DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 17 June 2020

Encik Ulat Buku - Bab 2

Kuala Lumpur, April 2019...

FITBIT Alta HR di tangan kanan kuangkat sedikit. Tertera digit 7.45 am. Dari jauh sudah kelihatan kepala koc LRT dan aku mengorak senyum sendiri sambil membetulkan handbag yang disilangkan di bahu kanan.

Memandangkan stesen LRT Gombak ini merupakan stesen yang pertama, dapatlah aku tempat untuk duduk. Orang di kiri dan kananku sibuk dengan telefon pintar masing-masing sementara aku sibuk mencari diari berwarna merah jambu dari dalam handbag.

Sebaik sahaja LRT berhenti di stesen Taman Melati, berpusu-pusu manusia masuk ke dalam perut LRT. Saat ini anak mataku menangkap sesusuk tubuh tinggi lampai yang memakai baju kemeja berwarna biru dan dipadankan dengan seluar slek hitam. Tangan kananku yang sejak tadi sudah bersedia dengan pen, mula menulis di helaian diari.

Dear Diary,

Hari ini memang tepat pukul 8 pagi, Encik Ulat Buku terpacak di dalam LRT. As usual, dengan buku di tangan kanan dan headphone Beats hitam di telinga.

Aku berhenti menulis dan mengangkat wajah memandang lelaki yang kugelar sebagai ‘Encik Ulat Buku’ yang duduk tidak jauh daripadaku. Sebaik sahaja LRT berhenti di stesen LRT Damai, dia bangun dan memberikan tempat duduknya kepada seorang wanita mengandung. Aku sengih sebelum sambung menulis.

Dear Diary,

How can a guy be so charming with a book in his hand and still act like a gentleman? Siapa kata watak lelaki macam ini cuma wujud dalam novel sahaja? Encik Ulat Buku inilah bukti yang lelaki edisi ini wujud di alam nyata. Kak Dee patut jumpa dengan Encik Ulat Buku supaya dia tak memperlekehkan watak hero-hero dalam novel yang kononnya tak logik dek akal.

Apabila LRT berhenti di stesen KL Sentral, cepat-cepat diari kusimpan elok di dalam handbag dan bersedia untuk keluar. Disebabkan memang ramai orang yang berpusu-pusu mahu keluar dari dalam LRT pada masa itu, aku dirempuh dari arah belakang dan hampir terjatuh. Nasib baiklah ada orang yang memegang kuat tali handbagku, sekali gus menahan aku daripada terjatuh.

Are you okay?”

Aku sudah ternganga apabila suara yang garau itu kedengaran di tepi telinga. Inilah pertama kali aku mendengar suara lelaki ini selepas hampir 3 minggu aku menyedari kehadirannya di antara ramai pengguna LRT ini. Dia selalunya akan menaiki LRT pada waktu yang sama.

“Encik Ulat...” Terus aku mengaplikasikan fungsi brake mulut apabila lelaki ini sudah berkerut-kerut memandang aku. Nasib baik tak tersasul sebut ‘ulat buku’!

“Saya okey. Terima kasih!” Aku cuba senyum sambil membetulkan handbag.

Encik Ulat Buku mengukir senyum, menyerlahkan barisan gigi yang dihiasi dengan pendakap gigi. Apabila dia tersenyum, sepasang anak matanya turut mengecil. Comel!

Alright then. Jalan elok-elok.”

Dan... dia terus berlalu meninggalkan aku yang masih terkebil-kebil. Saat ini aku terasa sepasang kakiku seperti tidak berpijak pada lantai LRT ini.

 

BERIA-IA KAK Dee menggelakkan aku sehingga tersedak air teh tarik sebaik sahaja aku habis bercerita tentang kejadian di dalam LRT pagi tadi. Over betul!

“Akak perasan sejak hang balik dari Korea dulu, perangai hang dah jadi buang tabiat semacam,” komen Kak Dee dan air teh tarik kembali dihirup.

“Buang tabiat apa pulak kak?”

“Yalah, kutlah kena sampuk angin pelik-pelik kat sana, sampai hang jadi lagu ni.”

“Angin apa pulak, kak? Waktu saya pergi bulan lepas tu kan musim bunga.” Halah, halah Kak Dee ni pun! “Lagipun, bukan senang nak jumpa lelaki macam tu. Walaupun tak perfect macam hero-hero dalam novel, tapi kira dia ni hero di alam realiti. Ala, Kak Dee... biasalah, nak naik LRT yang sesak setiap pagi, kenalah ambil mood... and the mood is Encik Ulat Buku itulah,” tambahku lagi, tersenyum seorang diri membayangkan seraut wajah tenang milik lelaki yang tidak kuketahui identitinya itu.

“Hang ni dah macam stalkerlah, Yaya. Diary hang tu jaga elok-elok. Buatnya tercicir dekat dalam LRT, memang haru. Lagi haru kalau Encik Ulat Bulu hang tu yang jumpa. Boleh innalillah terus!” tutur Kak Dee selamba sambil mengunyah karipap pusing.

“Encik Ulat Bukulah, kak. Bukan ulat bulu,” sangkalku pantas.

“Tak kisahlah, Yaya. Ulat buku ke, ulat bulu ke, sama aje.”

Aku menggelengkan kepala. Tak faham macam mana Kak Dee ni boleh jadi Ketua Editor di syarikat penerbitan majalah yang terkenal di Malaysia ini.

“Bos dah tanya untuk column bulan depan. Dah dapat bahan ke belum?” soal Kak Dee, sedikit serius.

“Tengah fikirlah ni, kak.”

“Yalah tu. Akak rasa hang duk fikir pasal Encik Ulat Bulu tu aje.”

“Ulat bukulah, kak.”

Kak Dee buat-buat tidak dengar.

“Akak bagi hang dua pilihan, Yaya. Hang nak in charge as columnist untuk majalah Ohana, ataupun as usual untuk majalah Oppa? Akak tanya ni sebab tak nak hang bosan sebab asyik pusing-pusing dalam majalah yang sama aje.”

“Majalah Ohana tu majalah untuk famili, kan kak? Untuk column apa?” soalku dan meneguk air Milo yang masih berasap.

“Tip-tip malam pertama,” bisik Kak Dee perlahan, siap tayang senyum gatal lagi.

Uhuk, uhuk, uhuk!” Aku dah terbatuk-batuk.

Kak Dee sudah tergelak-gelak sehinggakan dia sendiri tersedak dengan karipap pusingnya. Tak senonoh betul ketua editor yang seorang ini!

“Siapa suruh hang tanya,” balas Kak Dee selamba sebelum dia meneguk kembali teh tariknya. Selamba habis!

“Kak Dee ni tak patutlah...”

Kak Dee ketawa lagi. Ada ke patut bagi tema berkaitan rumah tangga dekat aku yang single mingle ni?

So back to columnist untuk majalah Oppalah, kan?”

“Akak bagi hang pilihan, tapi hang yang tak mau.”

Aku buat-buat tidak dengar.

“Hang jaga kualiti kerja hang cantik-cantik supaya senang akak nak juai nama hang dekat team Farid pulak.”

“Hah? Nak jual saya kat Abang Farid buat apa?”

“Isy, bukan juai hang dekat dia. Juai skill hanglah dik oii! Dengaq tu cuba pakat sampai habis dulu. Orang kata biar tak cantik, tapi jangan pekak.”

Aku mencebik.

“Yaya jugak yang kata nak kembangkan pengalaman dengan team Farid yang handle surat khabar Media Massa tu. Kalau tak dapat join team news article, dapat start dengan team feature article pun okey jugak. Yaya start cover soft news dulu. Orang putih kata, slowly but surely.”

Aku senyum lebar memandang Kak Dee.

“Ni awat senyum lagu tu pulak? Ni Kak Dee hang, bukannya Encik Ulat Bulu hang tu.”

Terus aku tergelak-gelak. Kak Dee ataupun nama sebenarnya Deeba Khadeeja ni memang loqlaq betullah. Tak pernah aku tak terhibur dengan celoteh dia.

“Saya terharu bila dengar apa yang Kak Dee cakap tadi. Ni yang sayang Kak Dee lebih.”

“Kalau sayang lebih, idea pun kena lebih naaa... Stalker, stalker jugak, entri column jangan lupa submit pulak.” Kak Dee terus bangun daripada kerusi yang menjadi tempat duduknya sejak 15 minit yang lepas.

Aku mengeluh sambil memerhatikan bayang tubuh Kak Dee meninggalkan kawasan pantri.

“Yaya, apa kes pagi-pagi mengeluh?” tegur Abang Mat yang baru melangkah masuk ke dalam pantri sambil menarik kerusi di hadapan aku. Abang Mat ini merupakan PA Hj. Fakhrul, tuan direktor di syarikat ini.

“Tengah duk fikir idea ni.”

“Idea apa? Nak masuk dalam diari ke?”

Aku mencebik. Pelik sangat ke kalau aku suka menulis diari? Walaupun old school tapi aku suka.

“Guraulah, Yaya. Pagi-pagi ni tak boleh stres. Kena ceria.”

“Tak tahu nak buat headline apa untuk bulan depan.” Aku memandang kalendar yang tergantung di dinding pantri. Kejap, bulan depan kan bulan Mei! Mungkin tema pendidik? Lecturer lelaki muda yang handsome?

“Abang Mat kenal mana-mana lecturer muda tak?” soalku.

“Lelaki ke perempuan?”

Aku senyap sambil mula berfikir.

“Lelaki.” Memandangkan majoriti pembaca majalah Oppa ialah wanita, mungkin target golongan intelektual lelaki lebih sesuai.

“Abang Mat kenal sorang ni. Ada Masters dan PhD. Kalau tak silap, dia belajar dekat Oxford.”

“Seriuslah Abang Mat? Muda lagi ke?”

“Mudalah. Awal 30-an rasanya.”

“Dah ada PhD? Ke PhD yang ‘Penyakit Hasad Dengki’ tu?”

Abang Mat tergelak-gelak.

“PhD betullah. Rasanya macam dalam bidang Matematik.”

“Wahhhh... gilalah. Mak dia bagi dia makan apa kecik-kecik dulu?”

“Kismis kut!”

Terus aku dan Abang Mat sama-sama ketawa.

“Abang Mat dah WhatsApp contact number Dr. Aydin tu dekat nombor Yaya. Nanti contact dia untuk buat appointment.”

Thanks, Abang Mat. Ni pun dah banyak membantu untuk cari bahan.” Aku senyum.

There’s nothing free in the world. Nasi lemak Kak Bedah jangan lupa esok.”

“Ek eleh... siap cakap omputih lagi tu.”

Abang Mat hanya gelak.

“Jumpa Dr. Aydin tu elok-elok, Yaya. Jangan tulis dalam diari pulak.”

“Abang Mat!”

No comments:

Post a Comment