DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 16 June 2020

Melankoli Sekeping Hati - Bab 5

KERETA dihentikan betul-betul di luar pagar rumah banglo setingkat di kawasan perumahan seksyen 29 Shah Alam ini. Syifa’ memeriksa alamat rumah sekali lagi di telefon bimbitnya. Betul! Inilah rumah yang mahu dipertontonkan kepada kliennya sebentar lagi. Wajah ditilik melalui cermin pandang belakang. Tudung di kepala dikemaskan. Bibir bergincu warna plum turut dirapikan. Rutin yang sama dilakukan setiap kali sebelum bertemu dengan klien syarikat pak longnya. First impression is always important!

Syifa’ turun dari kereta tanpa mematikan enjin. Gugusan kunci di tangan yang diambil daripada tuan rumah sebentar tadi digunakan untuk membuka mangga yang mengunci pagar utama. Pagar dibuka luas sebelum Syifa’ kembali masuk ke dalam kereta lalu memandu masuk ke dalam pekarangan rumah. Jam di pergelangan tangan dikilas pandang. Lagi 5 minit ke pukul 11.00 pagi. Alhamdulillah, dia tiba sebelum masa yang dijanjikan.

Sementara menunggu kliennya tiba, Syifa’ membelek telefon bimbitnya. Perincian mengenai rumah di depan mata dibaca sekali lagi. Seperti lazimnya, bakal pembeli pasti akan bertanya bermacam-macam soalan mengenai hartanah yang mahu dibeli nanti. Jadi, dia perlu bersedia.

Selang 3 minit kemudian, kelihatan kereta Range Rover Evoque berwarna putih terparkir betul-betul di belakang keretanya. Syifa’ cuba mengintai si pemandu daripada cermin pandang belakang keretanya namun cermin kereta Range Rover itu yang berwarna agak gelap menyukarkan pemandangannya. Menurut Syamel, klien mereka ini bernama Syed. Ringkas saja namanya.

Syifa’ keluar daripada keretanya lalu menampal senyuman di pinggir bibir. Langkah diambil menghampiri kereta berwarna putih tadi. Syifa’ menunggu si klien memunculkan diri.

Perlahan daun pintu kereta ditolak dari dalam. Senyuman masih manis. Wajah masih ceria.

“Assala...” Tak sempat habis ucap salam yang diberikan tatkala melihat figura yang keluar dari dalam perut kereta. Jantung tiba-tiba bergendang hebat. Nafas seakan tersekat di hujung rengkung.

Apa maksud semua ni? Apa dia buat kat sini?

“Assalamualaikum, Syifa’.” Thaqif memberikan salam yang terbantut tadi sebelum menutup pintu kereta. Dia berdiri betul-betul di hadapan Syifa’ membuatkan gadis itu terpaksa mendongak untuk memandang ke wajahnya. Kedua belah tangan diseluk ke dalam kocek seluar.

Syifa’ tidak menjawab walaupun dia lebih daripada tahu tentang hukum menjawab salam. Liur yang ditelan dirasakan berpasir. Kesat!

Wajah itu! Wajah itu kini datang menyapa matanya kembali. Wajah yang sering muncul dalam mimpi ngerinya... yang dahulunya bengis, serius dan tidak pernah beriak lembut setiap kali berhadapan dengannya. Wajah yang masih berjambang tipis, dari tepi telinga ke hujung rahang, sehinggalah ke bahagian bawah pipi serta dagunya.

Namun sejak lebih kurang tiga tahun yang lalu, wajah itu sudah hilang riak dinginnya... dan pandangan yang singgah di wajah Syifa’ mula memancarkan sorotan penuh kekesalan... penuh rayuan dan keikhlasan... Cuma mata Syifa’ saja yang masih dilitupi tirai... masih berhijab... sehinggakan yang jelas masih kelihatan kabur, dan yang nyata masih dianggap samar-samar.

Lama mata mereka saling bertatapan. Sudah hampir 3 minggu pemergian arwah Suria. Thaqif sengaja memberikan sedikit masa kepada Syifa’ untuk menenangkan diri sebelum memulakan langkah bagi melunaskan permintaan papanya, dan juga memenuhi kehendak hatinya sendiri.

You’ve lost weight,” komen Thaqif perlahan. Suaranya bergaris simpati. Sejak Syifa’ memulakan langkah berjalan ke arah keretanya tadi lagi dia bisa melihat betapa tubuh gadis yang berdiri di depannya kini telah banyak menyusut. Pipinya sedikit cengkung. Senyuman yang diukir langsung tidak dapat melindungi wajah Syifa’ yang masih suram... tidak berseri...

What is the meaning of this?” bisik Syifa’ di hujung nafas. Mata sudah mula memancarkan percikan api.

Thaqif menelan rasa hampa. Salamnya tidak berjawab. Komennya hanya dibiarkan sepi. Topeng wajah tanpa perasan terpaksa disarung bagi meneruskan langkah. Dia berdeham kecil.

“Saya Syed Thaqif. Saya nak view rumah ni. Awak agen bagi pihak penjual untuk rumah ni kan?” soal Thaqif berlagak profesional.

Syifa’ mengetap bibir. Kuat! Nafas yang dihela dan dilepaskan ke ruang udara terasa hangat.

Are you kidding me?” Syifa’ yakin ini hanyalah alasan yang digunakan Thaqif untuk memerangkapnya.

“Syifa’, please be professional. Saya nak tengok rumah ni. Awak nak tunjukkan saya rumah ni atau tak? Kalau tak, perlu ke saya buat appointment untuk jumpa agen lain?” cabar Thaqif sengaja. Dia tahu betapa Syifa’ seorang yang sangat serius dalam kerjanya. Rekod pencapaian Syifa’ di syarikat jual beli hartanah pak longnya sudah ada di hujung jari. Jika dia perlu membuat janji temu yang baharu, pasti Syifa’ perlu melaporkan sebabnya kepada pak longnya nanti. Dan dia yakin Syifa’ tidak akan melakukan perkara itu.

Fine!” gerutu Syifa’ mengaku kalah. “Ikut saya!”

Laju Syifa’ mengayun langkah menuju ke pintu utama. Thaqif mengekor rapat di belakang. Thaqif dapat melihat dengan jelas betapa jejari halus yang memegang kunci sedikit terketar sehingga menyukarkan cubaan untuk membuka pintu. Sedikit pun Thaqif tidak bersuara. Tidak mahu mengocak perasaan Syifa’ yang semestinya sudah pun menggelegak.

Akhirnya pintu berjaya dibuka. Kasut ditanggalkan. Syifa’ melafazkan kalimah bismillah sebelum mengucap salam. Daun pintu ditolak seluas-luasnya. Dia masuk ke dalam rumah diikuti Thaqif. Mereka berdiri di tengah-tengah ruang tamu yang kosong tetapi lapang itu.

“Rumah ni baru je kosong. Tak sampai sebulan pun lagi.” Syifa’ memulakan tugasnya. Nada suaranya bersahaja tapi masih dingin. Mata meliar ke sekeliling. “Walaupun kosong, tuan rumah akan balik seminggu sekali untuk bersihkan.”

“Kenapa tuan rumah nak jual rumah ni?” soal Thaqif dengan mata yang utuh tidak berkalih daripada wajah Syifa’.

“Katanya, diaorang nak cari rumah yang kecik sikit sebab anak-anak semua dah besar dan dah kahwin. Masing-masing dah ada rumah sendiri. Bila tinggal berdua, rumah ni dah jadi terlalu besar untuk dijaga,” jelas Syifa’. Wajah Thaqif sedikit pun tidak dipandang.

Thaqif mengangguk.

Tell me about the house.”

“Rumah ni sebenarnya luas. Saiz tanah je hampir 10,000 kaki persegi. Walaupun satu tingkat, saiz lantai hampir 3,000 kaki persegi. Rumah ni ada...”

“Maafkan saya, Syifa’...” Perlahan suara Thaqif mencelah.

Mati kata-kata Syifa’. Spontan mata mencari wajah Thaqif. Takut telinganya tersalah dengar. Dalam renungan mata Thaqif menikam terus ke dalam anak mata Syifa’. Syifa’ terkedu. Wajah Thaqif mendung. Sorotan matanya memancarkan keikhlasan yang mampu menjentik jiwa Syifa’ yang beku.

Syifa’ melarikan mata. Dia berdeham kecil. Mahu menyemarakkan kembali dendam serta amarahnya.

“Rumah ni ada 4 bilik tidur dan 3 bilik mandi,” sambungnya seolah-olah Thaqif langsung tidak bersuara. “Mari saya tunjukkan semua bilik yang ada dalam rumah ni.” Kaki mula berjalan. Sama seperti tadi, Thaqif hanya menurut.

Pintu berwarna coklat dibuka.

“Ni bilik tidur master.” Syifa’ melangkah masuk.

“Dalam bilik ni ada bilik mandi. Bi...”

I beg for your forgiveness, Syifa’. Tolong maafkan saya dan keluarga saya.” Sekali lagi Thaqif mencantas.

Syifa’ menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan. Selagi dia masih memakai ‘topi kerjanya’, dia tak boleh melenting.

“Apa yang encik buat ni?” Suaranya tertahan-tahan. Andailah dia bisa melenting seperti biasa, pasti dia akan berasa lega.

“Perlu ke saya melutut untuk dapatkan kemaafan awak, Syifa’? Thaqif membalas pertanyaan Syifa’ dengan soalannya sendiri.

Bulat mata Syifa’. Thaqif mahu berlutut di depannya? Lelaki yang kaya dengan ego ini?

“Takkan merubah apa-apa pun kalau encik buat macam tu,” desis Syifa’. “Adik saya takkan hidup semula kalau encik menangis air mata darah sekalipun!”

Syifa’ memalingkan tubuh. Kaki menghala kembali ke pintu. Dia mahu lekas-lekas ke ruang lain di dalam rumah ini. Dia tidak mahu berlengah-lengah. Sesak nafasnya kekurangan oksigen apabila berdua-duaan begini dengan Thaqif.

Dia sedar Thaqif mengekor langkahnya.

“Ini bilik tidur nombor dua,” jelas Syifa’ sambil membuka pintu. “Bilik ni berkongsi bilik mandi dengan bilik tidur nombor tiga. Semua bilik dah ada built-in wardrobe. Tapi kalau encik nak...”

“Saya salah tuduh awak dan arwah Su yang bukan-bukan dulu, Syifa’. Kalau saya boleh tarik semula semua kata-kata saya, saya akan tarik semula semuanya agar hati awak tak pernah saya sakiti...”

Kedua belah tangan Syifa’ di sisi sudah mengepal penumbuk. Dia tak yakin dia boleh meneruskan tugasnya sebagai seorang agen hartanah pada ketika ini.

“Saya hanya perlukan satu peluang untuk jelaskan semuanya. I’m begging you for just one chance to explain it all,” sambung Thaqif lagi.

“Kalau encik tak berminat nak tengok rumah ni, saya rasa elok kita tamatkan sesi viewing kita hari ni,” putus Syifa’ dengan wajah yang serius.

No, saya nak tengok sampai habis,” tangkis Thaqif. Misinya masih belum selesai lagi. Inilah kali pertama dia mendapat peluang untuk berjumpa dengan Syifa’ dalam tempoh lebih daripada 3 minit!

Syifa’ mengetap gigi. Cuba berpaut pada sisa-sisa kesabaran yang semakin menipis. Mata menjeling ke arah Thaqif tanda tidak puas hatinya. Senget sedikit bibir Thaqif melihat aksi Syifa’.

“Tu bilik air.” Jari telunjuk menunjuk ke arah pintu berwarna kelabu.

“Okey,” balas Thaqif tanpa sedikit pun menunjukkan tanda-tanda mahu melihat keadaan bilik mandi yang disebut Syifa’ tadi. Menjeling ke arah pintu bilik air pun tidak.

“Kita ke bilik sebelah,” ajak Syifa’.

Thaqif mengangguk.

Just lead the way.”

Di dalam bilik yang ketiga pun, reaksi Thaqif masih sama. Tiada minat!

“Apa yang perlu saya buat untuk dapatkan kemaafan awak, Syifa’?” soal Thaqif lembut. Selembut pandangan yang tumpah ke wajah Syifa’.

“Penting ke nak dapatkan kemaafan saya? Untuk apa?” duga Syifa’. “Untuk hilangkan rasa bersalah encik sekeluarga ke? Supaya encik dapat hidup tenang?”

“Untuk mendapat rahmat Allah. Untuk saya baiki hubungan sesama Islam yang berantakan antara kita,” jawab Thaqif penuh sabar.

Syifa’ menelan liur. Terasa diri disindir, walaupun dia tahu nada suara Thaqif tiada langsung aura mahu menyindirnya.

I think we are done here!” umum Syifa’ ingin menamatkan sesi janji temu mereka ini.

“Saya belum tengok dapur lagi,” dalih Thaqif.

Syifa’ hampir saja mendengus namun sempat ditahan.

“Dapur kat belakang.” Syifa’ mula berjalan.

“Ruang dapur ni luas. Ada wet kitchen dan dry kitchen. Kabinet dapur ni semua masih dalam keadaan baik. Ruang makan pun besar. Boleh muat meja untuk sepuluh orang,” promo Syifa’ laju. “Kat luar dapur ada bilik stor kecik untuk simpan barang.”

Nice,” puji Thaqif dengan suara yang dalam. Namun matanya bukan pada ruang dapur, dan bukan juga pada ruang makan. Tetap utuh di wajah Syifa’.

Is the price negotiable?” tanya Thaqif.

Syifa’ mengangguk.

Yes. Kalau berpatutan, pihak penjual kata diaorang sudi untuk berunding.”

“Ada cagaran bank?”

Kali ini Syifa’ menggeleng.

Takde. Pinjaman rumah semua dah habis bayar.”

Good!”

“Kalau encik betul-betul berminat, encik boleh call saya.”

Pucuk dicita ulam mendatang.

What’s your number?” Laju Thaqif menyeluk seluar lalu mengeluarkan telefon bimbit berwarna keemasan.

Shit!’ Syifa’ menyumpah dalam hati. Penat-penat dia menukar nombor telefon bimbitnya dulu untuk melarikan diri daripada Thaqif. Namun kini dia sudah terperangkap.

“Oh, tadi awak tak beri business card awak pada saya,” ungkit Thaqif lagi. “Boleh saya dapatkan 1?”

Tanpa rela, Syifa’ menyeluk tas tangan. Sekeping kad perniagaan terpaksa dikeluarkan lalu dihulurkan kepada Thaqif. Pantas Thaqif menyambar huluran Syifa’ itu. Nombor telefon bimbit Syifa’ terus dimasukkan ke dalam senarai kenalannya.

“Encik...” perlahan suara Syifa’.

Thaqif menongkat mata yang tadi masih di skrin telefonnya.

Takde apa pun yang akan berubah. Encik hanya buang masa encik saja.” Kata-kata Syifa’ jelas berbaur amaran. “Encik boleh teruskan rancangan encik untuk berjumpa saya macam ni, tapi semuanya sia-sia saja.”

“Saya tak akan berhenti mencuba, Syifa’.”

Syifa’ mencemik.

“Sama macam encik tak pernah berhenti cuba untuk pisahkan adik saya dengan adik encik dulu?” Sinis soalan yang diutarakan. “Macam tu?”

Berubah riak Thaqif, namun dia bijak untuk tidak melawan api dengan api.

“Apa yang encik selalu cakap kat saya dulu? ‘Whatever it takes’ kan?”

Ya! Itulah yang sering diulang-ulang Thaqif kepada Syifa’ dulu. ‘Whatever it takes!’

“Saya salah, Syifa’. Dan saya tak malu mengaku saya bersalah dulu.”

Syifa’ sukar untuk menerima versi Thaqif yang di depannya ini. Mana pergi barannya? Mana hilang suaranya yang keras, yang mengiringi setiap bait katanya yang kasar lagi berapi dulu? Mana pergi aura benci yang kuat dirasakan setiap kali Syifa’ berada dalam radius Thaqif?

Syifa’ tidak biasa menerima pandangan yang lembut daripada lelaki yang sama ini. Yang menuturkan kata dalam nada yang rendah lagi perlahan. Yang bersabar menerima setiap bisa yang dilemparkan kepadanya.

“Saya bersalah, mama saya pun bersalah. Berikan kami peluang untuk melutut kat kaki awak, kalau itu yang awak mahukan.”

Merekah bibir Syifa’ tidak percaya. Apa dia cakap?

“Ya, Syifa’. Saya bukan sekadar bermanis mulut. Kalau awak tak percaya, sudikah awak berjumpa dengan mama saya?”

Kelu lidah Syifa’ tidak bisa membalas. Apakah telinganya kini sedang mempermainkan dirinya?

Berjumpa dengan mama Thaqif? Mati hidup semula pun dia tak akan berjumpa dengan Datin Zurina!

Thaqif tidak sukar meneka maksud di sebalik memek muka Syifa’. Tentunya gadis itu masih trauma dengan mamanya.

“Syifa’, mama saya dah terima Su sebagai menantu lepas kemalangan Mim. Awak ingat kan?”

Syifa’ mengangguk pun tidak, menggeleng pun tidak.

“Mama memang dah lama pasang niat nak bawak Su tinggal bersama dengan kami sekeluarga. Hanya menunggu masa Mim sedar daripada koma dan Su balik ke KL. Tapi tak berkesempatan. Lepas Mim sedar dari koma, dia hilang ingatan.”

Masih tiada reaksi. Thaqif mengeluh perlahan.

“Kalau awak nak lepaskan semua yang awak pendamkan selama ni, saya ada kat sini, Syifa’. Sikit pun saya takkan bantah apa yang awak nak cakap pada saya sekarang. Cakaplah. Makilah saya. Saya bersedia mendengarnya.”

“Huh! Tu yang awak nak kan? Saya takde masa nak bazirkan liur saya untuk orang macam awak!” dengus Syifa’ penuh bara. “I believe we are done here! Boleh tak encik keluar sekarang? Saya nak kena kunci balik rumah ni. Saya ada appointment lain lepas ni.” Keras Syifa’ menuturkan penutup kata.

Thaqif memilih untuk tidak membantah. Sudah banyak yang dapat diluahkan kepada Syifa’ hari ini. Waktu yang dapat diluangkan bersama Syifa’ hari ini saja adalah lebih lama daripada berkali-kali cubaan sebelum ini. Dia perlu berpuas hati setakat yang mampu. Dia tidak boleh terlalu tamak.

Thaqif menunggu Syifa’ mengunci pintu utama. Pegun dia berdiri di sebelah kereta Syifa’. Lambat-lambat Syifa’ menyusun langkah.

“Apa lagi?” soalnya dengan wajah yang berkerut. Dia melangut. Mata Thaqif dilawan berani.

“Syifa’, I am so sorry for your loss. Takziah atas kehilangan Su. Kami semua tak tahu pun dia sakit. Bila saya dapat tahu, semuanya dah terlambat. Su dah nazak. Tapi demi Allah, saya ada pujuk Mim untuk pergi ziarah Su kat hospital, tapi dia tak mahu. Saya minta maaf,” lirih suara Thaqif. Wajahnya pilu.

Untuk seketika mata Syifa’ berkaca. Terkesan dengan kelembutan suara lelaki itu. Hangat tubuhnya menerima pandangan daripada Thaqif yang kelihatan begitu tulus. Bergetar ulas bibirnya nan merah.

Melihat riak Syifa’ yang begitu, Thaqif mengalihkan tubuh untuk memudahkan Syifa’ masuk ke dalam kereta. Dia tak sanggup melihat air mata Syifa’. Dia takut dia tak dapat mengawal dirinya. Jadi sebelum dia melakukan sesuatu yang bakal membuat dirinya menyesal seumur hidup, baiklah dia pergi dulu.

Thanks for today. I’ll be in touch.”

Syifa’ tidak membalas. Tubuh dihenyakkan masuk ke dalam kereta. Tersandar lesu dia di dinding kerusi. Menunggu Thaqif mengundurkan kereta agar dia boleh keluar dari pekarangan rumah. Turun naik nafasnya. Apa yang baru terjadi tadi? Dia tak bermimpi kan?

No comments:

Post a Comment