DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 16 June 2020

Melankoli Sekeping Hati - Bab 1

3 tahun kemudian...

AIR mata Syifa’ tidak dapat dibendung lagi. Dibiarkan mengalir begitu saja. Terenjut-enjut bahunya. Tak sanggup rasanya melihat jenazah adiknya semakin lama semakin hilang daripada pandangan. Ditelan bumi yang berwarna jingga kemerahan.

‘Su... Suria...’ Syifa’ merintih dalam hati. ‘Sampai hati adik tinggalkan akak...’

Bacaan talkin yang menyapa telinganya membuat hati bertambah sayu. Bersediakah adiknya menghadap Mungkar dan Nakir? Cukupkah iman yang dibekalkan selama ini? ‘Ya Allah... kasihanilah adikku... ampunilah dia dalam keadaan dia yang terleka...’

Seorang demi seorang kian meninggalkan tanah perkuburan Islam ini. Ucap takziah serta pelukan yang diterima daripada teman dan keluarga tidak meninggalkan apa-apa kesan pada dirinya. Petang kian merangkak ke senja, namun Syifa’ masih di situ. Tidak mampu meninggalkan adiknya bersendirian tanpa teman. Duduknya masih bersimpuh di atas tikar mengkuang entah milik siapa. Mata masih meratapi pemergian satu-satunya insan yang berkongsi ibu dan bapa dengannya.

“Kakak... hari dah senja ni. Jom kita balik.”

Syifa’ mengesat air mata yang masih membasahi pipi. Suara itu kedengaran dekat namun Syifa’ tidak mampu memanggung kepala. “Mak long, mak long balik dulu ya. Kejap lagi akak balik.”

Puan Mimi memandang anak saudaranya penuh syahdu. Simpatinya pada Syifa’ tentulah bukan sedikit. Begitu hebat dugaan yang menimpa Syifa’ beberapa tahun kebelakangan ini, seakan tiada penghujungnya. Kuatkah Syifa’ menerima semuanya ini?

“Ifa, janganlah macam ni. Kita balik ya?” suara si abang sepupu pula memujuk lembut.

Diam. Syifa’ tidak bereaksi. Puan Mimi menarik lengan anak sulungnya. Dia sedar Syifa’ masih perlukan waktu untuk bersendirian. Meratap suatu kehilangan yang takkan mungkin akan ada gantinya lagi.

“Kakak, nanti balik rumah mak long tau. Kita buat tahlil malam ni untuk Su.”

Syifa’ hanya mampu mengangguk. Mata tidak berkalih daripada pusara adiknya. Tidak menongkat wajah walaupun sejenak untuk melihat Puan Mimi pulang bersama sanak saudara yang lain. Dia tak kisah tentang yang lain-lain. Tumpuannya hanya pada tanah merah yang membukit di depan mata.

Entah berapa lama dia di situ. Bibir bergetar membaca surah Al-Fatihah berulang kali tanpa jemu. Ketika alunan merdu bacaan Al-Quran mula kedengaran dari corong masjid yang berhampiran, menandakan akan masuknya waktu maghrib beberapa ketika saja lagi, Syifa’ tiada pilihan. Dia terpaksa akur dengan tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Perlahan-lahan dia bangun. Kaki yang menjerit kekejangan tidak dihiraukan. Selipar disarung malas-malas. Tali beg kecil yang masih tersadai di atas tikar mengkuang dicapai lalu disangkut ke bahu.

‘Akak balik dulu, dik. Esok akak datang lagi.’

Kaki berjalan lemah menuruni anak bukit. Sesekali dia berpaling ke belakang. Turun lagi. Tidak perasan akan sepasang mata yang tak lepas merenungnya sedari tadi. Mata yang melihat tubuh lesu itu membuka pintu kereta lalu menghenyakkan diri masuk ke dalam perut kereta.

‘Boleh ke dia bawak kereta sorang-sorang dalam keadaan macam ni?’ soal Thaqif sendirian. Tangan erat menggenggam stereng kereta. Enjin dihidupkan. Berat keluhan yang dilepaskan. Berat juga beban yang semakin menekan ke setiap ruang dalam dadanya.

‘Maafkan aku Syifa’... Maafkan aku...’

Entah berapa kali Thaqif melafazkan kata-kata maaf itu, dia sendiri pun tak pasti. Dah beribu-ribu kali semestinya. Namun ucap maaf hanya mampu dihembuskan ke angin lalu. Dan seperti lazimnya, tiada saksi yang mendengar kata-katanya melainkan Yang Maha Esa. Tiada kudrat untuk mendekati Syifa’ yang dirundung kesedihan. Dan tiada kekuatan untuk menerima kata-kata cercaan daripada gadis itu pada hari ini.

Perlahan-lahan Thaqif mengekor kereta Suzuki Swift Syifa’ dari belakang. Bukan niat mahu mengikut gadis itu. Dia cuma mahu memastikan Syifa’ akan selamat sampai ke tempat yang mahu ditujunya.

Syifa’ masuk ke simpang kanan, Thaqif juga begitu. Syifa’ ke kiri, dia juga mengarahkan keretanya ke kiri. Dan tatkala kereta Syifa’ tiba-tiba berhenti di bahu jalan secara mengejut, dahi Thaqif bergaris seribu. Kenapa dia berhenti? Kereta dia rosak ke?

Satu minit... dua minit... masih tiada apa-apa pergerakan daripada kereta Syifa’. Senja semakin pekat. Thaqif tak senang duduk. Dia berkira-kira seketika sebelum berkeputusan untuk mematikan enjin. Natijah daripada tindakannya ini tidak mahu dicernakan terlebih dahulu. Keadaan Syifa’ kini menjadi keutamaannya. Pintu kereta ditolak kasar.

Panjang langkah Thaqif mendekati kereta Syifa’. Melihat Syifa’ dalam keadaan muka yang disembamkan ke stereng kereta membuatkan Thaqif tidak berfikir dua kali. Pintu kereta Syifa’ ditarik dari luar.

“Syifa’!” serunya sedikit kuat. Dia tunduk sedikit.

Tangis yang lahir dari balik stereng kedengaran begitu pilu. Bahu yang terjongket-jongket menandakan Syifa’ sedang larut dalam sendunya. Thaqif mengetap gigi. Bergerak-gerak rahangnya menahan emosi.

“Syifa’...” Kali ini suara Thaqif berubah lembut.

Tersentak kecil Syifa’ mendengar suara itu menyeru namanya. Perlahan-lahan dia menyandarkan tubuh ke dinding kerusi. Dia menoleh ke arah kanan. Matanya bulat bertatapan dengan mata Thaqif.

“Syifa’, are you okay?”

Soalan yang tak berapa bijak, kerana jelas gadis itu dalam keadaan yang sedih dan tertekan, namun Thaqif tidak dapat menahan soalan itu daripada disuarakan.

“Apa encik buat kat sini?” tanya Syifa’ tidak menjawab soalan daripada Thaqif.

Mata Syifa’ bengkak lagi basah. Hidungnya kemerahan. Wajahnya pucat. Bibirnya bergetar.

Thaqif menelan keluhan. Berat sungguh dugaan Syifa’ kali ini. Terlalu berat! Dugaan yang bermula lebih kurang 4 tahun dulu dan tentulah berpunca daripada dirinya dan keluarganya jua.

“Syifa’, awak tak okey ni. Bahaya awak memandu dalam keadaan macam ni. Biar saya hantar ya?” tawar Thaqif penuh prihatin.

Mata Syifa’ yang tadinya keliru, kini pantas berubah benci. Pandangan yang sudah biasa diterima oleh Thaqif daripada gadis itu.

Get lost!” muntah Syifa’ dari celah gigi. Tangan kanan mahu menarik pemegang pintu, namun pantas ditahan oleh Thaqif.

“Syifa’, boleh tak awak jangan degil macam ni?” Thaqif masih berusaha mengawal nada suaranya.

“Encik kisah apa? Berapa kali lagi saya nak cakap dengan encik? Leave me alone! Encik ni tak faham bahasa ke hah?”

“Saya faham. Saya faham sangat! Tapi sekarang ni, boleh tak awak ketepikan rasa benci awak tu pada saya kejap? Saya tak nak apa-apa yang buruk terjadi kat awak!”

Merekah bibir Syifa’ dengan senyuman sinis. Dasar lidah tak bertulang betul lelaki ni! Penipu! Huh!

“Bukan tu ke yang encik nak selama ni? Bukan tu ke yang encik sekeluarga doakan saya dan adik saya saban hari? Agar sesuatu yang buruk akan menimpa kami? Well, your wish has come true! Semua yang encik doakan saya dah termakbul pun. Apa lagi yang encik nak dari saya?” muntah Syifa’ penuh bisa. “Apa lagi?” Mata memancarkan perasaan yang tersimpan dalam jiwanya buat sekian lamanya.

Pahit liur yang mengalir ke hujung rengkung. Pahit dengan rasa bersalah yang amat sangat!

“Syifa’...” Thaqif memulakan bicara. Namun, dia kehilangan kata-kata untuk meneruskan ayat yang tergantung tadi. Bagaimana harus dibidas tuduhan daripada Syifa’ itu? Bagaimana harus dia membela dirinya serta keluarganya sedangkan tiada apa-apa yang dusta pun yang lahir daripada bibir gadis itu? Melainkan satu...

No! I've never prayed for your sister’s death, nor have I ever prayed for things to turn out this way.” Sudah sehabis kendur nada suara Thaqif. Suara yang sarat terbeban dengan segala yang telah terjadi antara keluarga mereka berdua. Sorotan mata Thaqif merayu agar ada secebis pengertian yang mampu dilemparkan oleh sepasang mata Syifa’ ke arahnya. Sedikit pun jadilah!

Hampa! Pandangan Syifa’ ke arahnya masih begitu. Penuh racun! Thaqif pasrah. Tidak mampu berbuat apa-apa.

“Syifa’, biar saya hantar awak ke rumah mak long awak ya. Awak tak boleh drive ni,” ujar Thaqif, sengaja mengalihkan topik perbualan. Tak guna dia membuang masa cuba mempertahankan dirinya. Dia sedar yang pendirian serta tanggapan Syifa’ terhadap diri dan juga keluarganya takkan pernah berubah. Dan sebesar zarah pun dia tak akan pernah salahkan Syifa’. Tak akan!

Syifa’ mengambil nafas dalam-dalam. Cuba kembali menenangkan dirinya. Wajah diraup kasar. Dia melontarkan pandangan ke hadapan.

“Saya okey, encik tak payah risau.” Syifa’ berdegil. “Encik boleh ke tepi tak? Saya nak tutup pintu ni. Nak balik.”

Tanpa rela, Thaqif menurut. Dia mengambil satu langkah ke belakang bagi memudahkan Syifa’ mengatup pintu. Tangan diseluk ke dalam kocek seluar. Tidak mampu lagi berbahas dengan gadis itu.

Syifa’ kembali menolak batang gear. Pedal minyak ditekan perlahan. Meninggalkan lelaki itu berdiri di tempatnya. Syifa’ mencuri pandang melalui cermin pandang belakang. Lelaki itu masih di situ. Tidak bergerak. Hairan Syifa’ jadinya. Mengapa Thaqif boleh berada di sini? Dia turut berada di tanah perkuburan ke tadi? Kenapa perlu dia berada di situ? Untuk apa?

Ah! Malas dia mahu berfikir tentang lelaki itu lagi. Sejak dia mengenali Thaqif dan keluarganya, hidup Syifa’ yang selama ini aman tenteram, berubah menjadi huru-hara dalam sekelip mata. Sesaat pun dia tak mahu bazirkan untuk memikirkan lelaki itu. Dan sedetik pun dia takkan lupa segala apa yang pernah terjadi pada dirinya. Mereka sekeluarga telah merampas setiap rasa bahagia yang pernah dirasakan hidup berdua bersama arwah adiknya. Rasanya, tiada apa-apa lagi yang tinggal. Langsung tiada!

Yang akan kekal tertanam dalam jiwanya, cumalah rasa marah dan benci yang amat sangat! Yang takkan mampu terpadam biarpun dia bisa hidup seribu tahun lagi. Dosa keluarga Thaqif pada diri serta arwah adiknya akan dibawa sampai ke mati! Itu janjinya!

No comments:

Post a Comment