DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 16 June 2020

Melankoli Sekeping Hati - Bab 7

“KAKAK dari mana?”

Syifa’ mencampak beg tangan ke atas sofa sebelum menghulur tangan untuk menyalami Puan Mimi.

“Dari rumah mak teh, mak long.”

Puan Mimi mengangguk.

“Semuanya okey kan, kakak?” soal Puan Mimi lagi. Mata mengekor tingkah Syifa’ yang mengambil tempat di sofa berangkai dua di sebelahnya.

“Okey, mak long, Alhamdulillah.”

“Baguslah.”

“Mak long dah siap ke? Kata nak pergi kubur dengan kakak,” tanya Syifa’. Nampak seperti Puan Mimi sudah pun bersiap dengan berjubah dan bertudung. Cuma mak longnya itu masih belum mengenakan stoking saja.

“Dah. Mak long tunggu Jaja je ni. Dia kata nak ikut.” Puan Mimi mencapai stoking untuk menyarungkan ke kaki kiri dan kanan.

“Oh, okey. Nana mana?” Syifa’ ingin tahu tentang anak kedua Puan Mimi, Suhana.

“Nana tu kena pergi kem motivasi dengan anak-anak murid dia. Hari Selasa baru balik,” jelas Puan Mimi.

“Penat jadi cikgu ni kan mak long? Cuti sekolah pun masih kena kerja,” komen Syifa’. “Dahlah cuti seminggu je.”

“Tahu takpe.” Puan Mimi tersenyum. Dia lebih daripada tahu betapa penatnya bakti yang perlu ditaburkan sebagai seorang guru. Namun dia tak pernah merungut. Itu pilihannya dari mula. Semua yang dilakukan demi nusa dan bangsa.

“Hai, kakak!” jerit Hajar ceria. Dia mencampakkan diri ke sebelah Syifa’ lalu dipeluknya tubuh Syifa’ mesra. “Dah lama sampai?”

Syifa’ tersenyum. Terubat sedikit rindunya akan Suria dengan kehadiran Hajar. Hajar sebaya Suria dan amat rapat dengan arwah adiknya itu.

“Baru je sampai. Jom kita?”

Puan Mimi bangun. Beg berisi botol air diangkat dari atas lantai. Mereka bertiga bersaing berjalan ke luar rumah dan terus ke kereta Syifa’.

Di dalam kereta, celoteh Hajar memenuhi suasana. Tak berhenti mulut Hajar bergerak. Seperti biasa, Puan Mimi dan juga Syifa’ melayankan saja bicara Hajar itu agar tidak kedengaran seperti Hajar bermonolog sendiri.

Syifa’ memandu masuk melalui pagar utama tanah perkuburan Islam di daerah Gombak ini. Dia memarkir di tempat yang disediakan. Kehadiran beberapa kereta lain tidak menangkap perhatiannya.

“Ramai jugak orang hari ni. Mungkin ada kematian,” ujar Puan Mimi.

“Haahlah. Tu mak, ada van jenazah. Ada orang baru meninggal ni,” tokok Hajar pula. Jari ditunjukkan ke suatu arah.

“Dah, jom kita,” ajak Puan Mimi. “Jaja tolong bawak botol air tu ya.”

Hajar menurut. Syifa’ mengeluarkan tikar dari dalam but kereta sebelum berjalan di sebelah sepupunya.

Dalam jarak 5 meter dari kubur arwah Suria, kaki Puan Mimi berhenti melangkah. Kaki mereka berdua turut sama berhenti. Hairan Syifa’ jadinya. Dia berbalas pandang dengan Hajar. Isyarat mata jelas bertanyakan kenapa. Hajar menjongket bahu tanda tidak tahu.

Syifa’ menala kepala ke hadapan. Ingin melihat pemandangan yang sama yang telah menangkap pandangan mak longnya. Dia menarik nafas. Tangan laju menekup dada.

Perlahan-lahan Thaqif bangun dari cangkungnya. Bahu mamanya dipaut lalu ditarik perlahan agar turut bangun bersamanya. Datuk Tarmizi juga begitu. Mereka bertiga bangun setelah menyedari kehadiran mereka ke mari telah diketahui. Perlahan-lahan mereka berjalan ke arah Puan Mimi bertiga.

“Assalamualaikum,” ucap Datuk Tarmizi.

Waalaikumussalam,” balas Puan Mimi serta Hajar hampir serentak. Syifa’ sekadar menjawab salam yang diberi dalam hati.

“Saya dengan isteri saya tak sempat nak ucap takziah atas pemergian Su kepada Puan sekeluarga sebelum ni,” ujar Datuk Tarmizi. “Maafkan kami.”

Puan Mimi menggeleng.

“Eh, takpe. Thaqif dah sampaikan kepada saya hari yang Su meninggal tu.”

Syifa’ melangut. Pandangannya bertembung dengan mata coklat Thaqif dari atas bahu Puan Mimi. Lekas-lekas dia melarikan mata.

Errr... Datuk baru pertama kali ke datang ziarah kubur arwah?” soal Puan Mimi sekadar menyambung bicara.

Wajah Datuk Tarmizi terbias rasa serba salah.

“Sebenarnya, kami datang ke sini setiap minggu. Kadang-kadang hari Sabtu, kadang-kadang hari Ahad. Tengok kesihatan isteri saya macam mana.” Wajah isterinya dikerling sekilas.

Terkejut Syifa’ mendengar pengakuan Datuk Tarmizi itu. Mereka menziarahi kubur adiknya pada setiap minggu? Untuk apa?

“Ohh...” balas Puan Mimi.

Datin Zurina memberanikan diri untuk memandang ke arah Syifa’. Gadis itu membisu sedari tadi. Benci sangatkah Syifa’ pada dirinya? Seperti dipukau, Datin Zurina melepaskan pautan tangan Thaqif daripada lengannya. Dia mengambil beberapa langkah ke hadapan. Matanya terpasak ke wajah Syifa’ walaupun gadis itu langsung tidak mahu mengerling ke arahnya.

Puan Mimi mengalihkan kedudukannya untuk memberi ruang kepada Datin Zurina berdiri betul-betul di hadapan Syifa’.

Tersentak Syifa’ tatkala merasakan kedua belah lengannya dirangkul seseorang.

“Syifa’...” bisik Datin Zurina dengan suara yang pilu. Air mula bergenang di tubir matanya.

Bulat mata Syifa’ memandang ke wajah Datin Zurina. Tidak pernah dia melihat riak Datin Zurina yang sebegitu, seolah-olah dirinya sedang menanggung derita yang amat sangat. Datin Zurina kelihatan jauh lebih tua daripada usianya, sedangkan mama Thaqif ini dikenali sebagai seorang wanita yang anggun bergaya. Wajahnya berkerut. Kusam tanpa sebarang solekan.

“Syifa’...” serunya sekali lagi seakan tidak percaya Syifa’ kini sedang berdiri di depannya. Tanpa berfikir tentang reaksi Syifa’, Datin Zurina lantas memeluk tubuh kecil Syifa’. Tangisnya pecah di bahu gadis itu.

Hajar berbalas pandang dengan ibunya. Begitu juga dengan Datuk Tarmizi dan Thaqif.

Kaku tubuh Syifa’. Tangannya kekal pegun di sisi namun tubuh Datin Zurina tidak ditolak kasar bagi menurut kemahuan hati. Sebenci-benci dia pada Datin Zurina pun, dia masih ada sekelumit rasa belas di hati. Tak lain kerana Datin Zurina merupakan seseorang yang lebih tua daripada dirinya.

Syifa’ menongkat mata. Berlaga sekali lagi dengan mata Thaqif yang kini sedang tunak merenungnya. Isyarat dihantar agar Thaqif mengambil kembali mamanya, namun lelaki itu langsung tidak bergerak.

Tangis Datin Zurina yang berlagu membuat Thaqif berasa sebak. Sudah terlalu lama Datin Zurina memendam segala rasa bersalah di hati, sehinggakan sedikit demi sedikit rasa itu kian bercambah menjadi racun nan berbisa. Betapa mahalnya harga sebuah kemaafan! Dan betapa sukarnya untuk melenturkan kekerasan hati seorang gadis yang telah banyak kali dilukai.

Pelukan Datin Zurina di tubuh Syifa’ semakin kejap. Jubah Syifa’ di bahagian bahu kini sudah lencun. Dan masih juga dia tak sanggup menolak tubuh Datin Zurina menjauhi dirinya.

Akhirnya, Datuk Tarmizi merapati isterinya.

“Zu... dahlah tu...” pujuknya lembut. Bahu Datin Zurina ditarik perlahan. Namun sekali lagi lengan Syifa’ dipaut seolah-olah sukar untuk dilepaskan. Basah wajah yang kini berhadapan dengan Syifa’.

“Syifa’... menantu mama dah takde... Menantu mama dah takde...”

Bergetar bibir Syifa’. ‘Menantu mama?’ Mengapa gelaran buat Suria itu kedengaran begitu tulus di telinganya? Begitu merdu? Tapi... mengapa ‘mama’? Mengapa bukan ‘menantu aunty’ atau ‘menantu saya’?

“Mama tak sempat nak bawak dia balik ke rumah mama... tak sempat nak buat kenduri menyambut menantu... tak sempat nak...” Pecah suara Datin Zurina. Kata-katanya mati begitu saja.

Syifa’ mengetap bibir. Kuat!

“Bila Su dah takde macam ni, barulah mama boleh ziarah dia. Sebelum ni, mama tak tahu Su kat mana...”

Dan Syifa’ masih kekal bisu. Diamnya terasa amat membingitkan.

Yang sebenarnya, otaknya seakan tidak berfungsi ketika ini. Peti suara seakan terkunci. Organ tubuhnya bagaikan kematu. Kekebalan hati Syifa’ goyah sedikit mendengar rintihan Datin Zurina yang begitu lirih. Meruntun hatinya yang disangka tidak dapat diusik oleh sesiapa pun jua.

“Zu, dah jom kita balik,” ajak Datuk Tarmizi sekali lagi.

Kali ini, Datin Zurina melepaskan pautan tangannya di lengan Syifa’. Mata meratah wajah Syifa’ yang ada iras-iras wajah Suria. Berat hati Datin Zurina mahu pergi, lebih-lebih lagi Syifa’ langsung tidak menuturkan sebarang kata.

“Syifa’... kami minta maaf atas segalanya,” lafaz Datuk Tarmizi. Mata kini berkalih ke arah Puan Mimi. “Kami balik dulu, ya.”

Puan Mimi mengangguk.

“Yalah...”

Thaqif melihat seketika papanya memimpin tangan mamanya ke arah kereta mereka. Dia belum lagi mahu menyusul. Puan Mimi mengerti.

“Jaja, jom ikut mak.” Tangan Hajar ditarik agar mengikut langkahnya. Mereka ke pusara arwah Suria lalu meninggalkan Syifa’ di tempatnya.

Thaqif tunduk merenung ke wajah Syifa’ yang jelas masih terkejut dengan apa yang baru terjadi tadi. Walaupun terkejut, Syifa’ tetap bertahan pada kewarasannya, dan tidak memenangkan perasaan marah dan bencinya. Kagum dia dengan gadis itu. Membuat diri nampak semakin hina di matanya sendiri.

“Terima kasih...” ucap Thaqif lembut.

Syifa’ tidak mengerti.

“Sebab tak marah, tak maki mama saya tadi... walaupun awak ada banyak peluang untuk melakukannya.”

“Saya tak pernah memaki sesiapa pun selama saya hidup ni. Mak bapak saya tak pernah ajar saya buat macam tu. Itu bukan budaya keluarga saya!” Akhirnya peti suara yang terkunci tadi sudah terbuka. Syifa’ kini telah bertemu semula dengan suaranya. Tajam matanya membelah ke mata Thaqif.

Terasa diri disindir dengan begitu pedas sekali! Bak belati yang menghiris ke dada. Tidak mengapa. Apa pun daripada Syifa’ akan diterimanya.

I deserved that,” balas Thaqif dengan anggukan sekali di kepala. “Apa pun, saya tetap berterima kasih.”

Syifa’ ingin berlalu namun suara Thaqif menahan langkahnya.

“Sepanjang saya hidup ni, saya tak pernah tengok mama saya menangis. Masa Mim kemalangan pun, mama tetap tabah. Mama saya seorang yang kuat, yang cekal hadapi dugaan hidup. Tapi akhir-akhir ni, semangat mama saya dah hilang sepenuhnya. Dia akan menangis tanpa diduga.”

Syifa’ menelan liur. Bayangan ibu kandungnya sendiri melintas di ruang mata. Apakah perasaannya seandainya ibunya menangis begitu? Mampukah dia sebagai seorang anak melihatnya?

“Semuanya sebab awak dan arwah Su. Air mata mama begitu mahal harganya, Syifa’, tapi tak semahal nilai sebuah kemaafan daripada awak.”

Berdentum jantung Syifa’. Kelu lidahnya tak dapat membalas.

“Saya balik dulu. Kalau awak nak minta ganti untuk jubah awak ni, saya rela gantikan.” Tangan Thaqif menunjuk ke bahagian bahu gadis itu. “Saya tahu air mata mama saya begitu menjijikkan bagi awak.”

Dan dengan itu, Thaqif pun berlalu. Tidak menunggu sebarang balasan daripada Syifa’. Dia tak dapat lihat perubahan pada wajah gadis itu. Wajah yang kini sudah mula mengalirkan air jernih...

No comments:

Post a Comment