DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 23 November 2017

Cinta Zara - Bab 8

TELEFON berdering lagi. Untuk kali ke berapa
Zara sudah penat mengira. Apa mahu Ammar pun dia tidak
tahu. Kenapa Ammar sibuk menghubunginya? Dia tak mahu
lagi berhubungan dengan Ammar apatah lagi mendengar
suara Ammar. Bukankah dia sudah berpesan kepada Maria
agar mengingatkan Ammar untuk tidak menghubunginya?
Ammar lupa atau sengaja buat-buat lupa?
Dia tak benci tapi tak mahu terus merindu.
Mendengar suara Ammar pasti dia akan menangis kerinduan.
Kenapalah Ammar kejam sangat. Kenapa Ammar berikan dia
sepenuh kasih sayang kalau cintakan orang lain? Kenapa dia
dapat rasa cinta Ammar bukan palsu?
“Awak jahat Ammar.” Zara renung telefon. Nama
Ammar terpapar di skrin. Tanpa sedar air matanya menitis.
Saat itu memang dia rindukan Ammar. Mahu saja dia berlari
kembali ke Vila Aisyah untuk memeluk Ammar.
“Jawab ajelah kalau rindu.” Maria menepuk bahu
Zara lembut.
“Aku tak boleh jawab.”
“Baik kau jumpa dia dan bincang elok-elok benda
ini. Walaupun dia dah jatuhkan talak tapi masih ada jalan
lagi untuk korang bersatu. Mahkamah pun belum sahkan
perceraian kau dengan dia. Lagipun kau kena balik rumah
Ammar dan habiskan idah kau kat sana. Mana tahu cinta
bertaut kembali.” Entah kenapa dia rasa Ammar dan Zara
saling mencinta. Ammar kelihatan teruja apabila mendengar
nama Zara dan begitu juga sebaliknya.
“Tak pernah ada cinta, mana mungkin nak bertaut.
Penderitaan dia tu nak campak mana? Tak mungkinlah aku
balik semula kat dia. Apa lagi nak duduk serumah dengan
dia.” Zara ingat lagi bait-bait kata Ammar. Dia punca derita
Ammar, tak mungkinlah dia akan terhegeh-hegeh tunjuk
muka.
“Hukum tetap hukum Zara... tak kira berapa banyak
sakit hati kau tu.” Maria mengingatkan teman baiknya.
Jangan dibuat main kalau melibatkan hukum agama.
Zara tarik muka masam. Dia bukan mahu melanggar
hukum. Baginya tinggal dengan Ammar ibarat menaburkan
garam pada lukanya. Menyimbah asid di kulit. Pedih teramat
pedih. Dia akan minta izin Ammar untuk tinggal berasingan.
Dia yakin Ammar pun tak mahu bertemu muka dengannya.
“Kau pernah nampak dia masam tak sepanjang
tinggal dengan dia?” tanya Maria. Tiba-tiba dia terfikir untuk
bertanya.
Zara geleng. Tak pernah pula dia nampak Ammar
masam atau marah.
“Kau tidur kat sofa atau dia tidur kat sofa atau
korang berdua tidur sekatil? Korang bersama ehem-ehem
malam pertama atau sebulan lepas tu?”
Zara jegilkan biji mata. Apa punya soalan Maria
tanya. Sejak malam pernikahan mereka tak pernah pula dia
atau Ammar berpisah tempat tidur. Setiap malam dia rasa
kehangatan pelukan dan juga belaian manja suaminya. Pipinya
tiba-tiba merah. Malu kepada Maria yang merenungnya.
Barangkali Maria boleh dapat jawapan dari air mukanya.
“Dalam novel atau drama Melayu, kalau kena kahwin
paksa ni mesti tidur asing-asing. Kata orang cinta tu bertaut
kemudian. Tidur sama pun kemudian. Kau faham kan...”
Zara mula faham maksud Maria. Memang dia tidak
pernah rasa yang Ammar menderita atau terseksa sepanjang
mereka bersama. Apa yang dia nampak setiap hari memang
Ammar gembira. Tak nampak rupa tak suka atau derita yang
Ammar maksudkan. Atau dia yang tersalah lihat?
“Kenapa aku tak nampak muka gembira dia nak
kahwin dengan kekasih tercinta? Kenapa aku hanya nampak
penderitaan dia berpisah dengan kau?” ujar Maria lagi.
Sengaja mahu menguji perasaan Zara. Dia tahu cinta Zara
terhadap Ammar masih teguh. Dan dia nampak juga cinta
Ammar terhadap Zara. Cuma Ammar begitu ego mahu
mengaku cintanya mula tumbuh untuk Zara.
“Aku dengar sendiri dengan telinga aku dia cukup
menderita hidup dengan aku. Biarlah dia bahagia dengan
pilihan dia sekarang.” Suara Zara mengendur. Kalau tuan
punya badan sendiri dah berkata-kata tak mungkinlah dia tak
percaya. Kalau orang cakap Ammar derita dia memang boleh
sangkal. Tapi Ammar sendiri yang cakap dirinya terseksa.
Dari mana datangnya cinta kalau hidup terseksa?

AMMAR PANDANG telefon di tangan. Sudah berpuluh kali
dia mendail nombor Zara. Dia rindu mahu mendengar suara
Zara. Kenapa malam ini dia begitu rindukan Zara? Mungkin
kerana kandi kelapa yang dia sedang makan. Setiap hari
dia hanya akan makan satu. Dia risau kalau-kalau kandi itu
habis. Air tangan Zara memang kena dengan tekaknya. Zara
memang pandai masak. Jaguh kata mama.
“Zara...” Ammar genggam telefon kuat-kuat.
Dia berdoa agar Zara menjawab panggilannya. Dia cuba
menghubungi Zara sekali lagi. Ammar mengeluh.
Sekali lagi panggilannya masuk ke dalam voicemail.
Rindunya bagai nak gila kepada Zara. Sehinggakan dia tidak
lalu untuk makan. Hanya duduk di situ sambil mendail
nombor Zara. Sekali-sekala dia melayan panggilan daripada
Karina. Tak mahu Karina curiga atau salah sangka.
“Angah kenapa ni? Akak tengok dah dua tiga hari ni
angah senyap aje. Bukan sepatutnya angah gembira sebab dah
nak kahwin dengan Karina. Macam mana persiapan?” Juwita
duduk di sebelah Ammar. Sengaja menekankan perkataan
gembira. Mahu mengingatkan Ammar pada keputusan yang
diambilnya.
Ammar diam. Hatinya bergolak mendengar
pertanyaan Juwita. Pandangan dihalakan ke kolam renang
berharap hatinya kembali tenang. Cahaya bulan penuh yang
terbias di permukaan air kelihatan sangat cantik dan syahdu.
Namun itu belum cukup untuk menenangkan hatinya
yang rawan. Menggunung rasa rindu kepada Zara yang
sudah diceraikannya. Makin lama makin goyah dia dengan
pendiriannya. Rindu yang bermukim buat dia menderita.
“Entahlah Kak Ita... macam malas aje nak kahwin.
Angah rindukan Zara.” Ammar meluahkan isi hatinya.
“Kalau rindu kenapa tak cari Zara?”
“Entahlah...”
“Rugi kalau tak jadi kahwin. Penat-penat angah
ceraikan Zara. Kesian Karina, dah excited sangat nak kahwin
tiba-tiba tak jadi pula.” Juwita seakan menyindir.
Sakit hati Juwita kepada Ammar masih belum hilang
walaupun sudah sebulan berlalu. Proses perceraian Ammar
dan Zara juga sedang berjalan. Dia juga antara yang tertipu
dengan sandiwara Ammar. Sangat romantik dan penyayang
apabila berada di samping Zara. Siapa sangka Zara akan
diceraikan begitu saja. Ingin saja dia melompat kegembiraan
apabila kini Ammar mula menyesali tindakannya sekarang.
Cinta suci di depan mata dibuang semata-mata mengejar
cinta palsu yang belum pasti.
“Kalau kita yakin yang kita cintakan orang tu kenapa
kita boleh jatuh cinta lagi? Angah cintakan Karina. Angah
yakin tu.” Ammar tak pasti apa yang dia luahkan itu betul.
Kenapa hatinya sakit apabila sebut cinta kepada Karina?
“Kalau betul angah cuma cintakan Karina kenapa
mesti nama Zara muncul lagi sekarang ni? Angah tak akan
rindukan Zara kalau tak ada perasaan kat dia.” Juwita geram.
‘Kenapalah Ammar ini degil sangat? Nak kena Clorox otak tu
agaknya. Tak kan tak faham isyarat cinta sendiri?’
“Kalau betul angah cintakan Zara kenapa angah
tak sampai hati untuk tinggalkan Karina? Angah tak nak dia
pergi Paris.” Ammar tanya soalan bodoh.
“Hati lelaki cukup besar hingga mampu mencintai
lebih dari satu wanita dalam hidupnya. Ada jalan senang
kenapa cari jalan susah. Angah mampu untuk jaga Zara dan
juga Karina.” Juwita memberi isyarat kepada adik iparnya.
Jujur dia tak suka poligami tapi itu hak Ammar.
“Angah dah janji tak akan menduakan Karina. Hanya
dia seorang yang akan mendampingi Ammar Syafiq.”
Juwita tidak mahu berbahas lanjut. Ammar yakin
sangat cinta hatinya hanya Karina sedangkan semua petunjuk
mengatakan cintanya sudah beralih arah kepada Zara. Semua
perasan keceriaan Ammar hilang sebaik saja Zara melangkah
keluar dari Vila Aisyah. Betul kata suaminya ego Ammar
setinggi Gunung Tahan. Mustahil untuk diruntuhkan.
“Kalau macam tu akak tak boleh tolong. Angah
boleh saja rujuk dengan Zara kalau nak. Tapi angah kata
angah cintakan Karina lebih daripada Zara. Insya-Allah angah
akan bahagia dengan Karina.” Juwita menenangkan Ammar.
Kasihan melihat adik ipar yang tersalah langkah. Juwita lebih
sukakan Zara berbanding Karina. Perangai Karina yang agak
bebas dalam bersosial dia kurang gemar. Namun Karina sudah
jadi pilihan Ammar. Dia berharap Karina akan menghargai
Ammar apabila sudah berumah tangga nanti.
“Zara marah kat saya ke, akak? Saya call langsung
tak nak jawab. Mesej pun tak dibalas... Saya nak minta maaf
kat dia...” sayu saja nada suara Ammar. Penuh penyesalan pun
ada. Selebihnya rasa rindu.
“Kalau akak kat tempat Zara bukan kata nak tengok,
kalau boleh nak sepak aje muka angah ni. Nak tumbuk
aje muka hensem Ammar Syafiq biar lebam. Mana taknya
tiba-tiba aje kena talak, siapa yang tak marah? Apa yang angah
harapkan? Dia senyum, gembira atau berseronok apabila
kena cerai? Dia hilang tempat bergantung secara mengejut.
Orang yang paling dia cintai membuang dia seperti sampah.
Sepatutnya Ammar buat cara baik. Bukan buat macam ni.”
Ammar diam. Memang salah dia. Mujur Zara tidak
seperti Kak Ita. Sempat lagi Zara berpesan kepada Maria
untuk tidak mengapa-apakannya.
“Dia trauma sekarang ni, jangan kacau dia lagi.
Tolong izinkan dia ubati luka hati dia sendiri. Kalau angah
mahukan Zara balik, pergi cari dia. Kalau angah yakin
cinta angah hanya Karina tolong, lepaskan Zara.” Juwita
meninggalkan Ammar keseorangan melayan perasaan. Lagi
lama dia di situ mahu saja ditolak Ammar ke dalam kolam
renang. Geram sangat. Bukan saja ego tinggi melangit.
Bodohnya pun bertingkat-tingkat!

No comments:

Post a Comment