DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 17 June 2020

Encik Ulat Buku - Bab 7

AKU memerhatikan sahaja telatah Kak Dee yang asyik mengunyah gula-gula getah. Gaya Kak Dee ni memang tak nampak gaya ketua editor langsung. Gaya ala-ala gengster adalah. Sewaktu aku mula-mula bekerja di bawah Kak Dee dulu, aku ingatkan dia ni garang. Garang tu tak, tapi loqlaq tu ya.

“Macam mana ni, kak? Saya ingat nak tukar headline column aje,” soalku sekali lagi. Aku memang dah pasrah habis.

“Macam itulah. Lagipun Yaya tak start apa-apa lagi, kan? Interviu pun akak dengar cerita tak jadi hari tu,” jawab Kak Dee tenang, tak sama dengan aku yang sememangnya tidak tenang sejak minggu lepas.

“Memang tak jadi interviu pun sebab salah orang.”

“Sebab tu akak nak berterima kasih dekat Yaya.”

“Berterima kasih sebab hampir salah nak interviu Dr. Aydin yang kita ingatkan Dr. Aidid?” Tidak berkelip-kelip aku memandang Kak Dee yang masih nampak tenang. Telinga aku salah dengar ke?

“Bingo!”

Tanganku automatik naik menggaru kepalaku sendiri. Bingo apanya? Otak aku dah naik biul dah ni.

“Takdir hidup yang Allah susun ni memang dah cantik dah untuk kita. Expect the unexpected gitu,” tambah Kak Dee lagi. Tiba-tiba dia merenung ke luar tingkap di kawasan pantri.

Pulak!

“Bos suka sangat dengan idea Yaya tu.” Kali ini pandangan mata Kak Dee kembali fokus kepada aku.

“Idea apa pulak ni, kak?” Sekali lagi aku menggaru kepala yang tidak gatal. Aku belum sempat lagi cadangkan idea baharu untuk menggantikan Dr. Aidid yang tidak ada di Malaysia selama seminggu.

“Idea tersalah interviu Dr. Aydin itulah.” Kak Dee koyak senyum meleret sambil jari-jemarinya lincah menaip sesuatu pada skrin telefon pintarnya.

Sumpah memang tak faham! Kak Dee tidak tahu yang disebabkan ‘idea’ tersalah interviu itu aku dah segan nak naik LRT dan hampir terjun ke dalam kolam hari Sabtu baru-baru ini.

“Bos kata Dr. Aydin tu ada kembar seiras. Kembar seiras yang memang seiras gila. Aydin Noah dan Aariz Najmi. Seorang genius matematik dan seorang lagi genius fesyen. Cuba bayangkan kalau kita dapat jadikan these handsome twins sebagai front cover majalah Oppa bulan depan? Memang terbaik!”

“Dr. Aydin ada kembar?” soalku terkejut. Aku pandang wajah teruja Kak Dee yang tidak putus-putus tersenyum sejak tadi. Bos aku tu pulak, macam manalah dia boleh tahu yang Aydin ada kembar seiras?

Kali ini Kak Dee menyerahkan telefon pintarnya kepada aku. Terpampang di hadapan mataku dua orang lelaki yang berwajah seiras dengan Aydin a.k.a. Encik Ulat Buku. Terus aku ternganga sendiri sambil memandang Kak Dee.

“Seiras gila, kan? Perasan tak apa yang lain?”

Aku kembali menatap skrin telefon pintar dengan rasa terkejut yang masih tidak hilang.

“Warna anak mata,” jawabku perlahan. Aydin mempunyai anak mata hitam pekat, sebaliknya Aariz mempunyai anak mata berwarna hazel.

“Bingo!” Terus Kak Dee memetik jarinya di hadapan aku.

So, bos nak Yaya in charge untuk write up on both Aydin dengan Aariz. Set time untuk interviu both of them dan bawak sekali Neo untuk photoshoot. Bos sendiri yang nak mereka berdua ni jadi front cover magazine Oppa bulan depan.”

“Haaaa???” Kali ini otak aku betul-betul terasa nak jadi biul!

 

SARAH YANG sedang berdiri di sisi meja kerjaku itu sudah ketawa seronok mendengar ceritaku. Minah ni tak pernah tak terhibur.

So, kau tak dapat contactlah Encik Ulat Buku kau tu?”

Aku menggelengkan kepalaku.

So, interviu kau on ke tak on ni?” soal Sarah.

On sebab aku dapat contact kembar dia aje petang semalam. Harap-harap mesej tu sampailah untuk sesi interviu pagi esok. Kalau aku datang dan jadi macam hari tu jugak, memang tebal berinci-incilah muka aku ni,” jawabku lemah.

“Kau ada pembaris tak? Aku nak pinjam kejap.”

“Eee... kau ni! Aku tengah buat cerita sedih ni, tapi kau boleh minta pinjam pembaris pulak? Kesian sikit dekat aku ni boleh tak?” balasku geram tetapi tanganku mencari jugak pembaris dari dalam laci.

“Pinjamlah sekejap.”

“Nah.”

Pembaris bertukar tangan dan tiba-tiba Sarah mendekatkan pembaris tersebut ke arah wajahku seolah-olah sedang mengukur sesuatu.

“Masya-Allah, sistur... kulit muka kau dah jadi tebal dua incilah!”

“Sarah! Kau ni kan!” Aku merampas pembaris tersebut dan kugunakan untuk memukul perlahan bahu Sarah.

Sarah ketawa lagi.

“Aku rasa kau ni dah kena kenanlah, Yaya. Kau ingat tak waktu kita holiday dekat Seoul hari tu? Yang kau ada jumpa this one nerd guy jugak, yang kau siap bagi negative comments tu? Haaa... kan kau dah jumpa spesies dia jugak dekat KL ni. Bak kata kau, nerd yang handsome, kan? Haaa... amekaw!”

“Sarah, tak ada kena-mengenalah.”

Sarah hanya tersengih sambil menepuk-nepuk perlahan bahuku.

“Aku kena gerak pergi Melaka kejap lagi. Esok ada event rasmi kerajaan yang aku kena cover. Apa-apa, roger aje aku. Aku doakan moga jodoh kau dengan Aydin tu dipanjangkan.”

“Sarah!”

“Eh, silap, silap! Moga urusan kau dengan Aydin esok dipermudahkan.” Sarah tayang sengih. Sempat lagi!

 

15 MINIT sebelum pukul 11 pagi, aku dan Neo sudah berdiri terpacak di hadapan sebuah bangunan tiga tingkat di tengah-tengah bandar di Bangi ini. Logo berjenama ‘Aariz Najmi’ terpampang besar di bahagian atas bangunan.

“Akak pasti ke kita dah buat appointment dengan orang yang betul kali ni?” soal Neo sambil membetulkan beg kamera yang tergalas di bahu. Sepet kedua-dua matanya menahan terik panas matahari yang tegak di atas kepala.

Aku angguk dengan debaran dalam hati yang mula tidak tentu arah. Rasa tak sedap hati pun ada. Rasa macam perut mula nak memulas pun ada.

“Saya ingatkan kita dah cancel plan nak interviu encik genius hari tu. Rupa-rupanya ni lagi rezeki, dia ada kembar yang fashion designer pulak. Wah, memang sejuk perut mak mengandung betullah!”

Aku mengetap bibir memandang Neo yang nampak teruja.

“Muka akak ni nampak cuak sangat tau. Waktu kita interviu artis hari tu pun akak tak macam ni. Chill sikit, kak. Senyum,” usik Neo.

Terus aku menjeling Neo, dan budak lelaki itu hanya ketawa mengekek. Daun pintu kayu yang penuh dengan ukiran halus itu kutolak dari arah luar dan cik penyambut tetamu sudah menyambut kedatangan aku dan Neo dengan senyuman manis.

“Cik Eliya Inara? Dari Ideafly Group, kan?” tegurnya ramah.

Aku angguk dan senyum. Dalam hati, sudah pelik sendiri bagaimana cik penyambut tetamu boleh mengenali aku pula.

“Bos dah pesan siap-siap tadi yang akan ada team media dari Ideafly Group datang untuk jumpa dia. Tingkat tiga ya. Nanti boleh terus ke bilik yang di tengah-tengah. Nak gunakan lif boleh, ataupun nak exercise naik tangga pun boleh.” Dia senyum, seolah-olah mendengar monolog dalamanku sebentar tadi.

“Terima kasih.” Pantas Neo menjawab dahulu dengan sengihan di bibir.

Amboi, budak ni! Cepat aje!

Aku dan Neo memanjat tangga yang berpilin ke atas. Sambil mendaki anak tangga, anak mataku tidak lepas-lepas memuji seni reka dalaman butik mewah ini. Eksklusif dan nampak mewah. Konsep minimalis yang tidak begitu sarat. Mungkin kerana pemiliknya seorang lelaki.

Sebaik sahaja kami tiba di hadapan bilik di tengah-tengah tingkat tiga ini, satu suara serak kedengaran menegur.

“Cik Eliya!”

“Dr. Aydin?” Terus berkerut-kerut dahiku memandang lelaki yang sedang berdiri di muka pintu, seolah-olah tujuannya memang untuk menyambut kami.

Senyumannya melebar sehinggakan aku terasa seram sejuk. Pertama kali melihat Encik Ulat Buku tersenyum lebar sebegini. Berkerut sebentar dahi aku melihat gaya pakaiannya yang nampak lain daripada biasa.

Eh, kejap!

“Awak bukan Aydin, kan?” soalku apabila menyedari yang lelaki di hadapanku ini tidak memakai besi pendakap gigi. Dan... anak mata itu warna lain, warna hazel yang berbeza dengan Aydin yang mempunyai anak mata berwarna hitam pekat.

Dia ketawa senang.

“Selamat datang. Jemput duduk dulu,” balas Aariz ramah dan membawa aku dan Neo masuk ke dalam bilik meeting yang sudah tersedia.

“You dah pernah jumpa Aydin ke?” Aariz berpeluk tubuh memandang aku sebaik sahaja aku melabuhkan duduk. Gaya percakapan Aariz kedengaran lebih mesra dan sopan berbanding Aydin yang sedikit tidak berperasaan. Berbanding dengan Aydin, Aariz juga lebih banyak tersenyum.

“Pernah.” Aku ukir senyum.

“Ohhhh... you yang...” Bicara Aariz terhenti dan memandangku lama.

“Selalu stalk aku dekat dalam LRT sambil tulis diari.” Kali ini kedengaran satu suara lain yang menyampuk dari arah belakangku.

Terus aku memusingkan tubuh dan Aydin sedang memandangku dengan pandangan yang tajam.

No comments:

Post a Comment