DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 16 June 2020

Melankoli Sekeping Hati - Bab 10

HARI Isnin tiba lagi. Hari yang mungkin akan menemukan dia dengan Syamel jika laluan mereka bertembung pada hari ini. Bersediakah dia? Sejak kejadian di rumah mak longnya kelmarin, Syamel langsung tidak menghubunginya. Menghantar sebaris pesanan pun tidak. Menambahkan rasa bersalah di hati Syifa’ buat Norpipah.

Baru mahu menghidupkan enjin, telefon bimbit yang diletakkan di atas kerusi penumpang, sudah berbunyi. Telefon dikilas pandang sebelum jari meluncur ke atas skrin.

“Assalamualaikum, pak long,” ucapnya.

Waalaikumussalam. Kakak ada appointment apa-apa pagi ni?” soal Encik Zaman.

Takde, pak long.”

“Okey, bagus. Kalau macam tu, pak long nak kakak jumpa klien kat Puncak Alam ya.”

“Puncak Alam?” ‘Aduh! Jauhnya...’ sempat dia mengomel dalam hati.

“Haah. Pak long akan mesej alamat hartanah tu, sekali dengan details dia sekali. Appointment kakak pukul 10 pagi ni tau. Jadi kakak ada banyak masa nak sampai ke sana. Kakak tak perlukan kunci sebab tuan rumah masih tinggal kat dalam rumah tu. Pak long dah call tuan rumah dan beritahu dia yang ada orang nak tengok rumah dia pukul 10 nanti.”

“Baik, pak long.” Syifa’ terpaksa bersetuju. “Siapa nama klien tu, pak long?”

“Syed,” jawab Encik Zaman perlahan. “Syed Thaqif.”

Syifa’ memejamkan mata. Thaqif lagi?

“Tapi, pak long...” Syifa’ mula membantah. Namun, dia tak jadi menyudahkan kata. Dia tu pekerja, Encik Zaman tu bos. Wajarkah dia menolak? Bolehkah dia mencampuradukkan perihal kerja dengan masalah peribadinya?

“Kakak... this has to end some day.” Ringkas saja pesanan daripada Encik Zaman. Tidak perlu berjela-jela. Tidak perlu bergaris emosi. Mudah difahami oleh hati batu milik Syifa’.

“Kakak perlukan sedikit masa lagi, pak long. Adik baru je meninggal. Akak masih tak kuat...” curah Syifa’ perlahan.

Face your demons. Don’t run away from them. Sebab tu pak long nak kakak yang berjumpa Thaqif pagi ni,” sambung Encik Zaman lagi. “Do a good job, okay? Ni kali kedua Thaqif minta nak view rumah banglo.”

“Ba... baik, pak long.” Talian dimatikan. Syifa’ menelan keluhan.

Kelmarin dah jumpa kat tanah perkuburan. Hari ni akan jumpa lagi dengan lelaki itu! Bilakah semua ini akan berakhir?

Sedetik itu, telefonnya berbunyi. Menandakan pak longnya telah mengirimkan alamat serta lokasi hartanah yang menjadi objek idaman Thaqif kali ini. Syifa’ yakin Thaqif langsung tiada niat untuk membeli mana-mana hartanah pun. Semua yang dilakukan kini hanyalah semata-mata untuk bertemu dengannya. Dia mengeluh sekali lagi.

Lekas-lekas Syifa’ mengilas perincian tentang rumah banglo 2 tingkat melalui telefonnya. Butir-butiran yang penting lantas dimaktubkan dalam ingatan. Syifa’ menekan lokasi yang dikirim oleh Encik Zaman. Menunggu suara gadis mat saleh memberikan arahan sebelum memulakan perjalanan.

Lebih sejam memandu disebabkan kesesakan lalu lintas, akhirnya Syifa’ tiba jua. Syifa’ keluar dari kereta. Kali ini, dia langsung tidak melakukan apa-apa untuk merapikan wajah serta penampilan dirinya sebelum bertemu dengan klien. Tidak seperti selalunya. Tak kuasa!

Thaqif sudah bersandar di badan keretanya. Tangan berlipat di dada. Mata ralit memandang ke arah Syifa’ yang berskirt labuh berwarna biru yang dipadankan dengan blaus berparas tengah paha daripada kain kapas berwarna putih. Wajah Syifa’ tidak banyak berubah sejak 4 tahun yang lalu. Mata Thaqif yang memandang dengan perasaan benci suatu ketika dulu tidak dapat menutup hakikat bahawa Syifa’ telah diciptakan dengan begitu indah oleh Yang Maha Esa. Kulitnya cerah lagi mulus, alis matanya lentik, hidungnya separa mancung, dan ulas bibirnya sentiasa merah dengan bentuk yang cukup sempurna. Kalau nak kata Syifa’ ni bekerja sebagai model gincu pun dia akan percaya.

Walaupun sudah berusia 28 tahun, wajah Syifa’ masih polos, masih kelihatan suci seperti dulu. Begitu jugalah dengan Suria. Banyak menyamai ciri-ciri kakaknya. Dengan akal yang kini boleh berfikir secara waras, tidak hairanlah mengapa Tamim boleh terjatuh cinta akan Suria. Dia mampu mengakui hakikat itu dengan hati yang terbuka sejak dapat melihat dengan mata hati dan bukan lagi mata benci.

Thaqif melihat Syifa’ mengalihkan berat badannya daripada satu kaki ke kaki yang lain. Aksinya menggambarkan dirinya yang tidak selesa.

“Maaf, saya lambat.” Syifa’ akhirnya bersuara.

Thaqif menegakkan tubuh.

Takpe. Saya pun baru je sampai.”

Syifa’ mengangguk.

“Jom. Tuan rumah memang ada kat dalam.”

Loceng di tembok pintu pagar ditekan. Menunggu tuan rumah membuka pagar besi automatik berwarna coklat keemasan.

“Awak okey, Syifa’? Awak nampak tak berapa sihat,” tegur Thaqif yang berdiri di sebelahnya.

“Saya okey,” balas Syifa’ tanpa perasaan. Wajah Thaqif tidak dipandang.

“Awak tak nak marah-marah saya sebab buat appointment untuk jumpa awak pagi ni?” duga Thaqif. Hairan juga dia dengan reaksi Syifa’ ketika tiba sebentar tadi. Kalau gadis itu tak berasa terkejut pun, Thaqif menjangka sekurang-kurangnya Syifa’ pasti akan menghamburkan rasa tak puas hatinya, atau menuduhnya hanya membuang masa dengan tindakannya ini. Tapi langsung tiada apa-apa.

Entah apa yang diomelkan Syifa’ di hujung nafasnya pun Thaqif tak tahu. Dia tak dapat nak menangkap butir bicara gadis itu. Belum sempat bertanya, pagar automatik sudah pun terbuka. Syifa’ melangkah masuk tanpa menghiraukan sama ada Thaqif mengikut jejaknya ataupun tidak.

Salam dilafazkan. Syifa’ memperkenalkan dirinya dan juga Thaqif kepada si tuan rumah. Tugasnya sebagai agen hartanah kini bermula. Tapi kali ini, Syifa’ tak perlu banyak bersuara. Tuan rumah yang galak menceritakan tentang setiap ruang di dalam rumahnya ini kepada Thaqif.

Penuh adab Thaqif berbicara dengan tuan rumah. Bertanya itu dan ini seolah-olah dia benar-benar berminat mahu tahu tentang rumah ini. Ketika berjalan, sekali-sekala kedua belah tangan dikunci di belakangnya. Ketika berdiri, tangan sentiasa diseluk ke dalam kocek seluar. Menambahkan aura lelaki itu yang sememangnya berkarisma. Dari belakang, bahu lelaki itu nampak lebar, dan sut berwarna kelabu muda yang tersarung di tubuhnya menyerlahkan ketegapan serta ketinggiannya.

Kalaulah ditakdirkan Syifa’ bertemu dengan Thaqif dalam situasi yang berbeza dan mereka tidak mempunyai sejarah yang menyakitkan, tak mustahil Syifa’ boleh terjatuh hati pada Thaqif. Namun perwatakannya saja mungkin membuat Syifa’ akan berfikir 2 kali sebelum menyerahkan hatinya kepada lelaki itu. Baran, kasar dan suka berburuk sangka pada orang lain antara ciri-ciri yang tidak disukainya.

Tetapi kini, ciri-ciri yang sering dilihatnya dulu sudah tidak kelihatan lagi. Tidak pernah lagi Thaqif menengkingnya atau meninggikan suaranya. Tiada lagi kata-kata nista yang sering lahir daripada bibirnya. Apakah lelaki ini benar-benar sudah berubah? Setakat mana? Atau semuanya sekadar lakonan demi mendapatkan kemaafannya? Syifa’ tidak tahu.

Tuan rumah meminta diri untuk beredar sambil berpesan kepada Thaqif serta Syifa’ bahawa mereka bebas menerokai rumahnya ini tanpa kehadirannya agar lebih mudah untuk mereka berbincang sebelum kata putus dicapai. Syifa’ mengangguk bersama segaris senyuman.

Like what you see?” soal Thaqif dengan suara yang dalam, sebaik saja mereka ditinggalkan berduaan. Dia tunduk mencari mata Syifa’. Wajahnya tenang. Namun ada senyuman mengusik yang tertampal di tepi bibir.

Excuse me?” balas Syifa’ tidak mengerti.

Thaqif tersenyum. Senyuman yang pertama yang diukirkan buat tatapan Syifa’. Manis! Penuh ikhlas. Menyerlahkan ketampanannya yang semakin sukar dikaburi oleh mata Syifa’. Bergetar jantung Syifa’ tiba-tiba. Reaksi pertama tubuhnya yang dirasakan cukup asing sekali.

You were checking me out. So, do you like what you see?” ulang Thaqif sekali lagi. Matanya yang tunak memandang ke wajah Syifa’ turut bersinar.

Syifa’ melarikan mata. Tidak sangka yang perlakuannya secara senyap-senyap tadi telah berjaya dihidu oleh Thaqif. Pipinya terasa pijar.

“Tolong jangan perasan okey!” dalih Syifa’ cuba menyembunyikan wajah. “Ruang mana lagi yang encik nak tengok ya? Kat luar rumah nak tengok tak?” Lekas-lekas Syifa’ mengalihkan topik perbualan.

“Saya nak tengok tingkat atas sekali lagi. Tadi tengok sekali lalu je.” Thaqif masih belum bersedia untuk mengakhiri sesi pertemuan mereka pada pagi ini. Sejak tadi, mereka ditemani oleh tuan rumah. Jadi sukar untuk Thaqif memulakan perbualan dengan Syifa’. Lebih-lebih lagi dengan angin Syifa’ yang dirasakan agak baik pada hari ini.

Syifa’ memulakan langkah menuju ke tangga. Di anak tangga yang ke-5, kaki kanannya terpijak skirt labuhnya. Dia tersandung. Secara automatik tubuh membongkok ke hadapan. Tentu saja dia akan terjatuh kalau bukan kerana sepasang tangan yang memaut pinggang Syifa’ dari belakang. Thaqif menahan tubuh Syifa’ daripada tertunduk ke depan dan spontan pinggang Syifa’ ditarik ke belakang. Akibatnya, belakang tubuh Syifa’ bertembung dengan bahagian depan tubuh Thaqif.

Kaku tubuh Syifa’ tidak bisa bergerak. Tangan Thaqif masih memaut pinggangnya kiri dan kanan. Dia terkedu. Nafas masih tercungap tanda diri masih dalam keadaan terkejut. Haruman daripada wangian yang dikenakan Thaqif menyapa hidungnya. Wangi, maskulin dan berbau kesturi.

Perlahan-lahan, Thaqif menolak tubuh Syifa’ agar bisa berdiri kembali di atas anak tangga. Melihat Syifa’ sudah agak stabil, Thaqif melepaskan pautan tangannya.

“Maaf, saya tak sengaja. Tindakan refleks,” ujar Thaqif.

Syifa’ berdeham kecil.

Errr... terima kasih sebab tahan saya daripada jatuh tadi,” ucap Syifa’ sebagai balasan. Tangan kanan mengangkat skirtnya sedikit untuk mengelakkan apa-apa kejadian yang tak diingini daripada berlaku, sebelum kaki digagah naik ke atas. Langkahnya diiringi dengan dentuman jantungnya yang semakin kuat bergendang. Hairan dia dengan reaksi tubuhnya pada hari ini. Serba tak kena!

Pintu pertama di bahagian kanan dibuka.

“Ni bilik master.” Dia menjejakkan kaki masuk ke dalam bilik. Nafas masih laju dihela.

“Rumah macam mana yang jadi idaman awak, Syifa’?” Tiba-tiba Thaqif menyoal.

Laju kepala Syifa’ berpaling. Bergaris dahinya.

“Saya?” Jari telunjuk menekan dada.

Thaqif mengangguk.

Hmmm...”

“Saya suka rumah yang macam kita view kat Shah Alam minggu lepas. Kawasan laman dia luas sangat. Sesuai untuk famili yang ada anak-anak kecik. Kalau anak-anak nak main basikal ke, nak main bola ke, boleh je main kat laman tanpa perlu keluar dari rumah. Mak ayah pun tak payah risau dengan keselamatan anak.”

Lama mata Thaqif berlabuh di wajah Syifa’. Tenang wajah Syifa’. Tenang dan lembut. Matanya memancarkan keceriaan. Tentu sedang membayangkan rumah idamannya. Untuk seketika, Syifa’ seolah-olah terlupa bahawa Thaqif merupakan lelaki yang paling dibencinya. Dalam hati, Thaqif memanjatkan rasa syukur kerana Syifa’ menjawab pertanyaannya secara tulus begini. Pada masa yang sama, Syifa’ pula seakan terkejut bibirnya bisa meluncur laju berkongsi impian tentang rumah idamannya bersama Thaqif.

‘Aku ni dah kenapa?’ Syifa’ memarahi dirinya sendiri.

Syifa’ mengerling ke arah Thaqif yang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda mahu melihat bilik tidur ini. Mata lelaki itu seakan terpasak ke wajahnya. Akalnya sudah kembali pulang ke sarang. “Yang sebenarnya, encik ni berminat ke tak dengan 2 rumah yang encik dah tengok ni? Atau encik sekadar membuang masa saya?” Suara sengaja dikeraskan.

Terjongket kening Thaqif mendengar nada suara Syifa’. Okey! Syifa’ sudah kembali bertemu dengan taringnya. Taring yang tidak kelihatan sejak awal tadi.

“Saya berminat,” jawab Thaqif. “Kondo yang saya tinggal sekarang ni, saya kongsi dengan adik saya. Bila dia dah kahwin nanti, saya cadang nak bagi kat dia je kondo saya tu. Sebab tu saya nak tengok-tengok rumah lain untuk masa depan.”

“Kalau macam tu, boleh tak encik tunjuk sikit yang encik berminat nak tengok rumah ni? Yang encik asyik tengok kat saya kenapa?”

Merekah bibir Thaqif. Mata masih utuh di wajah Syifa’.

It’s only polite to look at the person who is talking to you,” ujar Thaqif. “Tak begitu, Syifa’?”

Buat pertama kali sejak berdepan dengan Thaqif, Syifa’ kehilangan kata-kata. Tidak bisa dia menangkis. Terkebil-kebil Syifa’ cuba mencari suaranya. Thaqif mahu mengambil kesempatan daripada kebisuan Syifa’.

“Syifa’, saya ada banyak sangat soalan yang saya nak tanya awak. Dalam kepala saya ni, masih banyak maklumat yang tak jelas tentang Mim dan Su, terutamanya selepas kejadian malam tu. Saya tahu mungkin awak fikir apa yang saya minta sekarang ni dah jauh terlambat. But can you fill in the blanks for me? Saya merayu sangat. I need to know!” pinta Thaqif. Tidak perlu dia menghuraikan maksud di sebalik perkataan ‘malam itu’. Dia yakin Syifa’ mengerti.

“Boleh kita bincang kat tempat lain? Shall we have coffee somewhere?” sambung Thaqif lagi. “Please?”

“Saya... saya tak boleh. Saya tengah kerja sekarang ni. Kejap lagi saya kena jumpa klien lain.” Entah mengapa permintaan Thaqif itu begitu terasa di hatinya. Thaqif mahukan penjelasan, dia ingin mencari kebenaran setelah sekian lama episod yang melibatkan keluarga mereka berdua bermula. Dan dia mahu tahu segala yang terjadi selepas Datin Zurina serta Thaqif datang ke rumah mereka suatu malam dahulu.

“Petang ni lepas awak dah habis kerja?” tanya Thaqif lagi.

Syifa’ menggeleng kepala.

“Saya ada hal lepas kerja petang ni. Perkara yang saya tak boleh nak tangguhkan lagi.”

“Malam ni?”

Masih menggeleng.

“Tak sesuai.”

Then when?” Thaqif masih mengharap.

Syifa’ mengeluh. Betul ke dia mahu lakukan ini? Bertemu dengan Thaqif, duduk semeja dengannya, dan menceritakan perihal adik-adik mereka?

“Petang esok. Lepas kerja.” Hati Syifa’ membuat keputusan.

Thaqif mengangguk. Alhamdulillah.

Thanks, Syifa’. Thanks so much!” lafaz Thaqif seikhlas hati.

Syifa’ menyebut waktu dan tempat pertemuan mereka untuk esok. Thaqif mengiakan saja. Tidak membantah.

Mata diliarkan ke sekeliling.

Are we done here? Atau encik masih nak tengok bilik-bilik lain lagi?”

Thaqif tersenyum lagi. Terasa diri disindir.

We are done here,” balas Thaqif. Tidak perlu lagi berpura-pura mempamerkan rasa minatnya. Rumah ini tidak menepati cita rasanya. Entah mengapa, dia mahukan rumah dengan laman yang luas. Rumah ni besar, tapi lamannya biasa-biasa saja. Manalah tahu, kot-kot anak-anaknya nak main bola atau basikal esok-esok kan? Kenalah cari rumah yang ada laman yang besar kan?

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN JUN 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah)

No comments:

Post a Comment