DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 16 June 2020

Melankoli Sekeping Hati - Bab 2

THAQIF tersandar lesu di kepala katil. Sebelah tangan diangkat ke dahi. Penat! Lelah! Dan terbeban dengan semuanya. Bilakah rasa ni akan berakhir?

Thaqif menurunkan tangan tatkala mendengar daun pintu kamarnya diketuk dari luar. Seketika itu, wajah adiknya menjengah dari rekahan pintu.

“Kau baru balik ke bang?” soal Taufiq sambil melabuhkan duduk di birai katil abangnya. Tubuh disengetkan agar berhadapan dengan abangnya. Mata sempat menilik baju Melayu berwarna biru muda serta kain pelekat dengan rona yang sama yang tersarung di tubuh abangnya. “Ke dah lama?”

Hmmm... dalam 30 minit.”

“Kau jumpa Syifa’?” Wajahnya serius.

Kali ini Thaqif mengangguk.

“Dia macam mana?” soal Taufiq lagi.

“Kau rasa?” balas Thaqif. “Kalau kau ada sorang je adik dalam dunia ni, dan adik yang kau sayang separuh mati tu pulak dah meninggal, kau rasa macam mana?”

Berat keluhan yang dilepaskan oleh Taufiq.

“Makin benci agaknya dia kat kita semua, kan bang?”

Thaqif tidak membalas. Diam dia jelas mengiakan tanggapan adiknya itu.

“Aku tak percaya Su dah takde. She was so young!” desis Taufiq dengan wajah yang suram. “Aku malu, bang,” sambung Taufiq perlahan. “Aku tak tahu macam mana nak hilangkan rasa malu aku ni. Bila aku fikir balik apa yang mama dan kau pernah hamburkan pada Syifa’ dan arwah Su dulu, aku rasa bersalah sangat! Tak tahu nak jelaskan macam mana.”

Thaqif hanya mendengar pengakuan adiknya. Tak perlu dia berkongsi rasa. Perasaan yang ditanggungnya ketika ini semestinya berganda-ganda lebih hebat daripada Taufiq.

“Berpuluh-puluh tuduhan yang mama lemparkan, takde satu pun yang betul, bang! Aku rasa bersalah betul. Selagi Syifa’ tak maafkan kita semua, selagi tu aku rasa berdosa, bang.”

Kali ini Thaqif mengangguk. Sama... dia turut merasakan semua yang dirasakan oleh adiknya itu, jika tidak lebih lagi... kerana dia sendiri pernah beberapa kali bersemuka dengan Syifa’ dan setiap kali mereka berjumpa, ada saja kata-kata nista yang dilemparkan kepada gadis itu. Ya Allah! Berdosanya dia!

“Dahlah si Mim macam tu. Isteri dia meninggal pun dia tak nak pergi ziarah. Bukan isteri dia, kata dia. Aku pun tak tahu nak buat apa lagi dengan si Mim tu. Nak pecah kepala aku fikirkan dia.”

Thaqif mengeluh.

“Tak boleh salahkan dia. Lepas kemalangan tu, dia kan hilang ingatan. Mati-mati dia kata dia tak pernah berkahwin. Dengan arwah Su pun dia langsung tak ingat. Syukur dia masih ingat pada kita dan kawan-kawan rapat dia.”

Taufiq pula mengangguk. Ya, syukur adik bongsu mereka tidak hilang sepenuh ingatannya. Menurut doktor, akibat kemalangan yang hampir meragut nyawa adiknya itu, Tamim mengalami post traumatic amnesia. Kecederaan di kepala yang menimpa Tamim lebih tiga tahun yang lalu membuat adiknya koma seketika. Namun setelah adiknya itu sedar dan beransur pulih, amnesia yang dialaminya bersifat selective, yakni ingatannya tentang sesuatu perkara yang penah terjadi dalam hidupnya langsung tidak diingatinya.

“Tapi... kalaulah satu hari nanti dia ingat semula bang, macam mana dia nak hadap kenyataan yang isteri dia dah takde?” soal Taufiq.

“Entahlah,” keluh Thaqif.

“Dah berbuih mulut aku suruh dia pergi jumpa isteri dia, manalah tahu kot-kot ingatan dia boleh datang balik, tapi dia tak nak. Degil! Sampai ke sudah Su tu tunggu dia, tapi dia tak balik-balik. Sampai Su tu nazak nak meninggal pun dia tak nak pergi ziarah. Aku tak tahu nak kata apa dah, Fiq!”

“Tulah... Macam manalah Syifa’ tu tak benci kat kita?”

Benci! Perasaan yang terlalu kuat untuk dirasakan oleh seseorang terhadap orang lain. Namun, Thaqif tak dapat menyalahkan Syifa’ sedangkan perasaan itu telah lebih dahulu singgah di hatinya suatu ketika dahulu. Benci yang telah disalah letak pada Syifa’ dan juga adik iparnya, Suria. Benci yang dipupuk akibat prasangka terhadap kaum wanita yang mahu mendekati dirinya dan juga adik-adiknya.

Namun kebenaran yang menampar ke wajah mereka sekeluarga, membuat setiap daripada mereka terduduk seakan tidak mampu bangun kembali. Tetapi semuanya sudah terlambat. Sudah jauh terlambat...

“Mama macam mana?” Thaqif tiba-tiba bertanya.

“Masih macam tu. A total wreck!” balas Taufiq. “Papa pun tak tahu nak buat macam mana dah.”

“Aku rasa mama perlukan pertolongan.”

“Maksud kau?” tanya Taufiq.

Psychiatric help.”

Membulat mata Taufiq.

“Psikiatri?”

Thaqif mengangguk.

“Aku rasa mama tu kemurungan. Dia tak dapat terima semua yang dah terjadi pada keluarga kita ni. Dia bukan sakit dari segi fizikal, tapi aku rasa lebih kepada jiwa mama tu yang bermasalah.”

Taufiq diam. Dia berfikir seketika.

“Kau dah bincang dengan papa?”

Kali ini Thaqif menggelengkan kepala.

“Belum. Nantilah aku cuba cari masa untuk balik rumah dan bincang dengan papa.”

“Kau nak buat apa lepas ni bang?”

“Aku nak jumpa Syifa’. Nak cuba dapatkan kemaafan daripada dia, dan kalau boleh, aku nak bawak dia jumpa mama.”

Taufiq telan liur. Berat tu!

“Aku tak rasa dia akan setuju, bang. Seingat aku, kau pun sama je dengan mama dulu. Sama attack diaorang dua beradik macam-macam,” tutur Taufiq. “Takkan kau tak ingat?”

Kata-kata Taufiq seakan belati yang menikam terus ke jantung Thaqif. Apabila diri sendiri menyedari hakikat tentang perlakuan kejam dirinya yang dulu, rasanya lain kerana semuanya hanya disimpan dalam hati. Namun tatkala mendengar orang lain mengungkit kembali perkara itu secara zahir begini, rasanya berganda-ganda lebih hebat. Menyerlahkan dosanya secara nyata, membongkar sisi peribadinya yang baran serta terburu-buru, dan mempamerkan aibnya pada seisi alam.

Mana mungkin dia tak ingat? Setiap bait kata, setiap tuduhan, setiap cercaan masih segar di ingatan seolah-olah baru semalam dia meluahkan semuanya itu. Kata-katanya itulah yang membuat dia tak pernah bisa lena dalam tidur... yang buat mimpinya tak pernah yang indah-indah belaka... dan yang buat setiap detik jaganya terasa begitu menyakitkan.

“Apa kata aku yang cuba jumpa Syifa’ tu, bang? Lagipun selama ni, aku memang tak pernah cakap apa-apa yang tak patut pun pada dia ataupun pada arwah,” saran Taufiq. “Banyak kali aku pesan kat kau dulu, bang, jangan cepat menuduh dan jangan terlalu membenci. Aku kata siasat dulu, tapi kau tak pernah nak dengar. Tengok sekarang siapa yang malu?”

Wajah si adik dipandang. Taufiq mahu berjumpa dengan Syifa’? Tak ada salah pun cadangan adiknya itu, tapi... ada rasa tak enak yang menjalar dalam hatinya.

“Aku dengan mama yang bersalah, takkan kau pulak yang nak pergi minta maaf?” dalih Thaqif.

“Apa salahnya? Aku nak cuba dekati dia. Dia tu dah jadi keluarga kita, kakak ipar Mim. Takkan tak boleh?”

Thaqif meraup wajah. Alasan apakah yang perlu dilaungkan kini?

“Bukan tak boleh, Fiq, tapi biarlah aku yang cuba dulu.”

“Kau dah pernah cuba banyak kali dah bang. Sejak kes mahkamah dulu, macam-macam usaha yang kau dah buat untuk jumpa dengan Syifa’ tapi tak pernah berjaya. Apa bezanya dengan kali ni?”

“Dulu, aku banyak mengalah bila dia kata dia tak nak jumpa aku. Bila dia lari daripada aku, aku tak kejar dia. Aku biar je dia lari sebab aku nak bagi dia masa. Dia tengah marah masa tu, jadi aku tak nak paksa. But things will be different this time!” tekad Thaqif. “Aku takkan cepat mengalah kali ni.”

Berkerut dahi Taufiq. “Jadi, sekarang ni kau nak paksa dia?”

“Bukan macam tu. Aku nak paksa dia dengar penjelasan aku, tu je.”

“Aku masih rasa yang aku je yang patut pergi jumpa dia. Aku tak rasa kau boleh paksa dia dengar cakap kau. Syifa’ tu... tak lembut macam arwah Su.”

Benar! Kakak dan adik, mempunyai dua perwatakan yang berbeza. Mungkin juga atas sebab jarak usia mereka berdua. Syifa’ 5 tahun lebih tua daripada Suria. Atau mungkin juga kerana Syifa’ sudah menggalas tanggungjawab sepenuhnya terhadap Suria sejak gadis itu berusia 18 tahun lagi, maka Syifa’ ternyata lebih matang daripada adiknya itu. Sejak kematian orang tua mereka, dialah ibu, dialah bapa kepada Suria. Syifa’ seorang yang tegas dan kuat peribadinya, manakala Suria pula seorang perempuan yang lembut dan agak manja.

“Aku tahu Syifa’ tu orang yang macam mana. Biar aku cuba dulu. Kalau aku pergi jumpa dia, tapi lepas tu kau pun pergi jumpa dia, aku tak nak dia rasa kena ambush pulak.” Thaqif bersuara.

Taufiq masih tidak puas hati. Dia yakin dialah orang yang terbaik dapat memulihkan segala kekeruhan antara mereka sekeluarga dengan Syifa’. Dia yakin sangat! Tapi kenapa abangnya tidak mahukan pertolongannya?

“Bila kau nak jumpa dia?” desak Taufiq.

“Sabarlah, Fiq. Adik dia baru je meninggal pagi tadi. Bagilah dia masa untuk berkabung dulu. Nanti-nanti, aku pergilah jumpa dia,” balas Thaqif.

“Aku bukan apa bang. Aku tak sedap hatilah. Sampai bila kita nak macam ni? Memanglah semuanya salah kita, tapi aku nak semuanya settle cepat-cepat. Aku tak sanggup nak hidup dengan rasa terbeban macam ni!”

“Kau fikir beban kau je? Habis tu beban aku?” Keras nada suara Thaqif tiba-tiba. Tegak tubuhnya yang tadinya tersandar di kepala katil. Hari-hari fikiran dia hanya tertumpu pada seorang gadis itu. Gadis yang telah memenuhi setiap ruang dalam fikirannya. Bukan setakat sebulan dua kebelakangan ini, tapi seakan sudah berkurun lamanya!

“Kau ingat tidur aku boleh lena setiap malam? Aku ada selera nak makan? Kau ingat aku tak pernah fikir pasal dosa yang aku dah buat pada dia? Pada arwah Su?” cabar Thaqif lagi. “Sejak semuanya terbongkar, kat dalam kepala aku ni tak pernah ada benda lain selain dia, Fiq! Siang malam aku hanya fikir pasal dia! Dalam setiap solat aku, aku tak pernah lupa berdoa agar Allah bukakan hati dia untuk dengar penjelasan aku, agar Allah lembutkan hati dia untuk maafkan kita semua. Kau nak aku buat apa lagi Fiq?”

Terdiam Taufiq jadinya. Garisan di wajah abangnya, jelas menunjukkan betapa abangnya terkesan dengan tindak-tanduknya selama ini. Dan betapa abangnya sudah menyesal dengan semuanya.

“Maafkan aku, bang. Aku tahu apa yang kau dah cuba buat selama ni. Aku cuma nak tolong jernihkan keadaan, tu je.”

“Aku faham, tapi sekarang benda dah jadi macam ni. Dulu, aku terburu-buru dalam buat sesuatu tindakan. Aku tak pernah tahu nak bersabar. Tapi... sekarang aku dah tak boleh nak buat macam tu lagi, Fiq. Aku kena berubah!”

Taufiq mengangguk. Dia mengakui bahawa abangnya yang dulu bukanlah seorang yang sabar. Thaqif lebih dikenali sebagai seorang yang baran. Tiada sesiapa yang mampu mengubah pendirian Thaqif jika abangnya itu sudah mencapai kata putus. Tiada sesiapa yang mampu berhadapan dengan Thaqif jika sedang memuntahkan api, melainkan seorang gadis itu... gadis yang berani membidas setiap tuduhan, menangkis setiap tohmahan dan menentang setiap penindasan yang telah dilakukan oleh mereka.

Dan Thaqif yang sekarang sudah jauh berubah. Selama ini, ego yang diletakkan pada paras yang begitu tinggi, tidak lagi kelihatan. Entah ke mana dicampakkan oleh abangnya itu. Syukur abangnya bisa mengakui kesalahan sendiri, dan langsung tidak cuba menegakkan benang yang basah. Versi lelaki yang berada di depannya ini, ialah versi lelaki yang dikenalinya bertahun-tahun yang lalu... ketika Thaqif berusia awal 20-an dulu. Semuanya berubah disebabkan oleh seorang perempuan... dan kini abangnya berubah lagi, juga disebabkan oleh seorang perempuan.

“Kalaulah aku dengar nasihat kau dulu...” keluh Thaqif penuh kesal. Muka diraup kasar.

Taufiq tersenyum kecil. Bahu abangnya ditepuk perlahan.

“Tak pernah terlewat untuk seorang tu berubah, bang, apatah lagi nak mengaku kesilapan sendiri. Semua ni dugaan untuk keluarga kita. Cepat sangat nak berburuk sangka dengan orang. Selalu sangat memandang rendah pada orang lain, sedangkan semua yang kita ada ni pun sementara je bang.”

Thaqif mengangguk tanda setuju. Langsung tak berkecil hati dengan pendapat adiknya itu.

“Mama pun dah sedar, aku bersyukur sangat. Cuma...”

“Aku tahu,” celah Thaqif.

“Kau buatlah apa yang terdaya, bang. Aku akan bantu kau mana yang boleh, dan aku takkan pernah putus berdoa Allah tunjukkan jalan untuk kita semua.”

Angguk lagi.

Thanks!”

“Kau rehatlah, bang. Aku masuk bilik dulu.” Taufiq bangun lalu melangkah keluar dari bilik Thaqif dan langsung ke biliknya sendiri.

Thaqif memejamkan matanya yang terasa pedih. Fikiran melayang ke siapa lagi kalau bukan Syifa’. Sudah berakhir ke majlis tahlil pada malam ini? Bagaimana keadaan Syifa’ sekarang ya? Masih menangis ke dia?

Dia tiada jawapan. Dada terasa berat. Kondisi yang seakan sudah kekal melanda dirinya. Daripada setiap hembusan nafas yang dilepaskan, Thaqif memanjatkan doa. Doa yang tak pernah putus... dan doa yang tak pernah berubah. Dan sebelum dia tertidur dalam posisinya yang masih tersandar di kepala katil, sempat dia berbisik dalam hati. ‘Ya Allah! Aku merayu pada-Mu. Permudahkanlah segalanya untuk aku kali ni. Bantu aku, Ya Allah! Aku mohon kepada-Mu.’

‘Syifa’... maafkan aku... tolong maafkan aku...’

No comments:

Post a Comment