DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 16 June 2020

Melankoli Sekeping Hati - Bab 4

“MACAM mana papa?” soal Thaqif. “Papa setuju?”

Lama Datuk Tarmizi termenung. “Papa rasa, cadangan abang tu baik, tapi bagilah masa papa bincang dengan mama dulu. Papa tak rasa mama akan setuju,” balas Datuk Tarmizi.

Thaqif membongkokkan tubuh ke hadapan. Mahu lebih dekat dengan papanya yang duduk di sofa tunggal di sebelahnya. Duduknya tak selesa, namun dia tak mahu suaranya ditangkap oleh telinga mamanya.

“Abang rasa mama tu kemurungan. Kita tak boleh biar mama macam tu, pa.”

Datuk Tarmizi bersetuju dengan pendapat anaknya namun dia tidak yakin yang membawa isterinya bertemu dengan pakar psikiatri merupakan jawapan pada masalah isterinya itu.

“Abang, mama tu murung sebab dia rasa bersalah. Bersalah sangat. Abang rasa penawar dia bukan pada pakar psikiatri, tapi pada Syifa’.”

Pahit liur yang ditelan Thaqif.

“Syifa’?”

“Ya, Syifa’,” ulang Datuk Tarmizi.

Panjang keluhan yang dilepaskan Thaqif.

“Boleh abang minta Syifa’ datang jumpa mama? Papa tahu berat permintaan papa ni, tapi papa tak tahu nak minta tolong siapa lagi. Sebab papa tak rasa Syifa’ akan mahu berjumpa dengan papa pun.”

“Pa... dengan abang pun dia tak nak jumpa.”

“Papa tahu, tapi boleh tak abang cuba jugak sampai berjaya?”

Laju kepala Thaqif mengangguk.

“Abang akan cuba, pa. I will try my best!”

“Syifa’ tu kerja dengan pak long dia kan? Abang cubalah buat appointment untuk jumpa dia.”

“Dah cuba macam tu banyak kali dah, pa,” balas Thaqif.

“Tak, maksud papa, bukan buat appointment untuk jumpa dia di pejabat, tapi buat appointment dengan dia sebagai klien dia,” cadang Datuk Tarmizi.

“Sebagai klien dia?”

Hmmm... dia kan real estate agent. Abang cari hartanah mana yang termasuk dalam portfolio syarikat pak long Syifa’ tu. Lepas tu abang buatlah appointment nak jumpa dia kat mana-mana rumah yang abang konon-konon nak beli tu. Jangan jumpa dia kat pejabat. Kat luar lebih baik.”

Bergaris dahi Thaqif. Bernas juga cadangan papanya itu.

“Sebelum ni, abang cuba cari dia kat rumah atau kat pejabat. Kalau macam tu susah sebab sekuriti boleh halang abang masuk. Abang kena cuba cara lain.”

“Tulah, selama ni abang cuba ikut rutin dia. Tahu dia selalu ada kat rumah, atau pejabat atau kat rumah mak long dia. Susah nak dekati dia sebab dia dah tahu cara nak larikan diri daripada abang.”

“Kalaulah abang dapat jumpa dia, satu je papa nak pesan...” Serius nada suara Datuk Tarmizi. Wajah anak sulungnya ditatap penuh mengharap. Harapan mereka seisi keluarga kini disandarkan ke bahu Thaqif.

“Abang kena banyak bersabar. Abang tak boleh cepat marah macam dulu.” Perlahan suara Datuk Tarmizi.

Terpukul Thaqif mendengar pesanan papanya. Hangat terasa di pipi.

“Papa tahu kenapa abang dengan mama cepat sangat nak buruk sangka pada Su dengan Syifa’ dulu. Papa tak salahkan abang ataupun mama. Papa faham...”

Thaqif tunduk. Tidak mampu melawan renungan mata papanya.

“Tapi sekarang...”

“Abang tahu, pa,” potong Thaqif perlahan. Tahu nasihat yang mahu diluahkan oleh papanya. “Abang salah dulu, abang sedar tu. Abang takkan ulang balik kesalahan abang yang dulu-dulu tu.”

Suram wajah Datuk Tarmizi. “Abang cuba ya?”

“Ya, pa.”

“Apa pun yang Syifa’ lempar pada abang, abang kena terima. Abang kena sabar,” ulang Datuk Tarmizi sekali lagi. “Jangan balas balik.”

“Ya, pa.” Sekali lagi Thaqif akur.

Datuk Tarmizi bangun. Tangan dilabuhkan ke bahu anaknya.

“Silap papa juga tak bertegas dengan mama dulu. Apa je mama buat pada Su dan Syifa’, papa diamkan, walaupun papa tak pernah bersetuju dengan tindakan mama. Tapi sebab abang pun sebelah dengan mama, papa fikir, mungkin ada benarnya telahan korang berdua tentang Su dan Syifa’. Sebab takkanlah abang boleh buat tuduhan melulu macam tu kan?”

“Abang salah, pa,” bisik Thaqif penuh kesal.

Bahu Thaqif ditepuk-tepuk lembut.

“Jangan putus asa, abang. Papa dah hilang seorang menantu... menantu yang seharusnya menjadi anak perempuan yang papa inginkan dari dulu, tapi takde rezeki papa nak terima dia dalam keluarga kita. Allah dah tarik nikmat yang seharusnya menjadi milik papa dan mama. Tapi masih ada peluang untuk kita pulihkan semuanya.”

Terkesan Thaqif dengan bicara Datuk Tarmizi. Andai waktu bisa diputar semula, takkan dibiarkan prasangka menguasai dirinya... takkan dibiarkan lidahnya bebas bermaharajalela... dan takkan dibiarkan egonya membuat keputusan bagi pihaknya...

Ditinggalkan bersendirian di ruang tamu rumah agam papanya ini, Thaqif tersandar lesu. Niat di hati ingin pulang ke rumahnya sendiri, namun tubuh seakan tidak mampu digerakkan.

“Hai, bang? Dah lama ke sampai?” tegur suatu suara dari ambang pintu utama.

Thaqif menoleh.

“Lamalah jugak.” Mata mengekor figura adiknya yang mengambil tempat bertentangan dengannya. “Kau dari mana?”

“Dari rumah kawan. Saja lepak, boring hari ni takde buat apa-apa,” balas Tamim selamba.

Terkilan benar Thaqif dengan sikap adiknya ini. Langsung tiada rasa bersalahkah bersarang di hatinya? Walaupun ingatannya langsung tiada tentang Suria, namun tak ada langsung usaha daripada adiknya itu untuk mencari fakta yang boleh membongkar kebenaran. Tamim seolah-olah selesa dengan keadaannya kini yang mengalami selective amnesia. Sedangkan dulu, Tamim bermati-matian mempertahankan cintanya pada Suria, sehingga sanggup membelakangkan keluarga kerana tidak mahu melepaskan cintanya.

“Kenapa muka kau serius semacam je, bang? Kau ada masalah ke?” soal Tamim. Wajah yang tadi selamba kini berkerut sedikit.

“Takkan sebab aku tak nak ikut kau pergi ke kubur entah siapa minggu lepas kau masih marah kat aku?” sambung Tamim.

‘Kubur entah siapa? Astaghfirullah...’ Thaqif cuba berpaut pada kesabaran.

“Mungkin kau masih tak percaya yang kau dah kahwin sebab takde sesiapa tahu kat mana kau simpan semua dokumen yang kau bawak balik dari Siam dulu. Tapi, kau tak boleh nak tolak apa yang aku, papa dan orang lain cakap kat kau. Yang meninggal minggu lepas tu isteri kau, Mim. Isteri kau!”

Tamim mencemik.

Come onlah, bang. Kau logik sikit boleh tak? Kau tahu taste aku macam mana kan? Takkanlah aku boleh kahwin dengan perempuan yang macam tu? Pleaselah!” Mana pernah dia keluar dengan perempuan yang pakai tudung ni? Sebelah mata pun dia tak pernah pandang la. Cita rasa dia tentunya gadis-gadis yang genit, yang berpelajaran seperti dirinya, bukan seperti perempuan yang pernah menziarahinya di hospital suatu ketika dulu.

Tiada apa yang berubah nampaknya. Perbualan yang sama diulang-ulang sejak Tamim sedar daripada komanya. Penat! Thaqif sudah terlampau penat.

“Lagipun, kalau betullah dia tu isteri aku, takkanlah aku kahwin masa umur aku 23 tahun? Muda gila kut! Umur aku dah 27 sekarang ni pun aku tak terfikir nak kahwin lagi tau,” sambung Tamim masih cuba menegakkan pendiriannya. Kepala digelengkan tanda betapa merepeknya kenyataan itu.

Mahukah Thaqif mengulangi lagi dan lagi apa yang telah terjadi sebelum ini? Bagaimana semuanya bermula? Bagaimana Tamim terjatuh cinta pandang pertama pada Suria yang ketika itu hanya berusia 19 tahun? Bagaimana episod hitam mereka sekeluarga bermula bertali arus sejak itu tanpa henti? Mampukah Tamim menerima kata-katanya?

Tak! Thaqif yakin Tamim akan menolak semuanya mentah-mentah. Tolakan yang sama dilakukannya sedari mula. Membazir air liur saja cuba meyakinkan adiknya itu, sedangkan tiada apa pun yang akan berubah.

Sudahnya Thaqif hanya membisu. Tiada modal baharu untuk berkata-kata.

“Bang, aku rasa sampai bila-bila pun aku takkan ingat pasal semua perkara yang kau cakapkan ni. Dan aku yakin ada sebab kenapa aku tak ingat semuanya. Alah, lagipun perempuan tu dah takde kan? Jadi takde apa yang berubah pun. Hidup aku masih sama macam dulu,” ujar Tamim tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Sekali lagi Thaqif beristighfar dalam hati. Tamim, sejak sedar dari komanya, telah kembali menjadi versi lelaki yang dulu. Yang lewa, yang biasa mendapat semua yang diinginkan, dan yang tidak pernah serius dalam kehidupan. Yang dia tahu enjoy, enjoy dan enjoy saja! Tamim suka memberontak. A rebel! Apa yang tak boleh itulah yang dia mahu dan yang dilarang itulah yang akan dilakukannya. Dan sangka mereka, ketika Tamim berkeras mahu berkahwin dengan Suria, itu hanyalah satu daripada tindakannya yang sengaja mahu memberontak.

Thaqif dapat melihat seketika perubahan Tamim ketika berpacaran dengan Suria. Namun mata hatinya yang buta ketika itu tidak mahu mengakui betapa Tamim telah berubah menjadi seorang lelaki yang matang dan bertanggungjawab. Semuanya disebabkan oleh cintanya pada Suria, dan cinta Suria pada adiknya. Ya Allah butanya dia!

“Mim, kalaulah ingatan kau pulih seperti sediakala, aku harap kau takkan menyesal tak berjumpa dengan Su buat kali terakhir sedangkan kau ada banyak peluang untuk berjumpa dengan dia,” tutur Thaqif.

Tamim menjongket bahu. Lagaknya seolah-olah tidak terkesan langsung dengan bicara abangnya.

Thaqif menelan keluhan.

“Aku balik dulu. Tolong tengok-tengokkan mama tu. Mama tak sihat...”

“Ya, aku tahulah!” gerutu Tamim. Tamim membuat muka di belakang abangnya yang sudah berlalu pergi. Tak faham dia dengan Thaqif. Asyik-asyik nak mengungkit tentang kisah yang tak pernah terjadi. Asyik-asyik nak buat dia rasa bersalah atas keadaan mama mereka. Apa motif abangnya? Macamlah salah dia mama sakit macam tu? Sakit apa pun dia tak tahu! Doktor kata, dari segi fizikal, mamanya tiada masalah apa-apa pun!

Bukti apa pun tak ada. Bukan saja dokumen, gambar kahwin sekeping pun tak mampu ditunjukkan oleh abangnya itu. Macam mana dia nak percaya? ‘Yalah tu aku dah kahwin! Huh!’ dengusnya.

No comments:

Post a Comment