DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 17 June 2020

Encik Ulat Buku - Bab 6

AKU memandang kosong skrin MacBook Air yang terbuka sejak tadi. Laman draft column yang masih bersih tanpa sebarang huruf itu kupandang. Kad nama Nancy Yong, PR executive daripada Taylor’s University itu kupandang lama. Terus aku teringat kembali perbualanku dengan Nancy petang semalam berkenaan dengan Dr. Aidid.

Dr. Aidid yang disarankan oleh Abang Mat itu berada di Australia selama seminggu sempena pembentangan kajian akademiknya. Memang aku tak boleh nak tunggu selama seminggu memandangkan deadline draft column ini perlu dihantar kepada Kak Dee dalam tempoh kurang daripada seminggu.

Atau... aku patut minta tolong Nancy untuk slotkan satu sesi interviu dengan Dr. Aydin semula? Dah alang-alang tersalah pilih dia, eloklah pilih terus, kan? Umpama alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Ataupun aku patut tukar idea untuk headline column bulan depan?

“Angahhhh...”

Aku angkat wajah dan kelihatan Nia, puteri sulung abang long yang berusia 8 tahun itu sedang tersenyum menayangkan barisan gigi susunya. Dia sudah siap dengan pakaian renangnya yang berwarna merah jambu dengan rambut ditocang satu.

“Nia sengih-sengih ni sebab nak ponteng swimming class lagi ke?” usikku memandangkan Nia tidak pernah kering dengan idea untuk mengelat daripada menghadiri kelas berenang di Cheras.

“Bukanlah, angah,” jawab Nia dan duduk bersila di sebelahku. Dia turut mengintai skrin komputer ribaku.

“Kalau macam tu, kenapa tak pergi kelas lagi ni? Bukan ke kelas Nia pukul 8.30 pagi?” Aku menjeling jam dinding yang sudah menunjukkan pukul 7.45 pagi.

“Angah hantarkan, boleh?” Bulat sepasang mata itu memandangku.

Daddy Nia kan ada?” balasku malas memandangkan aku ini sejenis manusia yang suka berehat di rumah pada hari minggu. Kalau tidak pun, aku akan pergi melepak di rumah keluarga Sarah yang terletak tidak jauh dari rumah Abang Eidlan ini.

Daddy busy dengan kerja dia dekat atas.”

Mummy?”

Mummy busy dengan adik.”

“Acu Ijat?”

“Acu tu lagilah busy, angah.”

“Hah? Busy apanya?”

Busy tidur,” jawab Nia sambil tergelak-gelak. Pandai betul budak kecik ini menjawab.

“Jomlah angah.” Tangan halus Nia menarik-narik tanganku. Sejak tadi tidak lepas-lepas dia menarik tanganku.

“Sejak bila Nia rajin nak pergi swimming class ni? Dulu suka sangat ponteng. Bagi alasan takut airlah, tak nak jadi macam mermaidlah,” usikku sambil anak mata masih pada skrin laptop.

“Eh, Nia tak pontenglah. Nia cuma takut dengan sir yang ajar swimming tu. Dia garang macam mak tiri Cinderella.”

Aku sudah menggelengkan kepalaku. Ada sahaja jawapan yang keluar daripada dua ulas bibir comel yang suka berceloteh ini.

“Habis tu, sekarang ni tak takut pulak?” Aku memusingkan tubuh memandang Nia.

“Tak takut langsung. Sir ni baik sangat, angah. Kawan-kawan Nia semua suka dia ajar berenang.” Nia koyak sengih.

“Jomlah, angah hantarkan.” Akhirnya aku bangun daripada dudukku.

Yeayyy!!!” Nia sudah melompat-lompat setempat sambil menarik-narik tanganku.

Selalunya, memang aku yang menghantar Nia ke kelas renangnya yang diadakan di Kompleks Renang Kuala Lumpur memandangkan Kak Diyana akan sibuk menguruskan rumah pada pagi Sabtu.

“Nanti angah tunggu Nia sampai habis kelas tau.”

Berkerut-kerut dahi aku memandang Nia. Sebelum-sebelum ni tak pernah pulak Nia meminta aku menunggunya sehingga habis kelas.

“Eh, buat apa angah nak buang masa kat situ lama-lama? Kelas Nia 2 jam tau, bukannya 2 minit.”

Nia mencebik sambil berpeluk tubuh.

“Ala, angah bawaklah laptop angah sekali. Angah boleh buat kerja angah kat situ sambil tengok Nia berenang. Tak pun, boleh tengok sir yang ajar Nia berenang.”

“Amboi, amboi! Sejak bila dah pandai ajar cuci mata ni? Nak tengok sir Nia buat apa?” Aku buat-buat bercekak pinggang.

Nia tergelak-gelak.

“Cuci mata tu apa, angah?”

Hampir aku menepuk dahi sendiri!

 

“ANGAH TUNGGU sini sampai kelas Nia habis tau. Angah jangan balik dulu tau,” pesan Nia untuk sekian kalinya.

Yes, princess. I will be waiting for you right here.” Aku melabuhkan duduk di barisan kerusi yang tidak jauh dari kolam renang. Ada beberapa kaum ibu yang duduk tidak jauh dari tempatku.

I love you, angah.” Sempat Nia mengucup pantas pipi kananku sebelum dia mendapatkan kawan-kawannya yang sedang menunggu di bawah, berdekatan dengan kolam renang. Bukan main ber‘I love you’ lagi si Nia ni!

Fitbit di pergelangan tangan kanan kuangkat sedikit, dan angka 08.30 AM tertera. Aku bangun sambil anak mata meliar mencari tandas. Anak mataku bertemu dengan anak mata bulat milik Nia dan pantas aku menyebut perkataan ‘tandas’. Barulah raut wajah Nia bertukar lega dan dia tersenyum dengan kawan-kawannya. Takut betul anak kecil itu jika aku betul-betul pulang ke rumah dahulu.

Sebaik sahaja aku keluar dari tandas perempuan, aku hampir berlanggar dengan seorang lelaki yang hanya berseluar pendek paras bawah lutut, sedang memegang sehelai baju berwarna hitam. Ada sehelai tuala putih tersangkut di bahu kanannya.

Automatik, aku terus menjerit dek kerana terkejut apabila memandang pemilik wajah lelaki yang tidak berbaju itu. Dek kerana jeritanku yang tiba-tiba, lelaki itu terus mengangkat wajahnya.

“Awak lagi.” Suara garau itu berbunyi sambil anak matanya turun tajam memandang aku yang sudah menekup mulutku sendiri dengan mata yang sudah membulat.

Terus aku menjatuhkan pandangan mata ke bawah dan automatik anak mataku singgah pada badannya yang tidak berbaju. Anak mataku tanpa ditahan terus membulat sekali lagi. Mamat nerd memang ada yang jenis berbadan sasa macam ni ke? Bukan ke selalunya spesies ulat buku ni hanya rajin membaca buku, dan bukannya rajin ke gim pun? Ataupun ini spesies yang membaca buku di gim? Heh, macam-macamlah kau ni, Yaya!

“Awak tengok apa?” soal Aydin lagi sambil cepat-cepat menyarung baju yang dipegangnya tadi ke tubuh.

“Hah?” Terus aku mengalihkan pandangan mataku. Kak Diyana kata, kalau tengok sekali itu rezeki, tapi tengok banyak kali tu yang tak boleh. Aku sengih sendiri.

Do you like what you see?” soal Aydin sambil berpeluk tubuh memandang aku.

Dia perasanlah pulak!

Of course,” jawabku tanpa sedar.

Terus berubah riak wajah Aydin. Kedua-dua belah telinga lelaki itu sudah merah.

Terus sengihanku mati dan aku terdiam sendiri. Apa yang kau cakap ni, Yaya? Kenapalah memalukan diri sendiri di depan mamat ni? Sila terjun ke dalam kolam renang sekarang juga!

Sorry?” Aydin menapak menghampiri aku yang sejak tadi berdiri kaku.

“Hah? Tak, tak ada apa-apa.” Aku cepat-cepat mahu berlalu dari situ. Kenapalah dalam banyak-banyak kolam renang yang ada dekat KL ni, kat sini jugaklah lelaki ini muncul? Lepas ni nak kena boikot kolam renang ni jugak ke?

“Kejap!”

Aku kembali mengangkat wajah memandang Aydin yang masih memandangku tajam. Apa lagilah yang lelaki ni tak puas hati?

“Apa lagi? Eee... awak jangan perasan sangatlah! Awak ingat badan awak tu sa...” Terus aku berhenti sambil menelan liur. Brake mulut, Yaya. Brake mulut!

Say again?” Berkerut-kerut kening Aydin memandang aku dan langkah kakinya semakin menghampiri aku, selangkah demi selangkah. Aduh, kenapalah episod ngeri di dalam dewan kuliah tempoh hari seolah-olah bersambung menjadi dua episod pula?

Aku memasang gear undur perlahan-lahan, mahu menjauhkan diri daripada lelaki ini dan sekali gus mahu cha alif ba wau ta - CABUT. Asyik sangat memasang gear undur, sehinggakan aku tidak perasan yang langkahku semakin hampir dengan kolam renang yang berada di belakangku.

“Oh mak kau sayang!” Aku sudah bersedia dengan aksi kuak lentang ke belakang dengan mata yang terpejam. Terima seadanya jika diri sendiri jatuh masuk ke dalam kolam renang.

Apabila aku membuka mata, aku tidak berada di dalam kolam seperti yang kusangkakan, tetapi aku masih elok tegak berdiri di atas lantai dengan kedua-dua belah tangan yang masih terkuak. Konon-kononnya nak standby dengan aksi kuak lentang. Sebaik sahaja aku mengangkat wajah, seraut wajah berkerut Aydin menyapa pandangan mataku.

Kejap! Jangan cakap yang...

“Ehhh... apa ni!” Baru aku perasan yang Aydin sedang memegang kuat pergelangan tanganku yang berlapik dengan T-shirt lengan panjang yang kupakai. Mungkin menahan aku daripada terjatuh masuk ke dalam kolam renang sebentar tadi. Terus aku menarik tanganku dengan kuat.

“Takkan sebab awak dah tak jumpa saya dekat dalam LRT, awak boleh jadi kalut macam ni? Sampai nak terjun masuk kolam? Dengan T-shirt awak yang warna cerah macam ni?” sindir Aydin dengan sebelah keningnya terjongket naik.

“Eh, tolong sikit! Jangan...”

I think you should say, thank you sayang...” potong Aydin selamba dan dengan bersahajanya dia berjalan pergi meninggalkan aku yang terpinga-pinga. Isy, geram pulak hati aku!

Dear Diary,

Marilah kita sama-sama boikot nama Encik Ulat Buku tu daripada entri diari kita.

No comments:

Post a Comment