DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 16 June 2020

Melankoli Sekeping Hati - Bab 9

SYIFA’ tidak menyahut. Terasa jeritan Norpipah tadi sungguh-sungguh tak wajar. Tak wajar lagi membingitkan! Dah masuk ke dalam rumah orang, tak boleh nak bagi salam ke ya? Biadab sungguh!

Norpipah masuk ke dalam pekarangan rumah tanpa diundang lalu berdiri betul-betul di hadapan Syifa’. Syifa’ terpaksa mendongak untuk memandang ke wajah Norpipah.

“Abang Syamel mana?” terjahnya tanpa adab.

“Manalah saya tahu?” Lemah balasan Syifa’. Selemah semangatnya kini.

“Macam mana awak boleh tak tahu? Awak kan asyik menempel je dengan dia? Sekarang ni pun awak kat rumah dia kan? Awak yang suruh Abang Syamel putuskan hubungan dia dengan saya kan? Awaklah punca Abang Syamel tak nak teruskan hubungan dengan saya kan?” asaknya bertubi-tubi.

Eh? Apa hal pulak ni tiba-tiba je?

Syifa’ menayang riak blur. Dia betul-betul tak tahu maksud di sebalik kata-kata Norpipah itu. ‘Diaorang dah putus ke?’

“Awak jangan nak buat-buat bodoh pulak ya. Saya takkan percaya dengan muslihat awak. Awak tak boleh nak perbodohkan saya dengan muka acah-acah suci awak ni!” hambur Norpipah lagi.

“Saya tak tahu apa yang awak cakap ni. Saya tak jumpa Abang Syamel pun sejak lunch kelmarin. Semalam memang kita orang tak jumpa. Hari ni pun saya tak jumpa lagi dengan dia,” jelas Syifa’ panjang lebar.

“Awak tipu!” tuduh Norpipah.

Entah mengapa, Syifa’ sudah muak dituduh itu dan ini tanpa periksa. Naik darahnya tiba-tiba. Dia berdiri agar paras matanya sama dengan mata Norpipah.

“Apa awak kata?” cabar Syifa’ “Saya tipu?”.

“Ya awak tipu! Petang kelmarin Abang Syamel kata nak call saya nak bincang pasal hubungan kita orang berdua, tapi dia tak call pun. Tup tup malam tadi dia call saya, dia cakap dia masih belum bersedia nak ambil langkah yang seterusnya dengan saya. Dia kata saya bergerak laju sangat bila saya bangkitkan pasal nak bertunang tu.”

“Habis tu? Kenapa nak salahkan saya kalau Abang Syamel dah cakap macam tu? Tu keputusan dia, takde kena-mengena dengan saya!”

“Saya tak percaya! Awak mesti dah racun Abang Syamel macam-macam supaya tinggalkan saya kan? Sebab awak memang tak suka saya berhubungan dengan Abang Syamel!”

Okey! Kali ni Norpipah benar-benar sudah melampau!

“Memang saya tak suka! Sebab saya rasakan Abang Syamel layak dapat perempuan yang lebih baik daripada awak! Tapi saya tak pernah masuk campur dalam urusan dia. Dengan siapa dia nak jalinkan hubungan, tu urusan dia. Jadi awak cakap baik-baik sikit ya. Jangan nak tuduh saya tanpa usul periksa!” luah Syifa’ tanpa sabar.

Terbeliak mata Norpipah.

“Lebih baik daripada saya?” Sentap Norpipah jadinya. Adakah perempuan kat luar sana yang lebih baik daripadanya?

“Ya! Lebih baik daripada awak!”

“Kenapa saya tak layak untuk Abang Syamel?” Norpipah ingin tahu, tanpa terlebih dahulu bertanya pada hatinya sendiri sama ada dia bersedia atau tidak mendengar pendapat Syifa’ tentang dirinya.

Syifa’ menyambar peluang yang terbuka tanpa berfikir tentang baik buruknya berterus terang pada seorang gadis yang sedang dilambung kecewa. Syifa’ membuka mulut tanpa menimbang perasaan Norpipah yang sedang sakit dilukai oleh lelaki yang baru saja meranapkan impiannya.

“Sebab awak jenis perempuan yang terlalu terhegeh-hegeh pada sorang lelaki, terlalu gedik sampaikan saya yang perempuan ni pun malu nak tengok perangai awak! Sebab awak terlalu mengawal, dan terlampau kuat cemburu, sampaikan hubungan saya dengan Abang Syamel pun awak nak syak wasangka yang macam-macam. Awak kena fikir, kalau saya nak sangat kat Abang Syamel tu, dah lama kita orang kahwin la sebab kita orang ni dari kecik pun dah memang rapat sangat.”

Norpipah mengetap bibir. Terasa hati dengan bicara Syifa’.

“Ni tak, sikit-sikit nak buruk sangka pada orang, sikit-sikit nak merajuk sebab nampak Abang Syamel rapat dengan saya, awak ni dah kenapa? Awak ingat orang lelaki suka ke dengan perangai perempuan yang macam tu? Awak belum jadi isteri lagi pun dah sibuk nak kata ni tak boleh, tu tak boleh... Awak tu siapa?” sambung Syifa’ dengan nafas yang sedikit tercungap. Mencerlung matanya ke arah Norpipah. Rasa sakit dan lelah yang terbeban di hatinya sejak kejadian di tanah perkuburan tadi, ditambah pula dengan rasa geram akan tuduhan Norpipah membuatkan Syifa’ hilang pertimbangan. Habis dilepaskan segala bara kepada Norpipah.

Dan masih juga dia belum berasa puas. Mata seakan tidak nampak pada air mata yang kini sudah mula bergenang di kelopak mata Norpipah.

“Sedar sikit diri awak tu siapa, Pipa! Awak tu bukannya isteri Abang Syamel pun lagi, jadi awak tak payah nak jadi perempuan yang murah sangat macam takde maruah!”

Bait kata-kata akhir tu lahir dari celah bibir tanpa sempat ditahan. Bukan Norpipah saja yang menarik nafas, Syifa’ turut melakukan perkara yang sama sebaik saja kesedaran mula mengetuk ke minda. Terkesima dengan kelancangan bahasa yang meluncur laju tanpa sebarang tapisan.

‘Ya Allah! Apa yang dah aku buat ni? Astaghfirullah...’ Namun semuanya sudah terlambat. Ketajaman kata-katanya telah menghunus terus ke hati Norpipah. Dan hati Norpipah kini terbelah seribu...

“Ifa!” jerit suatu suara dari arah belakang Norpipah.

Syifa’ tak sanggup mahu melihat ke arah suara itu. Dia benar-benar tak sanggup!

“Pipa... saya... saya...” Tergagap-gagap Syifa’ mencari kata, namun tiada satu pun yang mahu singgah di bibirnya.

Norpipah berpaling. Bergegas dia keluar dari pekarangan rumah. Syamel yang tegak berdiri beberapa meter di belakangnya tadi langsung tidak mahu dipandang. Dia malu. Malu sangat! Lebih-lebih lagi setelah mengetahui Syamel mungkin telah mendengar segala-galanya yang dimuntahkan oleh Syifa’ tadi.

“Pipa,” Syamel cuba menahan. Tidak berjaya. Norpipah sudah meloloskan diri masuk ke dalam keretanya.

Syifa’ masih berdiri. Tangan kanan sudah meramas tangan kiri tanda keresahan. Kepala terasa berat dan jantungnya berdegup kuat. Sehingga terasa sakit menghentak ke dada.

Laju kaki yang diayun mendekati Syifa’. Syamel sudah bercekak pinggang. Rahangnya bergerak-gerak menahan marah. “Ifa cakap apa tadi kat Pipa? Kenapa Ifa cakap macam tu?”

“Ifa... Ifa tak sengaja, abang. Ifa betul-betul tak sengaja.” Masih tergagap. Masih dibebani dengan rasa bersalah.

“Macam mana boleh jadi sampai macam tu sekali?”

“Ifa... Ifa marah sangat. Pipa tuduh Ifa yang bukan-bukan. Dia kata Ifa yang suruh abang putuskan hubungan dengan dia. Tapi Ifa tahu, yang marah macam mana pun Ifa, Ifa tak patut cakap Pipa macam tu. Ifa minta maaf, abang,” ucapnya lirih. Mata diberanikan menatap wajah tegang Syamel.

“Kenapa nak minta maaf dengan abang? Dengan abang ke Ifa buat salah?”

Lambat-lambat Syifa’ menggelengkan kepala.

“Habis tu?”

“Ifa akan minta maaf pada Pipa nanti. Ifa janji, abang,” ikrar Syifa’.

Berat keluhan yang dilepaskan oleh Syamel.

“Tak patut Ifa cakap macam tu pada Pipa. Abang putus dengan dia bukan sebab dia gedik, bukan sebab dia tu kuat cemburu. Ifa salah kalau buat andaian tu pasal abang,” tegur Syamel dengan suara yang sudah sedikit mengendur.

Syifa’ menggigit bibir. Tiada balasan untuk mempertahankan dirinya. Memang dia sudah terlepas kata dan telah memandai-mandai sendiri.

“Yang buruk kat mata Ifa, tak semestinya buruk kat mata abang. Dan yang salah kat mata Ifa, tak semestinya salah kat mata abang. Ifa faham tak?” tekan Syamel mahu menyedarkan sepupunya yang sudah lama melayan hati batunya itu.

Kali ini Syifa’ mengangguk. Dan Syamel terus berlalu masuk ke dalam rumah. Tiada langsung kemesraan yang sering ditunjukkan setiap kali Syifa’ mengunjungi rumah mak longnya ini. Tiada ajakan untuk masuk ke dalam rumah dan tiada usikan manja yang tidak pernah tidak mengundang gelak tawanya.

Syifa’ terduduk lesu. Tertolak buaian ke belakang. Wajah diraup kasar. Kesal yang datang bertimpa-timpa terasa begitu menyesakkan jiwanya. Dia rasa berdosa! Berdosa sangat! Dan selagi kemaafan Norpipah tidak dapat diraih, selagi itulah jiwanya takkan tenteram.

Pipi Syifa’ terasa seperti ditampar kiri dan kanan!

‘Ya Allah!’

Kedua belah siku ditongkat ke atas lutut. Tangan menekup wajah yang terasa pijar.

Inikah yang dirasai oleh Thaqif dan Datin Zurina selama ini? Lebih 3 tahun mereka mencuba mendapatkan kemaafan daripadanya, tapi sedikit pun hatinya tak pernah terusik. 3 tahun! Sedangkan kesalahan yang dipalit pada Norpipah hanya bertempoh beberapa minit saja. Dan jika Norpipah tidak sudi memaafkannya nanti, bagaimana? Adakah dia akan mula merayu dan menjadi pengemis seperti Thaqif?

“Kakak?” Syifa’ menjatuhkan tangan daripada wajahnya.

“Mak panggil akak masuk. Mak ada bancuh air,” ajak Hajar. Wajahnya keruh. Tiada senyuman yang menghiasi bibir.

“Akak... akak rasa nak balik dululah Ja. Cakap dengan mak akak balik dulu ya?” Bergetar suara Syifa’. Mahu melarikan diri seketika daripada Puan Mimi, Syamel dan sesiapa pun jua yang mungkin akan memandangnya dengan pandangan yang sedang diterimanya daripada Hajar kini. Pandangan berbaur hampa dan hambar begini. Seolah-olah dialah pesalah yang telah melakukan kesalahan besar di muka bumi ini.

“Okey,” balas Hajar sepatah. Acuh tak acuh saja balasannya sedangkan setiap kali Syifa’ ke mari, Hajar tidak pernah culas dalam memujuknya untuk berlamaan di rumah mereka, dan kalau boleh, bermalam terus sehingga ke esok hari.

Syifa’ bangun. Sedar yang kehadirannya kini tidak dialu-alukan, bahkan mungkin akan hanya menghadirkan rasa tidak senang di hati mereka. Hati Syifa’ tidak kuat. Jadi biarlah dia beredar saja.

“Kirim salam kat mak dan ayah,” ujar Syifa’. “Akak balik dulu.” Rasa bersalah kerana tidak bersalam mak longnya terlebih dahulu sebelum pulang ditolak ke tepi. Dia perlu pergi. Dia perlu bersendirian.

Baru beberapa langkah, suara Hajar menahan. Syifa’ kembali berpaling.

“Jaja minta maaf tapi ada sesuatu yang Jaja nak cakap pada akak.”

Syifa’ mengangguk. “Cakaplah.”

“Jaja hormati pendirian akak bila berkenaan dengan keluarga adik ipar akak tu. Tu hak akak nak buat apa pun. Tapi bila kelakuan akak buat mak sedih, Jaja tak boleh berdiam diri lagi kak! Jaja mesti buat sesuatu.”

Membulat mata Syifa’.

“Ke... kenapa mak long sedih?” soalnya seakan berbisik.

“Mak takdelah cerita secara langsung pada Jaja, tapi Jaja boleh agak kenapa mak rasa sedih. Mak tu seorang ibu. Mak ada 3 orang anak yang dia sayang sangat-sangat. Akak pernah bayangkan kalau mak tu ada kat tempat Datin tu?” soal Hajar. “Apa yang Datin buat kat akak dengan Su dulu tu sebab dia sayangkan anak dia sangat-sangat. Akak boleh tak fikirkan tentang orang lain selain diri akak sorang?”

Syifa’ tersenyum kecil. Mudahnya Hajar berkata-kata. Betah bercakap sedangkan dia takkan pernah faham hakikat yang sebenar.

“Cakap memang senang, Ja... tapi Jaja pernah rasa kena tangkap dengan polis? Pernah rasa kena gari macam penjenayah? Pernah meringkuk tidur dalam lokap berhari-hari lamanya? Kalau tak pernah, Jaja takde hak nak cakap akak tak pernah fikir pasal orang lain melainkan diri akak sendiri, sedangkan dalam hidup akak selama ni, akak tak pernah fikir tentang orang lain selain Su!”

Terdiam Hajar jadinya.

“Akak nak kena fikir tentang Datin tu? Akak nak kena fikir pasal dia sayangkan anak dia? Habis tu akak tak sayang kat Su ke? Siapa yang buat repot polis untuk tangkap akak sebelum ni? Anak dia jugak, kan?”

Hajar menelan liur. Terasa pahit. Sesungguhnya, dia asyik meletakkan dirinya dalam sepatu Datin Zurina kerana merasakan Syifa’ terlalu kejam dalam mengagungkan dendamnya selama ini, tetapi dia tidak pernah terlintas untuk berjalan dalam kasut kakak sepupunya itu.

“Akak tak pernah minta Jaja kesiankan akak, dan akak tak pernah minta Jaja cuba faham perasaan akak. Tapi sebelum Jaja sibuk nak kesiankan orang lain, tanya akak dulu apa yang akak rasa dan jangan nak pandai-pandai main teka apa orang lain rasa!”

Terkedu Hajar ditinggal berseorangan di laman rumahnya. Syifa’ pergi begitu saja tanpa berkata apa-apa lagi. Kali ini, giliran Hajar pula terduduk di atas buaian. Termangu memikirkan segala yang diluahkan oleh kakak sepupunya tadi.

No comments:

Post a Comment