DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 28 December 2020

Umar - Bab 1


“NAH! Ni semua harta kau yang kau tinggalkan dekat rumah aku dulu.” Kay menurunkan sebuah kotak lama dari atas almarinya lalu dihulurkan kepada Firaz yang baru saja selesai mandi.

Firaz menyambutnya lalu diletakkan di ruang tamu. Habuk yang melekat pada kotak itu dilap dengan tisu.

“Wah! Kau simpan lagi benda ni. Aku ingat kau dah bakar.” Firaz terus duduk bersila di depan kotak itu. Pahanya yang terdedah dibiarkan. Satu per satu benda di dalam kotak itu dikeluarkan.

Pandangannya jatuh pada sepucuk surat yang masih belum dibuka. Surat itu beralamatkan asramanya. Firaz tersenyum. Diambil surat itu dan kemudian masuk ke dalam bilik. Tidak lama kemudian, dia keluar dengan senyuman meleret dan masih bertuala.

“Lain macam muka kau. Macam kera dapat bunga, tapi bunga tahi ayamlah...” tegur Kay. Sepotong lagi ikan dimasukkan ke dalam minyak yang panas.

Firaz berjalan perlahan lalu dipeluknya pinggang Kay. Dagunya juga disangkut ke bahu sahabatnya itu.

“Aku tak tahulah nak ketawa ataupun nak menangis,” ujar Firaz. Matanya turut dikuyukan.

“Macam-macamlah kau ni. Tepi sikit! Karang kena minyak panas ni, tak pasal-pasal jadi bahan berita esok. Seorang doktor pakar veterinar yang baru pulang dari Australia terkena minyak panas.” Rangkulan Firaz, Kay tolak perlahan. Susah dia hendak bergerak. Agak-agaklah hendak bermanja pun. Dia dahlah tengah memasak!

Firaz ke belakang sedikit. Bertenggek di atas meja makan. Tuala yang terselak cepat-cepat dibetulkan. Karang ada yang tidak jadi memasak. Bahaya!

“Kay, kau ingat tak dulu aku ada adik angkat?” Firaz membuka cerita.

“Cup! Sebelum kau buat flashback, boleh tak kau pergi pakai baju dan seluar? Aku tahulah Malaysia ni panas, tapi janganlah seksi meksi macam ni. Karang tak pasal-pasal aku yang kena,” Kay berleter sambil membetulkan sanggul rambutnya.

Firaz ketawa.

“Aku saja test kau, kot-kot songsang.”

Choi! Aku straightlah. Nampak senduk ni? Karang ada yang kena makan senduk petang-petang macam ni.” Kay mengangkat tinggi senduk di tangan.

Firaz masih ketawa. Langkahnya diatur ke arah beg yang baru dibawa pulang dari kedai dobi. Sehelai singlet disarungkan ke badan. Lengannya yang berketul dibiarkan terdedah.

“Hah, ceritalah...” ujar Kay apabila nampak Firaz menghampirinya. Ikan yang sudah siap digoreng diletakkan ke tepi. Dia kembali menenggekkan kuali di atas dapur dan bersedia untuk memasak kuah kicap.

Firaz mula bercerita tentang adik angkatnya itu. Surat yang baru dibacanya tadi adalah surat terakhir yang diterimanya daripada adik angkatnya itu 10 tahun yang lalu. Dee nama pengirimnya, mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya serta telah memberikan nombor telefonnya kepada Firaz.

Sebentar tadi Firaz cuba menghubungi nombor itu. Tiada harapan yang diletakkan. Nombor telefon lebih 10 tahun yang lalu, pastinya sudah bertukar pemilik. Tetapi nasibnya baik, pemilik asal iaitu Dee yang menjawab. Mereka berborak seketika.

“Dia sekarang janda.”

Terbeliak mata Kay apabila mendengar cerita Firaz.

“Janda anak tiga,” sambung Firaz, membuatkan mata sahabatnya itu semakin membesar.

“Kau masih ada hati lagi dekat dia ke?” Kay masih ingat, dahulu Firaz sangat teruja setiap kali menerima surat daripada adik angkatnya itu. Kalah terima surat daripada kekasih!

Bawang merah dan bawang putih, halia serta cili kering, Kay campak ke dalam kuali yang sudah panas minyaknya.

Korang tak pernah berjumpa, kan?” tanya Kay lagi.

Firaz berjeda. Dia tidak punya jawapan untuk soalan itu. Yang pasti sekarang, hatinya tenang. Mungkinkah disebabkan Dee?

Melihat Firaz diam, Kay membuat kesimpulan sendiri.

“Maknanya kau balik ni bukan sahaja kerana anak saudara kau tu, tetapi nak tamatkan zaman bujang kau? Betul, kan?”

Firaz hanya senyum.

“Sebelum aku ambil Umar, aku kena ada orang yang jaga dia. Kau rasa Dee tu okey tak?” Firaz bergerak ke peti sejuk. Dia menuang air sejuk ke dalam gelas.

“Siapa Dee?”

“Janda anak tiga tadi itulah, adik angkat aku. Aku nak upgrade dia jadi kekasih dan akhirnya jadi isteri... insya-Allah,” Firaz mula berangan.

“Suka hati kaulah labu. Tapi aku nak nasihat sikit, kenal hati budi dia dulu sebelum kau lamar janda tu. Aku tak mahulah kau tambah statistik kes penceraian dekat Malaysia ni.” Kicap direnjis beberapa kali, sebelum dia memasukkan ikan yang sudah digoreng tadi.

“Nama dia Dee, okey! Janda tu status dia. Bukan salah dia pun berstatus macam tu.” Belum apa-apa lagi, Firaz sudah membela adik angkatnya itu.

“Dee?”

“Ya. Kenapa?” soal Firaz apabila Kay menayang muka pelik.

“Dee aje? Takde nama penuh?”

“Dah dia cakap Dee, Dee ajelah.” Menyesal pula Firaz tidak tanya lebih-lebih. Selama ini pun adik angkatnya itu membahasakan dirinya Dee saja. Tak mengapa, boleh dijadikan modal untuk dia terus menghubungi janda itu.

“Delaila, Delisha mungkin,” sambung Firaz tidak mahu kalah.

“Daud, Daim, Dali pun berkemungkinan juga, kan?”

Choi! Kau jealous, kan?” marah Firaz sambil berlalu ke biliknya.

“Tak ada masa aku nak jealous dekat kau eh,” ujar Kay sinis sambil terus memasak.

Tidak sampai setengah jam, Firaz keluar dari biliknya. Kemas dengan baju kemeja hitam yang dilipat lengan sehingga ke paras siku yang turut dipadankan dengan seluar jean biru gelap. Bau buah pelaga semerbak memenuhi ruang tamu.

“Macam nilah housemate aku. Barulah aku selera nak candle light dinner dengan kau,” sampuk Kay setelah selesai menghidangkan lauk untuk makan malam mereka.

Firaz tayang sebaris gigi putihnya. Kepalanya tiba-tiba gatal. Terlupa pula dia memberitahu Kay yang malam ini dia ada janji temu dengan seseorang. Sudahlah Kay beria-ia benar memasak lauk spesial untuknya. Tapi, nak buat macam mana, terpaksalah dia menghampakan perasaan Kay kali ini.

“Kejap. Aku mandi dan solat. Lepas tu, kita makan.” Terkocoh-kocoh Kay masuk ke dalam biliknya. Sudah lama mereka tidak makan bersama. Yang terakhir, 2 tahun lepas. Itu pun semasa dia membawa pelancong ke Australia. Sejak sahabat serumahnya itu pulang ke Malaysia, Firaz asyik sibuk saja.

“Kay...”

Kay menjengulkan kepalanya sahaja di pintu bilik.

Sorry... aku nak keluar. Ada hal sikit. Kau makanlah, jangan tunggu aku. Esok baru aku balik.”

Kay terdiam. Hanya ekor matanya sahaja mengikut figura lelaki itu keluar dengan beg galas belakangnya. Hilang bunyi motor lelaki itu, Kay mengeluh hampa.

 

WAALAIKUMUSSALAM. SEBELUM encik cakap apa-apa, saya nak minta maaf bagi pihak anak saudara saya. Anak saudara saya tu memang nakal sikit, tapi dia baik. Kesian dia. Dia tu anak yatim piatu. Maafkan dia ya?” Lembut suara Mia merayu kedengaran di corong telefon.

Tiba-tiba si pemanggil ketawa. Nama Mia disebut beberapa kali.

“Apa yang Umar dah buat kali ni?” tanya Daud di talian setelah puas dia mentertawakan adiknya.

“Hesy, along rupanya! Buat saspens orang ajelah.” Mia turut mengurut dada. Nafas lega juga dilepaskan. Hilang kedut di dahinya.

“Along tahu kan Umar tu macam mana? Semalam dia cat pasu bunga Kak Midah depan tu. Kononnya nak bagi ceria. Hari ni tak tahu apa lagi dia buat,” sambung Mia dengan nada sedikit sedih dan kesal. Umar ialah anak saudaranya yang baru berusia 9 tahun. Ibu Umar, Dalila merupakan kakak Mia dan adik kepada Daud, telah meninggal bersama suaminya, Arman 3 tahun yang lepas dalam satu kemalangan ketika hendak ke hospital. Sejak ibu Mia meninggal dunia, Mia banyak bergantung kepada kakak serta abang iparnya.

Umar lebih selesa tinggal bersama Mia berbanding dengan Daud. Mana taknya, daripada kecil mereka tinggal bersama.

“Kesian adik along. Sabarlah, tak lama lagi hilanglah beban tu.”

“Beban? Mia tak anggap Umar sebagai bebanlah, along. Mia dah janji dengan arwah angah nak jaga Umar elok-elok. Lagipun Mia hanya ada Umar aje. Along tu dahlah duduk jauh.” Mia terasa hati apabila abangnya berkata begitu.

“Itu along tahu. Tapi Mia kena fikir masa depan Mia juga. Ingat! Wasiat arwah Arman nakkan abang dia jaga Umar, bukannya along ataupun Mia,” Daud mengingatkan wasiat yang dibaca Peguam Zulkarnain 3 tahun yang lalu.

“Wasiat tu nampaknya tinggal wasiat aje, along. Dah 3 tahun, bayang dia pun tak nampak. Takut nak jaga Umar kut.” Sehingga kini, tiada langsung khabar berita daripada keluarga arwah Arman. Tahulah ibu dan bapa Umar dahulu berkahwin tanpa restu keluarga dari sebelah sana. Pipit dengan enggang mana mungkin terbang seiring.

“Selagi Mia kuat, Mia akan jaga Umar sampai...”

“Tak! Masanya dah tiba untuk kita serahkan Umar kepada yang berhak,” Daud terus memotong kata adik bongsunya.

“Apa maksud along?” Mia bergerak ke hadapan balai raya. Di situ dia boleh mendengar dengan jelas suara abangnya itu dari corong telefon. Apa yang bakal dikatakan abangnya benar-benar mendebarkan. Mungkinkah dia...

“Semalam Peguam Zulkarnain telefon along. Dia nak jumpa.” Perlahan nada suara Daud.

“Alhamdulillah. Betul kan Mia cakap, mereka tu tak minta nak jaga Umar. Sah-sah Peguam Zulkarnain gatal merenyam tu nak jumpa along sebab nak serahkan hak penjagaan Umar kepada kita. Yes!” Lebar senyuman Mia. Akhirnya!

“Taklah. Peguam Zulkarnain yang Mia kata gatal merenyam tu nak jumpa along sebab nak meminang Mia.”

Hilang senyuman Mia. Mulutnya terlopong besar. Agaknya kalau burung terbang pun boleh masuk.

“Along! Tak mahu! Tak mahu! Mia tak mahu! Dia tu dahlah gatal, gemuk pula tu. Tua tak sedar diri! Dia tu bukan sekadar ada anak, tapi dah bercucu. Along! Mia tak mahu...” Mia merengek manja. Sebagai anak bongsu, dia memang manja. Tetapi kemanjaannya terpaksa disorok. Tanggungjawab besar menantinya. Dia perlu berdikari.

Daud ketawa lagi. Seronok dia mengenakan adiknya itu.

“Ala, apa salahnya? Adik along kan single lagi,” tambah Daud. Padan muka! Puas direkomenkan kepada rakan-rakannya, semua adiknya tolak. Kononnya sudah punya kekasih. Sayangnya sudah bertahun-tahun, tapi batang hidung pun tak nampak.

“Mia ada boyfriendlah. Sekarang ni dia ada projek dekat overseas. Nanti habis projek, dia baliklah. Masa tu Mia bawa jumpa along. Takut terbeliak mata along pula tengok boyfriend Mia handsome.”

Daud ketawa lagi. Ayat tu bertahun dia dengar.

“Yalah... yalah. Along bergurau aje. Sebenarnya memang Peguam Zulkarnain tu nak jumpa kita, tapi bukan pasal nak pinang Mia. Pasal Umar... Abang arwah Arman nak jumpa Umar,” sambung Daud dengan nada perlahan.

Makin berdebar-debar jantung Mia. Adakah orang itu hendak mengambil Umar daripadanya?

Tidak!

“Mia, dengar tak?” soal Daud apabila tiada lagi kedengaran suara Mia yang ceria.

“Dengar...” jawab Mia hambar.

“Relakslah, kita tak tahu lagi dia nak ambil Umar ataupun tidak.” Daud tahu adiknya sedang bersedih.

No comments:

Post a Comment