DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 28 December 2020

Umar - Bab 7


JAM di dinding sudah merangkak ke pukul 11 malam. Umar sudah layu di pangkuan Firaz.

“Abang bertolak balik bila?” tanya Firaz sambil mengusap rambut Umar yang hampir terlena.

“Cadangnya esok. Lusa along kena ke Perlis,” jawab Daud yang bekerja sebagai pemandu lori treler.

“Macam inilah, malam ni saya tinggalkan Umar di sini. Lagipun dengan beg besar macam tu, mana muat nak angkut naik motor. Lagipun Umar dah mengantuk ni. Karang terlena atas motor, bahaya. Esok saya datang ambil Umar dengan kereta,” ujar Firaz.

Daud mengangguk tanda setuju dengan apa yang Firaz katakan. Nampaknya Firaz mempercayainya.

“Tapi saya harap malam ni jangan pula abang atau adik abang yang gila ni plan nak sorokkan Umar,” sambung Firaz. Matanya menjeling ke arah Mia.

“Isy, takdelah macam tu. Kami ni berpegang pada janji.” Daud sedar Firaz punya hak penjagaan ke atas Umar. Segalanya sudah terang tertulis dalam wasiat adik iparnya.

“Kalau macam tu, saya balik dahulu.” Firaz bangun. Kepala Umar di pangkuannya dialihkan dan dilapik dengan kusyen. Dahi budak kecil itu dikucupnya.

“Esok papa datang ambil Umar,” bisiknya kepada Umar.

Umar hanya mengangguk dengan kedua-dua matanya tertutup.

Sampai sahaja di pintu hadapan rumah separuh kayu separuh batu itu, angin kuat menerpa tubuhnya. Hujan lebat mulai turun. ‘Hesy, kalau tahu nak hujan, awal-awal aku balik tadi,’ Firaz menyumpah dalam hati.

“Hujan ni Firaz. Tidur sinilah. Esok pagi Firaz pergi ambil kereta,” usul Daud.

“Bahayalah Firaz balik naik motor hujan macam ni,” sampuk Sara.

“Umar tentu suka kalau Firaz tidur sini malam ni,” tambah Daud lagi.

Firaz terdiam. Dia memandang satu per satu wajah yang berada di situ. Daud dan isterinya nampak ikhlas. Mata Firaz kalih ke arah Mia pula. Tiada reaksi daripada gadis itu.

“Papa tidur sini? Yeay!!!” Umar terus bangun. Dipeluknya Firaz dan kemudian dipimpin tangan Firaz masuk ke dalam biliknya.

Mia hanya mampu memandang. Hatinya makin sakit. ‘Kenapa kau harus datang?’

Malam itu, Mia tidak dapat tidur. Dia tidak dapat membayangkan kehidupannya tanpa Umar di sisi. Tentu dia merasa sunyi.

Mia mencapai telefon lamanya. Dia mendail nombor Adam. Jam yang sudah menginjak pukul 1 pagi tidak dihiraukan. Dia tahu Adam tidur lewat.

Tiada jawapan. Mia mendail sekali lagi. Masih sama. Mia agak mungkin Adam penat dan tertidur awal.

Telefon lama itu diletakkan kembali ke meja sisi katilnya. Pintu biliknya diamati untuk kesekian kali. Sudah berkunci. Risau juga dia kerana ada orang luar bermalam di rumahnya.

Teringat Mia akan Umar. Hendak diterjahnya bilik Umar, tidak boleh. Malam itu bilik itu bertukar menjadi bilik bujang. Takkan gadis suci sepertinya hendak masuk ke bilik bujang. Janganlah diapa-apakan anak saudaranya itu. Mia hanya mampu berdoa.

Tidak sempat Mia mengaminkan doanya, telefon lamanya berbunyi. Mia sudah tahu itu panggilan daripada Adam.

“Ayam berkokok tepi perigi, awak tak tidur lagi?” soal Adam setelah menjawab salam. Seperti biasa, dia dengan pantunnya, tapi kali ini dalam nada berbisik.

“Tak boleh tidur,” balas Mia.

“Kenapa? Anak-anak awak buat pasal lagi ke?” Masih dengan nada bisik.

“Awak ni kenapa? Berbisik, sakit tekak?” Mia pelik, selalunya suara Adam sekuat alam, tapi malam ini berlainan. Rasa romantiklah pula.

“Saya dekat rumah kawan.”

“Oh!”

“Kenapa ni? Ada masalah? Meh cerita pada saya, mungkin saya boleh bantu,” soal Adam prihatin.

“Adam, pendapat awaklah, patut ke saya bagi anak saya bila orang yang berhak tuntut?” Mia tidak kisah berkongsi masalah dengan Adam. Adam amat memahaminya.

“Siapa? Bapa dia? Baguslah, dah memang tanggungjawab dia.”

“Tapi nanti saya akan sunyi.”

“Saya kan ada. Saya akan pastikan awak tak sunyi. Kita jumpa jom.” Sudah berkali-kali Adam mengajak Mia keluar.

“Okey. Tapi bukan minggu ni. Minggu depan. Minggu ni saya dah janji nak pergi rumah abang saya.” Akhirnya Mia setuju berjumpa dengan Adam. Betul kata abangnya, dia perlu fikirkan masa depannya. Mungkin Adam masa depannya, siapa tahu, kan?

“Abang? Abang mana ni?” soal Adam berbaur cemburu.

“Abang kandunglah.”

“Betul?”

“Betullah!”

“Lagi bagus. Boleh saya pinang awak terus dekat rumah abang awak. Abang awak duduk mana?” Idea menerpa kotak fikiran Adam. Dia bagaikan sudah tekad hendak memperisteri Mia.

“Awak! Abang saya tak tahu lagi pasal kitalah. Nantilah dulu. Insya-Allah, saya akan kenalkan awak dengan abang saya.”

“Wah! Tak sabarnya nak tunggu saat tu. Anyway, hope you enjoy your holiday there. Jangan stres-stres tau. Anggaplah ini satu langkah untuk menuju kebahagiaan awak.”

But still saya rasa sedih nak berpisah dengan anak saya.”

Chilllah, saya nyanyikan awak satu lagu, nak?”

Ini bukan kali pertama Adam menghadiahkan kepadanya sebuah lagu. Tanpa menunggu persetujuan Mia, Adam terus menyanyi.

Chalte chalte mere ye geet yaad rakhana

Kabhi albida na kehana

Kabhi albida na kehana

Gungunaate rehana

Kabhi albida na kehana

Kabhi albida na kehana

Tapi kali ini dia menyanyi dengan nada berbisik.

“Awak! Saya lagi sedih tau,” sampuk Mia. Lagipun dia tidak suka lagu Hindustan.

Sorry, lagu tu aje yang ada dalam playlist otak saya.”

Anyway thank you, awak. Saya rasa lega sikit,” ujar Mia jujur. Entah mengapa, setiap kali mendengar suara Adam, dia akan tenang. Mungkin Adam jodohnya. Dia yang sebelum ini sangsi terus teruja untuk bertemu dengan Adam minggu hadapan.

“Okeylah awak, saya nak tidur. Anak itik main tepi paya, nanti jangan lupa mimpikan saya,” pinta Adam. Sudah beberapa kali dia menguap.

“Gatal!” Terdengar suara Adam ketawa kecil sebelum dia mematikan panggilan itu.

Mia mengambil sebiji bantal lalu dipeluk.

“Badanku sudah slim, sweet dreams Adam,” ujarnya sebelum menutup mata. Mia berharap apa yang berlaku hari ini cuma sekadar mimpi.

Sedang Mia lena diulit mimpi, tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Namanya juga dipanggil.

“Mia... Mia...”

Mia kenal suara itu. Suara abangnya. Macam kecemasan sahaja. Harap-harap tidak berlaku apa-apa kepada Umar. Mia terus meloncat turun daripada katil lalu menuju ke pintu.

“Umar. Kenapa Umar?” Terus Mia melulu ke bilik Umar. Firaz yang sedang nyenyak tidur berlapikkan toto dilangkahnya untuk ke katil yang menempatkan Umar. Mia membelek anak saudaranya itu. Tidak ada apa-apa cela. Habis, kenapa abangnya mengejutkan dia? Lagipun awal lagi. Sempat Mia mengerling jam di meja, baru pukul 3 pagi.

Sebelum Umar atau Firaz terjaga, cepat-cepat Daud menarik adiknya. Sekali lagi Mia melangkah badan doktor yang tidak berbaju itu. Bilik Umar memang panas sedikit. Pendingin hawa yang dipasang kakaknya dahulu sudah lama rosak. Mia hanya meletakkan kipas berdiri sahaja, itu pun terhala ke arah katil Umar.

“Hesy Mia ni, panik tak bertempat,” marah Daud apabila mereka tiba di ruang tamu.

Mia hanya tersengih sahaja. Memang dia panik tadi.

“Ni, Aisha asyik menangis dari tadi. Along nak bawa pergi klinik.” Baru Mia perasan ada suara bayi menangis.

“Cepatlah bang,” panggil Sara dari pintu hadapan.

“Doktor tu kan ada.” Muncung Mia menghala ke arah bilik Umar. Lepas itu dia ketawa. Suka dia membahankan lelaki itu.

“Agak-agaklah. Dah! Along nak pergi ni. Kunci pintu,” arah Daud. Langkahnya dilajukan ke arah pintu.

“Tahu takut!” Sempat Mia menyakat abangnya. Pintu rumah dikuncinya semula. Dia masuk ke dalam biliknya dan berharap mimpi indahnya akan bersambung kembali.

Sekali lagi, sedang enak dia dibuai mimpi, pintu hadapan rumah itu diketuk dengan kuat.

“Buka pintu ni. Kalau tak, kami pecahkan!”

‘Hesy, siapa pula tu. Macam ramai aje.’ Mia mencapai tudung lalu disarungkan ke kepala. Dia keluar dari biliknya.

“Buka cepat!!!” Satu lagi jeritan menerpa.

Mata Mia dan Firaz bertembung. Lelaki itu juga terjaga dek pekikan orang kampung.

“Kenapa tu?” tanya Firaz perlahan. Riak wajahnya juga nampak panik.

Mia tidak menjawab, dia hanya menjongketkan bahunya sahaja. Matanya sudah terpahat pada sixpack lelaki itu yang terdedah.

Pandangan Mia membuatkan Firaz cepat-cepat menaikkan kain pelekatnya. Diikat menutupi dada. Dah macam berkemban pula.

“Bukalah cepat, karang roboh rumah ni!”

Firaz dapat merasakan yang seluruh rumah sudah dikepung. Habis dinding rumah itu diketuk dari luar.

Mia masih teragak-agak. Tidak pernah dia dikepung sebegitu. Habis-habis diserang pun dalam dua tiga orang sahaja. Itu pun kerana Umar memetik bunga mereka untuk dihadiahkan kepada Mia.

“Cikgu, buka pintu, cikgu.”

Mia kenal suara itu. Itu suara ketua kampung. Apa hal ketua kampung datang pagi-pagi buta? Macam penting saja. Makin berdebar-debar jantung Mia. Teringat dia semasa kakak dan abang iparnya kemalangan. Ketua kampung juga yang datang. Pantas Mia membuka pintu utama. Beberapa orang terus menerpa masuk lalu memegang Firaz.

“Jadi betullah aduan yang tok terima,” tok ketua bersuara. Apabila dia menerima aduan tadi, dia tidak percaya. Tetapi kini segalanya di depan mata.

“Aduan apa?” tanya Mia tidak faham.

“Cikgu boleh tanya aduan apa? Hesy, buat malu cikgu-cikgulah kau ni. Konon baik, tetapi sebaliknya,” Zaid bersuara, salah seorang jirannya yang suka mencari pasal.

“Maaf Abang Zaid, tok ketua, Mia betul-betul tak faham ni. Umar ada buat apa-apa ke?” Mia hendak mengejutkan Umar, tetapi dia dihalang.

“Ni bukan pasal Umar, tetapi pasal kau. Tak sangka kau macam ni,” balas Zaid. Dari dulu lagi Zaid dan isterinya Zara selalu mencari pasal dengan Mia.

“Saya buat apa? Cer abang-abang, pak cik-pak cik beritahu.” Tiba-tiba datang keberanian Mia. Ada lebih 10 orang sedang mengepung mereka, sedikit pun dia tidak takut.

“Boleh pulak dia tanya. Hesy, budak ni!” Zaid semakin geram.

“Dah! Tak payah layan dia ni. Bawa ke balai raya. Malam ni juga kita kasi nikah.”

“Nikah? Eh, apa korang cakap ni?” Firaz bersuara lantang. Dari tadi dia hanya berdiam diri sahaja. Rasa macam penjenayah apabila dia dipegang oleh 3 orang penduduk kampung itu.

“Hoi! Kau dah sedap-sedap dengan anak dara kampung ni, kau boleh pulak buat muka blur. Hesy!” Zaid gertak hendak menyiku Firaz.

“Serius, abang! Saya tak faham kenapa pula kami kena nikah? Kami tak ada buat apa-apa pun,” Firaz bersuara lagi. Nampak sangat profesional sedangkan tadi dia juga yang panik.

Kali ini Mia bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Firaz. Dia mengangguk mengiakan.

“Tak buat apa-apa kamu cakap? Kamu berdua didapati bersekedudukan, tahu tak?” tok ketua bersuara.

“Eh! Salah faham ni, kami tak berdua-duaan pun. Dia tidur sana, saya tidur sini dengan Umar. Ya, Umar. Ada Umar,” Firaz menerangkan.

“Ya, ada Umar. Tadi along satu famili pun ada,” sambung Mia sambil mencari Umar di dalam bilik. Ternyata katil Umar kosong.

“Umar! Firaz, Umar dah takde.” Mia terus panik.

“Dah! Dah! Tak payah buat drama dekat sini. Bawa mereka ke rumah pak imam. Kamu Osman, telefon Daud suruh dia datang segera. Malam ni juga kita nikahkan diaorang ni,” perintah Zaid berbaur dendam.

No comments:

Post a Comment