DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 30 June 2019

Gerhana Cinta Yana - Bab 8

AUNTY Zahirah datang menyertai Haqimie yang
sedang duduk bersantai menonton televisyen. Anak terunanya
yang seorang itu tergelak-gelak menonton rancangan
ulangan Super Spontan. Hailah anak, kalau dah kahwin kan
senang. Ada yang menjadi peneman, tak adalah seorang diri
macam sekarang ni.
“Qimie nak air tak? Ibu buatkan.”
“Tak naklah, bu. Kenyang lagi rasanya perut ni. Nanti
karang boroi, tak ada orang nak pulak,” seloroh Haqimie.
“Pandailah kamu tu. Ni sekarang tak boroi, badan
sado macam ni ada orang nak ke?”
“Eh, mestilah ada. Ibu mana tahu. Berderet-deret
tau yang nak kat Qimie ni. Cuma Qimie je yang malas nak
layan.”
“Kalau ada, baguslah. Bawak balik, kenalkan dengan
ibu. Apa lagi yang ditunggu? Kahwinlah cepat. Tengok Hayqal
tu kan dah happy dengan famili dia. Ada isteri yang menjaga
makan, pakai. Ada anak sebagai penghibur hati. Ibu nak jugak
merasa pegang cucu,” pujuk Aunty Zahirah.
Haqimie garu kepalanya yang tidak gatal. Fuh,
ibu dah start! Ni yang dia malas. Bukan sekali perkara ini
dibangkitkan sejak dia balik ke sini. Dah berkali-kali. Memang
susahlah nak lepaskan diri kalau macam ni gayanya.
“Qimie muda lagilah, bu. Hayqal tu lain, bu. Dia
terlebih gatal. Lagipun dia dah bagi ibu cucu kan?” Haqimie
tidak mahu mengalah dengan permintaan ibunya. Di hujung
bicaranya dia ketawa.
“Itu cucu dari Hayqal. Ibu nak timang anak Qimie
pulak.”
“Sama jelah, ibu. Mana ada bezanya. Qimie nak
kumpul duit dulu.” Hilang terus konsentrasi dia untuk
menonton Super Spontan. Super Spontan ke mana, dia ke
mana. Ibu ni salah timinglah.
“Eh, lainlah. Jangan nak cakap pasal duit. Duit gaji
masa kerja dengan ibu dulu, simpan dalam bank tu tak boleh
guna?” Sukar betul melembutkan hati anak bujangnya yang
seorang ini. Entah apa lagi yang ditunggu entah. Calon sudah
ada, duit sudah terlebih ada. Kena desak lebih sikit ni.
Jeda.
Memang benar gaji yang diperolehi sewaktu
membantu ibunya menguruskan perniagaan katering
beberapa tahun lepas sebelum dia menyambung pelajaran
di luar negara, sedikit pun tidak berusik. Haqimie diam.
Berpura-pura tidak mendengar apa yang baru dikatakan oleh
si ibu. Dia tiada idea untuk membantah lagi.
“Hahaha. Sengal betullah diaorang ni.” Haqimie
menghamburkan tawa besar dek hatinya digeletek dengan
gelagat para peserta Super Spontan.
“Eh, budak bertuah ni. Ibu bercakap, dia boleh gelak
pulak. Ke Qimie nak ibu masuk meminang?” Soalan maut
sudah keluar.
Serta-merta terhenti tawa Haqimie yang masih
bersisa mendengarkan pertanyaan itu.
Krik krik krik.
Kepala Haqimie berpusing mencari wajah ibunya.
“Qimie tak salah dengar kan? Ibu cakap apa tadi?”
“Ibu tahu Qimie dengar. Jangan buat-buat tak dengar
pulak. Ibu cakap nak masuk meminang.”
Erk!
Haqimie terbatuk kecil. “Masuk meminang?
Meminang siapa pulak ni, ibu?”
“Yana.”
“Hah?” Ternganga mulut Haqimie mendengarkan
jawapan yang tak dijangka itu.
“Tak kenal ke? Nak ibu sebut nama penuh? Sara
Aryana Binti Ahmad Syukri, adik Shahrul Affendy Bin Ahmad
Syukri. Hah, dah kenal?”
Ambik kau setepek! Baik punya perli.
“Ibu... bukan maksud Qimie tak kenal dengan Yana.
Tapi apa kena-mengena dia dengan cerita meminang ni?”
Satu cubitan hinggap di lengan kiri Haqimie. Kuat
dan padu! Berkerut-kerut wajah Haqimie menahan sakit
akibat cubitan ibu tersayang. Tangan tak berhenti menggosok
bekas cubitan itu.
“Apa ibu ni? Main kasarlah. Sakit tangan Qimie ni.
Berparut nanti, jatuh saham Qimie,” rengek Haqimie. Dah
macam gaya anak kecil merajuk pun ada. Saja mahu bermanja
dengan ibu tersayang.
“Geram ibu dengan kamu ni. Sengaja buat tak
faham, tu makan dia. Alah, setakat cubit sikit, tak adanya
hilang macho tu. Macam mana cadangan ibu tadi?” Aunty
Zahirah masih tidak berputus asa memujuk anak terunanya.
Harap-harap kali ni biarlah menjadi.
“Ibu, Qimie dengan Yana tu tak ada apa-apalah.
Kami kawan je. Qimie anggap Yana tu dah macam adik Qimie
sendiri. Yana pun anggap Qimie tak lebih dari seorang abang.”
Haqimie cuba meyakinkan Aunty Zahirah.
“Mata tua ibu ni tak pernah salah menilai. Daripada
cara kamu berdua, ibu tahu kamu menyimpan perasaan yang
lebih daripada apa yang kamu cakapkan tadi. Ibu lebih dulu
makan garam dari Qimie. Ibu dah pernah lalu zaman ni
semua. Dengarlah nasihat ibu ni.”
“Tapi bu...”
“Ibu tak paksa. Qimie fikirlah sebaiknya. Apa-apa
nanti boleh beritahu ibu. Ibu tak sabar nak tunggu berita
gembira dari Qimie. Tapi kalau betul Qimie tak ada perasaan
pada Yana, ibu dah ada calon untuk Qimie,” usul Aunty
Zahirah sambil tersenyum.
“Siapa ibu?”
‘Aih, dah macam ejen cari jodoh pulak ibu aku ni.’
“Fiza.”
Sepatah jawapan Aunty Zahirah itu membuatkan
Haqimie telan liur. Dia dengan Hafizah? Macam tak boleh
saja. Matilah dia macam ni.
“Fiza tu kan dah macam...”
“Qimie nak cakap macam adik Qimie kan? Qimie
kena ingat, kamu berdua tak ada pertalian darah. Halal untuk
berkahwin. Qimie fikirlah. Ibu nak tidur. Selamat malam.”
“Selamat malam, ibu.”
Haqimie ditinggalkan terkebil-kebil sendirian.
Yana?
Fiza?
‘Aduh, pening kepala aku! Tapi betul ke aku dan Yana
berkongsi perasaan yang sama? Bukan kita orang pernah
berjanji yang hubungan ini hanya sebagai adik-beradik?’
Haqimie berfikir sendiri. Mungkin ya dan mungkin juga
tidak. Dia dan Yana masing-masing tidak pernah bercinta.
Jadi bagaimana mereka mahu tahu perasaan cinta tu?
Memang tak dapat dinafikan bahawa sejak beberapa
bulan perkenalan, dia dan Yana terlalu rapat. Dalam tak sedar,
tangan Haqimie mencapai smartphone dan jarinya mula
bergerak di skrin telefon untuk menghubungi Yana.
“Hah! Nak call buah hatilah tu!” Satu sergahan
terdengar dari belakang sofa, tempat yang diduduki oleh
Haqimie.
Secara automatik Haqimie memutuskan talian dan
berpaling ke belakang mencari kelibat Hayqal.
“Sibuk je kau ni. Anak bini kau mana?” tanya
Haqimie.
“Diaorang dah tidur.” Hayqal melabuhkan duduk di
sofa berdekatan dengan Haqimie.
“Apasal kau tak tidur lagi?”
“Saja aku nak kacau kau.” Hayqal tersengih lebar.
Beza jarak umur Haqimie dan Hayqal hanya setahun
membuatkan hubungan mereka rapat seperti sahabat. Juga
tiada panggilan ‘abang’ antara keduanya.
“Kau pun nak basuh aku jugak ke apa ni? Ibu hantar
kau, eh? Cukup-cukuplah tadi aku dah kena dengan ibu.”
Haqimie tayang muka kesian.
“Poyolah kau ni! Tak adanya ibu nak hantar aku. Kau
ingat aku ni ejen ke, nak hantar ke sana dan sini? Tadi kau nak
call Yana ke?” Hayqal memulakan mukadimahnya. Dia harus
menyedarkan adiknya itu tentang Haqimie perasaan terhadap
Yana.
“Haah tapi tak jadilah sebab kau dah kacau daun.”
“Call jelah. Boleh aku dengar topik perbualan
‘adik-beradik’ ni,” perli Hayqal.
“Kau jangan nak perli aku.”
“Eh, betul apa. Korang yang cakap macam tu,” balas
Hayqal tidak mahu kalah.
Haqimie menjeling geram kepada Hayqal. Belum
sempat mulutnya hendak mematahkan perkataan yang
dilontarkan oleh Hayqal, smartphone di tangan berbunyi
minta diangkat.
Baby, I am dancing in the dark... with you between
my arms... barefoot on the grass... listening to our favourite
song...
“Tu ‘baby’ dah call tu, jawablah. Karang merajuk
pulak. Kirim salam dekat ‘adik’ kau tu ya.” Hayqal
mengenyitkan sebelah matanya sebelum berlalu ke tingkat
atas.
“Menyibuk je! Dah macam pak cik bawang,” omel
Haqimie sendirian.
“I heard that!” laung Hayqal dari arah tangga.
“Layan kau apa pun tak dapat.” Pantas Haqimie
menjawab panggilan daripada Yana.
“Assalamualaikum, Yana.”
“Waalaikumussalam, Abang Qimie. Lambat jawab?
Tadi called Yana kenapa?”
“Satu-satu tanya tu, princess.”
“Hehe. Can’t control myself lorh...”
“Oh, abang tengah borak dengan Qal tadi. Saja je
telefon, nak borak dengan Yana.”
“Lah, Yana kacau eh? Tak apalah, nanti Yana call
balik.” Yana berura-ura untuk meletakkan telefon.
“Eh, eh! Jangan letak phone! Si Qal tu dah masuk
bilik dia. So, I’m free now,” jelas Haqimie.
“Abang Qimie nak tahu satu cerita lawak tak?”
“Apa dia? Ceritalah.”
“Petang tadi Yana berbual kosong dengan along.
Tahu dia cakap apa pasal kita berdua?”
“Mana abang tahu. Kenapa, dia cakap apa?” tanya
Haqimie dengan nada yang tidak sabar.
“Ada ke dia cakap kita ni macam sweet lovers? So
funnylah kan?”
Haqimie terdiam. So funny? Maksudnya Yana
memang tak ada menyimpan perasaan kepadanya? Entah
kenapa hati terdetik kecewa. Bukankah dia seharusnya
merasa lega?
“Abang Qimie? Diam je? Dah tidur ke? Abang Qimie
dengar tak Yana cakap apa tadi?” soal Yana bertalu-talu. Dia
ada tersalah cakap ke? Yana kebingungan dengan kebisuan
Haqimie di hujung sana.
“Abang Qimie dengar tak Yana beritahu tadi along
cakap kita ni macam couple?” ulang Yana sekali lagi.
Terus terbatuk Haqimie mendengarkan Yana
mengulang semula pernyataannya dalam bahasa yang lebih
jelas.
“Haih, malam-malam terbatuk, awek manalah yang
sebut ni?” usik Yana.
“Entahlah, ada ke orang yang sudi sebut nama abang
sebelum tidur?” Sengaja Haqimie memancing reaksi Yana.
“Manalah tahu, Fiza ke...” jawab Yana spontan.
“Mungkin jugak, kan. Mesti Fiza tengah teringatkan
abang, tu yang sampai sebut nama abang.” Haqimie tidak
sedar yang bicaranya itu telah membuatkan Yana menjadi
tidak senang duduk.
“Tadi Yana bukak cerita pasal along, kan? Kenapa
tiba-tiba masuk nama ‘orang luar’ ni?” Sengaja perkataan
‘orang luar’ itu ditekankan supaya Haqimie faham yang dia
tidak suka berbicara tentang Hafizah.
“Lah, abang pulak kena? Bukan Yana ke yang start
dulu tadi?” Haqimie tersenyum. Nampaknya pancingnya
berjaya mendapat habuan. Ada bau-bau cemburu di situ.
‘Eh? Aku ke yang mulakan dulu pasal si Fiza tu?
Alamak, salah sendiri rupanya. Sudahnya, aku jugak yang
sakit hati.’
“Dahlah. Tak nak cakap pasal ni lagi,” putus Yana.
“Alolo... look at that. My princess merajuk.”
“Mana ada!” nafi Yana.
“Jangan merajuk, princess. Okey, okey! Yana cakap
apa tadi?” Haqimie cuba memujuk.
Senyuman nipis terukir di bibir Yana. Hatinya sedikit
terpujuk. Sedikit sahaja ya, belum keseluruhannya lagi.
“Malas nak ulang benda sama banyak kali,” ucap
Yana.
“Yalah, abang dengar tadi. Terlupa pulak nak jawab
bila Yana tiba-tiba sebut nama Fiza. Habis tu Yana jawab apa
dekat Shahrul?” Haqimie beralah. Ingin juga dia mendengar
jawapan daripada Yana yang mungkin boleh menjawab
keraguan hatinya.
Argh! Hafizah lagi! Yana menjerit geram dalam hati.
Hati yang mulai sejuk menjadi panas kembali.
“Princess?” seru Haqimie apabila tidak mendapat
respons daripada Yana.
“Hmm...”
“Abang tanya ni, Yana jawab apa?”
“Yana dah ngantuklah. Tiba-tiba rasa mood dah
terbang hilang entah ke mana. Cari-cari tak jumpa pulak.
Dah masuk dalam longkang agaknya. Kalau abang rasa nak
berborak, pergilah call Fiza tu. Bye, assalamualaikum.”
Haqimie terpinga-pinga apabila talian terus
dimatikan oleh Yana.
Yana... Yana... tengah marah pun boleh lagi buat
lawak bodoh. Macam manalah hati dia tak jatuh sayang.
Mungkin benar dia dan Yana sedang dilamun cinta tanpa
sedar.
Akhirnya Haqimie mengakui rasa hatinya. Yana
pula? Walaupun gadis itu menafikan tapi dia yakin yang
Yana juga menyimpan perasaan yang sama. Kalau tidak cinta
masakan perlu wujud rasa cemburu? Senyuman Haqimie
melebar sehingga ke telinga. Sengaja dia akan membiarkan
rajuk Yana berpanjangan tanpa dipujuk. Dia ingin melihat
sejauh mana adik kawannya akan melayan rajuk dan ego itu.
Melihatkan jam yang sudah menginjak ke angka satu
pagi, Haqimie segera melangkah kaki menuju ke biliknya.
Esok hari pertama dia akan memulakan tugas di pejabat,
membantu ibunya menguruskan business katering. Business
yang pernah diuruskan olehnya sebelum menyambung
pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Sementara
menunggu peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan
kelulusannya.

No comments:

Post a Comment