DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 22 November 2017

Cinta Zara - Bab 1






ZARA melihat wajahnya di cermin. Matanya
kelihatan merah. Dia tidak pasti sudah berapa lama dia
menangis. Sungguh kejam dugaan menimpanya. Namun
dia sedar itu semua hanyalah ujian Allah. Menangis air mata
darah sekali pun apa yang terjadi tak mungkin dapat diubah
semula.
Dalam sekelip mata dia memegang status janda.
Pagi tadi dia masih lagi bergurau senda dengan suami yang
tercinta. Namun baru sebentar tadi lafaz talak terlontar dari
mulut insan kesayangannya. Sungguh dia tidak menyangka
semua ini akan terjadi. 5 bulan melayari bahtera dengan
suami tersayang tidak pernah sekalipun dia tak rasa bahagia.
“Kakak okey ke?”
Teguran daripada seseorang mematikan lamunannya.
Zara menoleh ke arah pintu. Amelia rupanya. Dia tak perasan
berapa lama Amelia berada di situ. Soalan Amelia dibiarkan
sepi.
“Kakak okey ke?” tanya Amelia lagi. Dia mendekati
Zara yang sedang duduk di sofa.
Zara tetap enggan membuka mulut. Hanya air mata
mampu menggambarkan perasaannya ketika ini. Melihat
Amelia hati bertambah robek. Dia memeluk pinggang Amelia.
Dihamburkan air matanya. Mujur ada lagi insan dalam rumah
ini yang bersimpati kepadanya.
“Abang dah gila agaknya. Kenapa tiba-tiba...” Amelia
geram. Dia gagal menghabiskan ayatnya.
Amelia duduk di sebelah Zara. Memeluk kakak
iparnya dan menangis bersama. Simpati kepada kakak iparnya
yang diceraikan secara tiba-tiba. Pasti angkara si plastik itu.
Agak lama mereka berdua menangis.
“Lia minta maaf bagi pihak angah,” ujar Amelia. Dia
meleraikan pelukannya.
“Tak apalah Lia...orang dah tak suka. Apa akak boleh
buat. Akak pasrah saja. Lia bukan tak kenal degil abang Lia.”
Zara reda. Dia kenal Ammar bagaimana. Walaupun sudah 10
tahun mereka tidak berjumpa, perangai Ammar tetap sama.
Suka bertindak tanpa berfikir. Ego!
“Akak kena kuat. Lia ada untuk sokong akak. Even
akak nak karate abang pun Lia akan sokong akak.” Amelia
memberi kata-kata semangat. Tindakan Ammar memang
tidak masuk akal. Abangnya tak tahu ke, berdosa kalau
ceraikan isteri tanpa sebarang alasan kukuh.
Zara ketawa. Hilang sekejap rasa sesak dalam
kepalanya. Marahkan Ammar pun tak sanggup, apatah lagi
nak karate lelaki itu. Dilap air matanya dengan hujung lengan
baju.
“Malam ni akak tidur dengan Lia... besok kita
fikirkan apa yang patut. Jom kak...” Amelia menarik Zara
untuk bangun.
“Boleh tak kalau akak keluar dari sini malam ini juga?
Akak rasa dah tak mampu nak harungi malam yang panjang
ini,” ujar Zara dengan sendu yang tertahan. Statusnya sebagai
isteri telah terlucut. Dan sebagai orang asing, sewajarnya dia
tinggalkan Vila Aisyah.
“Akak nak pergi mana? Akak boleh tinggal kat sini
sampai semuanya selesai. Mungkin akak boleh pujuk abang.
Lia percaya abang cintakan akak. Tapi dia ego. Akak boleh
selamatkan rumah tangga akak.” Amelia cuba memujuk Zara.
Ke mana pula kakak iparnya hendak pergi tengah malam
macam ini?
“Cinta... Lia tak dengar apa yang abang Lia cakap tadi.
Dia menderita selama hidup dengan akak... Dia menderita
sebab berpisah dengan perempuan yang paling dia cintai.
Akak ni bukan siapa-siapa pada dia. Jadi apa perlunya akak
pertahankan semua ini? Akak ibarat bermimpi di siang hari.”
Zara tergelak namun tetap matanya berkaca.
“Akak...”
“Kalau akak kat sini, akak yang terluka. Jiwa akak
akan mati. Orang yang kita cinta ada depan mata tapi...
kita hanya mampu pandang tanpa boleh disentuh. Akak
sayangkan Ammar, cintakan dia. Akak nak dia gembira.
Biarlah akak keluar... lagipun akak yang orang asing bukan
Ammar.” Zara mohon pengertian Amelia. Dia tidak sanggup
duduk sebumbung dengan Ammar. Dan dia tidak sanggup
melihat kegembiraan Ammar sedangkan dia bergelumang
dengan kepedihan.
“Kalau itu yang akak mahu, Lia akan tolong akak.
Akak kemaslah apa yang patut. Lia call Humairah. Minta dia
tumpangkan akak kat rumah dia malam ni.” Amelia peluk
Zara sekali lagi sebelum dia keluar dari bilik.
Zara memerhati Amelia keluar dari bilik dengan ekor
matanya. Dia tidak boleh terus menangis. Tangisan bukanlah
jawapan untuk apa yang menimpanya. Dia harus teruskan
hidupnya. Tekadnya untuk keluar dari situ sudah bulat.
Zara mula mengemas barang-barangnya.
Dipandangnya bilik tidur yang dihuninya sejak 5 bulan
lalu. Dia sudah mula selesa di bilik itu. Mula selesa dengan
statusnya sebagai isteri kepada Ammar. Dia terlupa Ammar
yang dahulu membencinya sepenuh hati. Mana mungkin
cinta hadir antara mereka.
Zara melihat dalam bilik wardrobe yang penuh dengan
jubah-jubah cantik dan baju kurung pembelian suaminya.
Sepanjang 5 bulan perkahwinannya, dia amat dimanjakan.
Ammar membelikan segala keperluannya. Barangan serba
mewah dan mahal. Namun dia tidak menyangka itu semua
dusta semata-mata. Dia merasakan bahagia sudah ada dalam
genggaman, namun kuasa Allah langsung dia tak duga.
Bahagia yang dia rasa hanya dusta Ammar.
Zara hanya mengambil pakaian yang dia bawa
semasa pertama kali menjejakkan kaki ke Vila Aisyah.
Dia melihat penampilannya di cermin. Malu dengan imej
ciptaan suaminya. Dia yang tidak pernah memakai pakaian
berjenama, tidak betah dengan penampilannya. Dia harus
kembali kepada asal.
Jubah hitam yang sarat dengan labuci dan manik
yang tersarung di tubuhnya diganti dengan baju kurung
miliknya. Tudung berjenama yang berharga ratusan ringgit
di kepalanya ditanggalkan. Digantikan dengan bawal
berharga lima ringgit miliknya. Dia kembali menjadi Zara
anak pemandu bukan lagi Zara isteri Ammar. Isteri kepada
pemegang saham kedua terbesar Megah Indah Group.
Siapa yang menjadi pendamping Ammar akan hidup dalam
kemewahan.
Barang kemas yang dipakainya turut dilurut.
Disimpan dalam kotak khas. Itu semua pemberian suaminya.
Zara pandang sayu cincin yang tersarung di jarinya. Cincin
yang disarungkan oleh suaminya semasa hari pernikahan
mereka. Dia berjanji dengan dirinya tak akan berpisah dengan
cincin itu. Namun apakan daya pemilik sebenar cincin itu
bukan dirinya. Sebagaimana dia bukanlah tulang rusuk kiri
Ammar. Ditanggalkan cincin itu dan dimasukkan ke dalam
kotak.
Zara mengeluarkan sampul surat dari almari. Mas
kahwinnya dan juga duit hantaran pemberian suaminya
berjumlah tiga puluh ribu diletakkan bersama kotak barang
kemas. Dia tak layak untuk duit itu. Patutlah berat saja hatinya
mahu membelanjakan duit itu. Dia hanya persinggahan. Zara
mengeluarkan kad sim dari telefon pintar pemberian Ammar.
Memori kad juga diambilnya. Semua gambar dipadamkan.
“Akak dah kemas ke?” Amelia masuk kembali ke
bilik. Dia terkejut dengan penampilan Zara. Kakak iparnya
berubah seratus peratus. Tiada lagi Zara yang anggun dan
bergaya. Hanya Zara yang biasa dia lihat waktu kecil dulu.
“Akak...” Amelia memeluk Zara. Dia faham perasaan
kakak iparnya. Air mata yang sudah kering mengalir kembali.
Dia turut sedih. Dia faham kalau kakak iparnya kecewa dan
sedih. Sebab itu kakak iparnya kembali bertukar rupa.
Zara memandang sekeliling biliknya. Ini kali
terakhir dia di sini. Selepas ini dia akan tinggalkan semuanya.
Langkahnya terhenti sebaik saja terpandangkan katil tempat
dia dan suaminya beradu.
“Ya Allah... aku rasa menyesal menyerahkan
kesucian aku kepada suami aku sendiri... Suami tanpa cinta
buat diriku...” Zara memegang dadanya. Dia terduduk di
tengah-tengah bilik.
Dia mengimbas kembali detik-detik dia bermesra
dengan suaminya. Kalau betul Ammar menderita hidup
dengannya, apakah erti hubungan intim mereka? Adakah
semuanya berpaksikan nafsu semata-mata? Kenapa Ammar
tega menyentuhnya kalau tiada perasaan cinta?
“Ya Allah...” Zara meraung di situ. Dia tumbuk
dadanya sendiri. Terjerit-jerit bagaikan histeria. Air mata
yang cuba ditahan mengalir sederasnya.
Dadanya terasa panas akibat sakit hati teramat
sangat. Dia menyesal seperti harga dirinya menjadi terlalu
murah ketika ini.
“Akak sabar kak... Ingat Allah,” Amelia menenangkan
Zara. Amelia memeluk Zara. Air matanya turut luruh ibarat
hujan. Apa yang keluar dari mulut kakak iparnya membuatkan
dia bertambah sebak. Perbuatan abangnya memang tidak
dapat dimaafkan. Sebagai seorang perempuan dia dapat
memahami penderitaan Zara ketika ini.
“Ya Allah... apa salah dan dosa hamba-Mu ini...” Zara
cuba bertenang. Menangis banyak mana pun masa lalu tak
mungkin dia boleh ubah. Dia tunduk merenung lantai.
“Kak Zara...” Amelia membantu Zara untuk bangun.
Air mata di pipi Zara dikesat dengan tangannya. Pilu hatinya
melihat kakak ipar yang sentiasa senyum dan ceria rebah
kerana derita dan kecewa. Wajah Zara yang sentiasa dihiasi
senyuman manis bertukar menjadi kelam dan murung.
Bagaikan tiada apa emosi.
“Akak kuatkan diri. Jangan mengalah dengan abang
ngah. Akak kena tunjuk akak kuat.” Amelia memeluk Zara.
Semoga Allah mengurniakan ketabahan buat kakak iparnya.
Zara angguk. Dia tidak harus menangis lagi atas
perbuatan tidak berakal suaminya. Dia yakin dia mampu
meneruskan hidup walaupun seribu kelukaan yang Ammar
berikan. Dia berjanji akan terus tabah.

No comments:

Post a Comment