DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 28 December 2020

Umar - Bab 3


“AH!!!” Sampai di rumah, Mia menjerit melepaskan geramnya. Hatinya sakit dengan sindiran Pak Mat dan Mak Munah. Pasti esok berita sensasi itu telah tersebar di seluruh kampung. Mulut Mak Munah bukan boleh ditutup. Semua akan ditularkannya.

Mia beristighfar. Dadanya diurut lembut. Dia perlu banyak bersabar. Bukan mudah untuk menjaga anak yatim piatu seperti Umar. Tambahan lagi dia seorang diri.

Bagi menghilangkan aura negatif, Mia terus membersihkan diri dan bersolat asar. Dalam doanya dia bermohon agar diberi kesabaran dalam setiap tingkah lakunya.

Selepas setengah jam, Umar pulang. Bajunya kotor terpalit tahi ayam bercampur lumpur. Baunya pun boleh buat Mia migrain.

“Pergi mandi. Baju dan seluar tu rendam. Taruh sabun. Esok kau cuci,” arah Mia.

Umar akur. Dia sendiri tidak tahan dengan bau badannya. Hilang selera hendak makan ayam seminggu.

“Badan tu gosok dengan berus. Selagi tak hilang bau busuk tu, selagi tu kau duduk dalam bilik air.”

Umar tidak membalas. Dia masih bingung.

“Mak su, lapar...” Umar bersuara takut-takut setelah selesai mandi. Baju pijama yang tersarung elok di tubuh, digentel hujungnya. Risau jika ibu saudaranya tiba-tiba melancarkan perintah berpuasa. Lebih kejam lagi, jika mak sunya menyuruh dia makan saja dedak ayam Pak Mat. Hesy, tak sanggup!

“Bawah tudung saji tu ada nasi goreng. Makanlah.”

Tudung saji berbagai warna itu Umar angkat. Terhidang semangkuk Nasi Goreng Kampung.

“Mak su... makan,” pelawa Umar lembut.

“Makanlah, mak su ada kerja,” Mia memberi alasan. Sebenarnya seleranya hilang sejak semalam lagi. Jiwanya kacau gara-gara pak cik Umar yang mengatakan hasrat untuk berjumpa dengan Umar. Dapat dirasakan perkara buruk akan berlaku.

Usai makan, seperti biasa Umar menghadap televisyen. Tangan dan kakinya yang sengal-sengal diurut perlahan. Malam itu dia dibenarkan tidur lewat. Esok hari Sabtu, tidak sekolah.

“Umar penat ya?” Mia melabuhkan diri di sebelah anak saudaranya. Sudah 3 tahun dia menjaga Umar sendirian.

Umar mengangguk perlahan. Matanya masih tertumpu pada kaca televisyen.

“Itulah, tak pasal-pasal menyusahkan diri. Kan mak su dah pesan, jangan main dekat rumah orang. Kalau nak sangat main, pergi main bola di padang.”

“Umar tak main dekat rumah Atuk Mat. Umar tolong aje. Dahlah tak cakap terima kasih.”

“Tolong? Tolong apa?”

“Tolong keluarkan ayam-ayam itulah. Kesian diaorang terkurung macam duduk dalam penjara. Sempit-sempit macam tu. Ayam-ayam tu pun nak kebebasan. Umar dah beritahu Atuk Mat yang ayam-ayam dia terseksa terkurung macam tu. Atuk Mat buat tak tahu aje. Nenek Munah pun sama. Jadi Umar keluarkanlah ayam-ayam tu. Suka ayam-ayam tu dekat Umar,” Umar menceritakan segala-galanya.

Terbeliak mata Mia. Beristighfar panjang dia.

 

PAGI-PAGI lagi Mia mendapat panggilan daripada abangnya.

Call balik... call balik! Tengah drive!” jeritnya sebelum mematikan panggilan. Sejak kemalangan yang berlaku 3 tahun yang lepas, dia lebih berhati-hati.

“Siapa tu?” Umar yang duduk di bahagian penumpang bertanya. Mukanya berkerut tidak puas hati dengan cara Mia menjawab panggilan. Tiada salam, tiada helo. Main terjah sahaja.

“Pak long. Nak apa entah call pagi-pagi ni,” sambung Mia sambil mata melihat kiri dan kanan sebelum membelok masuk ke simpang besar. Sebenarnya dia sedang berdebar-debar. Entah berita apa yang bakal dikhabarkan oleh abangnya itu. Dia pasti, ia berkenaan Umar.

“Atuk Mat mengadu kat pak long kut,” Umar menyerkap jarang.

Takde maknanya orang tua tu nak habiskan kredit dia telefon pak long kau. Kedekut yang amat. Melainkan dia suruh pak long call balik.”

“Nanti mak su beritahulah pak long ya yang Umar nak selamatkan anak ayam tu. Bukan saja-saja.” Umar mula cuak. Memang dia jarang berjumpa pak longnya, tetapi lelaki itu selalu ambil tahu hal dia dengan ibu saudaranya itu.

“Okeylah hero ayam. Tapi lain kali jangan buat lagi.”

Promise!”

Selesai memarkirkan kereta, terus Mia menghubungi abangnya.

“Ya, along...”

“Malam ni Mia free tak?”

Berkerut dahi Mia. Selalunya abangnya itu tidak bertanyakan soalan pelik-pelik begitu. Macam orang buang tabiat sahaja. Jangan-jangan...

Abangnya dah buat balik perangai nak memadankan dia dengan mana-mana lelaki yang dia jumpa agaknya! Oh, tidak!

“Macam biasa, ada kelas tambahan,” jawab Mia.

“Batalkan!”

“Hah!” Tidak pernah Daud menghalang pergerakannya. Ini mesti Pak Mat buat hal, mengadu tentang Umar kepada ketua kampung. Tidak pun kepada mak budak-budak yang diajarnya. Selepas itu, mereka tidak benarkan anak mereka belajar di balai raya lagi.

“Kau balik, masak sedap-sedap. Kita ada tetamu malam ni.”

“Tetamu? Siapa?” Makin berdebar-debar jantung Mia. Minta-minta bukanlah pak cik Umar.

“Adalah. Masak sedap-sedap tau. Hah! Mia masak tempoyak ikan patin. Lama along...”

“Along, cakaplah siapa? Lelaki ke perempuan? Berapa orang?” potong Mia. Bukan hendak berkurang ajar, tetapi dia perlu tahu siapa tetamunya.

“Lelaki, seorang dua orang aje. ”

“Along! Along jangan macam-macam ya. Jangan nak kenen Mia dengan kawan-kawan along. Karang Mia lari dari rumah.” Bukan tidak pernah abangnya itu buat perangai. Diajaknya keluar makan, rupa-rupanya ditinggalkan makan bersama kawan lelaki Daud itu. Blind datelah konon. Macamlah dia tua sangat. Beria-ia Daud menyuruh dia berkahwin. Terlupa kut dia baru 28 tahun. Tak tua mana pun!

“Eleh, jangan nak perasan, boleh tak? Dia datang bukan nak tengok Mia, dia nak tengok Umar.” Cepat-cepat Daud membetulkan.

“Tengok Umar? Abang arwah Abang Arman ke yang nak datang?”

“Dahlah, nanti along cerita.” Daud terus mematikan panggilan. Karang panjang pula ceritanya.

‘Tengok Umar? Tengok saja, kan? Bukan hendak ambil terus Umar, kan?’ Kepala Mia mula berdenyut-denyut. Aduh... tidak pasal-pasal dia diserang migrain.

 

HAMPIR MASUK waktu rehat. Mia masih sibuk memeriksa jadual kedatangan pelajar. Segalanya perlu diisi dalam komputer. Sedang leka dia bekerja, telefon bimbit lamanya berbunyi. Memang sudah lama dia menggunakan telefon itu. Sejak zaman sekolah menengah lagi.

“Pisang emas pisang awak, hai awak!”

Mia tersenyum. Dia sudah tahu siapa pemanggilnya. Lelaki yang baru hadir kembali dalam hidupnya. Sebenarnya Adam pernah menjadi crushnya suatu masa dahulu. Lama mereka terputus hubungan. Entah bagaimana, tiba-tiba mereka berhubung semula. Tapi kali ini bukan seperti dahulu. Apek itu telah masuk Islam dan sudah pandai mengayatnya. Tidaklah dia bertepuk sebelah tangan. Kalau ada jodoh, insya-Allah ke jenjang pelamin.

“Pantun awak ke lautlah.”

“Laut-lautlah... janji takde katak, saya nak cakap saya rindu awak.” Tidak habis-habis Adam dengan pantun mengarutnya. Sudahlah mengarut, confident pula tu. Rosak bahasa jadinya.

“Boleh percaya ke?”

“Boleh, meh sini awak dengar degupan jantung saya.” Adam menekap sebentar telefon bimbitnya ke dada. “Dengar tak?” tanyanya setelah hampir seminit dibiarkan Mia mendengar degupan jantungnya.

“Dengar apa?” Mia buat-buat tidak dengar. Lagipun telefon Mia jenis lama, bukan dengar sangat pun.

“Degupan jantung sayalah. Dengar tak tadi? Bunyi dia macam ni... rindu... rindu... rindu...”

Mia tersenyum. Sejak dahulu lagi Adam tidak berubah. Ada sahaja ayat yang membuatkan dia tertawa. Stres memikirkan perihal kedatangan pak cik Umar bagaikan terus hilang apabila mendengar suara Adam. Magisnya!

“Banyaklah awak punya rindu. Semalam saya call, awak tak angkat.” Penat Mia mendail nombor Adam, kononnya hendak mengadu tentang Umar. Dapatlah hilangkan stres dengan pantun mengarut Adam itu. Rupanya tidak. Lagi stres dia apabila lelaki itu tidak menjawab panggilannya.

“Saya ada meeting dengan client. Habis pun dah lewat malam. Nak call balik, takut mengganggu awak tidur. Anak awak buat hal ke?” Memang Adam tahu yang Mia ada anak dan dia tidak kisah pun berkawan dengan Mia. Itu yang membuatkan Mia tertarik hati untuk terus melayan lelaki itu. Lagipun melalui telefon sahaja. Mereka tidak pernah berjumpa pun.

“Yalah, apa lagi...”

“Kesian awak ya. Seorang diri jaga anak awak tu. Cepat-cepatlah kahwin, ada teman tanggung suka duka bersama,” ujar Adam setelah mendengar keluhan kecil Mia.

“Agak-agaklah. Awak ni macam abang saya, asyik nak suruh saya kahwin aje. Masalahnya, ada ke yang nak tanggung suka duka bersama? Yang ada berlambak nak suka saja, duka siapa nak?”

“Saya nak!” Penuh confident Adam menjawab.

“Agak-agaklah. Kita kenal pun tak.” Adam ni buat lagi streslah. Sudahlah Mia runsing memikirkan kerja, kenakalan Umar, kedatangan pak cik Umar lagi... sekarang Adam tambah dengan janji-janji manis pula.

“Awak, kita jumpa, nak? Lagipun bulan depan saya ada kerja dekat tempat awak.”

Mia terdiam. Dia masih sangsi dengan kejujuran Adam. Mudah sangat lelaki itu menerima Umar.

“Entahlah awak. Nanti-nantilah saya fikirkan. Ni serabut fikirkan pasal anak saya pun tak habis-habis lagi.”

“Okey. Malam karang saya call awak lagi ya,” ujar Adam dengan nada hampa.

“Belajar tinggi jadi tauke, bye-bye take care...” sambung Adam sebelum mematikan panggilan.

Bye.” Mia hanya tersenyum sinis. Seriuskah Adam ingin melamarnya? Tidak takutkah lelaki itu untuk memikul tanggungjawab menjadi bapa segera? Skrin komputer Mia tenung lama.

Tiba-tiba mejanya diketuk. Tersentak Mia.

“Nak karipap?” Sebungkus plastik Jane hulurkan kepada rakan sekerjanya. Niatnya tadi hendak mengajak Mia makan terbantut apabila melihat kawannya itu sedang asyik berbual dengan seseorang di telefon.

“Ke dah kenyang makan layanan pakwe?”

Mia hanya tersenyum. Sebiji karipap diambil lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Orang sudah pelawa, tidak baik kalau tidak ambil. Rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari.

“Selalu lepas dapat call, kau senyum melirik. Hari ni mendung pulak. Apa kes?”

Mia menarik Jane duduk di sebelahnya. Adakalanya pendapat rakannya itu boleh dipakai.

“Dia ajak aku keluar. Kau rasa dia serius ke?” tanya Mia perlahan.

“Kau rasa?” soal Jane balik.

“Aku tanya dia, dia tanya aku balik...” Mia mengeluh.

“Kata orang, tepuk dada tanya selera. Lagipun korang baru kembali kenal, kan? Selami hati budi dahulu.” Sebenarnya sudah lama mereka berkenalan. Hanya baru-baru ini mereka makin kerap berkomunikasi.

“Kau tahu kan berapa ramai yang cuba tackle aku lari bila aku cakap aku jaga Umar...” Mia mengeluh lagi.

“Kau relaks saja okey. Just go with the flow. Jangan menaruh harapan sangat. Aku takut kau kecewa.” Jane menepuk manja bahu Mia.

Mia mula tersenyum. Ada betul juga kata kawannya ini. Just go with the flow...

Habis sahaja waktu persekolahan, seperti biasa Mia menjemput Umar.

“Kita nak pergi mana ni, mak su?” tanya Umar apabila melihat kereta melencong jauh dari simpang masuk Kampung Hutan Cengkih.

“Kita pergi pasar raya kejap. Mak su nak beli barang. Nanti Umar tolong mak su ya?”

“Boleh! Tapi kita pergi makan dululah, mak su. Umar lapar. Nanti kalau tak makan, badan Umar kurang zat dan jadi kurus kering tinggal tulang. Macam mana Umar nak tolong mak su angkat barang? Barang tu lagi berat daripada Umar.” Umar mengusap lembut perutnya.

“Ya ke, kurang zat ya... banyaklah kau punya cengkadak! Ingat Umar seorang ke yang lapar, mak su pun lapar. Kita makan dekat food court sajalah. Senang.” Mia bersyukur Umar tidak banyak kerenah dalam soal makan. Apa yang dihidang, Umar layan sahaja, tolak kayu dan batu.

“Mak su nak beli apa?”

Mia memberitahu menu yang diminta abangnya. Dia turut menambah beberapa menu lagi.

“Belilah tembikai buat pencuci mulut,” Umar memberikan cadangan.

“Malaslah nak potong-potong bagai. Senang cari buah yang terus boleh ngap masuk mulut. Cuba Umar teka?” Sengaja Mia menyuruh Umar berfikir.

“Hesy... mak su ni bagi teka-teki pulak. Penatlah nak fikir. Nanti otak Umar kurang stamina nak buat kerja sekolah,” Umar merungut.

“Apalah, itu pun tak tahu. Anggurlah. Senang. Basuh, kemudian hidang,” ujar Mia sambil tersenyum kemenangan.

No comments:

Post a Comment