DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 27 December 2020

My Bibik My Darling - Bab 7


“TUAN Haris. Dengarlah apa saya nak cakap ni.” Najah mengekori Haris meniti anak tangga ke tingkat atas. Geram kerana lelaki itu tidak mahu menerima penjelasannya. Bila masa dia bercinta dengan Luzman? Malah dia benci lelaki itu adalah.

“Tak ada kena-mengena dengan aku.” Haris buka pintu biliknya dan terus masuk. Dia biarkan sahaja Najah mengekorinya. Beg diletakkan di atas meja kerja.

“Tapi tuan tuduh saya tadi. Tuan tuduh saya bercinta dengan Tuan Luzman. Dia yang muncul tiba-tiba kacau saya. Dia pandang saya macam nak rogol saya. Takut saya tengok mata dia. Macam nak telan saya,” bebel Najah tanpa henti. Dia mengekori Haris masuk ke bilik pakaian.

Haris membuka butang baju. Dia hanya mendengar sahaja bebelan Najah tanpa menyampuk sedikit pun. Baju dicampakkan ke dalam bakul kotor. Setelah itu tuala dicapai dan dililit ke pinggang. Dia menanggalkan seluar slek yang dipakainya dan turut dicampak ke bakul pakaian kotor.

“Tuan tak baik tau tuduh saya macam tu.” Najah berhenti membebel. Sakit hati dengan Haris yang langsung tidak mahu terima penjelasannya.

“Urusan kau dengan dia... bukan masalah aku. Aku tak kisah pun. Cuma kalau nak bercinta jangan sampai malukan nenda. Dah cukup baik nenda bagi kau kerja kat sini.”

“Sebab tu saya nafikan yang saya bercinta dengan dia. Saya datang sini nak kerja, bukan nak cari jodoh.”

“Tapi kalau dapat, memang awak nak kahwin dengan orang kaya, kan? Hidup awak akan berubah serta-merta. Daripada seorang budak miskin jadi orang kaya. Macam Cinderella.” Haris tersenyum senget sambil pusingkan tubuhnya. Najah sedar atau tidak situasi mereka sekarang? Gadis itu masih lagi membebel.

Diam-diam Haris menilik wajah Najah. Najah memang cantik. Berkulit putih, mata kecil yang comel dan bibir merah menawan. Tidak hairan kalau Luzman mahukan orang gajinya ini. Pasti sepupunya itu yakin yang Najah masih perawan.

“Najah, cukup. Berhenti bercakap.”

“Saya takkan berhenti selagi Tuan Haris tak terima penjelasan saya.” Najah tetap berdegil, malah siap bercekak pinggang lagi.

“Najah, cukup. Lebih baik awak keluar sekarang sebelum saya jadi macam Luzman. Awak sedar tak kita kat mana?”

Najah berhenti bercakap. Dia melihat sekelilingnya. Baru dia perasan yang dia berada di bilik pakaian. Dan... matanya jatuh ke arah Haris. Bilakah lelaki itu buka baju? Senyum sinis Haris buat dia takut. Terasa kasar saat dia menelan air liur sendiri.

“Dah sedar dah?” tanya Haris.

Najah mengangguk. Perlahan kaki mengundur menjauhi Haris. Namun langkahnya terhenti. Pintu almari baju di belakangnya. Bagaimana dia boleh tidak sedar yang dia mengekori lelaki itu masuk ke bilik ini? Paling dia kesalkan, kenapa sampai dia tidak sedar Haris tanggalkan baju dan... sekarang hanya bertuala sahaja?

“Maafkan saya, tuan.” Najah menjadi takut. Pandangan galak Haris sama seperti Luzman tadi. Tapi kali ini dia sendiri puncanya. Bukan salah Haris kalau lelaki itu hilang kawalan. Dia sendiri yang rela hati mengekori Haris masuk ke sini.

Haris meletakkan tapak tangan ke permukaan pintu almari. Dia tersenyum sinis sambil mendekatkan bibirnya ke pipi Najah. Perlahan dia berbisik

“Kau bukan taste aku. Lagipun aku tak sentuh perempuan low class macam kau.” Haris menarik mukanya dan terus menjauhi Najah. Sempat dia ketawa mengejek sebelum berlalu masuk ke bilik mandi.

Najah menarik nafas lega. Dia tahu sejahat-jahat Haris tak akan sampai mengapa-apakan dia. Tombol dipulas dan dia terus keluar dari bilik itu. Diketuk kepalanya sendiri sambil membuka pintu bilik Haris.

“Kenapa kau bodoh sangat Najah? Mujur dia tak ambil kesempatan.” Najah membebel lagi sambil mengayun langkah menuju ke tangga.

“Najah?” Puan Sri Rokiah tidak jadi hendak membuka pintu biliknya. Kepala menoleh melihat dari mana datangnya arah suara itu.

 

“DAH ADA calon nak bawa jumpa nenda?” Puan Sri Rokiah mengesat mulutnya dengan tisu. Dia menolak pinggan yang sudah kosong ke tepi.

Serentak itu mata Haris jatuh ke arah Najah. Calon? Bayang-bayang teman wanita pun tiada, bagaimana hendak muncul calon? Di antara kenalan-kenalan perempuannya tiada seorang pun yang layak untuk dijadikan isteri.

“Tak boleh ke nenda tolak?” Haris tersepit.

“Orang macam Fuad tu tak kisah nak guna cara baik atau cara jahat asalkan hajat mereka tercapai. Haris kena hati-hati.”

Haris faham maksud nendanya. Sebab itu dia jarang keluar malam bersama Noah dan Leon ke kelab malam. Kalau keluar pun sekadar melepak di rumah salah seorang sahabatnya itu. Keluar makan tengah hari pun dia hanya bersama Noah dan Leon.

“Apa agaknya yang pak long boleh buat?” Haris berfikir. Pelbagai cara kotor yang pak long dan juga Dayana boleh lakukan.

“Bawa calon, Haris. Nenda akan terima.” Puan Sri Rokiah menjeling ke arah Najah yang sedang mengemas meja.

“Nantilah Haris fikirkan. Kejap lagi Haris nak pergi rumah Leon.”

Hmm.” Itu sahaja yang keluar daripada mulut Puan Sri Rokiah. Usai itu dia terus bangun.

“Najah, tolong buatkan kopi O. Hantar ke bilik bacaan ya.”

“Baik, Puan Sri.” Najah mengangguk lalu beredar dari ruang makan dengan pinggan kotor. Mak Ton ada hal kecemasan petang tadi. Tinggal dia seorang untuk melayan Puan Sri Rokiah dan juga Haris.

Najah mencuci pinggan kotor terlebih dahulu sebelum membancuh kopi O untuk Puan Sri Rokiah. Selesai membancuh secawan kopi O, dia terus membawa minuman itu ke bilik bacaan.

Semasa di ruang tamu, dia bertembung dengan Haris yang baru turun dari tangga. Minyak wangi lelaki itu menusuk hidungnya.

Saat dia mengangkat muka, pandangannya bertembung dengan mata Haris. Terus dia mengalihkan pandangan matanya. Segan dengan kejadian petang tadi. Tanpa sebarang bicara, dia terus mengayun langkah menuju ke bilik bacaan.

“Kopi, Puan Sri.” Najah meletakkan cawan kopi ke atas meja. Puan Sri Rokiah walaupun sudah berusia lanjut, masih cergas dan mampu menggalas tugas sebagai CEO.

“Haris dah keluar ke?”

“Dah Puan Sri,” jawab Najah. “Ada apa-apa lagi ke Puan Sri perlu saya buat?”

“Tak ada. Itu aje.”

No comments:

Post a Comment