“UMAR tak mahu! Umar tak mahu!” Umar mengamuk. Habis dipeluknya Mia erat. Puas Daud memujuk, dia masih tidak mahu melepaskan Mia.
Mia apa lagi, senyum lebarlah.
‘Hahaha, kau ingat lengan kau ketak-ketak, Umar boleh cair? Silap oranglah Encik Fi... Fi apa entah nama dia tadi. Lantaklah!’ bicara hati Mia.
“Umar, jom ikut papa. Dekat rumah papa ada banyak coklat,” Firaz pula cuba memujuk.
“Makan coklat banyak-banyak tak eloklah. Kan mak su, kan?” Umar mencelah.
Mia apa lagi, laju dia mengangguk.
“Yalah, betullah kan. Tak elok! Patutlah gigi mak su Umar tu kuat. Lain kali kita bagi dia tokak kelapa, bolehlah Umar jual kelapa parut. Dapat duit,” dengan bahagianya Firaz menyindir.
“Jadi, macam mana ni?” tanya Daud. Dia juga rasa berat hati hendak melepaskan Umar kepada Firaz.
Firaz termenung. Sukar juga hendak memisahkan Umar dengan gadis gila itu. Entah apa yang gadis itu beri makan, sampai Umar langsung tidak mahu berenggang dengannya. Kalau tahu tadi, terus disauk Umar naik motor dan cepat-cepat bawa lari.
“Apa kata kita makan dulu? Lauk dah siap terhidang,” ajak Sara. Memang plan awalnya mereka hendak mengajak Firaz makan malam di situ. Bolehlah mereka berkenalan. Masa mereka berjumpa tempoh hari terlalu singkat sangat kerana Firaz terpaksa bergegas pulang atas urusan kerja.
“Jom, Firaz! Tentu lama Firaz tak makan masakan kampung.” Daud memeluk bahu Firaz, membawa lelaki itu ke meja makan. Dia sempat berbisik kepada Firaz. “Sabar ya. Kita bagi dia cool dulu. Lagipun dia tak kenal lagi kamu.”
Firaz hanya mengangguk. Ada betul apa yang dikatakan oleh Daud. Kalau dia di tempat Umar pun dia tidak mahu mengikut lelaki yang baru dikenali.
“Eh, kejap. Saya ada bawa buah tadi.” Firaz bersusah payah mengeluarkan sebungkus plastik dari beg sandang yang dari tadi melekat di belakangnya. Sesekali tali beg itu melewati lengannya, denyutan mula terasa.
‘Balik nanti aku kena terus cucuk booster tetanus, HRIG dengan HDCV,’ desis hatinya.
Bungkusan plastik itu bertukar tangan dan kemudian Daud menghulurkan kepada isterinya.
“Jom Umar, kita makan sekali,” Daud mengajak Umar.
Umar masih tidak bergerak. Dia hanya memandang Mia. Dengan senyuman, Mia memimpin tangan Umar, dibawa ke meja makan. Dia duduk di sebelah Umar.
Terhidang beberapa jenis lauk di atas meja. Ada ikan patin masak tempoyak, ada rendang daging, ada ayam berlada dan sayur campur. Firaz mengamati satu per satu lauk yang terhidang. Ikan patin itu nampak tidak pedas. Okey, dia boleh cuba. Lagipun sudah lama dia tidak makan durian. Tidak dapat durian, dapat tempoyak pun jadilah.
Matanya beralih pada lauk seterusnya. Rendang. Oh, tidak! Nampak merah, pasti pedas. Dia memandang ayam berlada pula. Ini totally no walaupun cili hijau. Manalah tahu jika cili padi hijau yang digunakan. Dia pernah terkena, jadi dia perlu berjaga-jaga. Akhir sekali, sayur campur. Ini okey. Jadi patin tempoyak dan sayur campur sahaja yang dia boleh makan. Susah juga apabila lidah tidak boleh makan pedas.
“Umar nak lauk apa?” tanya Firaz. Dia perlu ambil hati anak saudaranya itu.
Umar memerhatikan satu per satu hidangan di atas meja.
“Wah, ada anggur!” ujar Umar apabila mak longnya meletakkan sepinggan buah anggur di atas meja. Mungkin ada sedikit terkilan terbit dalam hatinya kerana tidak dapat membeli buah itu di pasar raya tadi. Kemudian matanya terkalih ke wajah Firaz. Keningnya terjongket sedikit. Mulutnya yang mula terlopong segera dikatup. ‘Pak cik inilah yang mak su panggil poyo di pasar raya tadi.’
“Macam kenal aje bu...”
“Umar nak ayam!” Umar terus memotong cakap Mia sambil menunjuk ke arah ayam. Dia pura-pura tidak mengenali Firaz.
Firaz meletakkan seketul ayam ke dalam pinggan Umar. Kemudian Umar menunjuk ke arah sayur dan rendang daging pula.
Mia sudah mula pandang semacam. Dijeling abangnya.
“Ambillah lauk, Firaz. Jangan malu-malu,” pelawa Sara.
“Ya, kak.” Firaz menyenduk sayur campur ke dalam pinggan.
“Sayur aje? Ambillah lauk lain sekali,” pelawa Sara. Serba salah dia melihat Firaz.
“Kenapa? Tak makan makanan kampung ke?” tanya Daud pula.
“Makan. Tak makan pedas aje,” balas Firaz ikhlas.
“Lauk ni tak pedas langsung.” Mia terus mengaut sepotong ikan patin bersama kuah dan sedikit timun yang dimasak sekali ke pinggan Firaz.
“Makanlah,” pelawa Mia.
Perut Firaz sudah lama minta makanan. Sedikit ikan dan sayur disuapnya ke mulut bersama nasi.
“Sedap. Sia...” Tidak sempat Firaz bertanya, terus terbuntang matanya. Mulutnya ternganga. Tangannya menggagau mencari air.
“Air! Air!” Firaz menjerit.
“Kenapa Firaz? Mia, tuang air tu cepat!” Daud pula panik. Semua mata yang ada tertumpu ke arah Firaz.
Mia mencapai jag yang berisi air sirap dan kemudian dia mencapai gelas di sebelahnya dengan gerak perlahan. Puas hatinya mengenakan lelaki yang berlagak itu.
Tidak sempat dia menuang air ke dalam gelas, Firaz terus mencapai jag dari tangan Mia lalu meneguknya. Habis separuh jag air ditelan. Tidak sangka lauk yang nampak ala-ala bubur durian itu rupanya pedas berdengung. Berdesing telinganya seketika.
“Tisu!” Air hidung Firaz mula meleleh pula. Buruk benar rupanya sekarang. Hilang macho dan handsome dia. Sah-sah akan jadi bahan lawak gadis gila itu. Isy, lantaklah! Bukannya mereka akan berjumpa lagi.
“Pedas ke? Opss sorry, lupa. Hari ni masak pakai cili padi kampung. Pedas ya? Kesian,” ujar Mia sambil ketawa.
“Mia! Mia sengaja dajalkan Firaz macam tu, kan?” Daud bersuara. Dia tidak puas hati. Sara sudah disuruh menggorengkan telur buat Firaz.
“Mana ada. Alonglah yang suruh masak pedas-pedas. Biasanya Mia masak takdelah pakai cili padi kampung. Itu yang lupa lauk tu pedas,” Mia membela diri. Sebenarnya dia sengaja. Padan muka! Pandai-pandai sangat kata dia human rabies. Rasakan!
“Kan Firaz dah cakap dia tak makan pedas. Yang Mia kaut lauk tu ke pinggan Firaz buat apa? Banyak pula dia letak kuah. Mia... Mia...” Daud masih tidak berpuas hati dengan adiknya itu.
“Along, Mia tak sengaja okey...” balas Mia.
Firaz rasa serba salah. Disebabkan dia, dua beradik itu bergaduh.
“Takpe, takpe. Salah saya juga, tak check. Manalah tahu ada racun.” Terus hilang selera Firaz. Dia bangun ke ruang tamu.
Daud tidak sedap hati. Dia menuruti Firaz.
“Maaf Firaz, kami tak tahu Firaz tak makan pedas. Habis, Firaz nak makan apa ni? Along oder piza ya?”
Tidak sempat Firaz menjawab, Umar sudah menjerit dari arah dapur.
“Nak piza!”
Umar bangun ingin menyertai kedua-dua bapa saudaranya di ruang tamu.
“Nak pergi mana?” soal Mia tegas.
Umar menunjuk ke arah Firaz.
“Habis, nasi ni nak buat apa?” soal Mia lagi.
“Bagi a...” Umar teringat ayam-ayam Atuk Mat.
“Makan bagi habis!” arah Mia tanpa memberi peluang kepada Umar untuk menjawab. Matanya sama besar dengan bingkai cermin matanya. Sekali pandang macam singa hendak menerkam mangsa.
Umar akur. Nasib baik nasi yang mak longnya sendukkan tadi sedikit sahaja.
“Ingat sikit, perut Umar tu bukan boleh selalu makan fast food,” omel Mia sambil makan.
Usai makan, barulah Umar menyertai bapa saudaranya. Sementara menunggu piza dihantar, Umar membuka sesi teka-tekinya.
“Umar ada satu teka-teki. Kalau siapa boleh jawab, Umar belanja aiskrim. Kalau tak boleh jawab, kena belanja Umar,” kata Umar sambil duduk di sebelah Firaz.
“Okey.”
“Teka-teki dia macam ni. Where do the fish keep their money?” Umar menyebut satu-satu supaya dia tidak perlu mengulang soalan itu.
Daud mengulang teka-teki Umar sambil berfikir. Firaz juga begitu. Dia pernah dengar teka-teki bahasa Inggeris itu, tetapi dia sudah lupa jawapannya.
“Cepatlah. Umar bagi masa 2 minit aje.” Bagaikan pengacara kuiz Umar beraksi.
“Shark doo doo doo,” Daud cuba menjawab. Kalau pasal ikan, dia hanya tahu lagu itu sahaja. Itu pun sebab Aisha suka menonton rancangan itu.
“Salah! Papa?”
“Entahlah. Papa surrender.” Firaz angkat tangan.
“Pak long pun.”
“Yes! Umar dapat dua aiskrim. Jawapannya ialah in the riverbank. River. Bank.” Umar menyebut perkataan itu satu-satu supaya dua bapa saudaranya itu dapat menangkap apa yang hendak disampaikannya.
“Wah, pandainya Umar! Papa tak terfikir pula. Mana Umar dapat teka-teki ni semua?” Firaz terus memeluk Umar.
Umar senyum sampai ke telinga.
“Dari bukulah, papa. Hari-hari Umar baca buku. Kalau tak, mak su bising.” Ayat terakhirnya sengaja Umar perlahankan. Matanya turut menjeling Mia di dapur.
Perbuatan Umar mengundang ketawa Firaz dan Daud. Firaz teringat arwah adiknya, terubat rindunya apabila bersama Umar. Dia nekad akan menjaga Umar selama-lamanya.
“Sebenarnya banyak pasal Firaz yang along nak tanya,” Daud membuka mulut setelah penat ketawa.
“Tanya apa, along?” Firaz mencapai piza yang baru sahaja dihantar. Dahulu, masa di luar negara, jarang dia makan piza kerana sangsi dengan tahap kehalalan restoran yang menyediakannya.
“Yalah, pasal Firaz. Firaz kerja apa?” Apa yang Daud tahu, Firaz baru pulang dari luar negara. Itu pun Peguam Zulkarnain yang memberitahunya.
Mia memasang telinga dari dapur. Dia segera membancuh kopi yang diminta oleh abangnya. Dia juga hendak tahu serba sedikit perihal lelaki itu. Bukan kerana minat kepada lelaki itu, tetapi sekadar ambil tahu sahaja. Mampukah nanti lelaki itu menjaga Umar? Tinggal di mana? Manalah tahu, rindu-rindu boleh jumpa. Haip! Bukan rindu lelaki itu, tetapi rindu Umar.
“Oh, ingatkan apa tadi. Sebenarnya Firaz kerja di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sebagai doktor. Baru aje mula kerja dekat sini.” Kepingan piza Firaz gigit sedikit.
“Patutlah perangai macam haiwan,” ujar Mia dari dapur. Namun suaranya jelas hingga ke ruang tamu. Rumah pusaka itu bukannya besar mana pun.
Daud hanya mampu tersenyum segan. Malu dengan perangai Mia yang langsung tidak menghormati tetamu. Selalunya Mia tidak begitu. Entah mengapa, lain benar perangai adiknya itu dengan Firaz.
“Dah berkahwin? Tinggal mana?” Terus Sara mengutarakan soalan seterusnya. Berharap Firaz tidak terdengar apa yang Mia katakan tadi.
“Buat masa ni masih solo lagi, kak. Sekarang ni tinggal bujang dengan kawan saya dekat kawasan sini juga,” balas Firaz sambil tersenyum kepada Umar yang setia duduk di sebelahnya. ‘Ini perkembangan baik. Ada chance dia nak ikut aku balik,’ sempat juga Firaz berdialog dalam hati.
“Dekat kampung ni?” tanya Mia sambil meletakkan dulang minuman.
“Isy, taklah. Dekat bandar. Rumah batu, ada taman permainan, dekat mall. Bukan kampung macam ni,” Firaz menjawab dengan penuh riaknya. Macamlah Mia tidak tahu apa itu bandar.
Mia mengetap bibir. Hai! Kecil besar kecil besar dia pandang lelaki itu.
“Jadi kalau kau kerja, siapa nak jaga Umar?” tanya Mia lagi sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Umar. Banyak soalan dalam kepalanya.
“Adalah, rasanya aku tak perlu kut beritahu kau.” Firaz ternyata tidak senang dengan soalan Mia yang bertalu-talu itu.
“Helo! For your info, arwah kakak aku pesan suruh aku jaga Umar. Jadi aku perlu tahu details tentang penjaga Umar, kan Umar?”
Umar mengangguk.
“As you know, daddy Umar tinggalkan wasiat untuk aku yang jaga Umar. Jadi antara pesanan kakak kau tu dengan wasiat, rasanya kau sendiri pun tahu siapa yang paaliiiiing layak jaga Umar, kan?” Firaz mengangkat kening beberapa kali.
“But still...”
“Sudahlah mak su, papa. Janganlah bergaduh lagi,” Umar terus memotong dengan nada yang mendatar. Muka kesian turut dipamerkan. Tangan kanannya turut mencapai tangan Mia, manakala tangan kirinya mencapai tangan Firaz.
Terdiam Firaz dan Mia seketika. Daud memandang mereka dengan senyuman.
“Kejap! Mia ada last question. Why now? Kenapa tak lagi 10 tahun atau masa arwah baru meninggal dulu?” tanya Mia yang masih tidak berpuas hati.
“Sebelum ni aku dah pernah cakap dekat abang kau, tak tahulah abang kau lupa cakap dekat kau atau kau yang hilang ingatan. Sebenarnya lepas habis belajar, aku terus kerja sana. Memang intention aku nak terus tinggal dekat sana. Tapi kerana anak saudara aku seorang ni, aku balik,” jelas Firaz. Dahi Umar dikucup.
“You are not answering my question,” balas Mia. Kedua-dua tangannya dipeluk ke tubuh. Matanya tepat memandang Firaz. Sudah macam cikgu marah murid nakal. Bukan apa, Mia hanya hendak tahu kenapa sekarang baru hendak ambil Umar? Risau kalau-kalau Firaz punya muslihat lain.
Sejak arwah Arman Fahim meninggal, tiada seorang pun ahli keluarganya yang datang menjenguk Umar. Bertanya khabar pun tidak. Hanya Peguam Zulkarnain yang datang memberitahu tentang hak penjagaan Umar, iaitu arwah Arman telah berikan kepada abangnya, dan membenarkan keluarga Mia menjaga Umar untuk sementara. Sedikit pun Mia tidak berkecil hati, arwah kakaknya pernah beritahu yang perkahwinan mereka tidak mendapat restu keluarga suaminya.
“Aku tak tahu nak classify kau ni kategori mana. Nak kata bebal. Tak! Nak kata bengap, adalah sikit. Nak kata bodoh, takkan universiti boleh bagi kau ijazah, melainkan kau beli ijazah tu,” balas Firaz dengan nada mendatar. Kalau nada tinggi, nanti Umar kata bergaduh pula.
“Papa, jangan cakap orang bodoh. Nanti sendiri jadi bodoh,” sampuk Umar, membuatkan Firaz terdiam.
Mia apa lagi, senyum terus.
“Pandai Umar!” puji Mia. “Awak tak jawab lagi soalan saya, kenapa sekarang? Bukan lagi 20 tahun?” Dari 10, tambah jadi 20. Kalau Firaz tidak jawab juga, mahu naik lagi kepada 30 ataupun terus 50 tahun.
“Wahai cik adik sayang otak miring, kan aku cakap aku kerja. Kontrak kerja aku 5 tahun. Habis aje 5 tahun, aku terus balik. Dan sebab itu juga aku tak balik masa dapat tahu Arman meninggal. Faham! Ada soalan lagi?” balas Firaz separa geram.
Mia terus terdiam. Tiba-tiba dia jatuh kasihan kepada Firaz yang tidak dapat menatap wajah adiknya untuk kali terakhir. Tentu lelaki itu sedih.
“Dah! Dah! Kita minum kopi dahulu. Dah naik sejuk kopi tu, asyik bercakap aje. Kalau Doktor Firaz nak tahu, ni kopi kampung. Sedap. Memang famous kat sini.” Secawan kopi Daud hulurkan di depan Firaz.
“Isy, tak payahlah panggil saya doktor. Panggil Firaz saja. Seganlah. Lagipun doktor haiwan aje.” Sengaja Firaz merendah diri.
“Dengar tu along, panggil Firaz aje. Tak payah berdoktor. Lagipun doktor haiwan aje,” sampuk Mia, sengaja menyakitkan hati Firaz. Sengaja didengungkan perkataan terakhirnya. Sedangkan dia tahu antara doktor haiwan atau doktor perubatan sama sahaja.
No comments:
Post a Comment