DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 28 December 2020

Umar - Bab 5


“MIA tahu siapa ni?” soal Daud lagi. Nadanya tetap tegas. Luka gigitan di lengan Firaz disapu antiseptik sebelum dibalutnya.

“Tetamu alonglah.” Mia masih sentap. Abangnya lebihkan lelaki itu daripadanya.

“Selain itu?”

“Penculik! Pedofil!”

Bulat mata Firaz memandang gadis itu. Sedap-sedap dia yang handsome dituduh begitu. Berasap telinga Firaz. Nasib baik dia duduk jauh. Kalau tidak, sudah lama dikoyak-koyakkan mulut gadis gila itu.

“Hei! Sebelum kata orang, cermin diri tu dulu. Human rabies!”

Mia bangun menghampiri lelaki itu. Tangannya sudah bercekak pinggang.

“Apa kau kata? Human rabies? Meh, aku gigit sebelah lagi ketul-ketul kat lengan kau tu.” Mia semakin geram. Ketul-ketul di lengan lelaki itu dia nampak seperti paha ayam goreng. Sedap digigit, disiat lalu dikunyah. Lepas itu diludah semula ke wajah lelaki poyo itu.

“Sudah!” jerit Daud.

Mia kembali duduk di sofa. Matanya masih memandang tajam ke arah lelaki itu. Kecil besar sahaja matanya memandang.

Sorry, abang. Saya dah buat keputusan. Hari ni juga saya nak ambil Umar.” Minggu lepas Firaz sudah diperkenalkan oleh Peguam Zulkarnain kepada Daud. Hasratnya untuk menjaga Umar seperti wasiat adiknya disuarakan. Tetapi Daud meminta dia fikirkan semula dan meminta Firaz berjumpa dan berkenalan dahulu dengan Umar. Lagipun adiknya menjaga Umar dengan baik.

Tetapi apa yang dia nampak amat berbeza. Dia tidak sanggup membiarkan Umar terus tinggal bersama perempuan berpenyakit anjing gila itu.

“Firaz, kita bawa berbincang dahulu ya? Ni semua salah faham,” Daud cuba memujuk.

“Umar, pergi siap barang Umar. Kita balik rumah papa.” Lembut Firaz berkata-kata kepada anak saudaranya.

“Weh, siapa kau? Papa konon! Pandai-pandai nak ambil Umar, hah!” Mia kembali berdiri.

“Umar, cepat sayang.”

Umar bangun. Dia memandang Daud. Pak longnya mengangguk sedikit. Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata pak longnya suatu masa dahulu.

Umar jangan nakal-nakal. Kalau nakal, pak long hantar duduk dengan orang lain.

Mungkinkah pak cik yang membahasakan dirinya papa itu ialah orang lain yang pak longnya maksudkan? Pernah juga arwah daddynya berpesan...

Kalau jadi apa-apa kepada daddy, Umar cari papa ya.

Dan papa yang arwah daddynya maksudkan dengan lelaki di depannya adalah orang yang sama.

“Jom,” ajak Sara, isteri Daud. Dia akan membantu Umar berkemas.

Umar akur.

“Hei! Kau mungkin boleh gula-gulakan abang aku, tapi bukan aku. Langkah mayat aku dulu kalau kau nak ambil Umar. Kau ingat dengan lengan besar macam patung Michelin tu, aku takut? Ni Cikgu Damialah! Kau tanya pelajar Sekolah Menengah Tun Setia, berapa ramai terkencing dalam seluar kena sergah dengan aku?” Mia sudah mula melipat sedikit lengan bajunya. Penumbuknya dikemaskan. Geram betul dia dengan lelaki itu. Abangnya pun satu, ikut sahaja.

Sebenarnya, bab kena sergah sampai terkencing itu dia kelentong saja. Lebih sudu daripada kuah. Padahal dia bukannya garang sangat pun.

“Cikgu? Graduate dari mana? Hospital Bahagia?” balas Firaz sambil ketawa. Lengannya yang masih berdenyut ditahan. Seronok juga bertengkar dengan gadis gila.

“Tak guna!” Mia mula mengayun penumbuk, namun pantas ditangkap oleh abangnya.

“Mia, sudah! Tak sangka perangai Mia seburuk ni. Memang patut pun Umar kena duduk dengan Firaz,” Daud bersuara.

Mia terus terdiam. Tidak sangka ayat itu keluar daripada mulut abang kandungnya sendiri. Kena mandrem ke apa?

Firaz mula tersenyum tanda kemenangan.

“Along! Sanggup along jual Umar. Berapa ribu dia ni bayar along? Mia sanggup bayarlah. Along pun tahu Umar tu tak pernah berpisah daripada Mia. Dari lahir dia tengok muka Mia tiap-tiap minggu. Tiga tahun Mia jaga sorang-sorang, susah payah semua Mia hadap. Senang-senang along nak bagi pada lengan ketak-ketak ni...” Kali ini Mia menyerbu abangnya. Nadanya daripada marah menjadi sayu.

“Along tahu tak yang along dah khianati wasiat Abang Arman? Along dah lupa? Kita kena serahkan Umar kepada abang arwah bila dia datang. Nanti dia datang nak tuntut Umar, macam mana? Nak jawab apa?” sambung Mia sambil menangis. Dari dulu lagi dia membayangkan abang kepada arwah abang iparnya itu jauh lebih tua daripada alongnya. Mungkin juga sudah berkeluarga. Sebab itu bertahun lelaki itu tidak mengambil Umar. Lagipun kata Peguam Zulkarnain dahulu, lelaki itu tinggal di luar negara.

Tiba-tiba Firaz ketawa kecil. Kepalanya turut digelengkan. Lawak betul gadis gila ini. Boleh jadi pelakon sinetron.

“Firaz, kenalkan diri,” pinta Daud.

“Saya Firaz, abang kepada arwah Arman Fahim. Saya baru balik sini dan saya nak tuntut hak penjagaan Umar sekarang.” Lancar sahaja Firaz bertutur. Terserlah poyonya. Senyuman tidak lekang di bibir.

Tika itu Mia dapat merasakan rahangnya sudah mencecah ke lantai. Ya Allah, hari yang amat ditakutinya telah tiba!

“Kejap! Bukti mana bukti? IC?” Mia perlu pengesahan. Sesiapa pun boleh datang dan mengaku diri ialah abang kepada arwah abang iparnya.

Daud bagaikan menyokong Mia. Dia pun terlupa meminta pengesahan semasa mereka berjumpa tempoh hari.

“IC. Kad pengenalan?” Mia menadah tangan di depan muka lelaki berlengan ketak-ketak itu.

Dengan lemah Firaz membuka dompetnya. Matanya turut dijeling tajam ke arah Mia. Sekeping kad dikeluarkan perlahan. Dia mendesis lalu dihulurkan kad itu.

Mia meneliti butiran pada kad itu bersama abangnya. Oh! Tua 2 tahun sahaja daripada abang iparnya. Maknanya beza 4 tahun daripadanya.

Diperiksa nama. Adam Firaz bin Salman Fayyadh. Nama abang iparnya Arman Fahim bin Salman Fayyadh. Sama bin. Checked!

Kemudian mata Mia tertumpu pada gambar di kad pengenalan itu. Dia dan Daud saling berpandangan. Kemudian mereka mula tersenyum-senyum. Lama-lama terkeluar juga dekahan ketawa Mia. Dia tidak mampu menahannya seperti Daud.

“Ya Allah, comelnya. Ni dah akil baligh ke belum ni? Tak ada IC baharu?” kutuk Mia.

Firaz menggeleng.

Puas ketawa barulah Mia menghulurkan semula kad itu kepada Firaz. Sebelum itu, dia sempat membuat salinan. Nasib baik mesin pencetaknya mempunyai fungsi scanner.

“Macam muka Umar pun ada,” ulas Daud pula.

Firaz sudah agak. Respons sebegitu dia pasti terima setiap kali dia menunjukkan kad pengenalannya. Dia sudah lali. Mana tidaknya, gambar semasa dia berusia 12 tahun. Sekarang sudah 32 tahun. Tentu jauh berbeza. Bukan dia tidak mahu tukar, tetapi dia tidak punya masa. Tambahan pula, dia bukan guna sangat pun kad pengenalannya itu sebelum ini.

Selepas SPM, Firaz terus ke Australia untuk menyambung pelajarannya dan kemudian terus bekerja di sana. Sekarang dia pulang ke Malaysia pun kerana Umar.

Umar keluar dari bilik dengan dipimpin oleh Sara, mak longnya sambil tolong menarik beg troli Umar.

Mia terus terdiam. Air matanya mula bertakung. Perlahan dia menghampiri anak saudaranya itu.

“Mak su, Umar janji... Umar tak jahat lagi. Umar akan dengar cakap,” ujar Umar perlahan. Air matanya turut menitis. Tangan kanan diangkat separas dada, seperti berikrar.

“Umar.” Mia terus memeluk Umar erat. Dia turut menangis. Kenapa secepat ini lelaki itu hadir? Kenapa tidak beri notis awal? 3 bulan ke? Sekurang-kurangnya Mia bersedia.

“Encik Firaz.” Mia menyapu air mata. Dia bangun menghadap Firaz. “Kau tak boleh buat macam ni...” Mia bercekak pinggang di depan Firaz.

“Kenapa pulak?”

“Kau patut beritahu awal-awal. Bukan main terjah aje macam ni. Kau ingat Umar ni barang, main ambil aje macam tu,” Mia mula membebel. Memang dia tidak puas hati. Sangat-sangat tidak puas hati.

“Memang aku datang nak berkenalan, tapi dah tengok satu-satunya anak saudara aku duduk dengan orang yang ada penyakit anjing gila, takkanlah aku nak biarkan dia duduk sini lagi? Kalau kau tak gila, tentu kau faham.”

“Mana ada aku gila!” suara Mia naik satu oktaf.

“Kejar orang dengan penyapu. Siap tokak orang lagi. Tu apa? Bukan gila ke cik adik sayang?” Lembut sahaja Firaz menuturkan ayat terakhir itu.

“Alah, kejar tu main-main aje. Kita orang dah biasa gurau macam tu. Pasal gigit tu, salah kau. Kalau kau lepaskan Umar, aku tak gigit. Kau ingat aku rajin ke nak gigit-gigit ni? Risiko tinggi tau. Manalah tahu kau tu ada HIV ke, hepatitis ke, kau tanam batu dalam kulit ke? Salah langkah, aku kena pakai gigi palsu tau. Alah aku gigit manja aje pun. Itu pun nak kecoh!” Mia siap berikan jelingan mautnya.

“Gigit manja kepala hotak kau! Ni kau tokak. Aku tak kira, aku nak bawa Umar balik juga malam ni.” Firaz bangun menghampiri anak saudaranya. Jari kanak-kanak itu diraih.

“Jom, Umar. Kita balik rumah papa,” ajak Firaz lembut.

“Kejap!” Mia menahan.

“Apa lagi?” Firaz tidak puas hati.

“Kita main one two som. Siapa menang dia jaga Umar.” Tiba-tiba keluar idea merapu Mia. Manalah tahu untung sabut, timbul.

“Kau ingat aku ni baya Umar? Sorrylah cik adik sayang, keputusan aku muktamad.”

“Helo sedara, aku jaga Umar 3 tahun. 3 minit pun kau tak boleh bagi ke aku nak peluk cium anak saudara aku ni?” Tajam mata Mia memandang Firaz.

“Okey, silakan.”

Mia sempat menjeling sebelum dia melutut di depan Umar. Wajah comel itu ditenungnya lama. Matanya kembali berkaca.

“Umar... Umar ingat tak dulu mak su pernah cerita yang selain pak long, Umar ada seorang lagi bapa saudara? Dia yang patut jaga Umar,” kata Mia lembut seperti memujuk. Dia duduk. Umar turut ditarik duduk di pangkuannya. Dipeluknya erat.

Terpaksa Firaz melepaskan tangan kecil itu. Namun dia sedang berwaspada. Tindakan gadis gila itu sukar dijangka.

“Lagi, Umar ingat tak yang mak su cakap, arwah daddy Umar nak pak cik tu jaga Umar?” sambung Mia walaupun keluhan Firaz mengganggunya.

Umar mengangguk.

“Sekarang, inilah orangnya. Dia nak Umar duduk dengan dia. Bukan sebab Umar jahat atau tak dengar cakap mak su. Bukan juga sebab mak su gila.” Sempat Mia menjeling ke arah Firaz. “Tapi sebab arwah daddy Umar nak Umar duduk dengan dia,” sambung Mia. Pipi mulus Umar, Mia kucup.

“Maknanya nanti Umar tak dapat jumpa mak su, pak long, mak long dan Aisha lagi? Sekolah? Habis, sekolah Umar macam mana?” tanya Umar sambil matanya melihat satu per satu ahli keluarganya itu.

Mata-mata yang berada di situ terkalih ke arah Firaz. Firaz terdiam. Dia sendiri belum fikir mengenai hal itu.

“Nanti kita bincang. Lagipun esok kan sekolah dah mula cuti penggal pertama,” ujar Mia setelah melihat Firaz berjeda. Tidak habis-habis dia menjeling ke arah lelaki itu.

“Habis, mak su macam mana?” soal Umar. Dia bangun dari pangkuan Mia dan memegang tangan Firaz.

“Papa!” panggilnya.

“Ya, sayang.”

“Kita bawa mak su sekali, boleh tak? Kesian mak su tinggal sorang. Nanti orang gila yang betul-betul datang tangkap dia, macam mana?” pinta Umar penuh pengharapan.

Mia terus memegang dadanya. Tersentuh. Tidak sangka segarang-garangnya kepada Umar, Umar masih risaukan dia. Di sudut hati yang tersentuh itu, dia terfikir, buatnya Umar beria-ia mahu dia mengikut lelaki itu, bagaimana? Dia tidak sanggup!

Firaz terkelu. Gila! Hendak bawa gadis gila itu balik ke rumah bujangnya? Gila! Memang kerja gila!

“Tak boleh! Tak boleh! Cuti ni mak su ada plan. Mak su kena pergi Hat Yai. Sebab tu Umar kena tinggal dengan dia.” Nasib baik Mia cepat dapat idea. Plan Hat Yai adalah plan kakak angkat a.k.a. sahabat baiknya, Noryz. Dia guna pakai sahaja.

Firaz tersenyum. Double lega.

“Jom, Umar!” Firaz terus mengajak. Lagi lama dia di situ, lagi macam-macam diminta oleh Umar. Lagipun gadis gila itu sedang tenang. Takut-takut tantrum dia datang balik, masak!

No comments:

Post a Comment