DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 28 December 2020

Umar - Bab 10


“PUAS hati?” terjah Daud apabila melihat kelibat Mia di ruang tamu sekembalinya dia daripada menghantar Umar.

“Puas hati apa?” Berkerut dahi Mia. Terkejut dia disergah begitu. Dia berhenti daripada membelek novel yang hendak dibawanya bercuti.

“Buat Umar rasa bersalah.” Daud duduk di sofa menghadap adiknya.

Mia terdiam. Dia sedar perbuatannya pagi tadi memang keterlaluan. Tapi dia terpaksa. Kalau tidak, Umar pasti tidak akan mengikut Firaz. Tiada siapa tahu di dalam bilik, bantalnya basah dek air matanya.

Sejak Umar lahir, dia akan pastikan setiap minggu dia pulang ke rumah kakaknya untuk berjumpa dengan Umar. Tamat pengajian, kebetulan dia dapat mengajar di bandar kelahirannya, dan selama 3 tahun ini, dia menjaga Umar sendirian. Tipulah kalau kata dia tidak sedih.

“Dah! Dah! Jom makan. Akak dah hidang lauk,” ajak Sara, kakak ipar Mia.

“Mia tak ada selera.” Mia terus masuk ke biliknya dengan wajah yang sugul.

Sara dan Daud saling berpandangan. Kesian juga dia melihat Mia begitu. Tentu adiknya sunyi.

“Itulah abang!” Laju Sara mencubit pinggang Daud.

“Abang tegur aje. Takkan itu pun sentap...”

“Esok-esok sejuklah dia tu,” balas Sara. Sudah 5 tahun dia berkahwin dengan Daud. Dia sudah masak dengan perangai dua beradik itu terutama adik iparnya. Tegas dan kuat sentap. Tapi sentap Mia tidak lama; cepat panas dan cepat juga sejuknya.

“Jomlah makan, abang dah lapar ni. Nanti dia lapar, pandai-pandailah dia keluar.” Mereka beriringan menuju ke dapur rumah pusaka itu.

Sementara itu, Mia di dalam bilik cuba mempositifkan fikirannya. Sekarang dia sudah tidak punya tanggungan. Dia bebas. Mia cuba senyum.

‘Ya, aku sekarang single and available wahai lelaki di luar sana. Marilah bercinta dengan aku!’ monolognya sendiri sambil memujuk diri.

“Along!” Terus Mia keluar dari biliknya mendapatkan abangnya apabila kedengaran suara kakak iparnya memberitahu bahawa mereka hendak pulang.

Hmmm, dah habis merajuk? Along minta maaf sebab terkasar tadi. Along tahu Mia terpaksa buat macam tu. Sekarang macam mana? Sedih lagi?” tanya Daud. Beg yang sepatutnya dibawa ke kereta diletakkan di tepi pintu. Daud menoleh memandang adiknya.

Mia menggeleng.

“Tapi kalau Mia rindu Umar atau Umar rindu Mia, macam mana?” lirih suara Mia.

Daud terdiam. Dia juga terasa janggal semasa pulang tadi. Rasa kekosongan. Adakah itu maknanya yang dia juga merindui Umar?

“Alah, sekolah Mia dengan Umar bukannya jauh mana. Boleh jumpa, kan?”

“Tapi... kalau orang tu tak bagi, macam mana?”

Daud menghembus nafasnya perlahan. Sebenarnya dia pun tidak tahu hendak kata apa. Dia dapat merasakan yang Firaz tidak menyukai Mia. Kemungkinan Firaz menghalang Umar untuk berjumpa Mia juga tinggi.

“Nanti along cakap dekat Firaz, tapi bukan sekarang. Nanti-nantilah,” ujar Daud. Bahu Mia ditepuknya memujuk.

Mia mengangguk lemah.

“Along!” panggilnya lagi setelah lama berdiam diri.

“Apa lagi?” Nampak sangat Daud sudah malas hendak melayan adiknya itu.

“Along ada nombor telefon orang tu tak?”

“Orang mana pulak?”

“Pak cik Umar tadi itulah. Doktor haiwan tu. Ada tak nombor telefon dia?” Beria-ia Mia meminta.

“Kenapa? Baru berkenan di hati? Itulah, tadi suruh kahwin, beria-ia tak mahu. Ada boyfriendlah bagai. Kan dah menyesal. Kalau tak, takdelah nak merindu bagai.” Menyesal dia tidak memaksa mereka tadi.

“Hesy, simpang malaikat 44! Tak hingin Mia lelaki macam tu.”

“Habis, kenapa nak nombor telefon dia?” Daud tidak jadi mengangkat beg yang diletakkannya di tepi pintu.

“Nak call Umar. Nak tanya dia okey ke tidak...”

“Oh, yang tu! Bukan dah tak mahu ambil tahu pasal Umar dah?” Daud mula mengusik. Dalam hatinya berasa lega sedikit.

“Along!”

“Tak payah risaulah. Dia okey aje dekat sana. Ada bilik sendiri macam dekat sini. Rumah pun elok, bersih, teratur dan ada air-cond lagi. Lagi selesa dari sini. Kawan Firaz pun ada, boleh tolong tengok-tengokkan Umar.” Daud menelan air liur apabila terfikirkan rakan serumah Firaz itu.

Lega sedikit hati Mia. Tapi dia hendak juga berjumpa dengan Umar sebelum berangkat ke Hat Yai. Manalah tahu kalau-kalau dia terjumpa jodoh di sana, terus tak balik Malaysia.

“Along bagilah nombor telefon. Tak pun alamat rumah dia,” rayu Mia.

“Along kena tanya Firaz dulu. Kalau dia benarkan, baru along beri ya?” Daud kembali mengangkat beg pakaiannya. Dia membawa beg itu ke bahagian belakang keretanya.

“Sah-sah dia tak benarkan. Along, please...”

Daud menggeleng. Beg dimasukkan ke dalam bonet kereta.

“Along...” Mia merengek manja.

“Tunggu along tanya Firaz dulu,” ujar Daud tegas.

“Alah... okey, takpe! Along dah cakap kat mamat tu pasal pantang larang Umar?” Mia tahu abangnya bukan mudah dipujuk rayu. Hati batu macam hatinya juga.

“Pantang larang apa?”

“Benda yang boleh dan tak boleh Umar makan. Along tak ingat apa doktor pesan 2 tahun sudah?” Mia cuba mengingatkan abangnya. Lagipun abangnya jarang menjaga Umar. Kalau jaga pun tidak sampai seminggu.

Dahi Daud berkerut.

“Lupalah tu!” Mia sudah agak.

“Maaf, along terlupa terus pasal tu.” Daud mengeluh. Sesekali dia menggeleng sesal.

“Macam inilah, Mia pergi sendiri beritahu Firaz. Along takut ada part yang along terlupa lagi. Naya Umar pula nanti.” Daud mengambil sekeping kertas dari dalam keretanya. Dia menulis sesuatu lalu dihulurkan kepada adik bongsunya itu.

Belum sempat Mia capai, Daud menarik kertas itu semula.

“Tapi... dengan syarat.”

“Apa?” Mia tidak kisah apa pun syaratnya, janji dia dapat berjumpa dengan Umar.

“Jangan buat benda pelik. Jangan dekat dengan Firaz. Jangan masuk rumah tu. Beritahu saja apa nak diberitahu, lepas tu balik. Dan jangan kidnap Umar. Dan please... jangan buat drama air mata atau drama mafia dekat sana.” Jari-jari Daud turut bergerak. Cukup lima syarat ‘jangan’nya.

“Alah, kacang!”

“Ulang balik,” Daud menyekolahkan adiknya. Sara di sebelah tersenyum sahaja melihat dua beradik itu.

“Jangan buat benda pelik, melainkan dia mula dulu. Jangan dekat dengan Firaz. Memang tak hingin pun! Jangan masuk rumah tu. Agak-agaklah... Rumah bujang, tak sanggup kena tangkap basah lagi sekali. Beritahu sahaja apa nak beritahu, lepas tu balik. Memang yalah, takkan nak berkampung dekat situ pula, kan? Dan jangan kidnap Umar. Tapi kalau Umar suruh, boleh kan? Macam mana? Puas hati?” Jari Mia juga bergerak seperti abangnya tadi.

“Kalau Umar suruh pun tak boleh! Ingat tau!”

Mia mengangguk sambil tersenyum. Esok-esok kalau rindu, bolehlah dia mengintai Umar dari jauh. Dia sendiri pun masih pening memikirkan bagaimana dia boleh tertokak lengan lelaki itu. Tapi kan... lengan itu memang menggiurkan. ‘Hesy, kena kahwin dah ni! Adam, cepatlah masuk meminang...’

Errr... along... err... err...” Mia masih menyusun kata-kata dalam otaknya. Dia masih tidak pasti sama ada hendak memberitahu Daud tentang rancangan Adam untuk masuk meminang ataupun tidak.

“Apa?” sergah Daud. Dia sudah lambat.

“Tak apalah.”

Daud hanya menggeleng. Nafas dihembus kasar. Nasiblah dia ada seorang sahaja adik.

Errr...” Mia masih tercegat di depan abangnya. Hujung baju berkedut seribu dipintal-pintalnya.

“Apa?” Kali ini nada Daud lebih lembut. Dia tahu ada perkara yang adiknya ingin sampaikan. Lagipun dengan siapa lagi adiknya hendak berkongsi cerita kalau bukan dengannya.

“Bila lagi along balik sini?”

“Hujung bulan mungkin.” Daud memandang isterinya. Sara mengangguk mengiakan. Dia kemudian memboloskan diri ke dalam perut kereta selepas salam adiknya disambut.

“Kenapa?” tanya Daud.

“Tak ada apa-apa. Saja tanya. Takut nanti along balik Mia tak ada kat rumah, pergi bercuti ke. Sekarang ni Mia kan single and free also available.”

“Alang-alang dah berjalan tu, cari jodoh sekali,” pesan Daud sebelum menggerakkan keretanya.

 ‘Hesy, along ni, tak habis-habis suruh cari jodoh. Dia tak tahu ke aku ni busy enjoying life,’ getus hati kecil Mia.

Bye Aisha...” Mia melambai-lambai kepada Aisha. Malas dia mahu memanjangkan isu tentang jodoh ini. Kalau ada, biarlah yang sebaik Adam.

Hilang kelibat Proton Saga biru milik abangnya, Mia kembali masuk ke dalam rumah. Dia perlu berkemas. Esok dia akan ke rumah Noryz dan mereka akan bertolak ke Hat Yai pada sebelah malam.

 

DI DALAM kereta, melepasi sahaja kampung itu, Sara mula bersuara.

“Abang, janganlah paksa-paksa Mia tu kahwin. Takut dia tersalah pilih calon pula nanti. Naya.”

“Calon pun takde, manalah nak tahu salah ke betul,” balas Daud.

“Kan dia cakap ada boyfriend.”

“Entah betul entahkan tak. Kalau betul, kenapa tak nak kenalkan kepada kita?” kata Daud sambil matanya fokus pada pemanduan.

“Mungkin mereka tengah nak kenal hati budi masing-masing, manalah tahu. Isy, abang ni! Macam dulu-dulu tak pernah bercinta.”

“Betul juga tu. Abang dulu pun ambil masa setahun untuk luahkan perasaan pada anje.” Daud tersenyum. Teringat dia betapa gementarnya dia untuk meluahkan isi hatinya kepada Sara.

“Tahu pun. Tapi kenapa ya... lelaki payah luahkan perasaan? Kalau dah suka, terus teranglah. Ni main tarik tali pula,” Sara menyuarakan isi hatinya.

Daud ketawa.

“Lelaki ni banyak benda yang nak kena fikir. Sebab tu akal dia sembilan, nafsu dia satu. Anje tahu tak, apabila hati seorang lelaki terdetik rasa suka kepada seorang perempuan, dia mula plan cara nak berkenalan. Dah berkenalan, dia mula kaji sama ada perempuan tu serasi ke tak dengan jiwanya, dengan keluarga dan kerjayanya. Bila semua dah okey, baru dia luahkan. Bukan apa, takut tersalah pilih,” Daud menerangkan satu per satu.

“Jadi abang tak salah pilih anjelah, kan?” tanya Sara manja walaupun dia sudah tahu jawapan Daud. Bibirnya mula menguntum senyuman.

“Salah! Salah besar. Menyesal...” Daud mendengus sambil kepala digelengkan.

“Abang!” Sara mula merajuk. Muncung bibirnya sebatu.

“Maksud abang, menyesal tak kahwin awal dengan anje. Cia... cia... cia...” Daud ketawa. Sekali-sekala hendak juga dia bersweet-sweet dengan isterinya.

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN JANUARI 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah)

No comments:

Post a Comment