DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 27 December 2020

My Bibik My Darling - Bab 4

 

“HAI, Haris.” Dayana melabuhkan duduk di sebelah Haris. Sengaja dia silangkan kakinya yang panjang itu. Dia juga sengaja memakai skirt mini untuk memancing lelaki itu. Jarang orang lelaki mahu menolak perempuan seksi sepertinya.

“Huh!” Tanpa menjeling, Haris bangun dan beralih tempat duduk. Entah apa yang nenda bincangkan dengan pak long agaknya. Lama sangat di dalam bilik bacaan. Makan malam sudah lama habis.

“Jual mahal pula!” Dayana beralih tempat duduk ke sebelah Haris. Sengaja dia geselkan dadanya di lengan Haris. Melihat lelaki itu beriak selamba, dia mencium pula pipi Haris.

“Dayana, stop!” Haris bangun. Dikesat pipinya. Terdapat kesan warna merah pada tapak tangannya. “Kau buat apa ni?” marahnya.

“You ni dengan I buat-buat jual mahal. Tapi kat kelab tu you selamba aje bergesel dengan mana-mana perempuan.” Dayana turut bangun. Selamba sahaja dia memeluk Haris. Dipeluk tubuh itu kuat-kuat agar Haris tidak boleh terlepas.

“Kau buat apa ni Dayana? Lepaslah!” Haris mahu menolak tubuh Dayana. Tetapi dia jadi serba salah. Bahagian manakah yang patut dia tolak? Hampir kesemuanya terdedah.

“Dayana. Lepas, please.”

No, biar nenda nampak. Nanti dia kahwinkan kita.”

“Kahwin?” Haris tergelak. Dia cuba melepaskan tangan Dayana namun nampaknya gadis itu begitu degil.

“Ehem.”

Haris dan Dayana sama-sama menoleh ke arah suara dehaman itu.

“Kalau nak bermesra sekalipun janganlah kat ruang tamu. Rumah ni banyak bilik.” Luzman melangkah merapati pasangan itu. Matanya tajam memandang Haris. Ibarat seekor helang mahu menyambar mangsanya.

“Kalau dah kemaruk sangat nak kat adik aku, kahwin ajelah. Mulut kata tak nak tapi perlakuan... Huh!”

“Adik kau yang buat gila. Tolong tengok guna mata bukan guna lutut. Adik kau yang peluk aku. Bukan aku. Aku pun tak hingin perempuan macam ni. Dah banyak sangat tangan usik. Dah basi!” Selamba sahaja Haris mengutuk Dayana di hadapan Luzman. Sengaja mencari fasal dengan sepupunya yang panas baran itu.

“You cakap I apa, Haris?” Dayana lepaskan pelukannya lalu menampar pipi Haris.

Haris mengelus pipinya yang pijar. “Apa yang aku cakap salah ke, Dayana? Berapa banyak lelaki yang dah rasa kau? Kau nak kata aku bohong ke?”

Dayana luruskan telunjuknya ke wajah Haris. Sakit hati dengan kata-kata Haris tadi.

“You ingat you baik sangat? You pun keluar masuk kelab sesuka hati.”

“Sekurang-kurangnya cuma keluar masuk kelab, bukan keluar masuk bilik hotel dengan lelaki. Eh silap, lelaki-lelaki...” Sinis sahaja Haris menyindir Dayana. Dia bukanlah baik sangat. Tetapi bukan juga jahat sangat.

“You!!!” Dayana mengangkat tangannya tinggi.

“Nak tampar lagi. Tamparlah.” Haris suakan pipi.

“Haris!” Luzman mencekak leher baju Haris.

“Aku cakap benda yang betul. Kau pun tak suka bekas orang, kan?” Haris pamer sengih. Dia kenal sangat dengan kedua-dua sepupunya itu. Yang seorang kaki perempuan, yang seorang lagi kaki lelaki. Sering sangat bertukar-tukar pasangan.

“Luzman!”

Luzman melepaskan Haris. Papa dengan nenda baru keluar dari bilik bacaan. Tidak dapat tumbuk Haris ditolak dada lelaki itu kasar.

“Kutuk adik aku lagi, siap kau!” Luzman beri amaran.

“Haris... jom balik.”

“Baik, nenda.” Haris terus berdiri di samping Puan Sri Rokiah. Memang sejak tadi dia tidak sabar-sabar hendak pulang ke rumah mereka.

“Mak long patut fikirkan perkahwinan Dayana dengan Haris. Tentu mak long tak nak Haris pilih perempuan tak tentu arah sebagai isteri. Nanti habis semua harta mak long kena kikis,” ucap Datuk Fuad.

Hmm.” Itu sahaja yang Puan Sri Rokiah sebut.

Haris seperti cacing kepanasan. Janganlah nenda setuju hendak kahwinkan dia dengan Dayana. Rasanya sudah berkali-kali dia beritahu nenda tentang pendiriannya. Dia menolak sebarang hubungan dengan gadis itu.

Puan Sri Rokiah hulurkan tangan bersalaman dengan anak buah dan juga cucu-cucu saudaranya. Dia menjeling Haris yang masih lagi tegak berdiri. Isyarat diberikan agar cucunya bersalaman dengan Datuk Fuad.

Akur dengan arahan nenda, Haris mendekati Datuk Fuad dan bersalaman dengan lelaki itu. Usai itu dia mendekati Luzman pula. Hanya hujung jari mereka sahaja bersentuhan. Saat Dayana menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya, cepat-cepat dia lari mengekori nenda.

Pak Murad membukakan pintu kereta untuk Puan Sri Rokiah. Manakala Haris masuk ikut pintu sebelah belakang pemandu. Usai kedua-duanya masuk, dia terus ke tempat pemandu.

“Lain kali jangan ajak Haris ikut sini. Seram dengan Dayana tu. Tak tahu malu pun ya,” omel Haris sebaik sahaja kereta meninggalkan kediaman Datuk Fuad.

“Haris rela lagi kahwin dengan orang gaji kat rumah tu daripada dia.”

Puan Sri Rokiah menoleh.

“Mak Ton?”

“Nenda sanggup ke bermenantukan Mak Ton yang sebaya dengan nenda?”

“Kalau Allah dah tetapkan jodoh Haris dengan Mak Ton, mana nenda boleh tolak.”

Kedengaran ketawa dari tempat duduk pemandu. Pak Murad mengintai wajah Haris dari cermin pandang belakang.

“Kahwinkan aje Pak Murad dengan Mak Ton. Barulah ngam. Bagai pinang dibelah dua. Haris... solo sampai bila-bila.” Haris sandarkan tubuhnya ke belakang. Buat tidak tahu akan jelingan Puan Sri Rokiah. Sebut fasal jodoh memang dia tidak pernah fikirkan.

“Kalau Haris terus macam ni, pak long akan terus desak nenda. Haris tahu kan kenapa pak long nak sangat kahwinkan Dayana dengan Haris.”

Haris ukir sengih di hujung bibir. Memang dia tahu kenapa. Dan kerana itu Dayana memang tak akan pernah berada dalam senarai calon-calon bakal isterinya.

“Kalaulah pak long tahu...”

“Ehem...” Puan Sri Rokiah berdeham panjang. “Murad, singgah pasar raya. Saya nak tengok pekerja closing shift.”

Haris menoleh ke arah nenda. Sekilas dia memandang wajah nenda yang beriak serius sebelum kembali memakukan matanya ke luar kereta, melihat pemandangan kota Kuala Lumpur pada waktu malam.

 

“BUATKAN AKU susu. Hantar kat bilik aku,” arah Haris kepada Najah yang sedang menutup pintu.

Mata menjeling jam antik di sudut ruang tamu. Jam 11 malam. Sebentar tadi dia mendapat pesanan WhatsApp daripada Noah dan Leon, mengajak dia untuk ke kelab malam. Malas pula rasanya hendak keluar.

“Haris, fikirkanlah tawaran nenda. Kalau boleh, jangan tolak.”

Haris mengeluh. Kalau boleh nendanya itu bermakna dia tidak boleh tolak. Alasan malas hendak ke pejabat kerana tidak mahu menghadap wajah Datuk Fuad sudah tidak boleh diterima pakai. Tiada alasan lain untuk dia terus melepak di rumah lagi.

“Bagi Haris masa untuk fikir.”

“Nenda nak jawapan segera.” Puan Sri Rokiah sempat mengingatkan Haris sekali lagi sebelum langkah meniti anak tangga ke tingkat atas.

Sekali lagi Haris mengeluh. Nenda mahukan jawapan segera. Dia perlukan masa untuk berfikir. Kalau boleh seminggu atau dua minggu... atau sebulan. Bekerja, bermakna dia tidak lagi punya masa untuk bersosial.

“Kau tercegat apa? Buatlah susu aku cepat!” bentak Haris kasar. Sejak tadi Najah berdiri tegak di sebelahnya.

“Ba... ba... baik, Tuan Haris.” Najah urut dadanya. Terkejut dengan bentakan Haris sebentar tadi. Salah dia juga kerana asyik menelinga perbualan antara Haris dan Puan Sri Rokiah. Cepat-cepat dia melangkah ke dapur.

Haris memerhatikan Najah menghilang ke dapur. Orang gajinya ini asyik buat dia marah sahaja. Kaki diayun meniti anak tangga naik ke tingkat atas dan terus menuju ke biliknya.

Sampai sahaja di bilik, dia meletakkan fail yang diberi nendanya tadi ke atas meja kerja. Fail yang mengandungi maklumat tentang pasar raya yang dibeli nenda. Kerusi ditarik dan dia melabuhkan duduk.

“Kalaulah pak long tahu hal sebenarnya...” Haris meraup wajahnya. Mahu sahaja dia membuka rahsianya agar tidak dikejar oleh Dayana dan juga Datuk Fuad. Tetapi nenda melarangnya.

Laci meja kerja dibuka dan mengambil bingkai gambar. Senyuman terukir sebaik terlihat imej pada gambar itu.

“Haris rindu ibu.”

Kemudian, bingkai gambar diletakkan kembali ke dalam laci. Dia mengambil sesuatu dari ruang bawah mejanya. Sebuah anak patung beruang yang nampak kusam. Patung tadi dibawa ke katil dan dipeluk seeratnya.

“Haris rindu ibu. Kalau ibu ada, mungkin nasib Haris tak macam ni.” Haris pejamkan matanya.

Tok! Tok! Tok!

Tiada jawapan. Najah menolak pintu bilik Haris perlahan. Mata tertancap pada meja kerja lelaki itu. Tiada bayangan Haris sedang membuat kerja. Susu diletakkan atas meja itu. Mungkin lelaki itu di bilik mandi.

Sebaik hendak menoleh baru dia perasan tubuh seseorang di atas katil. Kaki merapati katil perlahan.

“Ibu... Haris rindu ibu.”

Najah berdiri di sisi katil. Haris sedang baring sambil memeluk patung beruang. Entah kenapa dia rasakan dirinya menjadi sebak melihat lelaki itu merintih.

“Kita sama. Saya pun rindukan ibu saya.” Perlahan cecair jernih mengalir laju menuruni pipinya. Dia melangkah lebih rapat lagi ke katil.

“Haris rindu ibu.” Jelas esak tangis Haris.

Najah mengesat air matanya. Tidak menyangka di sebalik serius dan bengis lelaki itu, wujud jiwa yang sangat halus. Tubuh dibalikkan dan dia terus keluar dari bilik itu.

No comments:

Post a Comment