DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 27 December 2020

My Bibik My Darling - Bab 8


BUNYI bising dari ruang tamu mengejutkan Najah yang sedang menyudahkan kerjanya mengemas dapur. Pukul 1 pagi, Puan Sri Rokiah meminta dia mengambil cawan kotor dari bilik bacaan tadi. Cawan yang sudah dilap dimasukkan ke dalam kabinet.

Lekas dia mengambil selendang lalu dililitkan ke kepala. Usai itu dia mengatur langkah ke ruang tamu.

Oh my darling I love you...”

Buntang mata Najah. Haris sedang menari sambil mulut bising menyanyi. Apa yang kelakarnya, lelaki itu menyanyi lagu Hindustan. Najah tergelak kecil.

“Kenapa kau gelak, hah?” Haris cuba berdiri namun agak tidak stabil. Sekejap tubuhnya hampir tumbang ke kiri dan seketika kemudian hampir tumbang ke kanan. Jari telunjuk lurus dihalakan ke wajah Najah.

“Bahana arak. Buat orang waras jadi gila,” ucap Najah sambil bersilang lengan.

“Kenapa kau cakap aku gila, hah!”

Najah tidak menjawab. Dia biarkan saja Haris seperti itu. Sudah biasa berdepan dengan situasi begitu. Tangan Haris ditarik dan dibawa lelaki itu duduk di sofa. Dia harus minta bantuan Mak Ton untuk membawa Haris naik ke tingkat atas.

“Eh, Mak Ton tak ada.” Najah menghentikan langkah. Dia menoleh ke arah Haris di sofa. Lelaki itu sedang meracau sambil memejamkan mata.

“Biar ajelah dia tidur kat sofa. Dah waras nanti pandai-pandailah dia cari bilik dia sendiri.” Langkah yang tadi terhenti disambung.

“Hoi bibik, mana Milo aku, hah!”

Najah menoleh. Mabuk-mabuk pun sibuk tanya fasal air Milo. Terus ditolehkan kepalanya. Haris sedang berusaha memanjat anak tangga dalam keadaan mabuk. Tidak sempat mendaki anak tangga kedua, lelaki itu hampir terjatuh kerana hilang kawalan.

Najah segera berlari mendapatkan Haris. Terus dia memaut pinggang lelaki itu. Sebelah tangan Haris diletakkan di bahunya. Bau arak yang kuat menusuk hidung. Hampir termuntah dia saat lelaki itu sendawa.

“Kau ni seksi. Sebab tu Luzman tergila-gilakan kau.” Satu demi satu anak tangga Haris daki. Langkahnya terasa berat. Sama berat dengan kepalanya saat ini.

“Dia tahu kau masih anak dara. Pasti dia takkan lepaskan kau. Silap-silap, esok lusa dia longgok emas permata depan kau.”

Walaupun percakapan Haris agak kurang jelas dan lelaki itu lebih kepada membebel, Najah faham akan apa yang Haris maksudkan. Mak Ton sudah ceritakan tentang Luzman kepadanya.

“Dia ingat maruah diri saya boleh dibeli dengan emas permata kut.” Dengan susah payah Najah membantu Haris. Sudahlah tubuhnya halus sahaja. Segenap tenaganya dikerah untuk membantu lelaki itu meniti anak tangga.

“Habis tu, maruah kau boleh dibeli dengan apa? Pasti ada harganya kan? Burp!” Haris sendawa.

Bau yang keluar daripada mulut Haris membuatkan Najah hampir termuntah. Dia cuba menutup mulut. Tangannya melepaskan pinggang Haris. Akibatnya mereka berdua hampir terjatuh ke belakang. Mujur sempat dia berpaut pada pemegang tangga.

“Tuan jangan sendawa, boleh tak?”

Haris tidak menjawab. Dia hanya ketawa sahaja.

“Tuan ni beratlah. Berat dosa. Tuan tahu tak minum arak tu berdosa. Cuba bawa-bawa bertaubat. Muka kacak stok ustaz tapi perangai serupa setan. Orang banyak dosa ni masuk neraka, tahu tak!” Najah membebel-bebel sambil membantu Haris. Kenapa dia rasa hari ini anak tangga begitu banyak? Mereka baru di pertengahan tangga.

“Kau suka aku ke?”

“Taklah. Mana ada saya suka tuan. Tuan Haris tu tak ada ciri-ciri lelaki yang saya suka. Saya nak suami yang mampu jadi imam untuk saya.” Soalan Haris dijawab dengan jujur. Tidak kisahlah lelaki itu akan ingat ataupun tidak. “Tuan tu bau-bau syurga pun belum ada.”

“Macam mana kalau kau dapat suami macam aku, lelaki bau-bau neraka? Kau nak buat apa? Kau nak marah aku? Atau kau nak marah takdir?”

Najah terdiam. Dalam keadaan mabuk, sempat lagi lelaki itu melontarkan kata-kata yang membuatkan dia berfikir. Ujian Allah datang dalam pelbagai cara.

“Tuan Haris ni mabuk ke tak, hah?”

“Hahaha... burp!”

“Eee... busuk!” Sekali lagi Najah hendak termuntah. Ditahan nafasnya buat seketika. Dua anak tangga lagi mereka harus daki.

Oh my darling I love you...” Haris mula menyanyi lagi.

“Lagu Hindustan lagi.” Najah memaut pinggang Haris kuat-kuat. Boleh pula lelaki itu berjoget di atas tangga. “Tuan berdiri elok-elok, boleh tak? Ni kan tangga. Kalau jatuh, macam mana?”

“Baik, darling.” Haris buat isyarat zip mulut.

“Panggil darling pula...”

Akhirnya mereka sampai di tingkat atas. Najah membiarkan lelaki itu terduduk di lantai sementara dia mengambil nafas.

Darling... jomlah kita masuk bilik. Tak sabar ni...”

Bulat mata Najah. Terus dia tutup mulut Haris daripada terus bercakap. Habis dia kalau Puan Sri Rokiah dengar. Nanti dia dituduh mengambil kesempatan pula. Dahi dikerutkan. Pelik dengan ajakan Haris. Mungkin lelaki itu pernah membawa perempuan masuk ke dalam bilik sebelum ini.

Mmmuah...” Haris melayangkan flying kiss ke arah Najah.

Najah bercekak pinggang. Orang mabuk memang tidak sedar apa dah. Masa waras panggil bibik, siap marah-marah. Waktu tidak waras, panggil darling. Siap bagi ciuman terbang lagi.

“Jom, kita masuk bilik.” Najah menarik tangan Haris agar bangun.

Yeay... kita masuk bilik!” Haris bangun dengan bantuan Najah.

“Saya hantar tuan masuk bilik tuan. Bukan kita masuk bilik.” Najah memaut pinggang Haris kuat-kuat. Entah apa yang lelaki itu racaukan, dia tidak tahu. Perlahan dibawa tubuh Haris masuk ke dalam bilik lelaki itu dan terus sahaja menolak perlahan tubuh itu ke atas katil.

Heaven...” Haris baringkan tubuh.

Heaven mangkuk ayun. Hell adalah!” Najah melabuhkan punggung kasar ke birai katil. Habis kudratnya dikerah semata-mata membawa Haris ke bilik. Nafasnya turun naik kepenatan.

“Hausnya aku.” Najah mencapai botol mineral yang terletak di atas meja tepi katil. Setiap bilik tidur di rumah ini memang disediakan air mineral. Dan dia yang meletakkan botol baharu siang tadi. Penutup botol dibuka dan air diteguk rakus. Habis satu botol air diminumnya. Tidak lama kemudian, dia merasakan kepalanya terlalu berat. Hendak buka mata pun dia tidak mampu. Hai, takkanlah baru tolong orang mabuk, dia pun sama-sama rasa mabuk?

“Hoi, tumpang baring kejap. Sakit pula kepala aku ni tiba-tiba.”

“Sini... baring sini.” Haris menepuk lengannya dengan mata yang terpejam.

Najah memanjat katil. Haris didekati dan dia menjatuhkan kepalanya ke bahu lelaki itu. Selamba sahaja tangannya memeluk pinggang Haris. Sakit di kepalanya membuatkan dia mamai dan lupa keadaan sekeliling.

“Sibuklah tudung kau ni!” Haris mencabut tudung yang membaluti kepala Najah. Usai itu, dia mendaratkan hidungnya ke ubun-ubun kepala gadis itu.

“Aku bawa kau pergi syurga nak?” Haris memeluk tubuh Najah.

“Nak.”

No comments:

Post a Comment