DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 28 December 2020

Umar - Bab 2


“UMAR, makan!” jerit Mia dari dapur. Malam ini dia masak lauk ayam masak lemak cili padi bersama kentang. Hanya semata lauk mereka. Sejak sekolah mula dibuka, dia semakin sibuk.

Laju Umar berlari ke dapur. Lama sudah perutnya berlagu rock and roll. Dia sedar ibu saudaranya itu sibuk. Pulang sahaja dari sekolah, terus ke balai raya, mengajar kelas tambahan. Hampir maghrib baru pulang.

“Hari ni rezeki kita ni aje. Sorry ya, mak su sibuk kebelakangan ni.” Lauk dari dalam periuk dipindahkan ke dalam mangkuk lalu dihidangkan ke atas meja.

“Umar tak kisah. Apa-apa pun Umar makan. Lain kali kalau mak su sibuk, tak payahlah masak. Kita oder aje,” Umar memberi cadangan sebaik membasuh tangan.

“Oder?”

“Ya, oder! Piza ke, McD ke, KFC ke? Foodpanda!” Kerusi Umar tarik lalu duduk menghadap ibu saudaranya itu.

“Mak su ni bukannya loaded. Lagipun tak eloklah makan fast food selalu. Kalau teringin nak masuk hospital buatlah.” Satu jelingan Mia hadiahkan. “Nanti kalau Umar tak duduk di sini lagi, mak su harap Umar ingat apa doktor cakap pasal pemakanan Umar.”

Umar terus terdiam. Tambahan pula apabila isu hospital menjadi topik perbualan. Tidak sanggup dia melihat mak sunya susah hati apabila dia dimasukkan ke hospital 2 tahun yang lepas.

Umar mula tertanya-tanya, apakah maksud kalau dia tidak duduk di sini? Adakah mak sunya hendak menghantar dia ke rumah anak yatim? Umar mula rasa tidak sedap hati.

“Wah, masak lemak ayam! Sedap ni.” Umar memang pandai mengambil hati. Dia tidak mahu tinggal di rumah anak yatim. Pinggan ditariknya rapat dan bersedia untuk menamatkan konsert rock and roll dalam perutnya.

“Baca doa dulu!”

Umar tidak jadi mencekau paha ayam. Dia terus menadah tangan membaca doa serta maknanya sekali. Mia turut menadah tangan mengaminkan bacaan doa anak saudaranya itu.

“Sedap?” soal Mia setelah makan beberapa suap.

Umar tidak menjawab. Dia hanya menaikkan ibu jarinya sahaja.

“Makan elok-elok,” ujar Mia lalu sambung makan. Tiba-tiba dia tersedak. Berlari dia mengambil air. Diminumnya separuh gelas. Lega. Ada orang menyebut nama dia agaknya. Siapa? Adam?

Mia kembali tersenyum. Teringat perbualannya dengan lelaki itu minggu lalu. ‘Mak, hati Mia dah ada orang tanam pokok bunga. Harap-harap kali ni bukan bunga tahi ayam.’

“Mak su!”

Mia tersentak.

“Ya... ya... apa?”

Umar menunjukkan pinggan nasi Mia yang masih bersisa.

“Tak baik makan tinggal macam tu. Kan mak su yang ajar Umar, membazir tu amalan syaitan.”

“Mak su nak sambung makanlah.” Mia kembali duduk.

Selesai makan, Umar bangun untuk membasuh tangannya di singki. Licin pinggannya, tinggal tulang ayam saja dibiarkan di atas meja.

“Ni pinggan ni, takkan tinggal aje dekat sini? Sekurang-kurangnya tolonglah bawa ke singki. Tolong-menolong amalan mulia, dah lupa?” Mia mengenakan Umar semula.

“Umar tahulah! Umar basuh tangan dulu supaya bila pegang pinggan tak lucut. Kalau pecah nanti, macam mana? Mak su jugalah yang susah, kan?” Pandai betul Umar menjawab. Sebenarnya dia terlupa tadi. Hendak cepat sangat ke ruang tamu. Drama kegemarannya sudah hendak mula. Dituangnya segelas air lalu dibawa ke ruang tamu. Mahu minum sambil menonton.

Sedang asyik Umar melayan drama kegemarannya yang telah terlepas beberapa minit, Mia berpeluk tubuh di depan televisyen.

“Tengok jam,” tegas dia bersuara.

Terus mata Umar terkalih ke jam di dinding. Sudah pukul 10.30 malam. Kemudian Umar kembali menghadap dramanya di sebalik tubuh ibu saudaranya itu. Dapat tengok sikit pun jadilah. Tengah babak saspens pula tu.

“Dah... geraklah,” arah Mia selari dengan gerak matanya menghala ke bilik Umar. Dia masih di posisi yang sama.

Berkerut dahi Umar. Digerakkan kepalanya sedikit ke tepi. Matanya masih ke arah kaca televisyen.

Tet! Mia menekan butang di televisyen. Serta-merta televisyen itu gelap. Senyap dan sunyi.

“Mak su!”

“Dah, pergi masuk!”

“Ala... baru 10.30. Sikit aje lagi cerita tu. Bukalah mak su. Hero dengan girlfriend dalam bilik kena tangkap dengan pak imam. Tengah saspens tu...” Umar tidak puas hati.

“Saspens mapen. Dah, masuk tidur!”

“Ala... mak su, Umar nak tengok apa jadi lepas tu. Cepatlah mak su buka balik TV tu.” Umar terus merayu. Riak kasihan dipamerkan.

“Lepas tu mereka kahwin.”

“Macam mana mak su tahu?” Mata Umar menjeling sekilas ke arah satu-satunya adik arwah ibunya itu. Dia masih tidak puas hati. Drama itu dilayannya sejak cuti sekolah lagi. Tinggal beberapa episod sahaja hendak habis. Kata orang, tengah babak klimaks.

“Mak su tahulah. Mak su ni dah lama makan garam, gula, nasi. Sekilas ikan di air, sudah kutahu nak masak apa. Biasalah drama, kalau kena tangkap basah, sure lepas tu kena kahwin punya. Tak percaya? Nak bet? Siapa kalah, cuci pinggan seminggu.” Mia rasa tahap keyakinannya sudah separas KLCC. Lagipun kalau kalah, setakat cuci pinggan aje pun.

“Tak mahulah.” Umar bangun, melangkah lemah ke biliknya. Sempat dia menjeling ke arah Mia. Mukanya masam seperti tapai basi. Kakinya dihentak sedikit tanda protes. Tidak ada guna dia terus merayu. Ibu saudaranya itu tidak makan saman. Walaupun ibu saudaranya itu garang, Umar tahu dia disayangi. Lagipun mereka berdua sudah tiada sesiapa lagi di dunia ini selain keluarga pak longnya.

“Kerja sekolah dah siap?”

“Dah,” Umar menjawab lemah.

“Buku dah susun?”

“Dah.”

“Bekal air dah isi?”

“Dah.”

“Mak su dah salam?”

“Da...” Umar tidak jadi masuk bilik. Dia berpatah balik menyalami ibu saudaranya itu dengan senyuman di bibir.

Mia turut mengucup dahi Umar.

Good night, prince charming. Jangan lupa baca doa sebelum tidur,” pesan Mia sambil mengiringi anak saudaranya masuk ke dalam bilik.

 

RUTIN HARIAN Mia berjalan lancar walaupun hatinya masih tidak sedap mengenangkan perjumpaan abangnya dengan Peguam Zulkarnain minggu sudah. Hendak ditanya kepada abangnya, takut. Takut perkara yang menghantuinya terjadi.

Petang itu Mia bercadang pulang awal. Sudah 4 hari dia pulang lewat. Bahunya terasa semakin tegang. Diurut manja bahunya. Anak murid yang terdiri daripada anak penduduk kampung itu diamatinya satu per satu. Tidak ramai, hanya 8 orang sahaja.

Kelas tambahan itu khas untuk anak-anak penduduk yang bakal menduduki peperiksaan besar tahun ini. Mia sebagai anak jati Kampung Hutan Cengkih yang juga sebagai salah seorang pendidik di sekolah berdekatan terpaksalah turun padang.

“5 minit lagi,” Mia bersuara. Sengaja dia memberikan anak muridnya kuiz walaupun hanya satu bab sahaja yang diajarinya. Dia ingin tahu tahap pemahaman mereka.

Makin tekun anak-anak muridnya menulis. Ada yang masih mengira dan ada yang sedang menyemak jawapan.

“4 minit.” Mia tersenyum melihat gelagat anak muridnya yang mula menggelabah. Suka benar dia menyakat mereka.

Kiraannya terhenti apabila telefon bimbitnya berdering. Segera dia angkat.

“Ya, Pak Mat.”

“Apa?”

Astaghfirullahalazim...”

“Okey... okey Pak Mat, saya datang sekarang!”

Mati sahaja panggilan itu, mata Mia berkalih ke arah jam di tangannya.

“Okey, masa dah tamat. Hulur sini kertas tu dan korang semua boleh balik.” Laju sahaja Mia menghalau anak-anak muridnya.

Tidak sampai 10 minit, Mia sudah sampai di rumah Pak Mat.

“Sampai pun kamu.” Ternyata Pak Mat sudah menantinya.

“Assalamualaikum Pak Mat, Mak Munah.” Mia terus menyalami Mak Munah. Kelihatan Mak Munah sedang mengurut belakang suaminya yang kepenatan.

“Anak buah kamu buat hal lagi. Tu... tengok tu...” Pak Mat menunjuk dengan jari yang terketar-ketar ke arah reban ayam yang telah kosong. “Kerja anak buah kamulah tu,” sambung Pak Mat.

“Umar?”

“Siapa lagi? Takkan anak along kamu yang baru nak belajar berjalan tu!”

Mia terdiam.

“Habis ayam aku sereban dia keluarkan. Penat aku tangkap balik. Dapat tu aje.” Muncungnya Pak Mat tujukan ke arah serkup buluh yang berisi empat ekor anak ayam. Sesekali dia berhenti, menarik nafas panjang sebelum sambung mengadu.

“Ada 12 ekor lagi. Dah lari mana. Aku dah tak larat nak kejar.”

“Umar buat tu?”

“Siapa lagi kalau bukan anak buah kamu!” dengus Pak Mat geram.

“Mak su!” Umar muncul dari belakang dengan riak yang girang. Sebenarnya rumah mereka bukan jauh mana pun. Hanya 1 minit sahaja berjalan kaki jika mengikut celah-celah rumah.

“Sini!”

Umar berdiri di depan ibu saudaranya dengan gaya senang diri.

“Umar keluarkan ayam Atuk Mat?” Mia mula menyoal siasat. Dia tidak mahu marah Umar tanpa usul periksa.

Umar mengangguk dengan senyuman tidak lekang di bibir.

“Betul Umar keluarkan ayam-ayam dari reban tu?” soal Mia lagi. Dia tidak percaya.

“Ya, Umar keluarkan.”

Bagai hendak jatuh dagu Mia mendengar pengakuan anak saudaranya itu. Mukanya yang tadi tenang bertukar ketat. Tangannya laju mencekak pinggang.

“Minta maaf pada Atuk Mat!”

Perlahan Umar berjalan ke arah Pak Mat yang masih duduk di pangkin yang terletak berdekatan dengan rumah. Dia menyalami dan meminta maaf walaupun hatinya mengatakan yang dia tidak bersalah.

“Sekarang kau tangkap semula ayam-ayam tu. Selagi tak selesai tangkap semua, kau jangan balik!”

“Tapi...” Umar hendak bersuara, namun terus dipintas oleh ibu saudaranya.

“Tapi apa?”

“Tapi ayam-ayam tu...”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Buat sekarang!”

Pak Mat turut menelan air liur. Terkejut dengan kegarangan Mia. Saling tidak tumpah seperti arwah bapa gadis itu ketika memegang jawatan penghulu suatu masa dahulu.

Terkejar-kejar Umar ke sana sini cuba menangkap anak ayam yang dilepaskannya tidak sampai satu jam yang lalu. Seronok pula Pak Mat melihatnya. Tidak sia-sia dia mengadu kepada Mia.

“Minum dulu, Mia. Berjam-jam nak tunggu tu.” Mak Munah menyorong cawan kopi ke arah Mia.

“Macam manalah kamu didik anak-anak kampung ni? Anak buah seorang ni pun tak terdidiknya. Tengok tu, habis trauma anak-anak ayam aku. Jangan ada yang mati kemurungan sudahlah,” Pak Mat mula membebel. Penatnya sudah semakin berkurang.

“Kalau mati, Pak Mat beritahu saya. Saya ganti.”

“Umar!”

Umar yang baru menangkap seekor ibu ayam di sebalik semak menoleh.

“Dah selesai balik rumah,” pesannya sebelum melangkah ke keretanya. Makin lama dia berada di situ, semakin sakit hatinya disindir oleh Pak Mat dan Mak Munah.

“Aku yang penat tangkap ayam kau tak nak ganti?” Pak Mat bersuara. Dia tidak puas hati. Senarai bebelannya masih panjang.

Mia tidak jadi masuk ke dalam kereta, dia berpatah balik. Sekeping not bernilai RM50 diletakkan di atas pangkin. Sempat dia menjeling pasangan yang suka mencari pasal dengannya itu.

Sebelum masuk ke dalam kereta, sempat dia memandang ke arah Umar. Menyirap darahnya. Tidak pasal-pasal dia disembur. Tak pasal-pasal melayang duitnya!

Jauh di sudut hati, dia memuji Umar yang tangkas menangkap kembali ayam yang dilepaskannya. Sudah 8 ekor ayam berjaya ditangkap oleh anak saudaranya itu.

No comments:

Post a Comment