“SARAPAN apa pagi ni? Haris lapar.”
“Dah pukul 11. Dah masuk waktu makan tengah hari.” Puan Sri Rokiah bersuara keras dengan tangan disilangkan. Boleh pula cucunya buat muka selamba sahaja. Kalau tidak dikejutkan, entah pukul berapa cucu bertuah ini akan bangkit.
Dia menoleh sekilas melihat Haris. Terus dipalingkan semula dengan roman masam sebaik terlihat senyuman cucunya itu.
“Nak makan apa mintalah orang gaji sediakan. Atau nak makan tengah hari terus?”
“Bibik, buatkan aku Milo panas,” arah Haris kepada Najah yang sedang berdiri.
“Dia orang Melayu, Haris. Bukan orang Indonesia. Tak sepatutnya panggil bibik.”
“Orang Melayu ke orang Indonesia ke, orang gaji juga, kan? Sama aje,” ucap Haris selamba. Mata dihalakan ke arah Najah. Kebetulan gadis itu sedang memandangnya. Haris membiarkan mata mereka bertentangan. Lama. Dia menunggu gadis itu beredar, tetapi tetap juga berdiri tegak di situ. Berani pula orang gaji ini melawan pandangannya.
“Apa tunggu lagi? Pergilah buat cepat!” bentak Haris.
“Ba... baik, tuan.” Tergagap-gagap Najah dibentak begitu. Leka bertentang mata dengan lelaki itu, dia terlupa kerjanya. Cepat-cepat dia beredar ke dapur dengan muka kelat.
Sambil membebel, tangannya mencapai teko di rak. Tin Milo diambil dari kabinet dan susu pekat dari peti ais. Berdentam-dentum bunyi dia meletakkan barang-barang. Tanda protes.
“Kenapa tu Najah?”
Hampir sahaja Najah melompat saat ditegur seseorang. Terus dia palingkan muka sambil mengurut dadanya.
“Mak Ton ni... menyelinap macam spy pula. Terkejut saya tau.”
“Mulut tu asyik membebel aje. Mana perasan orang panggil.”
“Cucu Nyonya Mansur tu panggil saya bibik. Dia ingat saya ni warganegara Indonesia ke? Sesuka hati panggil orang bibik!”
Mak Ton ketawa. Lucu melihat muncung Najah sambil membebel. Tangan pula laju membancuh air Milo.
“Anggap ajelah cucu Nyonya Mansur tu nak beramah mesra.”
“Tak hingin nak beramah mesra dengan dia. Lelaki macam tu bertegur sapa pun saya tak nak. Huh, perangai macam apa entah!”
“Jangan tak ingin sangat Najah oi. Karang yang kamu tak hingin itulah jodoh kamu.”
Najah tergemap. Lancang sungguh mulutnya. Bagaimana kalau esok lusa Allah terbalikkan hatinya? Terus dia beristighfar dalam hati dan memohon keampunan dari Yang Maha Esa.
“Mak Ton ni... saya nak cari suami yang boleh bimbing saya ke jannah. Dia tu bau-bau syurga pun tak ada.” Najah bersuara perlahan. Takut kedengaran oleh orang lain.
“Najah sayang... takdir Allah tak pernah salah. Dia akan beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita nak. Mana tahu Najah yang akan bawa bakal suami bau-bau neraka ke jannah. Najah kena ingat, syurga neraka seseorang Allah yang tentukan, bukan kita. Dia jahat macam mana sekalipun, belum pasti dia di neraka. Kita rasa kita baik macam malaikat pun belum pasti kita di syurga.”
Najah mengacau Milo perlahan. Kata-kata Mak Ton walaupun biasa-biasa saja menusuk sehingga ke dalam hatinya. Terasa bagaikan pipinya ditampar berkali-kali. Jangan cepat menghukum orang.
Irfan Haris, pada zahirnya kelihatan seperti calon ahli neraka. Solat memang tidak pernah. Minuman keras diteguk seperti air sirap serta teman wanita keliling pinggang. Cuma dia tidak pasti sampai ke bilik tidur atau tidak.
Pendek kata, memang tiada langsung ciri-ciri calon penghuni syurga. Namun bak kata Mak Ton, siapa kita hendak tentukan syurga neraka orang lain? Mungkin besok lusa Allah beri hidayah agar lelaki itu insaf dan bertaubat. Insya-Allah syurga baginya.
“Kerja biar ikhlas. Nanti rezeki pun berkat.”
“Baik, Mak Ton. Najah minta maaf.” Insaf dia mendengar kata-kata Mak Ton.
“Ingat satu perkara. Najah kerja dengan Puan Sri Rokiah. Kalau ada arahan mengarut daripada Haris, jangan ikut.”
Najah mengangguk. Berkali-kali Mak Ton pesan benda yang sama. Setakat ini Haris belum tunjuk belang atau kuku besi seperti yang Mak Ton beritahu.
“Kenapa Haris tu macam tu? Puan Sri tak marah ke?” Sudah lama dia mahu bertanyakan perkara itu. Dia pelik juga dengan majikannya. Takkan hendak dibiarkan sahaja cucunya bergelumang dengan dosa?
“Dulu dia tak macam ni. Rajin solat. Baik. Entah apa yang jadi, tiba-tiba dia berkawan dengan budak-budak tak betul. Mula minum arak.”
Mak Ton membayangkan perubahan yang berlaku kepada cucu majikannya semasa di luar negara. Tiba-tiba sahaja Haris berubah laku. Puan Sri Rokiah sepertinya tidak terasa dengan perubahan Haris. Malah berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Tak apalah Mak Ton. Kita doakan dia kembali ke pangkal jalan. Allah sedang uji dia tu,” ucap Najah sekadar menyedapkan hati Mak Ton. Bukan dia kisah pun peribadi Haris macam mana. Dia hanya pekerja di sini. Jika lelaki itu berubah menjadi baik, dia cukup bersyukur.
“Dahlah. Pergi bawa air tu ke depan. Karang memetir pula cucu Nyonya Mansur tu,” gesa Mak Ton.
Najah akur dengan arahan Mak Ton. Teko dan cawan diletak atas dulang. Mak Ton meletakkan bekas berisi biskut tawar.
“Dia suka makan biskut cecah air Milo.”
Najah mengangguk. Dia menatang dulang tadi dengan penuh berhati-hati. Kedengaran rancak sungguh perbualan antara Puan Sri Rokiah dengan Haris. Perlahan dia meletakkan dulang di atas meja. Berhampiran dengan Haris.
“Nenda mahu Haris masuk pejabat semula. Kalau tak nak...” Bicara Puan Sri Rokiah terhenti. Dia perasan mata Haris ke mana. Gatal sungguh! Mata cucunya melekat pada punggung Najah yang sedang tunduk menghidangkan air.
“Irfan Haris!” sergahnya.
“Oh Nyonya Mansur!” Hampir sahaja terlepas teko di tangan. Berhati-hati Najah meletakkan kembali teko di atas dulang.
“Ya, nenda.” Haris ketawa mendengar latah Najah.
“Besok masuk balik pejabat. Ini arahan nenda!” Puan Sri Rokiah bangun daripada duduknya.
“Nenda kat bilik bacaan. Suruh Mak Ton panggil nenda bila makan tengah hari siap.” Usai berkata-kata dia terus beredar.
“Hei, bibik. Buat kerja elok-eloklah sikit. Kalau air tu tumpah kat atas meja, siap kau!” ugut Haris sambil ketawa.
“Berani kau panggil nenda Nyonya Mansur ya...” Haris menopang dagu dengan tangan kanannya. Sengaja dia merenung Najah yang sedang cuba membuat kerja dengan tenang. Masih belum berjaya lagi menuang air Milo ke dalam cawannya.
“Maaf, Tuan Haris. Saya tak sengaja.” Najah melirik sekilas. Air liur ditelan. Kesat. Dah kenapa cucu Nyonya Mansur merenung dia begitu? Najah cuba selambakan diri menuang air ke dalam cawan.
“Kau cantik juga ya, bibik.”
Najah gugup. Dia tertuang air sehingga tertumpah di atas dulang. Pujian daripada seorang kasanova sangat menyeramkan! Dia berusaha untuk tenang mengangkat cawan berisi air Milo untuk diletakkan di hadapan Haris.
“Kalau makan sedap ni.”
Tidak dapat mengawal diri, cawan tadi terlepas daripada tangan Najah dan air tersebut tumpah di atas meja. Takut dia dengan kata-kata Haris tadi.
“Apa ni bibik!” Haris bangun. Mujur sahaja air tidak terkena seluarnya.
“Maaf, Tuan Haris.” Najah mengambil tisu dan mengelap meja. Kenapa dia boleh cuai pula? Mungkin Haris tidak bermaksud apa-apa dengan bicaranya tadi. Dia sahaja yang perasan.
Haris berdiri di belakang Najah sambil melihat gadis itu mengelap meja. Memang menarik pemandangan dari belakang begini. Mata nakalnya melekat ke arah punggung gadis itu.
Najah rasa tidak sedap hati. Terus dia membalikkan tubuhnya.
“Tuan Haris buat apa?” Rasanya dia menangkap mata gatal Haris sedang memerhatikannya tadi.
“Buat apa? Aku tengok kau buat kerjalah. Apa lagi?”
“Saya dah siap lap meja. Dah tuang air yang baharu. Tuan duduklah, minum.” Najah berkata dengan takut-takut.
“Saya pergi belakang dulu.” Najah berura-ura mahu beredar dari situ.
“Hei, nanti!”
Langkah Najah terhenti.
“Kau dah berapa lama jadi orang gaji rumah ni? Kau tak tahu ke peraturan asas rumah ni?”
“Err...” Najah garu kepala.
“Kalau tuan rumah tengah makan, orang gaji kena tunggu. Mana tahu kalau tuan rumah nak apa-apa.” Haris melabuhkan duduk.
“Err... baik, Tuan Haris. Maaf, saya tak ingat.” Memang awal-awal lagi Mak Ton sudah beritahu tentang peraturan yang satu itu.
“Tapi saya kena tolong Mak Ton masak,” tambah Najah.
“Siapa tuan rumah? Aku atau Mak Ton?”
“Tuan Haris tuan rumah.”
“Pandai pun. Kau duduk situ diam-diam,” arah Haris sambil menyengih.
No comments:
Post a Comment