DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 27 December 2020

My Bibik My Darling - Bab 10


“NENDA mahu kamu berdua segera bernikah. Kalau boleh hari ni juga uruskan.”

“Tapi nenda... cepat sangat. Haris tak sedia.” Haris cuba membantah.

“Saya pun tak sedia.” Najah menyokong kata-kata Haris. Sama-sama tidak bersedia untuk melayari bahtera perkahwinan.

“Takkan nak tunggu Najah mengandung baru sedia nak kahwin?” Puan Sri Rokiah meninggikan suara. Mata dijegilkan ke arah kedua-duanya silih berganti. Turun naik nafasnya menahan marah.

Najah dan Haris sama-sama tunduk. Terkejut dengan tempikan Puan Sri Rokiah tadi. Lantas kedua-duanya membisu.

“Uncle Norman akan bantu semua tentang urusan pernikahan. Ikut semua apa yang dia suruh. Ini kerja terakhir dia sebelum Noah ambil alih tugas ayah dia.”

“Baik, nenda.” Kali ini Haris tidak membantah. Dia mencuit Najah agar turut bersetuju.

Najah menoleh ke arah Haris sambil mengeluh.

“Baik, nenda.”

“Bagus.” Puan Sri Rokiah puas hati dengan jawapan kedua-duanya.

“Lepas kahwin, nenda nak kamu berdua keluar dari sini. Belajar hidup berdua.”

“Kami kena cari rumah sewa ke?” tanya Haris. Terkejut dengan apa yang nendanya suarakan. Sudahlah kena kahwin paksa, sekarang dihalau pula. Dia yang langsung tidak bersedia untuk bernikah, tiba-tiba kena hidup berdua pula.

“Tak payah nak cari rumah sewa. Rumah nenda banyak. Pilih saja nak duduk mana. Bincang dengan Najah.”

Najah hanya mengangguk. Bernikah tiada dalam perancangan hidupnya. Namun kerana satu peristiwa, dia terpaksa berkahwin dengan orang yang langsung tidak disukainya. Mahu sahaja dia lari dari situ. Tetapi ke mana dia mahu pergi? Dia tiada keluarga atau sahabat.

Pada usia 5 tahun dia diambil sebagai anak angkat. Kedua ibu bapa angkatnya sangat baik. Dia dibesarkan seperti anak sendiri. Dilayan sama rata dengan adik-beradiknya yang lain sehingga terlupa yang sebenarnya dia anak angkat.

2 tahun yang lepas, ibu bapa angkatnya meninggal dunia dalam kemalangan. Sejak itu barulah dia tahu yang dia hanyalah anak angkat. Adik-beradiknya mula memusuhinya. Kawan-kawannya juga menjauh.

Paling dia kesalkan, tunangnya meminta untuk membatalkan perkahwinan mereka kerana dia bukan anak kandung ibu dan bapanya. Akhirnya, 2 bulan lalu dia keluar dari rumah itu. Mujur dia bertemu dengan Mak Ton dan dibawa bekerja di sini.

“Najah.”

“Ya, Puan Sri.” Najah tersedar daripada lamunannya.

“Majlis walimatulurus kita buat sebulan lagi. Kamu setuju?”

“Nenda... kita buat majlis nikah saja boleh tak?” Haris membantah.

“Kenapa Haris? Malu? Buat dosa tak malu!”

Haris kelu. Setepek nenda menyindirnya. Dia mengalihkan pandang ke arah Najah. Gadis itu buat muka selamba sahaja.

“Bukan macam tu. Haris tahu Haris salah. Kami salah. Tapi biarlah kami nikah saja dulu. Bagi kami masa sesuaikan diri.”

“Dah sama-sama buat dosa, tak boleh nak sesuaikan diri lagi?”

Najah kecut perut. Tidak jadi hendak bersuara menyokong pendapat Haris. Elok juga jika mereka bernikah sahaja tanpa mengadakan kenduri.

“Najah macam mana?”

“Saya ikut saja, Puan Sri.” Hendak membantah tiada gunanya. Seribu kali menafikan tidak akan membuang hakikat yang dia ditangkap tidur bersama Haris. Yakin dirinya tidak bersalah dan tiada apa yang terjadi antara mereka, tetapi bukti sudah cukup untuk mengatakan dia bersalah.

“Nenda bagi peluang kamu berdua sesuaikan diri dulu. Majlis tu nanti kita cari tarikh lain. Nenda akan minta Yanti carikan wedding planner. Lepas selesai urusan dengan pejabat agama, pergi tengok rumah. Nenda kena pergi Seremban.” Selesai berkata-kata, Puan Sri Rokiah bangun dan keluar dari ruang makan.

Najah mengeluh kuat sebelum menjatuhkan kepalanya di atas meja makan. Kenapa dia diuji sebegini?

“Kuat sangat mengeluh. Patut kau bersyukur dapat kahwin dengan cucu orang kaya!” Sinis Haris menyindir Najah. “Jalan senang nak kaya, perangkap cucu jutawan. Jadi Cinderella sekelip mata!” tambahnya lagi.

Najah angkat kepala dengan mata mencerlung ke arah Haris.

“Saya datang sini nak cari rezeki, bukan cari calon suami. Lagipun tak hinginlah lelaki bau-bau neraka macam Tuan Haris ni.”

“Berlagak sangat. Macam confirm sangat kau tu masuk syurga. Asyik kutuk aku ni lelaki bau-bau neraka.”

Najah tergemap. Dirinya belum tentu lagi akan menjadi penghuni syurga, tetapi sibuk tentukan neraka dan syurga orang lain. Kepalanya tunduk sambil tangan menguis meja makan.

“Maaf, Tuan Haris. Saya... saya...” Najah tidak mampu menghabiskan ayatnya kerana tiba-tiba sahaja air matanya meluruh. “Saya tak nak kahwin. Saya datang sini sebab nak kerja. Lagipun...” Perlukah dia berterus terang tentang segala-galanya?

“Najah, kau fikir aku ada pilihan ke? Aku... aku memang ramai kawan perempuan, tapi tak adalah sampai ke bilik tidur. Kalau aku nak buat jahat sekalipun, bukan kat sini. Bukan kat rumah nenda,” ucap Haris dengan wajah tegang sambil meraup wajahnya.

“Kita kena kahwin ke?” Najah menghalakan matanya yang basah ke arah Haris. Kepalanya masih pening memikirkan bagaimana dia boleh tertidur sekatil di bilik itu. Dalam keadaan sangat memalukan pula.

“Demi nama baik nenda, kita kahwin.”

“Tapi...” Najah masih lagi berasa berat hati.

“Najah, nenda nampak saja kuat, tapi dia dah uzur. Dahlah dia terbeban dengan masalah kat pejabat. Janganlah tambah beban dia dengan degil kau tu. Kau ingat aku suka kahwin dengan bibik?”

“Saya orang Malaysia. Kenapa panggil saya bibik?”

“Suka hati akulah nak panggil apa.”

Sekali lagi Najah mengeluh. Dia mahukan sebuah rumah tangga yang betul-betul boleh dipanggil rumah tangga. Yang dipenuhi rasa cinta buat bakal suami. Dan begitu juga sebaliknya. Tapi saat ini mereka saling membenci. Bagaimana sebuah rumah tangga itu akan dipanggil rumah tangga jika tiada rasa cinta, sayang dan kasih?

 

“KENA PAKAI wali hakim?” Haris bertanya kepada Najah saat memandu. Mereka sedang dalam perjalanan untuk meninjau salah sebuah rumah milik Puan Sri Rokiah yang bakal mereka duduki tidak lama lagi.

“Saya anak angkat keluarga saya. Diaorang ambil saya dari rumah anak yatim,” terang Najah serba ringkas.

“Jadi, kita kena cari keluarga ayah kau ke?” tanya Haris lagi.

“Tak payah. Ayah saya anak tunggal. Tak ada saudara-mara.” Najah menjawab soalan Haris. Memandangkan lelaki itu bakal suaminya, Haris perlu tahu serba sedikit latar belakangnya. Kecuali perkara yang satu itu.

“Kalau kau ada keluarga angkat, kenapa kau boleh muncul kat rumah nenda aku?”

Najah menahan dirinya daripada sebak.

“Saya tak tahu saya anak angkat. Mak dengan ayah angkat saya meninggal dunia dalam kemalangan. Lepas kemalangan tu, baru saya tahu saya anak angkat. Baru adik-beradik saya tahu yang kami tak ada pertalian. Saya dipulaukan... sampai akhirnya saya rasa bosan, saya keluar dari rumah.”

Mereka semua tidak tahu dia anak angkat kerana nama ayah kandungnya di dalam surat beranak sama seperti nama ayah angkatnya.

“Teruknya adik-beradik kau tu. Kenapa diaorang pulaukan kau?”

“Sebab kononnya selama ni saya rampas kasih sayang mak ayah diaorang.” Najah tidak menceritakan semuanya. Tapi dia tidak berbohong. Perkara sebenarnya biarlah dia rahsiakan. Tidak mahu aib keluarga angkatnya terbongkar.

“Okey. Bagus juga kau tak ada famili. Tak adalah kau mengadu kat famili kau kalau aku buli nanti.” Haris senyum sinis. Kereta diberhentikan di hadapan sebuah rumah banglo yang agak sederhana besarnya. Banglo itu dikelilingi kawasan hijau.

Najah masamkan muka. Kurang ajar punya lelaki. Boleh kata bagus sebab dia tidak punya keluarga. Haris tidak seharusnya rasa selamat.

“Nak masuk?” tanya Haris.

“Boleh juga.” Najah terus menolak pintu kereta dan melangkah keluar.

Haris turut berbuat perkara yang sama. Dikeluarkan anak kunci dari poketnya dan membuka kunci mangga pagar kecil. Isyarat diberikan agar Najah mengekorinya. Ini rumah ketiga yang mereka tinjau. Dua buah rumah banglo sebelum ini tiga tingkat dan besar.

Najah mengekori Haris. Dia kagum melihat suasana sekeliling banglo itu yang menghijau. Ada kolam renang kecil di tepi rumah.

“Ada 5 bilik. Master bedroom aku punya.”

“Kita tak tidur sama bilik ke?” Najah tidak pelik dengan kata-kata Haris. Memang dia sudah jangka lelaki itu tidak mahu tidur sebilik dengannya.

Bibik, tolonglah sedar sikit...”

“Ya, saya sedar. Saya ni orang gaji aje. Saya tak pernah lupa.” Najah memerhatikan Haris membuka kunci pintu utama.

“Kau masuk dalam tengok. Aku tunggu kat luar.” Haris melabuhkan duduk pada buaian besi yang terdapat di situ.

“Tak masuk sekali?” Najah sedikit pelik juga dengan perangai Haris. Semasa mereka meninjau dua buah rumah sebelum ini, lelaki itu juga tidak mahu masuk bersama.

“Kau masuk aje sorang. Kalau jadi apa-apa, tak adalah kau tuduh aku ambil kesempatan.” Haris mula mengayun buaian perlahan.

Najah akur. Dia melangkah masuk.

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN DISEMBER 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah)

 

No comments:

Post a Comment