DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 28 December 2020

Umar - Bab 4


“TAPI mak su... anggur tu dah habis.”

Pantas kepala Mia menoleh ke atas rak buah-buahan. Kosong. Tadi ada dua peket lagi. Aik!

“Orang tu dah ambil.” Tepat telunjuk Umar menghala ke arah seorang lelaki berjaket kulit yang berjalan menuju ke kaunter pembayaran.

“Dia ambil dua-dua,” adu Umar lagi.

Mia melajukan langkah menghampiri lelaki itu.

“Maaf, encik. Tadi anggur tu saya dah book.”

So?” Lelaki itu hanya memandang dengan ekor matanya sahaja.

“Sepatutnya satu peket itu saya punya.”

“Kenapa tak ambil? Lagipun takde tulis nama pun.” Lelaki itu siap membelek peket anggur lagi.

Darah Mia mula menyirap. Hatinya mula menyumpah-nyumpah lelaki itu.

“Encik ambil dua. Berilah saya satu. Satu encik, satu saya. Win-win situation,” Mia memberi cadangan.

No thanks,” ujar lelaki itu sebelum dia berlalu. Sempat dia menghadiahkan sebaris senyuman. Amat menjengkelkan!

Eii... poyonya! Umar nanti dah besar jangan jadi macam mamat tu. Tak gentleman langsung!” Kemarahan yang disimpan tadi meletus keluar. Mahu sahaja dia menyerang lelaki poyo itu. Tapi apakan daya, Umar sudah menarik tangannya.

“Dahlah mak su, kita cari buah lain.” Akhirnya mereka membeli juga buah tembikai.

Dalam perjalanan, Umar tertidur. Penat agaknya.

Mia mengusap perlahan rambut Umar. Sayang sangat dia kepada Umar. Semasa Umar lahir, dia baru saja selesai mengambil peperiksaan SPM. Apabila dapat sambung belajar, hampir setiap bulan dia pulang untuk bermain dengan Umar. Pernah juga kakaknya cemburu kerana Umar lebih rapat dengan dia berbanding ibunya sendiri. Mereka memang rapat sampai ada yang menyangka Umar itu anak kandungnya.

“Walau apa pun terjadi, mak su tetap akan jaga Umar. Tiada siapa pun boleh ambil Umar daripada mak su,” ujar Mia perlahan.

“Ada orang nak ambil Umar daripada mak su ke?” tanya Umar tiba-tiba. Nadanya perlahan dan sayu. Matanya masih terkebil-kebil menahan kantuk. “Umar tak mahu. Umar nak duduk dengan mak su. Duduk dengan mak su best. Mak su pandai, cantik. Mak su kan cikgu. Kalau Umar duduk dengan mak su, Umar kira anak emas cikgu. Betul kan mak su?” tambah Umar.

“Umar, mak su pun nak Umar duduk dengan mak su. Tapi...”

“Tapi apa, mak su?” Hilang langsung kantuk Umar. Bulat matanya menanti jawapan ibu saudaranya itu.

Mia mengeluh. Dia sendiri pun tidak pasti apa yang bakal berlaku.

“Tak ada apa-apalah.” Terus Mia berjeda. Takut kata-katanya menjadi doa.

 

JENTERA HIJAU berenjin 250cc membelok masuk ke Taman Mustakin. Sejak pulang dari Australia, terus Firaz mendapat kerja di Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Perkhidmatannya sebagai doktor pakar bedah amat dinantikan oleh jabatan itu.

Baru sebulan dia pulang. Dia masih dalam tempoh belajar lagi. Sebab itu dia mengambil masa untuk bertemu dengan Umar.

Elok sahaja dia memarkirkan jenteranya di sebelah Cik Sen milik Kay, Firaz memberi salam. Pintu yang luas terbuka menandakan sahabatnya berada di rumah. Sejak pulang ke tanah air juga, dia menetap di situ. Kay sahabatnya sejak sekolah menengah lagi.

“Assalamualaikum.” Masih tiada jawapan. Adoi! Sahabatnya itu masih sentap lagi ke?

“Kay!” Senyap sunyi.

Firaz menjengah ke dapur. Masih tiada kelibat sahabatnya. Barangan dari beg sandangnya dikeluarkan dan diletakkan ke atas meja. Tapi dari jauh, kedengaran suara orang bersembang.

Firaz menjenguk tepi tingkap. Sah sahabatnya sedang bersembang dengan jiran sebelah. Siap tukar-tukar anak pokok lagi.

‘Hesy... sotong ni, bukan ke tadi aku call suruh dia bersiap. Nak ajak keluar makan malam pun susah. Karang tak ajak, sentap,’ Firaz bermonolog sendiri.

“Kay,” panggil Firaz dari jeriji tingkap dapur.

Kay masih khusyuk bersembang. Masuk bab baja pula.

‘Tidak boleh dibiarkan ni! Sah-sah sampai ke maghrib baru berhenti membawang,’ keluh Firaz. Dia memanggil lagi dengan melambai-lambaikan tangannya, namun masih tiada respons.

Aduh! Firaz tepuk dahi. Akhirnya dia menyertai mereka.

“Awal kau balik,” tegur Kay. Nampak sangat dia tidak langsung menyedari kepulangan sahabatnya itu.

“Kak Ija, ni saya kenalkan housemate baharu saya, Doktor Firaz. Yang kucing comel tu dia punyalah.”

Amboi, sampai kucing pun Kay cerita!

“Oh doktor! Senanglah kalau sakit-sakit cari orang sebelah aje.” Firaz dipandang atas bawah.

“Tapi saya doktor...” Belum sempat Firaz menghabiskan ayatnya, Kay sudah menarik dia masuk ke dalam rumah.

“Okeylah Kak Ija, nanti kita borak-borak lagi. Kita orang nak keluar ni.”

Sampai sahaja di ruang tamu, baru Kay melepaskan tangan Firaz.

“Kau dah kenapa cakap aku ni doktor?” marah Firaz.

“Dah sah-sah kau tu doktor. Aku bangga tau ada kawan doktor macam kau. Bukan calang-calang doktor. Baru balik overseas lagi.”

“Kau tak dengar ke dia cakap kalau sakit senang cari aku? Kalau betul-betul dia buat, macam mana?” Firaz mengambil air, diteguknya. Sejukkan sedikit badannya.

“Tak sama ke?”

Firaz tidak mampu berkata apa-apa lagi. Adakalanya sahabatnya itu lurus bendul.

“Dah, pergi bersiap. Aku tak nak lambat sampai rumah mereka.” Firaz mula melangkah ke biliknya. Namun Kay masih di ruang tamu. Siap dibukanya televisyen lagi.

“Hoi! Siaplah cepat. Kau tu mandi berjam,” jerit Firaz dari pintu biliknya.

“Aku tak pergi.”

Kenyataan Kay membuatkan Firaz berpatah balik ke ruang tamu.

“Apa kau cakap?”

“Aku tak pergi.” Mata Kay menghadap kaca televisyen. Drama rantaian kegemarannya akan ke udara.

“Weh! Manalah aku tahu jalan.”

Waze kan ada,” jawab Kay acuh tidak acuh. Sebenarnya dia tidak berapa setuju dengan perkara yang sedang dibuat oleh Firaz. Dia dapat merasakan yang Firaz belum bersedia lagi untuk memikul tanggungjawab itu. Lagipun kehadirannya nanti akan menimbulkan syak wasangka.

“Kau sengaja, kan?” Kali ini Firaz pula sentap. Dia masuk ke dalam bilik semula dan terus bersiap. Masuk sahaja waktu asar, dia terus bersolat.

Apabila Firaz keluar dari bilik, Kay masih menunggunya di ruang tamu. Kunci Cik Sen, Kay campakkan kepada Firaz.

“Pakai kereta aku. Mana kau nak letak handphone dekat Miss Nin kau tu.”

Firaz terdiam. Ada betul juga kata Kay. Takkan hendak diletakkan telefon atas handle!

Good luck. Jaga Cik Sen aku tu. Jangan balik lambat, nanti aku rindu,” sempat Kay memberi pesanan penaja.

“Banyaklah kau punya rindu!” bidas Firaz.

Baru seminit Firaz di dalam Cik Sen, dia sudah berasa rimas. Hesy, rasa duduk dalam taman bunga. Atas dashboard depan ada bunga, dashboard belakang pun ada bunga. Sudahlah tempat duduk berwarna pink. Siap ada cover handbrake Hello Kitty. Sudah macam kereta perempuan.

Firaz terus keluar. Kunci kereta dicampakkan semula kepada Kay.

“Kau kalau nak berubah, first sekali kau kena ubah tu... dalam Cik Sen kau tu. Tak mencerminkan jantan langsung!”

Firaz terus memakai helmet fullface di kepalanya dan berlalu meninggalkan Kay yang terpinga-pinga. Jaket kulit pun dia tidak sempat capai.

 

PETANG ITU Umar keluar dengan basikalnya. Beberapa orang kawannya sudah menanti.

“Balik cepat. Karang pak long datang.” Sengaja Mia tidak menyebut tentang tetamu yang akan turut hadir. Karang panjang berjela-jela pula pertanyaan Umar. Sedangkan dia sendiri pun masih berteka-teki.

Mia memang cekap di dapur. Dari kecil dia telah diajar memasak. Mia bersyukur, dia sempat belajar hampir semua juadah kegemaran keluarganya sebelum kakaknya kemalangan dahulu.

Usai memasak, Mia mula mengemas laman rumah. Baru dia perasan ada beberapa pokok hampir mati akibat kehausan air. Sejak dia mula mengajar kelas tambahan di balai raya, Mia tidak ada masa hendak membelek pokok-pokok bunga arwah ibunya.

“Kesian kau pokok, sorry ya. Aku sibuk kebelakangan ni. Kau tentu rindu angah, kan? Angah selalu belai korang.” Mia membebel seorang diri sambil menyiram pokok bunga kertas. Selesai memberi minum pokok-pokok di laman, dia menyambar penyapu. Pasir di simen beranda disapu pula.

Sedang leka dia menyapu, basikal Umar melulu masuk.

Sreeet!!!

Terseret badan kereta Myvi Mia. Cantik segaris calar bagaikan dibuat oleh pelukis profesional. Mata Mia pantas terkalih ke arah keretanya.

“Umar!!!”

Mia mula mengejar Umar dengan penyapu di tangan.

Umar terus mencampakkan basikalnya ke tepi dan lari menyelamatkan diri keliling kereta Mia.

Sorry mak su... sorry mak su!”

Mia yang berkaki ayam masih mengejarnya dengan penyapu.

Umar kemudian berlari ke arah lorong di depan rumahnya. Dia perlu pergi ke rumah jirannya. Hanya Nek Siah yang boleh membantunya tika dan saat ini.

“Nek Siah! Nek Siah! Tolong!”

Sebuah motosikal melulu ke arahnya. Nasib baik lelaki itu sempat membrek. Tanpa membuang masa, terus Umar menerpa ke arah lelaki bermotosikal besar dan berbadan sado itu. Wajahnya Umar tidak nampak kerana lelaki itu memakai helmet fullface. Tetapi semacam ada magnet yang menarik Umar untuk minta pertolongan lelaki itu.

Uncle, tolong Umar. Mak su dah jadi singa lapar.” Umar menggoncang beberapa kali lengan lelaki itu.

“Umar? Ni Umar Fayyadh?” tanya lelaki itu. Visor helmetnya ditolak. Nampak matanya yang redup dan batang hidung yang terpacak.

Umar mengangguk laju. Mulutnya turut ternganga, terkejut melihat mata lelaki itu, ada iras arwah daddynya.

Lelaki itu terus turun daripada motosikalnya. Laju dia menongkatkan motor itu lalu menghadap Umar.

“Umar Fayyadh bin Arman Fahim?” Sekali dengan bin lelaki itu bertanya.

“Ya. Itu nama penuh Umar. Tapi panggil Umar ajelah. Umar Fayyadh, panjang. Umar Fayyadh bin Arman Fahim, lagi panjang,” Umar balas senafas.

Firaz tersenyum. Memang sah itu anak saudaranya. Ditariknya Umar ke dakapannya. Pipi budak itu dikucup beberapa kali. Jatuh air mata jantannya. Diamati wajah budak itu. Ada iras adiknya, Arman. Dipeluknya lagi budak itu.

Gedebuk! Batang penyapu hinggap ke bahunya.

“Hoi, lepaskan anak saudara aku! Kalau tak, aku hempuk kau.”

Uncle, tolong.” Umar terus memeluk Firaz. Entah mengapa, saat ini dia lebih percayakan pak cik handsome itu daripada ibu saudaranya sendiri. Tambahan pula mak sunya itu sedang pegang penyapu. Lantas ugutan mak sunya tentang rumah anak yatim terngiang-ngiang dalam kepala.

“Kalau macam ni gaya kau jaga Umar, memang kau tak layak dapat hak penjagaan. Dah Umar, jom ikut papa balik!” Firaz naik semula ke atas motornya. Umar ditariknya sekali ke atas motosikal.

Gedebuk! Lagi sekali batang penyapu hinggap di badan Firaz. Sedikit pun tidak memberi kesan. Alah, takat pukulan perempuan... alahai!

“Hei! Kau nak culik anak saudara aku ya?” Mia terus menarik lengan lelaki itu. Dia cuba merungkaikan pelukan Firaz yang erat memeluk badan Umar.

“Umar, lawan Umar. Orang jahat... orang jahat. Penculik!” Mia makin panik. Lengan lelaki itu teguh memeluk Umar. Puas ditarik, diketuk dan ditumbuk lengan itu, sedikit pun tidak membuatkan lelaki itu melepaskan Umar.

Mia terpaksa menggunakan senjatanya. Senjata yang sudah lama tidak digunakan. Dia sendiri hampir lupa dia memiliki senjata hebat itu. Senjata yang pernah membuatkan seluruh rakan sepermainannya takut. Kerana senjata itu juga dia dirotan oleh arwah bapanya. Dia turut berjanji tidak akan menggunakan senjatanya itu lagi. Tapi kali ini dah dikira darurat.

‘Maaf ayah, Mia terpaksa mungkir janji.’

Lengan sado lelaki itu Mia gigit. Kedengaran Firaz menjerit. Umar melompat turun daripada motosikal dan cuba leraikan pergaduhan Mia dengan pak cik sado. Tapi dia masih tidak berjaya. Mak sunya sudah naik angin.

Firaz cuba menolak kepala Mia. Isi daging lengannya bagaikan tertolak sama. Kuat betul gigitan Mia. Ada DNA anjing gila agaknya!

“Mia!” jerit Daud yang baru sampai. Terkejut dia melihat insiden di depan rumah pusaka ibu bapanya.

Mia terus melepaskan gigitannya. Tapi lengan lelaki itu masih dipegangnya. Ditekan di tempat gigitan tadi. Lelaki itu menjerit kesakitan.

“Along! Cepat panggil polis. Dia ni nak culik Umar!”

Lelaki itu masih mengerang. Mana tidaknya, Mia sedang menekan tempat gigitan tadi dengan kukunya pula.

“Abang, tolong saya!” jerit Firaz. Helmetnya dibuka.

“Along, tolong! Dia nak hempuk Mia dengan helmet dia!”

“Mana ada!” Firaz membela diri dalam kesakitan. Helmetnya dihulurkan kepada Umar.

‘Oh, tak mengaku ya!’ ujar hati kecil Mia. Makin geram dia hendak menggigit lengan berketul lelaki itu. Biar sampai tercabut.

“Dah, lepaskan dia!” arah Daud kepada Mia.

“Mana boleh! Nanti dia lari!” Lengan lelaki itu mengundang betullah. Mia sudah buka mulut untuk menggigit semula. Sasarannya kali ini di bahagian lain. Bahagian dada. Tempat itu nampak macam memanggil-manggil minta digigit.

“Mia, lepaskan. Tu Firaz.”

Mia tidak jadi menggigit. Dia menoleh ke arah abangnya.

“Firaz?” Berkerut seribu dahi Mia. Siapa Firaz? Abangnya kenal penculik ini rupanya.

“Tetamu kita...”

Terus Mia melepaskan tangannya dan menikus.

‘Alamak, apa dah jadi ni? Malu! Malu!!!’

No comments:

Post a Comment