DAPATKAN TEASER PERCUMA!
Tuesday, 21 November 2017
Impian Kasih - Bab 1
Melissa memandang sepi Casa Del Rio
yang terletak di seberang sungai dari bangku yang sedang
didudukinya saat ini. Sungguh, dia amat mengagumi
kecantikan hotel bertaraf lima bintang tersebut. Baginya,
lampu-lampu neon berwarna kuning yang dipasang
mengelilingi hotel tersebut ternyata berjaya menaikkan lagi
seri keindahannya. Dia sering berkunjung ke sini untuk
menikmati keindahan malam di tepian Sungai Melaka,
kerana sudah menjadi kesukaannya menggilai tempat-tempat
yang dipenuhi lampu berwarna-warni.
Lama dia bertafakur merenung hotel tersebut.
Akhirnya, satu keluhan berat dilepaskan. Wajahnya
ditundukkan memandang lantai tempat kakinya berdiam.
Air mata yang bergenang segera dihapuskan. Dia cuba
mendamaikan rasa yang tidak keruan. Angin malam yang
bertiup nyaman ternyata gagal memadamkan api kemarahan
yang sedang menggunung dalam dada.
Makin dipandang, makin direnung, semakin dia
menjadi panasaran. Bagai dirasuk suatu semangat yang
ganas, dadanya berombak menahan tangis dalam kemarahan.
Serentak itu, dia bangun dan segera mengatur langkah
ke hadapan. Menonong berjalan tanpa mengetahui arah
tujuan. Diikuti rentak kaki dan hati yang walang sambil mata
menyoroti keadaan sekeliling.
Baru dia tersedar, persekitarannya telah lama sunyi
sepi. Ke manakah hilangnya keriuhan sebentar tadi? Buat
seketika, dia terpinga-pinga sendiri. Jam di tangan dilihat
sekilas, jarum jam tertumpu di angka 3.
Langkah diatur hingga tiba di bawah jambatan yang
agak terpencil, namun masih diterangi dengan lampu neon
yang setia memancarkan cahaya menyinari kelam malam.
Jambatan di atas kepalanya dipandang sekilas, jambatan yang
menghubungkan bangunan merah atau Stadhuys dengan
jalan Jonker Walk yang terkenal dengan penjualan barangan
antik dan unik oleh peniaga-peniaga Cina di Melaka.
Diamati bunyi-bunyian, ternyata tiada langsung
suara orang berbual mahupun bunyi kenderaan bergerak.
Diamati pula di kiri dan kanannya, kosong! Dia yakin,
hanya dia seorang sahaja yang masih tegak berdiri di bawah
jambatan itu.
Matanya dipakukan pada air sungai yang hitam
pekat. Hatinya sedikit gementar, berdetak memainkan
irama cemas. Sedikit demi sedikit dia mara merapati sungai
tersebut. Sedikit demi sedikit keberaniannya dikumpul.
Dia bukan seorang yang suka dan mudah berputus
asa. Namun keadaan memaksanya menjadi seperti orang gila.
Dia terluka dan kecewa. Terluka yang bukan sedikit, kecewa
yang tidak terhingga. Cinta yang dibina bertahun-tahun
lamanya, ternyata sia-sia dek tidak direstui oleh keluarga
lelaki itu sendiri. Mengapa baru sekarang hendak dihalang
dan tidak direstui? Kenapa tidak dari dahulu lagi? Apa
salahnya?
Di saat semuanya hendak dimeterai, muncul pula
pelbagai konflik yang cuba memisahkan cinta mereka.
Bukan cubaan, tapi sudah menjadi kenyataan. Kalau dia tahu
segalanya akan berakhir dengan perpisahan, dari dulu lagi
pasti dia sudah menjauhkan diri. Apa guna setia menanti?
Kerana terlalu yakin, akhirnya terluka sendiri. Sungguh,
dia sesal segalanya terjadi saat pelamin angannya sudah
terbayang-bayang di hadapan mata.
Ketika mereka sudah hampir disatukan, segala
persiapan telah dibuat, entah dari mana silapnya, ibu Izz
Aizril tidak merestui hubungan mereka berdua. Oleh kerana
Izz Aizril tidak mahu menjadi anak derhaka, dalam terpaksa
tunangannya itu memutuskan hubungan mereka. Lelaki
itu juga telah pun disatukan dengan pilihan hati ibunya.
Bagaikan telah dirancang semuanya itu.
Di manakah letaknya sifat perikemanusiaan ibu
bekas tunangannya itu? Dia benar-benar malu dan terluka. Di
mana hendak disorokkan wajahnya ini? Bagaimana hendak
digantikan maruah keluarga yang tercalar akibat majlis yang
tidak kesampaian? Mampukah dia mencantumkan kembali
hati yang telah retak seribu ini?
“Kasihan ibu dan ayah...” Melissa merintih sendiri.
Air mata semakin laju menuruni pipi. Matanya semakin kabur.
Akhirnya, esakan kuat kedengaran bergema di bawah jambatan
itu. Terasa seperti maruah dirinya diperkotak-katikkan.
Ibu Izz Aizril fikir dia siapa? Patung yang tidak
bernyawa? Jikalau tidak suka, mengapa dari awal dia tidak
disingkirkan? Mengapa di saat semuanya telah tersedia untuk
dilangsungkan, baru dirinya ditolak mentah-mentah? Atas
dasar apa penolakan itu diusulkan? Melissa teresak sendiri.
Hati yang terluka semakin membara kesakitan.
Lalu jalan pintas diambil. Bunuh diri? Ya, tepat! Itu
sahaja cara yang terbaik untuk merawat kelukaan hatinya.
Biar semua tahu dia kecundang kerana cinta. Dia lupa akan
pegangan agamanya. Dia lupa akan keluarganya yang setia
menemani kala susah dan senang. Dia lupa semuanya! Yang
dia tahu dia sedang sengsara. Terseksa kehilangan Izz Aizril!
Air sungai yang hitam kelam itu dipandang lagi.
Adakah sungai itu dihuni oleh sang buaya? Melissa menelan
liur, cuba membayangkan dirinya yang mungkin akan mati
dibaham sang pemangsa.
Kaki semakin mendekati tebing sungai. Tiba-tiba...
“Awak, jangan!” teriak suatu suara dengan lantang.
Melissa kaget, lantas dia menoleh ke sisi. Terdiam
dia sambil merenung lelaki yang sedang mendekatinya itu
atas dan bawah. Diamati lelaki tersebut. Wajahnya tampan,
kulitnya putih bersih kemerahan, hidung yang mancung dan
bibir yang merah. T-shirt Polo hijau terang dan jean gelap yang
dipakai menyerlahkan lagi ketampanannya. Tapi semua itu,
tidak bermakna. Datanglah jejaka setampan putera kayangan
sekalipun, tidak akan diendahkan kewujudan mereka.
“Jangan awak berani-berani nak halang saya! Pergi!
Saya tak ada urusan dengan awak!” Suara Melissa sedikit
tinggi. Bola matanya dipanah tepat ke wajah lelaki itu.
“Memanglah awak tak ada urusan dengan saya. Tapi
kalau awak nak bunuh diri dengan cara macam ni, memang
jadi urusan sayalah, sebab awak buat depan mata saya ni,” ujar
Izdham lagi. Renungan gadis itu dibalas dengan renungan
juga. Jika dia bersikap tidak peduli, mampukah dia hidup
setelah jelas nyata sikap diamnya itu turut menyumbang pada
kehilangan nyawa gadis itu? Tidak! Dia tidak sekejam itu. Dia
masih punya akal yang waras.
“Siapa suruh awak pandang apa yang saya nak buat?
Ini tempat saya. Kalau awak nak berjalan-jalan, silakan ke
tempat lain saja. Jangan ganggu saya!”
“Amboi awak... tempat ni, tempat awam tau. Bukan
hak milik awak pun. Suka hati sayalah nak jalan ke mana-mana
yang saya nak sekalipun.” Sengaja Izdham memperlekehkan
arahan yang diberi untuk mengalihkan tumpuan gadis itu.
Perlahan-lahan dia berjalan mendekati lagi, lagak seperti
orang yang tidak mahu mengambil peduli. Dia tidak mahu
tindakannya disedari.
Melissa terus-menerus memandang lelaki itu
dengan hati yang mendongkol geram. ‘Apa dia ingat aku ni
buta agaknya?’ kutuknya dalam hati. Bibirnya diketap kuat.
“Awak datang dekat lagi selangkah, memang saya
terus terjun dalam sungai ni!” Melissa tekad mengugut.
Sebelah kakinya diangkat dan dicelupkan ke dalam sungai
tersebut.
Izdham tergamam. Tindakannya rupa-rupanya
disedari. Dia tidak menyangka niatnya untuk mengambil
angin malam selepas seharian penat bekerja akan diduga
dengan tanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa orang
dengan cara yang tidak disangka-sangka. Di tengah-tengah
pagi buta begini pula. Dia mula mati akal untuk berbasa-basi.
Apakah yang harus dia lakukan?
“Rupa cantik, rambut mengalun ikal mayang, persis
pelakon Zooey Deschanel dalam filem 500 Days of Summer,
tapi sayangnya... sakit otak rupanya...” ucap Izdham kepada
dirinya sendiri. Masakan gadis yang kelihatan serba-serbi
cantik memikat itu hendak membunuh diri? Berat sangatkah
masalah yang ditanggung sehinggakan tergamak mengambil
jalan singkat seperti ini? Bingung dia dibuatnya.
“Awak tak takut dibaham buaya ke? Manalah tahu...
niat awak memang nak bunuh diri. Tapi mungkin sebelum
awak sempat lemas, buaya tu dah ngap awak dulu. Kalau terus
mati tak apalah jugak, tak terasa seksanya. Kalau awak hidup
lagi masa tu? Macam mana?” Izdham cuba menakut-nakutkan
gadis itu. Fuh! Mudah-mudahan kata-katanya berkesan.
Terkumat-kamit bibirnya berdoa.
Melissa menelan liur. Matanya ralit merenung sungai
yang kelam. Dia seakan-akan termakan kata-kata lelaki itu.
“Buaya ke, tak buaya ke, saya punya sukalah nak
buat apa pun!” Melissa bersuara lantang dengan mata yang
mencerlung kemarahan. Bola matanya tajam menikam
seolah-olah memberi amaran terakhir supaya dirinya tidak
diganggu dengan sebarang kata momokan yang sia-sia.
Izdham terkedu. Sangkanya gadis itu akan takut
dengan momokannya, namun ternyata dia silap. Momokannya
hanya menaikkan lagi tahap keberangan gadis itu.
“Okey, okey... fine! Saya mengalah. Awak menang.
Saya tak kuasa nak libatkan diri saya dengan masalah awak,
inikan pulak nak halang niat awak tu. Awak boleh teruskan
niat awak nak terjun sungai ke, nak terjun lombong ke, nak
terjun dari atas Menara Taming Sari tu ke... puaskan hati
awak atau whatever it is, I don’t care at all! Saya nak balik
ni. Esok nak kerja. Lainlah macam awak tu, dalam masa 10
atau 15 minit lagi, memang awak tak wujud dah kat dunia
ni. Tak payah fikir pasal kerja, kan? Jadi... saya nak ke kereta,
laluan ini aje yang ada untuk saya lalu. Jangan suruh saya
berenang pulak, sebab saya tak pernah berzakat untuk
serahkan badan saya pada sang buaya macam yang awak nak
buat. Okey? Boleh?” Izdham membuat helah sambil berharap
semoga gadis di hadapannya ini termakan kata helahnya. Jari
telunjuknya sudah sedia menunjukkan arah keretanya berada
untuk meyakinkan gadis itu.
Melissa berfikir sejenak sambil menoleh ke kiri
dan ke kanan. Dia mahu lelaki itu cepat-cepat beredar dari
pandangannya. Semak!
“Okey. Awak boleh lalu aje tau, jangan cuba-cuba
buat selain tu! Kalau tidak...” Melissa sudah mencondongkan
badannya sedikit ke hadapan dengan sebelah kaki yang masih
lagi dicelupkan ke dalam sungai tersebut.
Pantas Izdham berlari dengan laju ke arah gadis itu.
Melissa yang cemas melihat kemaraan lelaki tersebut terus
terjun ke dalam sungai tanpa berfikir panjang. Akibat tidak
tahu berenang, pantas sahaja tubuhnya tenggelam ditelan
sungai. Ternyata cinta memang mampu membuat seseorang
itu hilang kewarasan akal dan pertimbangan diri.
Izdham terkejut, namun sempat dia mengutuk
dirinya sendiri. Akibat kecuaiannya, gadis tersebut betul-betul
melemaskan diri ke dalam sungai. Lalu, dengan pantas dia
turut terjun. Gadis itu perlu diselamatkan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment