudara kepada orang-orang kampung,”
kata Melati lagi.
“Apa perlu saya diperkenalkan kepada orang
kampung?” Faizal hairan.
“Itu adat kami di sini,” Melati menjawab pantas.
Faizal mengangguk-angguk.
Melati kemudian meninggalkan Faizal yang
masih terpinga-pinga dan terangguk-angguk kecil. Di
pintu, Melati meraih daun pintu bilik. Sambil menarik
daun pintu, senyumannya tidak lekang dari bibir.
Apabila daun pintu sudah terkatup sepenuhnya, Faizal
dapat mendengar pintu itu dikunci dari luar. Serentak
dengan itu juga, semua tingkap di bilik itu tertutup
seperti ditutup oleh tangan ghaib. 2 buah pelita besar
yang berdiri di tepi katil ternyala. Entah siapa yang
menyalakannya, Faizal tidak dapat meneka. Dia tidak
mahu memikirkannya pun.
Remang-remang cahaya di dalam bilik itu
menimbulkan rasa kantuk kepada Faizal. Katil
bercadar mewah menjadi sasaran untuk merebahkan
badan. Namun tatkala matanya terpejam melayani
rasa kantuk yang tiba-tiba datang, telinganya
berdesing kuat. Desingan tersebut begitu tajam dan
seperti menusuk-nusuk gegendangnya, sekali gus
menimbulkan kesakitan. Faizal menekup kedua-dua
belah telinganya. Rasa sakit itu tidak berkurangan,
bahkan semakin bertambah.
Faizal berguling-guling. Dia cuba menjerit
tetapi suaranya tidak lepas keluar. Kesakitan pada
gegendang telinganya merebak ke seluruh kepala.
Kepalanya seperti hendak pecah. Urat-urat darah dalam
kepala seperti hendak meletus. Kulit kepalanya seperti
hendak tertanggal dari tengkoraknya.
Namun tiba-tiba sahaja, semua kesakitan itu
hilang secara tiba-tiba. Faizal memandang sekeliling.
Pelita di tepi katil direnungnya dalam-dalam.
“Apa kena dengan aku ni?” Faizal menyoal
dirinya.
Dia segera bangun. Rasa mengantuk yang
masih menguasainya tidak dihiraukan. Dia cuba
melawan meskipun ada waktunya dia ingin mengalah
dan menuruti kehendak tubuh. Dia bimbang sekiranya
rasa kantuk itu dilayan, kesakitan seperti tadi kembali
berulang.
Faizal berjalan pantas ke arah pintu bilik. Dia
cuba membuka pintu tetapi ternyata pintu itu dikunci
dari luar. Faizal berjalan pantas pula ke arah tingkap
yang terkatup rapat. Dia cuba membukanya. Sama
seperti pintu, tidak ada satu tingkap pun yang mampu
dibuka walaupun dia cuba menolak sekuat-kuat hati.
Pada mulanya dia mengesyaki Andang yang
mengunci pintu dan semua tingkap bilik itu dari
luar. Namun mengingatkan perbualan tadi, mana
mungkin orang yang menghalaunya tiba-tiba bertindak
sebaliknya.
“Kenapa pula semua tingkap dan pintu ini
dikunci dari luar? Kenapa aku dikurung?” Faizal
menyuarakan rasa tidak senangnya. Sengaja suaranya
dikuatkan walaupun dia tidak pasti untuk siapa
pertanyaan tersebut dihalakan.
Faizal mendongak, cuba mencari sebarang
ruangan terbuka. Bilik itu seperti sebuah kotak yang
langsung tidak mempunyai sebarang selaan yang
membolehkan udara atau cahaya dari luar masuk.
Tanpa bantuan api pelita yang dinyalakan di dalam
bilik itu, dia sudah tentu diserkup kelam yang langsung
tidak boleh ditembusi renungan.
Kecewa, akhirnya Faizal memilih untuk
berbaring di atas katil. Dia menekan-nekan kedua-dua
belah telinganya. Kesakitan yang muncul secara
tiba-tiba tadi tidak lagi wujud. Namun rasa mengantuk
yang mengganggu konsentrasinya terlalu sukar untuk
dilawan.
Akhirnya Faizal tewas juga. Entah berapa
lama dia tertidur, Faizal tidak tahu. Ketika dia terjaga,
suasana sungguh sunyi. Tiada sebarang tanda pintu
bilik dan tingkap telah dibuka. Tiada sebarang tanda
ada orang yang telah masuk ke bilik itu tatkala dia
sedang tidur.
Faizal bangun dan berjalan perlahan-lahan ke
pintu bilik. Dia menolak pintu bilik itu. Pintu itu masih
lagi dikunci dari luar. Ditekapkan telinga ke daun pintu.
Tiada sebarang suara yang didengarnya dari luar pintu
bilik.
“Dah pukul berapa sekarang?” Faizal bersuara
perlahan. Dia mencari-cari jam. Dia tidak memakai
jam tangan. Di dinding bilik itu juga tiada sebarang
jam. Pada saat itu, dia teringatkan telefon bimbitnya.
Pada telefonnya ada jam. Kocek seluarnya diraba-raba.
Telefonnya tiada. Faizal teringat yang telefon itu telah
dimasukkannya ke dalam beg galasnya. Faizal segera
mendapatkan beg galasnya yang tergeletak di tepi
dinding. Salah satu saku kocek beg galasnya diselongkar.
Telefon bimbit yang dicari berjaya ditemui. Malangnya,
ketika dia cuba menghidupkan telefon bimbitnya itu,
peranti tersebut telah kehabisan bateri.
Faizal menghela nafas panjang. Tiada sebarang
punca kuasa elektrik pada mana-mana bahagian di dalam
bilik yang dihuninya. Rumah itu sendiri menggunakan
api pelita sebagai punca cahaya, bermakna bekalan
elektrik memang tidak pernah sampai ke rumah besar
itu; bahkan di seluruh kampung itu juga.
“Di mana sebenarnya aku ni?” Ada sesuatu
yang lebih mengganggu benaknya. Faizal masih tidak
berupaya untuk mengingati bagaimana dia boleh
sampai ke situ. Adakah dia datang bersendirian atau
dia sebenarnya datang bersama-sama orang lain? Kalau
orang lain, siapakah mereka? Di manakah mereka dan
mengapa mereka tidak bersama-samanya?
Hanya Melati yang boleh menjawab segala
pertanyaannya.
“Mana Melati? Kenapa dia tak muncul lagi?”
Faizal kembali menekupkan telinganya ke daun
pintu. Ketika itulah dia terdengar bunyi tapak kaki
diseret. Bunyi seretan di atas lantai papan seolah-olah
orang yang sedang berjalan itu sedang mengalami
masalah besar. Seretan kaki itu serentak dengan bunyi
gemerencing rantai besi.
“Apa benda pula tu?” Faizal menjauhi daun
pintu yang masih terkatup rapat. Pun begitu, matanya
tidak lekang daripada merenung daun pintu itu.
Debarannya sangat kencang.
Faizal berundur perlahan-lahan. Namun
undurannya terlandas ke tebing katil, membuatkan dia
jatuh terduduk di atas tilam. Seluruh badannya tiba-tiba
menjadi kaku. Matanya tidak berkerdip merenung daun
pintu.
Krakkkk...
Daun pintu tiba-tiba terbuka. Dia tidak
melihat sesiapa pun di luar bilik kecuali gelap pekat
yang menyerkup. Entah dari mana, mukanya seperti
disentuh oleh tiupan angin sejuk. Pun begitu, api pelita
di dalam bilik langsung tidak bergoyang.
“Faizal...” Suara itu terlalu mendayu dan
berlagu panjang. Suara seorang wanita tetapi Faizal
tidak melihat sesiapa pun.
“Siapa?”
“Kau sudah bersedia?”
“Siapa kau?” Faizal mengeraskan suaranya. Dia
cuba memberanikan diri meskipun pada masa yang
sama, dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu
dengan orang yang memanggil namanya.
Gemerencing rantai besi di atas lantai kembali
kedengaran. Bunyinya mendekat. Selain gemerencing
rantai besi, telinga Faizal menangkap bunyi nafas keras.
Masa dirasakan seperti terhenti. Bunyi
gemerencing dan nafas melenguh itu terlalu
mengganggu. Faizal cuba bangun tetapi punggungnya
seperti melekat dengan permukaan tilam. Badannya
pula langsung tidak dapat digerakkan seolah-olah
semua sendi dan uratnya telah kejung kaku.
***AKAN BERADA DIPASARAN, KELUARAN JUN 2019***
No comments:
Post a Comment